Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

E-Kaunseling

Perkhidmatan kaunseling online ini khusus buat ahli MCCH dan keluarga serta pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Manchester (University of Manchester, UMIST dan Salford University). Pengguna selain dari yang dinyatakan diharap sudi menggunakan perkhidmatan lain yang bersesuaian.

Proses kaunseling online

Kaunseling online adalah satu bentuk perhubungan menolong yang dilakukan secara online (tidak bersemuka) dengan penuh professional oleh seorang kaunselor terlatih dengan klien mengikut kod etika kaunseling bagi mencapai kesejahteraan optimum untuk kehidupan klien.

Berdasarkan definisi berkenaan, kaunseling bukan sahaja boleh dilakukan secara bersemuka malahan telah didapati berkesan dilakukan secara online. Banyak kajian telah dilakukan bagi melihat keberkesanan penggunaan teknologi dalam hubungan teraputik antara manusia.

Anda boleh menghubungi saya bagi mendapatkan maklumat berkenaan (bab sorotan kajian terdahulu atau literature review dalam proposal saya).

Menurut Akta Kaunselor (1998), kaunseling adalah satu proses hubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh secara sukarela sepanjang hayat berdasarkan etika kaunseling. Kaunseling adalah berbeza dengan penasihatan atau bimbingan. Ianya merupakan modaliti menolong yang lebih profesional dan memerlukan latihan klinikal dan penyeliaan rapi.

Penasihatan dan bimbingan lebih memfokuskan kepada ‘masalah’ anda manakala kaunseling memberi penekanan dan tumpuan kepada diri anda yang sedang menghadapi ‘masalah’.  Oleh itu, kaunseling mengambil masa yang agak panjang bagi menghasilkan perubahan positif yang diinginkan. Bagi saya tidak wujud ‘manusia bermasalah’ yang ada hanyalah ‘manusia dengan masalahnya’.

Anda mengambil keputusan menjalankan kaunseling online kerana anda inginkan sesuatu yang berlainan dalam hidup anda. Anda mungkin mahu mengubah situasi hidup anda, mencari jalan penyelesaian masalah, mahu membuat keputusan, atau mahu memahami apa yang sedang berlaku dalam kehidupan anda.  Sebagai langkah pertama dalam proses kaunseling, anda dan saya akan meneroka perasaan anda dan keinginan anda dalam perkara yang anda mahukan perubahan atau pemahaman.

Apabila kita berdua telah saling memahami tentang situasi anda, saya akan membantu anda menghasilkan pelbagai cara dan alternatif bagi anda mencapai apa yang dimaksudkan. Agar kaunseling menjadi efektif, anda mestilah memberikan kommitmen tenaga/usaha dan masa serta mengambil bahagian yang aktif dalam proses ini.

Peranan saya

Sebagai kaunselor anda, saya akan bersedia mendengar, memahami dan berinteraksi dengan anda melalui email terhadap sebarang isu yang anda kemukakan. Segala yang anda kongsi adalah SULIT dan akan saya rahsiakan kecuali jika saya merasai anda mungkin akan mengancam keselamatan diri anda dan orang awam. Dalam kes berkenaan, kita akan bergerak melakukan kaunseling krisis yang mungkin akan melibatkan polis, wad psikitri dan/atau ahli keluarga anda. Kerahsiaan juga melibatkan tanggungjawab saya untuk merahsiakan identiti anda. Anda boleh terus tidak memberitahu latar belakang sebenar anda dan saya akan tetap menghormati pilihan anda.

Free web-based emails:
Yahoo!
Hotmail
mail.com
others...

Anda mungkin memerlukan alamat email lain sekiranya anda berhasrat tidak mahu saya mengetahui siapa diri anda (tidak penting bagi saya). Saya akan tetap menghormati pilihan anda.  Dalam kes di mana memerlukan saya membuat rujukan kepada pihak yang lebih pakar, saya akan mendapatkan kebenaran dari anda terlebih dahulu. Sekiranya anda sedang menjalankan kaunseling dengan kaunselor lain, anda hendaklah menamatkannya terlebih dahulu sebelum memulakan hubungan kaunseling dengan saya.

