Utusan Malaysia(2001.3.7)- Prof.Dr.KangKyoungSeok(e-mail address: pakarjawi@yahoo.co.kr)(Pusan Univ of Foreign Studies,Korea Selatan)-Tulisan Jawi-
Mengiktiraf semula jawi
Oleh: MOHAMED JUSOH
KITA tidak dapat memantau sejauh mana perkembangan tulisan jawi di semua institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tetapi, daripada kaji selidik sudah ada peningkatannya, malah beberapa buah universiti awam sememangnya berminat untuk memartabatkan semula tulisan jawi di kampus masing-masing.
Ini juga adalah selaras dengan sebahagian daripada 16 ketetapan yang diambil dalam Seminar Kebangsaan Tulisan Jawi Dalam Menghadapi Era Globalisasi di Johor Bahru pada 14 Oktober tahun lalu.
Antaranya menggesa semua IPT yang menawarkan pengajian Melayu dan bahasa Melayu mesti mewajibkan tulisan jawi dalam kursus berkenaan.
Untuk memperkemaskan usaha ke arah itu, semua IPT di negara ini sepatutnya memainkan peranan utama supaya tulisan jawi tidak lagi di pinggirkan tetapi diguna pakai dalam kehidupan harian.
Barangkali atas kesedaran inilah, Kelab Penerbitan Fakulti Sebaran Am Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan Bengkel Sehari Penerbitan Akhbar Jawi pada 8 Mac ini.
Tentunya, bengkel yang mendapat kerjasama Kumpulan Utusan dan Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (Penjawim) ini dapat menyebarluaskan penggunaan tulisan jawi dalam penerbitan khasnya kepada pelajar penerbitan Fakulti Sebaran Am, UiTM sendiri.
Bengkel yang akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UiTM (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Prof. Dr. Adnan Alias itu sememangnya kena pada masanya dan sesuai pula dengan temanya Akhbar Jawi Menghadapi Globalisasi dan Peranan Pelapis.
Selain daripada wakil Penjawim, Che Siah Che Man yang juga pensyarah kanan UiTM, seorang wakil dari Kumpulan Utusan Melayu (Mohamed Jusoh, Pengarang Utusan Zaman) akan memberi ceramah dan membimbing bengkel seumpama itu yang pertama kali diadakan.
Ini selaras pula dengan tulisan jawi dalam penerbitan akhbar adalah seusia penerbitan akhbar harian Utusan Melayu dan mingguan Utusan Zaman yang kekal sehingga kini walaupun menghadapi kekurangan pembaca.
Memang diakui bahawa dalam usaha menerbitkan akhbar jawi ini, kita tidak boleh lupa kepada Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Malah akhbar harian Utusan Melayu dan mingguan Utusan Zaman yang menggunakan tulisan jawi ini menjadi penyambung kepada Utusan Melayu yang diasaskan pada 29 Mei 1939 di Singapura (ketika masih sebahagian dari Tanah Melayu) iaitu hasil daripada perjuangan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) untuk menjadikan media atau wadah seterusnya meniupkan api semangat kemerdekaan bagi mengusir penjajah dari Tanah Melayu.
Sebab itu, penaung bengkel ini, Dr. Ahmad Ridzuan Abdul Rahman berharap peserta seminar akan mendapat pendedahan dan pengetahuan dengan lebih mendalam dalam usaha untuk memartabatkan akhbar jawi pada masa kini.
Usaha mengadakan bengkel ini pastinya memerlukan sokongan padu bukan sahaja daripada pelajar dan pendidik, malah seluruh masyarakat sebagai pewaris jati diri bangsa.
Sesungguhnya, penerbitan akhbar jawi juga penting kepada kita semua kerana menurut Prof. Dr. Kang(Kyoungseok)(PusanUniv of Foreign Studies,KoreaSelatan), ``Sudah sampai masanya untuk semua rakyat Malaysia menguasai bahasa kebangsaan Malaysia iaitu bahasa Melayu dalam tulisan aslinya iaitu tulisan jawi di samping tulisan rumi''.
Tentunya, ia melatih dan memberi ruang kepada pelajar Komunikasi Massa memenuhi tuntutan sebagai pelapis dan peneraju akhbar jawi, seterusnya memberi pendedahan bagaimana proses penerbitan akhbar jawi dijalankan.
Pada masa yang sama, ia dapat menyemai, memupuk dan menanamkan minat membaca akhbar jawi di kalangan generasi muda, khususnya di UiTM di samping mengetahui perkembangan dan sejarah penerbitan akhbar khasnya akhbar jawi.
