Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali ke

Tajuk  Menghasilkan Bunyi Bahasa
Penulis Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed
Keluaran Dewan Bahasa (Mac 2005)
Ruangan Agenda Bahasa (m/s: 36 - 40 )

 

Manusia menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. semua prang dapat berkomunikasi, 
baik dengan menggunakan bahasa pertuturan, bahasa lisan mahupun bahasa isyarat. 
CHE RABIAAH MOHAMED dan ABDULLAH YUSOFF membincangkan cara 
bunyi bahasa dihasilkan yang membolehkan manusia bertutur untuk berkomunikasi. 

** Dalam Dewan Bahasa keluaran Ogos 2002, penulis telah menulis berkaitan “Proses Pendengaran dan Implikasi Kecacatannya terhadap Berbahasa”. Rencana ini adalah kesinambungan daripada rencana tersebut yang mencuba berbincang berkaitan dengan penghasilan bunyi-bunyi bahasa. 

Pada umumnya bahasa dapat dikaji dalam tiga bentuk, iaitu dalam bentuk bahasa pertuturan (spoken language), bahasa tulisan (written language) dan bahasa isyarat (sign language). Ketiga-tiga bentuk bahasa tersebut mempunyai saluran penyampaian dan sistem yang berbeza. Bahasa pertuturan digunakan kebanyakan orang, yang mana didominasikan oleh system bunyi. Manakala bahasa tulisan pula berasakan kepada sistem tulisan satu-satu bahasa. Bahasa isyarat pula adalah bahasa yang berasaskan pada sistem bahasa isyarat berbentuk visual yang digunakan oleh masyarakat orang pekak. Perbincangan makalah ini memfokuskan kepada bahasa pertuturan.

Bahasa pertuturan yang kita gunakan terdiri daripada berbagai-bagai bunyi yang dihasilkan samada melalui  rongga mulut, rongga hidung atau gabungan bunyi-bunyi daripada rongga tersebut. Bunyi atau gabungan bunyi-bunyi yang dihasilkan melalui rongga tersebut akan membentuk perkataan. Perkataan tersebutlah yang kita namakan sebagai “bahasa pertuturan”. Hal ini kerana apabila bunyi-bunyi tersebut didengari, bunyi tersebut dapat difahami maknanya oleh mereka yang menggunakan bahasa yang sama. Umpamanya, bunyi perkataan buku dapat difahami hanya oleh pengguna rumpun bahasa Melayu dan bagi pengguna bahasa lain buku tidak membawa apa-apa makna kecuali perkataan buku secara kebetulan ada persamaan dengan bunyi sesuatu bahasa lain.

Sebaliknya, jika bunyi-bunyi yang dihasilkan tidak membentuk perkataan atau tidak menyamai mana-mana bahasa, bunyi tersebut tidak dianggap sebagai bunyi bahasa. Contohnya bunyi “berdehem”, “bersiul”, “batuk” dan “bebelan kanak-kanak”. Bunyi-bunyi tersebut dihasilkan melalui rongga mulut juga  tetapi tidak membawa apa-apa makna, kecuali, jika dilihat pada tatatingkat pragmatik, iaitu berdasarkan konteks sebenar sesuatu peristiwa bahasa. Umpamanya perbuatan “bersiul” yang dilakukan oleh jejaka kepada gadis mungkin bertujuan untuk menarik perhatian. Manakala, “berdehem” yang dilakukan oleh bapa kepada anak  boleh membawa makna suatu amaran.

Bagaimanakah bunyi-bunyi bahasa dihasilkan? Persoalan ini tidak membawa apa-apa makna bagi kebanyakan orang kerana bunyi bahasa yang kita hasilkan telah menjadi kelaziman dalam kehidupan seseorang. Maksudnya, kebolehan manusia berbahasa pada umumnya merupakan satu proses yang dianggap sejadi. Namun jika diamati, proses berbahasa amat kompleks untuk dihuraikan. Hal ini dapat diperhatikan bagaimana sukarnya memulihkan pertuturan dilakukan ke atas seseorang yang mengalami kecacatan pertuturan. 

Berdasarkan ilmu psikolinguistik, lazimnya, seseorang kanak-kanak yang normal pertumbuhan dan perkembangan mental dan fisikal, serta tidak ada kecacatan pada anatomi dan fisiologi pendengaran dan pertuturan akan dapat berbahasa dalam lingkungan umur dua  tahun. Namun begitu, terdapat sebilangan kanak-kanak yang melampaui umur tersebut tetapi mereka masih tidak dapat bertutur. Anatara mereka, seperti kanak-kanak pekak dan autisme. Ketidakmampuan kanak-kanak pekak bertutur berpunca dariopada masalah pendengaran, manakala kanak-kanak autisme berpunca daripada masalah tumpuan dan gangguan saraf otak. Terdapat juga sebilangan orang yang mengalami kecederaan di bahagaian otak yang terlibat dengan bahasa, yang menyebabkan mereka mengalami masalah berbahasa yang dikenali sebagai pengidap ‘afasia’.

