Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Bisikan Sukma
Tuesday, 20 May 2008
Pusingan Akhir : Anwar vs Najib
Pusingan akhir: Anwar vs Najib

Hishamuddin Rais | May 18, 08 9:51am

 

Jangan salah baca. Jangan salah congkak. Pembacaan politik yang betul amat penting untuk mengambil tindakan yang tepat.

Politik wajib ditakrif sebagai perang di atas meja. Jika perang di atas meja ini gagal, maka perang senjata di darat, laut, padang pasir atau hutan akan dimulakan.

Sejarah manusia adalah sejarah perang untuk mengambil kuasa. Sejarah manusia ialah sejarah pertempuran satu kelas dengan yang lain untuk merebut kuasa demi kepentingan ekonomi.

Hukum alam ini tidak pernah beralih-alih atau berubah. Inilah perjalanan sejarah tamadun manusia. Perebutan ekonomi adalah  asas yang menimbulkan perang – sama ada perang di meja mahu pun perang di hutan.

Pakatan Rakyat sekarang ini sedang melancarkan perang untuk mengambil alih kerajaan persekutuan. Pakatan Rakyat sedang melakukan perang ini agar punca-punca ekonomi dapat disusun kembali.

Penyusunan ekonomi ini amat penting. Punca-punca ekonomi Malaysia wajib diagih-agihkan semula secara demokratik dan adil. Dasar ekonomi Pakatan Rakyat ialah untuk kesejahteraan ramai. Bukan kesejahteraan kroni, anak bini atau penyokong parti.

umno 2007 agm primary 051107Selama 50 tahun ini, punca-punca ekonomi telah dimonopoli dan dikawal dengan ketat oleh gerombolan United Malays National Organisation dan sekutunya.

Kekuatan ekonomi inilah yang membolehkan United Malays National Organisation dilihat kuat dan dapat terus berkuasa. Hari ini gerombolan ini sedang terdesak. Kekalahan mereka dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu memungkinkan punca-punca ekonomi dalam tangan mereka tergelincir, hilang dan diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

Waspada! Gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya tidak akan melepaskan kuasa dengan senang. Ini hakikat.

Gerombolan yang selama ini hidup bermewah-mewahan tidak mungkin akan melepaskan berbilion juta ringgit yang pada hari ini masih lagi dalam kawalan mereka.

Justeru, mereka akan melawan kembali. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan punca-punca ekonomi ini. Perlawanan merebut punca ekonomi inilah yang dipanggil perang politik.

Dalam perang politik ini, semua mungkin berlaku. Ketika berperang, semua kemungkinan akan dilakukan. Dalam perang, semua kemustahilan akan difikirkan. Dalam perang ini, semua taktik akan dilakukan untuk mengambil alih kuasa.

Dalam perang ini, tidak ada lubang cacing yang tidak akan digali. Dalam perang, tidak ada sebuah gua batu yang tidak akan diselongkar.

Tujuan akhir perang ini adalah untuk menang dan mengalahkan gerombolan United Malays National Organisation dan meletakkan kembali Malaysia ke atas landasan ketuanan rakyat.

Pertempuran politik di antara Pakatan Rakyat dengan gerombolan United Malays National Organisation ini pasti akan bertambah sengit.

Apa yang kita baca, dengar dan lihat di pentas politik negara hari ini ialah penyambungan perang yang belum selesai sesudah pilihanraya umum ke-12. Berita-berita yang kita baca di media atau lihat di kaca TV semuanya adalah taktik dan strategi peperangan.

anwar najib islamic islam 190707Orang ramai wajib sedar bahawa perang politik yang hakiki pada hari ini adalah di antara Anwar bin Ibrahim dengan Najib bin Razak. Jangan silap baca. Jangan silap menganalisis. Jika silap, hasilnya ialah kekalahan.

Abdullah Ahmad Badawi, Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin - kesemua mereka ini bukan lagi pemain utama dalam perang ini.

Pada awalnya dahulu mereka dilihat penting, kini mereka hanya watak-watak sampingan. Watak-watak ini dilihat keluar masuk gelanggang seolah-olah mereka penting tetapi dalam naratif pertempuran ini, mereka tidak penting lagi.

Dalam peperangan ini, kita sebagai warga dituntut untuk tidak ada yang berkecuali. Sesiapa yang berkecuali ertinya sama bersekongkol untuk mempertahankan kuasa yang sedia wujud.