Oleh itu, bagi mengekalkan dan mempertahankan akhbar jawi ini, kita harus mengimbas sejarah penerbitan akhbar jawi di mana Utusan Melayu yang terbit pada tahun 1907 adalah adik kandung kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang dikenali sebagai Free Press Utusan Melayu.
Bagaimanapun, akhbar ini hanya dapat bertahan sehingga tahun 1921. Biarpun umurnya agak pendek, namun tiupan semangat kebangsaan daripada pengarangnya, Mohd. Yunus Abdullah dan rakan-rakannya dibantu pula oleh tokoh-tokoh bangsa Melayu seperti Ambok Suloh.
Merekalah yang telah berjaya menerbitkan akhbar harian Utusan Melayu dalam tulisan jawi pada 25 Mei l939, diterbitkan serentak dengan sebuah akhbar mingguan, Utusan Zaman yang kini terus bersaing dengan akhbar-akhbar lain untuk mendapat tempat di kalangan pembaca.
Dengan ini, sejarah perjuangan penerbitan akhbar jawi ini haruslah dipupuk dan disemai dalam diri dan dada pelajar masa kini supaya tidak ada usaha yang boleh mengganggu-gugat untuk menutupnya.
Dalam pada itu, akhbar jawi ini juga sudah pun mendapat tempat dan diiktiraf dalam bidang penerbitan akhbar kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Ini termasuklah berjaya meniup api kemerdekaan Tanah Melayu serta memupuk kesedaran politik, ekonomi, sosial dan menjadi media utama yang digunakan oleh orang Melayu dalam menuju kemerdekaan.
Bagi menanam lagi semangat kecintaan, keyakinan dan minat membaca akhbar jawi, maka penerbitan akhbar jawi ini perlu diteruskan dan diperkembangkan lagi kepada orang Melayu khususnya dan umumnya kepada masyarakat Malaysia.
Sehubungan itu bengkel ini tentunya memberi gambaran sebenar penerbitan akhbar jawi. Khabarnya program ini juga dirancang bagi memenuhi kehendak Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Komunikasi sebagaimana yang telah ditetapkan iaitu kemahiran dalam menguasai komunikasi dan proses ke arah tersebut.
Dengan adanya bengkel sehari di Dewan Seri Budi di UiTM, membuktikan masih ada IPT di negara ini yang peka untuk mendaulat dan mengguna pakai tulisan jawi dalam urusan harian.
Ini juga menyahut seruan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad yang merancang untuk memulihkan semula tulisan jawi dengan mewajibkan para pelajar menggunakan tulisan jawi bagi menjawab kertas peperiksaan Agama Islam.
Dalam pada itu, kajian perlu dibuat bagi menjamin tahap kemampuan guru agama dalam penulisan jawi. Ini kerana kekurangan guru yang mahir dalam kaedah pengajaran tulisan ini dikenal pasti sebagai punca kemerosotan penguasaan jawi di kalangan pelajar di negara ini.
Oleh itu, dalam menangani masalah ini sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan berusaha mencari pendekatan dengan melatih tenaga pengajar mengenai kaedah terbaik mengajar tulisan jawi di sekolah-sekolah.
Ini termasuklah melatih lebih ramai lagi guru yang mahir jawi dalam pengajaran tulisan jawi agar masalah tersebut dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.
Tentunya amat wajar bila Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif memasukkan sukatan pelajaran jawi ke dalam kurikulum perguruan untuk kursus perguruan asas dan kursus diploma perguruan.
Terserah kepada para pendidik pada masa ini untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan pedagogi pengajaran jawi dalam usaha menyemarakkan penggunaannya dalam bidang pendidikan.
Kita juga mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, di samping penerbit lain turut sama memainkan peranan membanyakkan mencetak buku dalam tulisan jawi.
Pada masa yang sama, usaha penyelidikan perlu dibuat bagi mengumpul semula kira-kira 5,000 manuskrip Melayu bertulisan jawi yang tersimpan di Malaysia, Indonesia, England, Jerman, Belanda, Perancis, Belgium dan Amerika Syarikat.
Tajuk-tajuk Berita
--------------------------------------------------------------------------
AMBIL IKTIBAR IBADAH KORBAN
Mengiktiraf semula jawi
Mesti tegas hapus politik wang
Doa Dr. Mahathir dan Fadzil bertemu
Alasan tarif air naik biar munasabah
Teka-teki Ketua Menteri Sabah
Jenayah etnik tercetus semula di Kosovo
BISIK-BISIK-Awang Sulung
--------------------------------------------------------------------------
Salam Online
--------------------------------------------------------------------------
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------