Peranan anda

Untuk menjadikan proses kaunseling kita bermakna dan berjaya, tanggungjawab proaktif terletak di tangan anda. Saya menghargai sekiranya anda dapat berkongsi apa sahaja demi memanfaatkan hubungan teraputik kita ini. Anda digalakkan membebaskan diri dari sebagai bentuk halangan dan meluahkan apa sahaja kepada saya.  Anda boleh menulis email kepada saya sekerap yang anda mahu.

Walau bagaimana pun, ciri-ciri email tidak membolehkan saya berinteraksi dengan anda secara otomatik.  Saya harap anda faham tentang had teknologi melalui email yang akan kita gunakan. Anda juga seharusnya merahsiakan hubungan kaunseling kita demi menjaga etika kerahsiaan kaunseling tercapai. 

Oleh kerana persetujuan hubungan kita hanya melalui email, anda tidak digalakkan mengubungi saya melalui telefon atau bersemuka (kecuali bagi kes tertentu setelah persetujuan dua belah pihak tercapai).  Sebagai klien, anda juga berhak memutuskan hubungan kaunseling kita bila-bila masa sahaja. Walau bagaimana pun, saya amat berharap anda dapat memaklumkan kepada saya satu sesi (satu email) sebelum anda berhasrat menamatkannya.

Tentang saya

Saya sedang mengikuti pengajian Ph.D tahun pertama dalam pengkhususan kaunseling di University of Manchester.  Bidang kajian saya ialah intervensi tinglahlaku mendapatkan kaunseling menggunakan teknologi. Saya bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia dan mengajar kursus seperti Bimbingan & Kaunseling, Kaunseling Kelompok, Etika Kaunseling, Perkembangan Kerjaya dan Perkembangan Remaja.  Saya juga mempunyai pengalaman 12 tahun sebagai kaunselor dan telah mengendalikan banyak kes pelajar (sesetengahnya melibatkan kaunseling keluarga) di universiti samada secara individu atau kelompok.

Dari segi pendekatan, saya lebih cenderung kepada kaunseling pemusatan klien serta kaunseling tingkahlaku.  Bagi kaunseling online pula, saya lebih menggunakan pendekatan ‘solution focused counseling’.  Walau bagaimana pun, ianya akan saya sesuaikan mengikut kes anda.  Saya mempunyai ijazah MS Kaunseling dari California State University, Sacramento.  Saya telah menjalankan kaunseling online lebih kurang setahun dengan pelajar di Fakulti Ekologi Manusia, UPM dan dua badan NGO di Malaysia (maklumat terhad).  Sebagai kaunselor, saya adalah ahli Persatuan Kaunselor Malaysia (PERKAMA) dan ahli American Counselor Association (ACA).

Langkah seterusnya

Saya dapat rasakan keinginan anda untuk cuba merasai pengalaman melakukan kaunseling secara online bersama saya.  Anda telah membuat keputusan yang bijak.  Saya bangga dengan potensi semulajadi yang ada pada diri anda.  Langkah seterusnya ialah untuk menghantar email kepada saya dan berkongsi dengan penuh rela terhadap sebarang isu yang sedang mengganggu kehidupan anda. Hubungi saya di alamat email berikut: mansorat@ntlworld.com.

Apabila saya menerima email pertama anda, ini bermakna pehubungan kaunselor-klien antara anda dan saya telah terbentuk.  Ini juga bermaksud anda telah memahami dan menerima maklumat yang telah saya nyatakan dalam persetujuan termaklum (inform consent) mengenai kaunseling online.  Anda juga maklum bahawa perhubungan kaunselor-klien kita adalah secara sukarela dan terjalin atas kehendak anda sendiri.

Selamat berbahagia.

Mansor Abu Talib