Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Prolog
Barangkali kita masih mengingati saat-saat kita berada dalam alam pendidikan. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berjuang! Sebagai pengetua ketika itu tentunya kita kerap bertemu dalam pelbagai majlis. Tetapi suasana begini tidak lagi dirasai apabila kita bergelar pesara. Kita berkelana mengikut halatuju dan minat masing-masing. Ada yang menceburi bidang kerjaya yang baru. Ada yang berkebun. Ramai pula yang betul-betul bersara. Dalam keadaan beginilah apabila kita diketemukan dalam apa saja suasana dan tempat, kita berasa amat gembira. Lebih-lebih lagi apabila pertemuan tersebut dalam kumpulan 'genre' yang sama, sudah pasti banyak rencana lama yang kedengaran. 'Dunia' lama 'hidup' kembali!
Demikianlah nostalgia orang bersara, justeru mencetuskan hasrat untuk mengadakan suatu platform yang membolehkan kita dipertemukan sekaligus menyuburkan silaturrahim. Beberapa orang bekas pengetua yang berminat ke arah ini telah mula memikirkan perkara ini seawal tahun 1999, yang kemudiannya berusaha merealisasikan suatu bentuk persatuan khusus untuk bekas pengetua-pengetua sekolah menengah negeri Kelantan. Langkah-langkah ke arah penubuhan persatuan ini mula digerakkan pada akhir tahun 2000. Beberapa perjumpaan diadakan di kalangan beberapa orang bekas pengetua, berjaya menghasilkan suatu draf perlembagaan persatuan.