Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
CONTOH RUMUSAN

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian tulis rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negara kita. Panjangnya rumusan anda hendaklah antara 100 hingga 120 patah perkataan.
 

 Masalah bekalan air yang berlaku baru-baru ini amat membimbangkan semua pihak. Memang benar adalah di luar kemampuan manusia untuk menghalang bencana alam seperti ‘El Nino’ yang menyebabkan kita kekurangan air. Namun demikian, kemarau bukanlah satu-satunya penyebab yang mengeringkan tangki dan paip air di rumah kita.

 Ketika kita terlalu ghairah untuk melaksanakan projek pembangunan , kita semakin lalai dan kurang prihatin terhadap sungai yang menjadi sumber utama kehidupan. Kegiatan perindustrian yang dijalankan telah banyak menyebabkan sungai tercemar oleh buangan sisa-sisa toksik. Dalam waktu yang sama tidak henti-henti kita menebang hutan dan meratakan bukit; semuanya atas nama pembangunan, sehinggakan berlaku penghakisan secara besar-besaran dan memberikan kesan buruk terhadap kelembapan bumi kita. Sementara masih ada sungai dan anak-anak sungai yang dapat mengalirkan air jernih untuk diminum, kita seharusnya memelihara sumber air ini. Kesedaran tentang pentingnya memelihara sungai dan sumber-sumber air yang lain mesti ditanamkan di jiwa setiap orang, khasnya para pemaju projek. Pihak berkuasa seharusnya lebih peka dan prihatin sebelum meluluskan sesuatu projek pembangunan terutamanya yang melibatkan penebangan hutan.

 Majlis Air Negara yang ditubuhkan perlu menyelaraskan pentadbiran air di seluruh negara. Di samping itu, kita perlu juga meneroka teknologi canggih yang akan berupaya memproses air secara lebih baik. Bagi penduduk luar bandar, air dapat diperoleh dengan mudah menerusi perigi. Oleh yang demikian, mereka bebas menggunakan air semahu-mahunya dan sebanyak-banyaknya. Bagaimanapun, bagi penduduk di bandar khususnya, mereka tidak seharusnya menggunakan air mengikut sekehendak hati. Kempen penjimatan air perlu dilakukan menerusi media massa dan penguatkuasaan bagi menimbulkan kesedaran kepada semua pihak tentang peri pentingnya penggunaan air secara berhemat perlu dilaksanakan. Dengan cara ini kita akan lebih berhati-hati menggunakan air, di samping dapat mengurangkan bebanan pihak berkuasa untuk mengurus sumber dan bekalan air.

 Dalam keghairahan mengejar kemajuan dan kemewahan, kita tidak seharusnya merosakkan alam yang berkait rapat dengan kehidupan kita. Pemeliharaan alam sekitar hendaklah diseimbangkan dengan pembangunan yang dilaksanakan. Pihak pemaju dan penguat kuasa perlu memastikan sumber semula jadi yang membekalkan air tidak musnah. Jika sumber ini dimusnahkan, kita mungkin akan mati kekeringan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana editor bertajuk Jangan Musnahkan Sumber Air kerana Pembangunan, Dewan Masyarakat, Mei 1998)

JAWAPAN
 

Petikan tersebut membincangkan langkah-langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negara kita dan kepentingannya.Untuk  mengatasi masalah ini, pengguna perlu sedar tentang kepentingan memelihara sumber-sumber air. Selain itu, pihak berkuasa hendaklah  berhati-hati sebelum meluluskan projek pembangunan terutamanya yang melibatkan penebangan hutan. Majlis Air Negara pula perlu menyelaraskan pentadbiran air di seluruh negara.Di samping itu, teknologi canggih yang berupaya memproses air secara lebih baik perlu diwujudkan.Penduduk dibandar pula tidak seharusnya menggunakan air mengikut sekehendak hati.Sementara itu, kempen kesedaran perlu dilaksanakan supaya semua pihak menggunakan air secara berhemat.

Kita perlu sedar bahawa masalah bekalan air akan berulang sekiranya kita mengamalkan sikap suka membazir.Secara tidak langsung, masalah ini mengajar kita supaya lebih menghargai sumber air. Kesimpulannya, sebagai bahan keperluan asas yang penting, air perlu digunakan secara bijak.