Kuasa yang sedia wujud ialah kuasa gerombolan United Malays National Organisation. Kuasa yang wujud ialah kuasa yang dimiliki oleh Najib bin Razak. Kuasa Najib bin Razak inilah yang sedang digempur oleh Anwar bin Ibrahim.

Warga dan rakyat Malaysia wajib membuat pilihan sekarang. Pada hakikatnya, warga Malaysia hanya ada dua pilihan – Anwar atau Najib.

Apakah rakyat mahukan Anwar memimpin negara dengan agenda ketuanan rakyat atau mahukan Najib untuk meneruskan kerenah agenda kapal selamnya?

Najib mewakili politik lama - politik feudal yang memerangkap manusia Melayu dengan slogan hidup Melayu. Slogan hidup Melayu yang diwakili oleh Najib selama 50 tahun telah memaksa manusia Melayu duduk dalam cengkaman budaya feudal.

Budaya feudal ini telah memastikan fikrah manusia Melayu terus bebal dan bodoh. Ertinya, dasar budaya feudal yang dikembangkan oleh United Malays National Organisation bertujuan khusus untuk memperbodohkan dan membebalkan manusia Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu manusia Melayu cerdik dan berani berfikiran bebas. Melayu yang cerdik dan  berani berfikiran bebas akan berduyun-duyun meninggalkan United Malays National Organisation.

Tidak cukup dengan memperbodohkan Melayu, gerombolan United Malays National Organisation ini juga tanpa henti-henti telah dan sedang menakut-nakutkan manusia Melayu dengan dua ekor hantu – satu hantu dipanggil Cina dan satu lagi dipanggil kaum asing.

malaysia general election vote ballot partiesApabila mereka kalah dalam pilihanraya umum ke-12, mereka terus menakut-nakutkan manusia Melayu dengan mengatakan bahawa Melayu telah hilang kuasa. Negara ini akan diambil oleh Cina. Kuasa politik Melayu hilang diambil oleh Cina dan kaum asing.

Manusia yang takut dengan hantu-hantu ini pasti akan mencari pertolongan dan bantuan bomoh dan pawang. Inilah taktik yang selama ini telah digunakan oleh United Malays National Organisation; mereka menyebarkan cerita hantu dan kemudian mereka juga menjadi pawang menghalau hantu.

Memang tepat dan betul ada orang yang hilang kuasa dalam pilihanraya umum ke-12 dahulu. Yang hilang kuasa ialah United Malays National Organisation. Bukan orang Melayu.

Selama 50 tahun ini, yang berkuasa ialah gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya, bukan orang Melayu.

Manusia Melayu memang tidak memiliki apa-apa kuasa, tidak memiliki apa-apa ketuanan dan tidak memiliki apa-apa yang istimewa. Melayu hidup menunggu janji dan mati dalam harapan.

Kemenangan Pakatan Rakyat di lima buah negeri ialah satu kemenangan tetapi bukan untuk Melayu, bukan untuk Cina, bukan untuk Iban, bukan untuk Dayak, Kadazan atau India.

Kemenangan itu untuk semua rakyat Malaysia. Inilah bezanya Anwar dan Najib.

Agenda Anwar untuk rakyat Malaysia dengan ketuanan rakyat. Manakala agenda Najib hanya untuk kuncu-konco kapal selamnya dan para kroni dalam gerombolan United Malays National Organisation.

Pada ketika ini, taktik-taktik perang ini semakin jelas dan tidak kabur lagi. Dari awal lagi langkah Pakatan Rakyat telah disabotaj dan diserang. Fail-fail dihilangkan. Dokumen-dokumen penting dikoyak-koyak.

Ini taktik-taktik perang awal untuk memporak-perandakan pentadbiran Pakatan Rakyat.

parliament bbc and malay society karpal singh sultan azlanYakinlah taktik dan serangan daripada konco-konco Najib dan gerombolan United Malays National Organisation akan lebih kerap dan ganas. Menuduh Karpal Singh sebagai tidak hormat kepada Raja adalah taktik perang.

Menyokong pegawai kerajaan negeri Perak agar enggan menjalankan tugas adalah taktik perang. Menuduh Anwar Ibrahim sebagai ejen Yahudi adalah taktik perang.

