Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 

  Laman web rasmi PDKTN                                            Laman web rasmi PDKTN                                        

  Pelancongan di Kinabatangan

Laman utama | Organisasi | Profil Daerah | Pelan Pembangunan | Aktiviti | Pelancongan | Komen dan cadangan

Lokasi Pelancongan di Daerah Kinabatangan.

Sesuai dengan kekuatan daerah Kinabatangan sebagai kawasan yang kaya dengan kepelbagaian unsur biologi flora dan fauna, maka bidang pelancongan berasaskan alam semulajadi akan menjadi teras utama bagi pembangunan pelancongan di daerah ini. Untuk tujuan ini, beberapa kawasan dikenal pasti untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan di daerah ini iaitu:

·               Kg.Abai

·                 Kg.Sukau

·                 Kg.Bilit

·                 Kg.Batu Puteh

·                 Kg.Kulamba

·                 Kg.Subak

·                Pekan Bukit Garam

·                 Kg.Deramakot

·                 Kg.Sungai Lokan

·                 Kg.Sangau

·                 kg.Sungai Lokan

 

SUMBER ALAM

                     HUTAN

Kitaran banjir yang berubah-ubah di daerah ini mempunyai pengaruh yang nyata terhadap tumbuh-tumbuhan di dataran banjir. Taburan tumbuhan dipengaruhi oleh daya ketahanannya menghadapi pelbagai aras takungan air, kemasinan dan kekerapan terjadinya banjir. Namun begitu, bencana telah mengubah keadaan hutan di daerah ini seperti diakibatkan oleh aktiviti pembalakan, dan kebiasaannya diakibatkan oleh kemarau yang panjang menyebabkan banyak kawasan yang terbakar seperti pada tahun 1983.

Jenis-jenis hutan di Kinabatangan :

 01.              Hutan paya bakau

Merupakan tumbuhan utama di bahagian muara dan kawasan paya air payau yang menganjur dari muara Sg.Kinabatangan hingga ke kawasan selepas Kg.Abai.

02.            Hutan tebing sungai

Tumbuh-tumbuhan di tebing sungai menguasai kawasan yang tidak dipengaruhi oleh pasang surut dan air payau. Hutan ini terutamanya terdapat di sepanjang alur sungai utama dan terbentuk di atas tetambak-tetambak besar sungai. Hutan ini didominasikan oleh pokok-pokok yang memerlukan cahaya matahari seperti Bayur (Pterospermum javanicum), Balik Angin (Colona serratifolia), Pokok Ara (Ficus spesies), Binuang (Octomeles sumatrana) dan Bungur (Lagerstroemia speciosa). Spesis belukar lain seperti Laran (Neolamarckia cadamba), Sedaman (Macaranga tanarius), dan Bangkal (Neonauclea gigantean) yang boleh juga ditemui di zon hakisan dan mendapan yang tidak stabil di tebing sungai. Hutan ini juga diliputi oleh tumbuh-tumbuhan pemanjat seperti pemanjat kekacang Entada rheei.

03.              Hutan paya air tawar

Boleh didapati di atas kawasan tanah yang sentiasa atau kadang kala ditenggelami air, atau di kawasan paya di mana saliran permukaannya kurang baik. Biasanya pokok-pokok di kawasan air bertakung adalah rendah tetapi di bahagian-bahagian paya yang lebih kering, pokok-pokok adalah lebih tinggi. Pokok-pokok yang sering dijumpai di hutan-hutan paya air tawar di hilir Kinabatangan termasuk Salungapit (Mallotus muticus), Simpoh (Dillenia indica dan Dillenia excelsa), Resak (Vatica rassak), Apid-Apid (Sapium indicum), Bayur (Pterospermum macrocarpum) dan Polod Paya (Arenga retroflorescens).

04.              Hutan tanah kering

Boleh didapati di kawasan yang lebih kering dan jauh dari sungai. Kebanyakan pokok dari jenis hutan ini adalah dari famili Dipterocarpaceae. Spesies yang sering dijumpai termasuk pokok Dipterokarpa seperti Urat Mata Daun Licin (Parashorea malaanonan), Urat Mata Beludu (Parashorea tomentella), Seraya Tembaga (Shorea leprosula), Seraya Kelabu (Shorea waltonii), Keruing Putih (Dipterocarpus caudiferus), Kapur Paji (Dryobalanops lanceolata) dan Selangan Jangkang (Hopea nervosa). Bagi spesies bukan dipterokarpa pula, spesies-spesies berikut selalu dijumpai iaitu Belian (Eusideroxylon zwageri), Sepetir (Sindora irpicina), Kasai (Pometia pinnata), Mengaris (Koompassia excelsa), Ranggu (Koordersiodendron pinnatum), Nyatoh King (Ganua kingiana) dan Jelutong (Dyera costulata).

