Pikacho POKEMON: Dr. Yusof al-Qardhawi Mengharamkannya
         ----------------------------------------------------------------
 Laman web al-Jazera:  (http://www.aljazeera.net/art_culture/2001/4/4-9-1.htm) menyebutkan bahawa Dr. Yusof al-Qardhawi mengharamkan siri kartun Jepun popular Pokemon, samada filem bersiri ataupun permainannya. Katanya, fatwa ini adalah berasaskan kepada “untuk memelihara pemikiran, akidah dan akhlak anak-anak kita”.

Al-Qardhawi menjelaskan bahawa fatwa pengharamannya ini adalah ekoran dari pro dan kontra yang berlaku di kalangan masyarakat di sekitar apakah ia halal ataupun haram. Menurutnya lagi, “ramai yang bertanya kepada saya mengenainya oleh kalangan ibubapa yang mengambil berat tentang perkembangan anak-anak mereka agar mengikut acuan Islam yang benar. Di mana di dalam suasana itu akidah mereka selamat. Ibadah mereka sah. Jiwa mereka bersih. Akhlak mereka tidak menyimpang.”

Al-Qardhawi menegaskan, bahawa fatwanya itu bersandarkan kepada pendapat para pakar dan pemikir di kalangan muslim yang kuat agamanya yang tahu selok-belok dunia seni, drama dan seumpamanya. Katanya, seorang ahli feqh tidak boleh menangguhkan fatwanya dalam kes-kes seperti ini sebelum dia tahu apakah ia sebenarnya. “Hukum ke atas sesuatu adalah cabang dari gambaran mengenainya. Para fuqahak biasanya tidak mengetahui perkara-perkara seperti ini, kerana mereka (mungkin) tidak  menonton drama bersiri atau bermain permainan (games), lebih-lebih lagi yang dibuat khusus untuk kanak-kanak.”

Al-Qardhawi menggariskan 5 faktor pengharaman berkenaan:
1. Boleh merosakkan akidah di mana pada siri Pokemon dimasukkan unsur-unsur teori evolusi Darwin, iaitu berlakunya proses dan perkembangan makhluk di dunia ini dari yang ada sekarang kepada makhluk yang lebih kuat.

2. Merosakkan akal pemikiran kanak-kanak. Akan tumbuh di dalam pemikiran mereka dongeng-dongeng dan khayalan-khayalan yang tidak berasas samasekali. Begitu juga, masuk ke dalam pemikiran-pemikiran mereka perkara-perkara yang mencarik adat yang bertentangan dengan sunatullah di atas mukabumi ini. Dapat dilihat dalam siri ini bagaimana Pokemon mengeluarkan sesuatu yang pelik dan ajaib yang tidak ada asasnya, samada menurut akal ataupun wahyu.

3. Siri Pokemon itu dapat merosakkan akhlak kanak-kanak dan hubungan baik antara mereka dan masyarakat di sekelilingnya. Di mana dari sudut ini wujud juga unsur-unsur pemikiran Darwin, iaitu bertempur.. Dan yang kuat akan terus kekal hidup. Siri Pokemon ini mengajak kepada pertempuran, keganasan dan pembunuhan yang berterusan antara makhluk-makhluk berkenaan.

4. Di sekitar permainan/games Pokemon pula, ia mengandungi unsur judi yang diharamkan oleh syarak.

5. Pengharaman Pokemon juga kerana di dalamnya mengandungi simbol bintang enam yang memang kita ketahui ia mempunyai hubungan dengan gerakan Yahudi Zionist dan Freemasonry. Ia adalah lambang negara yang telah dirampas dari tangan umat Islam yang diberi nama Israel.

Al-Qardhawi menyeru kepada kaum muslimin agar mempunyai produknya sendiri yang berasaskan kepada acuan akidah kita. Nilai kita. Warisan tradisi kita. Dan peradaban kita. Hendaklah tampil para karyawan, seniman, hartawan dan sebagainya dari kalangan kita untuk melahirkan filem kartun yang membawa risalah kita, dari wataknya, kecenderungan keagamaannya dan tamadunnya, dengan bahasa yang mudah, dapat difahami serta mengasyikkan.

-------------------------------------------------
Sementara itu, menurut laman web yang sama:
(http://www.aljazeera.net/art_culture/2001/4/4-8-1.htm)
menyatakan bahawa Dubai telah mengharamkan permainan Pokemon atas alasan mengandungi unsur-unsur perjudian dan unsur-unsur teori evolusi Darwin yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Fatwa ini telah dikeluarkan oleh Lujnah Fatwa Daerah al-Awqaf al-Islamiah dan Lujnah Tertinggi Fatwa bersama lain-lain ulamak.

Sebelum itu, pada bulan March yang lalu kerajaan Arab Saudi melalui Lujnah Tertinggi Fatwanya telah mengharamkan permainan berkenaan dengan alasan ia mengandungi unsur judi dan lambang bintang enam yang memang ada kaitannya dengan Zionist. Di samping itu, menurut lujnah Fatwa berkenaan, ia juga mengandungi unsur-unsur teori Darwin.

Manakala jurucakap syarikat pengeluar produk ini menafikan bahawa Pokemon jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab bermakna dogeng si kecil yang liar. Kerana katanya Pokemon adalah kependekan dari perkataan Pocket Monster.

Oleh:
zain y.s
http://ahkam.hypermart.net