Menutup jalan raya, menyembur orang ramai dengan air kimia dan tembakan gas pemedih mata, kemudian menuduh Pakatan Rakyat sebagai mengancam suasana perniagaan adalah taktik perang.

Mahathir, Razaleigh, Muhyiddin, Ali Rustam, Syed Hamid Albar, Rafidah Aziz – semua telah dipukul teruk oleh Pakatan Rakyat. Kini mereka lebam-lebam dan duduk membebel di luar gelanggang.

Zainuddin Maidin, Razdi Sheikh Ahmad, Shahidan Kassim, Sharizat Jalil telah sesak nafas dan telah menanggalkan sarung penumbuk sambil duduk bersila di luar gelanggang.

Abdullah Badawi sendiri kelihatan letih dan lebam-lebam. Abdullah akan dibawa ke luar gelanggang untuk direhatkan mungkin seawal bulan Jun tahun hadapan.

Kini yang tinggal dalam gelanggang untuk terus berperang ke pusingan akhir hanyalah Anwar dan Najib.

Rakyat seantero dunia sedang menunggu dan ternanti-nanti bunyi loceng akhir yang akan mengusung Najib bin Razak keluar gelanggang.

Apabila ini berlaku, maka Pakatan Rakyat akan dinobatkan sebagai kerajaan baru untuk Malaysia.

Posted by bisikansukma at 4:14 PM JST
Post Comment | Permalink | Share This Post
Najib Pembawa Zaman Gelap

Najib pembawa zaman gelap

Hishamuddin Rais | Apr 16, 08 2:44pm

 

Dr Mahathir Mohamad telah memerangkap Tengku Razaleigh Hamzah  membuka tirai – dengan mesyuarat agung tergempar - untuk mengetepikan Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk entah ke berapa kali Razaleigh telah dijadikan batu loncatan oleh Dr Mahathir. Razaleigh mewakili politik lama, politik era Tunku Abdul Rahman – politik the British clubby gentleman – yang menuntut setiap kata dikotakan.

Era dan zaman itu telah lama selesai. Kita sekarang dalam era peralihan dari zaman gelap ke zaman cerah. Bahayanya,  Dr Mahathir inginkan kita rakyat Malaysia kembali ke zaman gelap, ke zaman ketakutan dan ke zaman autokrasi.

Justeru, Dr Mahathir sedang merancang untuk menobatkan Mohd Najib Razak.

Sayugia, perlu kita berwaspada dan mengetahui kenapa bekas perdana menteri itu memilih Najib? Kita wajib memahami sebab-musababnya agar kita semua akan bersedia menghadapi zaman gelap yang mahu dibawa oleh timbalan perdana menteri ini.

Kenapa Mahathir kini bermati-matian, dengan licik lagi penuh tipu muslihat sedang merancang untuk menaikkan Najib?

Malah minggu lalu media arus perdana juga 'terjerat' dengan tipu helah Dr Mahathir apabila melaporkan Najib bukan lagi satu pilihan.

Kenyataan Dr Mahathir ini bertujuan menaikkan syahwat Razaleigh dan Muhyiddin Yassin agar mereka terus berkomplot menentang perdana menteri.

Sebenarnya perkembangan ini suatu tipu helah jenis Si Kitul.

(Siapa Kitul? Sila rujuk Sejarah Melayu, kitab naratif kesejarahan lisan orang-orang Melayu Melaka. Kita merujuk Sejarah Melayu untuk melihat yang lampau, memahami yang kini dan pedoman masa hadapan)

Untuk memahami siapa Najib, kita melihat dan memahami kembali bagaimana Dr Mahathir memilih menteri-menteri kabinet dan para running dog (baca dengan maksud sastera) yang mengelilinginya.

Mahathir dengan selesa akan memilih orang-orang yang dikelilingi masalah besar. Lebih besar masalah itu lebih baik untuk Mahathir.

Contohnya Abdul Rahim Thamby Chik - dengan isu cinta berahi anak gadis bawah umur - menjadi orang kepercayaan Dr Mahathir. Arwah Megat Junid Ayub - dikaitkan dengan kematian wanita pemilik kedai video - menjadi pembantu dan menteri setia Dr Mahathir. Shahidan Kassim, terlibat dengan kemasukan beras ke Perlis, dijadikan menteri besar Dr Mahathir yang setia.