Kecuali di beberapa kawasan Hutan Simpan seperti Hutan Simpan Bod Tai, Pangi dan Keruak semua hutan jenis ini telah, sedang atau akan ditukar kepada kawasan kelapa sawit. Selepas diganggu oleh pembalakan, kebakaran dan kegiatan drastik lain maka hutan sekunder terbentuk. Hutan sekunder ini didominasikan oleh pokok-pokok belukar seperti Telinga Gajah (Macaranga gigantean), Sedaman (Macaranga hypoleuca), Magas (Duabanga moluccana), Laran (Neolamarckia cadamba), Kulimpapa (Vitex pinnata), Sengkuang (Dracontomelon dao) dan Bayur (Pterospermum javanicum).

                 FAUNA

Hilir Kinabatangan kaya dengan kepelbagaian spesies ikan, burung, mamalia, reptilia dan amfibia adalah sangat tinggi. Kawasan ini merupakan tempat kediaman dan habitat kepada beberapa spesies yang terancam dan jarang ditemui. Di hilir Kinabatangan, terdapat 10 spesies primat, 4 daripadanya adalah endemik kepada Borneo. Rangkaian tasik dan paya air tawar di kawasan ini adalah sangat penting untuk pemuliharaan hidupan akuatik, burung-burung air dan amfibia.

1.                  Mamalia : Primat

a)                  Monyet bangkatan (Nasalis larvatus)

  Spesies yang endemik di Borneo. Walau bagaimanapun spesies ini terhad kepada kawasan-kawasan tebing sungai, paya gambut dan hutan paya bakau di kawasan tanah pamah pinggir laut. Spesies ini semakin terancam kerana kehilangan habitat dan pemburuan.

b) Lotong Merah (Presbytis rubicunda), Lotong Kelabu (Presbytis cristata) dan Lotong Kikok (Presbytis hosei) Monyet-monyet ini bersaiz kecil.

c) Orang Utan (Pongo pygmaeus)

  Orang Utan yang endemik kepada Borneo dan Sumatra kebanyakannya tertumpu di hutan-hutan  pamah di bawah 150 m dari paras laut. Terdapat banyak orang utan di Hilir Kinabatangan.

d) Kera (Macaca fascicularis) dan Beruk (Macaca nemestrina)

Kera yang mempunyai ekor yang lebih panjang daripada beruk. Kera adalah spesies primat yang terbanyak di Hilir Kinabatangan.

e) Kelawat (Hylobates muelleri)

Spesies ini juga endemik di Borneo. Haiwan ini memakan serangga kecil dan buah-buahan yang masak. Spesies ini bergerak dari pokok ke pokok yang lain dengan cara berayun dengan lengan yang panjang. Sebagai binatang arboreal, spesies ini sangat terancam disebabkan oleh kemusnahan hutan.

f) Kera Hantu (Tarsius bancanus)

Sejenis spesies yang aktif bergerak di waktu malam (nocturnal) ini boleh memburu dengan cara menerkam tiba-tiba menggunakan kaki belakangnya yang panjang.

g) Kongkang (Nycticebus coucang)

Sejenis spesies nocturnal yang memakan serangga dan buah-buahan.

2.                 Mamalia Lain

a) Gajah Asia (Elephas maximas)

Dianggarkan terdapat lebih kurang 150 ekor gajah di kawasan Hilir Kinabatangan mengikut rekod WWF. Seekor gajah dewasa memerlukan lebih kurang 150 kg makanan sehari terdiri daripada bahagian-bahagian pokok palma, rumput dan batang pisang. Haiwan ini memerlukan kawasan makanan yang luas untuk terus suvival.

b) Badak Sumbu Sumatra (Dicerorhinus sumatrensis)

Spesies ini kini hampir pupus akibat pemburuan untuk mendapatkan sumbunya dan kemusnahan habitat. Di anggarkan hanya terdapat 3 ekor badak sumbu di kawasan Hilir Kinabatangan.

c) Beruang (Helarcatos malayanus)

Haiwan ini makan buah-buahan, haiwan-haiwan kecil, anai-anai dan sarang lebah. Beruang ini jjarang dijumpai dan dipercayai bilangannya semakin berkurangan.

d) Lain-Lain Mamalia

Kelawar, rusa, napuh, kijang, pelanduk, tembadau, babi hutan, kucing liar, tupai, musang, tikus ambang bulan dan memerang antara mamalia lain yang boleh ditemui di Hilir Kinabatangan. Walau bagaimanapun, spesies-spesies mamalia ini juga dipercayai semakin berkurangan dan terancam akibat gangguan ekosistem dan kawasan habitat mereka terancam oleh kebakaran, pembalakan dan pemburuan. 

3.                  Spesies burung

Terdapat 198 spesies burung yang tinggal di Hilir Kinabatangan. Bangau dan Pependang Timur sering dijumpai di kawasan tasik-tasik ladam. Enggang dan Helang adalah burung besar lain yang terdapat di kawasan hilir ini. Burung layang-layang bersarang putih (Collocalia fuciphagus) dan layang-layang bersarang hitam (Collocalia maximus) menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan di Hilir Kinabatangan. Sehingga 70 spesies burung mungkin ditemui dalam masa satu hari dengan berpandukan sebuah buku burung yang lengkap seperti ‘A Photographic Guide To The Birds Of Borneo’ (Davison & Chew, 1996).

4.                  Reptilia dan Amfibia

Crocodylus porosus yang terdapat di Hilir Kinabatangan adalah spesies buaya yang terbesar di dunia. Ular, kura-kura, tuntung air tawar, biawak dan pelbagai spesies amfibia menghuni kawasan Hilir Kinabatangan.

5.                   Hidupan air

Tasik dan sungai di dataran banjir Kinabatangan kaya dengan hidupan akuatik. Sehingga sekarang, lebih kurang 90 spesies ikan telah direkod dari kawasan ini. Antara spesies akuatiknya ialah ikan pari, ikan ‘sawmill’ air tawar dan ikan lumba-lumba Irrawaddy yang terancam masih terdapat di Hilir Kinabatangan. Udang air tawar juga banyak ditemui di Sungai Kinabatangan.

Ciri-ciri Eko-pelancongan (Pelancongan berasaskan alam semulajadi yang bertanggungjawab)

  • Melibatkan perjalanan ke kawasan-kawasan yang tidak terusik untuk menghayati ciri-ciri semula jadi dan kebudayaannya;

  • Melibatkan kesan lawatan yang minimum terhadap persekitaran semula jadi dan sosial;

  • Menggalakkan dan menyokong usaha-usaha pemuliharaan di kawasan yang dikunjungi;

  • Menyediakan peluang-peluang penglibatan yang berfaedah kepada masyarakat setempat.

Peranan Pelawat: Kod Kesan Minimum Ke atas Alam Sekitar dan Sokongan Kepada Usaha Pemuliharaan

  • Di kawasan-kawasan semula jadi terdapat banyak hidupan liar (haiwan dan tumbuhan) yang jarang ditemui dan terancam. Jangan cederakan, ganggu atau ambil hidupan liar ini.
  • Jangan galakkan perniagaan bagi tumbuhan atau haiwan, atau barangan yang dihasilkan daripada sumber-sumber semula jadi yang terancam.
  • Apabila berjalan, gunakan laluan-laluan yang telah ditetapkan dan ikut pemandu pelancong.
  • Apabila berhampiran dengan haiwan, elakkan daripada membuat bising atau pergerakan yang berlebihan, atau melakukan sesuatu yang mengganggu mereka. Menggunakan teropong adalah lebih baik daripada menghampiri mereka.
  • Pembuangan sampah adalah satu masalah utama di kawasan –kawasan semula jadi. Elakkan daripada membawa dan menggunakan bahan-bahan bungkusan yang berlebihan. Bawa pulang sebarang sampah yang dibawa masuk. Beri sokongan atau galakkan usaha-usaha kitar semula dan pengkomposan di kawasan-kawasan ini.Gunakan sabun atau syampu yang memberi kesan minima kepada alam sekitar.
  • Hormatilah amalan-amalan dan hasrat penduduk setempat. Kebanyakan penduduk kampung setempat menggunakan sungai untuk mandi dan membasuh. Jangan ganggu atau ambil gambar mereka semasa mereka melakukan kegiatan-kegiatan tersebut.
  • Sebelum mengambil gambar penduduk setempat, mintalah kebenaran terlebih dahulu dan hormati kehendak mereka jika permintaan ditolak.
  • Hormatilah tempat-tempat ibadah dan artifak-artifak bersejarah. Jangan rosakkan kawasan-kawasan ini atau mengambil barang-barang darinya.
  • Seboleh-bolehnya cuba gunakan kemudahan dan barangan setempat. Bayarlah harga yang berpatutan untuk segala barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh penduduk setempat.