Dr Rais Yatim, seketul mayat politik, telah diberikan nafas oleh Dr Mahathir sehingga sanggup meminum air basuh kaki Dr Mahathir yang pada suatu ketika dahulu dikutuknya.

Rafidah Aziz si tukang lipat terlibat dalam agihan AP (permit kenderaan import), manakala tukang lipat spesies jantannya pula Nazri Aziz yang tersangkut dengan 600 permit teksi.

Mereka ini menteri setia dalam kabinet Mahathir. Mereka ini akan terus menderam dan melolong jika ada sesiapa yang cuba menghampiri Dr Mahathir.

Lihat pula badan kehakiman dan badan kepolisan yang dirasuk rasuah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aktiviti rasuah ini dibiarkan oleh Dr Mahathir kerana si perasuah ini akan terus bersetia kepada Dr Mahathir.

Apa sangkut-paut semua ini dengan Najib?

Najib bersarang di lubuk semua rasuah. Najib ibu kepada semua masalah. Najib terkait dengan keterangan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Dakwaan ini bukan lagi tohmahan - di mahkamah, seorang saksi dari Mongolia telah menerangkan bahawa Najib Razak pernah berjumpa dengan Altantuya.

Najib lebih daripada seketul mayat politik berbanding Rais Yatim. Najib lebih banyak menyondol daripada Rahim. Najib berjuta-juta kali menerima rasuah daripada Rafidah dan Nazri.

Manusia seperti Najib ini adalah "model" (bukan model wanita) yang terbaik dalam bacaan politik Dr Mahathir. Manusia Najib ini boleh menjadi running dog (sekali lagi, baca dengan maksud sastera) yang paling setia kepada Dr Mahathir.

Dalam congak politik orang tua itu, Najib akan meneruskan dinastinya - sesudah Najib akan dimasukkan Hishamuddin Hussein, si penjulang keris yang lidahnya belum sanggup menjelir panjang. Akhirnya, Mukhriz Mahathir akan muncul.

Pada ketika ini si Mukhriz sedang belajar menyerang dengan salakan-salakan kecil menghala ke arah Abdullah Ahmad Badawi. Mukhriz inilah klon asli yang dicita-citakan oleh Dr Mahathir.

Jadi siapa sebenarnya Najib?

Najib Razak pembawa zaman gelap dalam budaya politik Malaysia. Najib akan memadamkan semua lampu-lampu pencerahan yang baru ingin menyala di Malaysia.

Dari segi pembudayaan, Najib pasti akan ingin lebih Islam daripada PAS, lebih lebai daripada Lebai Kulup.

Dengan latar belakang keilmuannya yang cetek, Najib demi membuktikan keislamannya akan melakukan apa sahaja yang 'dianggapnya' Islam.

Najib Razak yang tidak memahami inti dan falsafah Islam akan hanya berjaya melihat pinggiran dan kulitan Islam.

Ini bermakna Islam garapan Najib akan lebih kolot dan lebih menyusahkan hidup kita semua. Kulitan Islam ala Najib ini bukan lagi fenomena "jantan di barisan lain dan betina di barisan lain" - ia akan terjadi lebih daripada itu.

Keislaman Najib ini bukan hanya membuang patung-patung penyu seperti di Terengganu (dulu) tetapi akan lebih Islamik daripada itu.

Buktinya: Tiga tahun dahulu, ketika Hari Raya dan Deepavali berjalan serentak, seorang insan yang mengakui dirinya sebagai 'ilmuwan Islam' telah mengeluarkan 'fatwa' bahawa orang Melayu-Islam tidak boleh berkongsi Deepavali dengan penganut Hindu.

Kenyataan yang kononnya fatwa ini telah disambut dan disokong oleh Najib. Hanya tiga hari kemudian fatwa karut ini telah disangkal oleh Abdullah Ahmad Badawi. Beginilah contoh Islam kapal selam.

Seorang insan yang terkait dalam keterangan kes mahkamah akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan bahawa dirinya lebih suci daripada Kaabah dan lebih putih dari sabun Breeze.

Sila ingat kembali kenyataan-kenyataan Najib beberapa bulan dahulu. Hujan tidak, guruh pun tidak, tiba-tiba Najib menjadi Lebai Najib telah mula mengeluarkan ayat-ayat Furqan untuk membuktikan dirinya lebih Islam daripada kapal selam.