Peranan Pengusaha Eko-Pelancongan

Garis panduan berikut pula adalah diterima pakai untuk industri eko-pelancongan dan peserta di dalam industri ini.

1.         Kepekaan kepada alam sekitar

  • Semasa pembinaan rumah-rumah penginapan dan lain-lain tempat penginapan, perkara-perkara berikut hendaklah dipertimbangkan:
  • Bangunan-bangunan yang peka kepada alam sekitar dan dibina dengan kerosakan minimum kepada kawasan persekitaran serta penggunaan bahan-bahan tempatan yang menjimatkan.
  • Bangunan-bangunan haruslah tidak menonjol serta dibina mengikut skala yang berpatutan dengan persekitaran. Ia sepatutnya tidak melebihi ketinggian silara pokok.
  • Motif-motif corak kebudayaan yang sesuai haruslah digabungkan ke dalam seni bina dan hiasan dalaman.
  • Gunakan peralatan atau prosedur yang menjimatkan tenaga dan amalkan penggunaan sumber-sumber tenaga yang boleh dikitarkan.
  • Asingkan penjana kuasa dan peralatan yang berbunyi bising atau mencemarkan.

2.            Pengurusan sampah

  • Sisa-sisa pepejal dan organik haruslah dirawat dan dibuang dengan selamat.
  • Botol, tin minuman dan kertas hendaklah dihantar untuk dikitar semula.
  • Pengkomposan dan lain-lain teknik harus digunakan untuk mengurangkan sisa-sisa organik.
  • Kurangkan penggunaan bahan-bahan yang diperbuat dari sumber-sumber yang tidak boleh dibaharui (non-renewable-resource) seperti styroform dan botol-botol plastik.

3.            Kepekaan kepada hidupan liar

  • Pelancong haruslah diberitahu tentang tingkah laku yang sesuai, peraturan-peraturan kerajaan dan garis-garis panduan untuk melindungi flora, fauna dan habitat semulajadi, di kawasan-kawasan hidupan liar dan lain-lain tempat yang sensitive sebelum permulaan lawatan.
  • Pastikan kawasan tidak terlalu sesak ketika memerhatikan hidupan liar. Jarak yang sesuai harus dijaga supaya tidak mengganggu haiwan-haiwan berkenaan.
  • Gunakan enjin-enjin bot yang senyap dan tidak mencemarkan dan matikan enjin apabila menghampiri hidupan-hidupan liar.
  • Jangan menangkap atau mengurung sebarang haiwan yang dipamerkan.
  • Para pelancong dinasihatkan supaya tidak mengumpul cenderamata secara langsung dari kawasan-kawasan semulajadinya.

4.            Pendidikan alam sekitar.

  • Maklumat yang tepat tentang kawasan serta tarikan-tarikannya diberi tanpa menimbulkan jangkaan yang tidak realistik untuk pelancong.
  • Tafsiran-tafsiran yang terbaik diberi kepada pelancong bagi tempat berkenaan.
  • Peluang yang cukup diberi kepada pelancong untuk mempelajari alam sekitar melalui bahan-bahan pendidikan, buku, gambar dan persembahan.

5.            Penglibatan masyarakat setempat

  • Seberapa banyak yang boleh barangan dibeli setempat dan langkah-langkah diambil untuk memupuk hubungan yang baik dengan masyarakat setempat.
  • Peluang-peluang pekerjaan diwujudkan untuk penduduk setempat.
  • Program-program latihan dianjurkan untuk meningkatkan kebolehan-kebolehan kakitangan setempat. Penjualan barangan kraftangan dan cenderamata daripada bahan-bahan semulajadi yang boleh dibaharui oleh penduduk setempat digalakkan.
  • Projek-projek yang mendatangkan faedah kepada masyarakat setempat dilaksanakan melalui hasil-hasil sumbangan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

Kembali ke atas

 

Laman utama | Organisasi | Profil Daerah | Pelan Pembangunan | Aktiviti | Pelancongan | Komen dan cadangan

 

Pihak kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai laman ini? Sila e-mel kepada abmanaf@sabah.gov.my    

 
Semua isi kandungan dalam laman ini adalah hakcipta terpelihara © PDKTN
PENAFIAN: Pentadbir dan operator laman web ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam laman web ini.