Rasuah? Rasuah itu adalah nama timang-timangan dan nama manja  beliau.

Kalau polis menahan kita dan meminta baksheesh sepuluh dua puluh ringgit maka ini dianggap rasuah. Tetapi jika Najib membeli senjata, membeli kapal selam dan membeli jet pejuang - ini bukan rasuah, mengikut kitab Najib.

Duit berjuta-juta ini bukan duit rasuah tetapi mengikut fatwa Najib, jumlah ini wang komisen.

Inilah dia sosok yang sedang dirancang dan sedang diuli oleh Dr Mahathir untuk dijadikan perdana menteri.

Kenapa Dr Mahathir pilih Najib?

Dr Mahathir sendiri kepala perompak yang mewakili Daim Zainuddin dan sederetan lagi saudagar-saudagar besar. Ada ramai lagi lanun dan penjarah yang berpayung bawah Dr Mahathir. Mereka dengan bantuan kuasa Dr Mahathir telah merompak dan menjarah harta negara selama 22 tahun.

Seperti filem seram Rosemary Baby, semua orang yang diharap-harapkan memberikan bantuan rupa-rupanya sebahagian daripada jaringan lanun.

Polis, kehakiman, media, badan pencegah rasuah, imam-imam – semuanya bersekongkol.

Perompak dan lanun-lanun ini tahu jika era pencerahan yang dibawa oleh Abdullah Ahmad Badawi ini dapat diteruskan, mereka semua akan didakwa di mahkamah. Polis dan para hakim, politikus rasuah, dan sesiapa yang menyalahgunakan kuasa akan juga dihadapkan ke mahkamah.

Salah tanggapan jika kita percaya Dr Mahathir mahu Abdullah berundur kerana warisannya sedang dilupuskan. Menaikkan Najib tiada sangkut-paut dengan legacy. Salah bacaan politik jika menganggap bahawa Dr Mahathir lebih sayangkan United Malays National Organisation.

Dr Mahathir terlibat mengharamkan United Malays National Organisation yang asal. Sejuta kali silap jika menganggap bahawa Dr Mahathir berbuat semua ini untuk orang Melayu.

Dr Mahathir mahukan Najib kerana Najib akan menjadi seketul mayat politik dan tidak akan membuat sebarang dakwa-dakwi terhadap Dr Mahathir dan lanun-lanun yang lain.

Dua puluh dua tahun zaman ganas dan zaman gelap Dr Mahathir akan diteruskan oleh Najib.

Kepada sesiapa yang memiliki ilusi tentang Najib sebagai pilihan tepat Dr Mahathir, sila tanya diri sendiri: Sudah sampaikah masanya Malaysia menerima perdana menteri baru yang terkait dalam keterangan kes Mongolia? Apakah seseorang terkait boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia?


Posted by bisikansukma at 4:02 PM JST
Post Comment | Permalink | Share This Post
Saturday, 17 May 2008
Aku masih lagi menagih

Aku lagi masih menagih

erti kehidupan di Kota Singa

mengadai diri

mengadai kewarganegaraan

mengadai masa depan

semata-mata mencari kemewahan

 

Aku masih lagi menagih

masakan sayur manis dan ikan kering ibu

haruman bau serabut kelapa

dibakar buat halauan nyamuk 

 

Aku masih lagi menagih

laungan azan solat magrib

bunyi kayuhan basikal and langkah tapak kaki si kecil

berderet-deret ke kelas mengaji

 

Aku masih menagih

senyum sapa jiran di kampung

kopi pekat dan teh tarik

gelak jenaka sahabat di warung

 

Aku masih lagi menagih

permainan guli, galah panjang dan konda kondi

sudah pasti tidak akan kembali

ke Kota Singa ini

 

Aku masih lagi menagih

simpati untuk nenek uzur

saudariku berbadan dua

terpaksa meredah lautan binatang

yang bertopengkan manusia

berhangit dalam gerabak mrt

 

 

Saminathan Munisamy 


Posted by bisikansukma at 11:57 PM JST
Post Comment | Permalink | Share This Post
Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
 
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
 
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
 
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
 
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 

~ A. Samad Said


Posted by bisikansukma at 7:51 PM JST
Post Comment | Permalink | Share This Post

Newer | Latest | Older

« November 2008 »
S M T W T F S
1
2 3 4 5 6 7 8
9 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30
Entries by Topic
All topics  «