  Bahagian-bahagian otak yang terlibat dengan bahasa antaranya ialah bahagian “Wernicke” dan “Broca” (Lihat Rajah 1).  Bahagian “Wernicke” berkaitan dengan kefahaman berbahasa  iaitu keupayaan seseorang memahami bahasa dan bahagia “Broca” berkaiatan dengan “pergerakan alat-alat pertuturan” atau motor berbahasa. Ada juga sebilangan kecil kanak-kanak yang lambat bertutur atau dikenali sebagai ‘delay in language acquisition’ yang sebabnya sukar dihuraikan. Apa-apa pun, bahasa sangat rapat hubungannya dengan ilmu pengetahuan. Natijahnya, ketidakmampuan berbahasa sama ada pada peringkat penghasilan (pertuturan) atau penerimaan (pemahaman) boleh membawa kesan ke atas penguasaan ilmu pengetahuan seseorang.

  Seperti yang telah dihuraikan, menghasilkan bunyi bahasa merupakan suatu proses yang kompleks, yang melibatkan beberapa anggota badan kita. Pada umumnya kajian dalam bidang Sains Pendengaran dan Pertuturan mengkategorikan kepada tiga bahagian. Yang pertama ialah bahagian berkaitan dengan otak, yang berfungsi menafsirkan makna bahasa dan mengarahkan pergerakkan alatan pertuturan. Yang kedua ialah bahagian berkaitan dengan rongga mulut dan hidung, yang  berfungsi membunyikan pelbagai bunyi bahasa, manakala yang ketiga ialah bahagian yang berkaitan dengan sistem pernafasan (paru-paru) yang berfungsi menghasilkan udara semasa penghembusan udara keluar daripada paru-paru bagi membunyikan bunyi-bunyi bahasa.

Berdasarkan kajian neurolinguistik, membunyikan satu-satu patah perkataan akan melibatkan beratus saraf, yang mana saraf-saraf berkenaan berkoodinasikan di antara satu dengan yang lain bagi menghasilkan bunyi yang dituturkan oleh seseorang. Gangguan pada  mana-mana saraf yang terlibat boleh membawa gangguan kepada alatan pertuturan. Akibatnya bunyi bahasa yang dihasilkan boleh mencacatkan atau menyusahkan pendengar untuk menafsirkannya.

 

Hal ini kerana alat-alat pertuturan tidak dapat digerakkan dan berfungsi dengan betul bagi membunyikan sesuatau fonem, yang boleh membawa perubahan pada bunyi bahasa yang hendak dituturkan. Sebutan akan menyelewang daripada apa yang sepatutnya dibunyikan dan keadaan ini akan membawa kesukaran untuk difahami pendengar.

 Antara saraf utama yang terlibat dalam menghasilkan pertuturan ialah Saraf Karnial ke V (Trigeminal Nerve ) yang berkaitan dengan pergerakan mulut dan rahang, Saraf Karnial ke X (Vagus Nerve) yang berkaitan otot-otot pita suara dan Saraf Karnial ke XII (Hypoglossal Nerve) yang berkaitan dengan pergerakan lidah. Kecacatan dalam mana-mana saraf ini boleh membawa kepada kecacatan pertuturan. Peranan saraf-saraf ini adalah untuk menggerakkan artikulator dan bahagian-bahagian yang terlibat dalam berbahasa bagi membolehkan bunyi-bunyi bahasa dihasilkan. Kegagalan menggerakkan artikolator mengakibatkan berlaku penyelewangan sebutan atau bunyi bahasa kerana “perkataan” tidak dapat diujarkan dengan betul. Manakala setiap artikulator sama ada secara sendirian atau gabungan berfungsi menerbitkan berbagai-bagai bunyi bahasa.

 Perbezaan di antara satu-satu bunyi yang dihasilkan dengan bunyi yang lain bergantung pula kepada keadaan bagaimana udara dalam paru-paru dihembus keluar. Cara alat artikulator digerakkan dan tempat sekatan udara berlaku semasa udara dihembus keluar daripada rongga mulut juga menentukan bentuk satu-satu bunyi. Seperti yang disebut sebelum ini, dalam proses menghasilkan bunyi bahasa, bahagian otak, mulut dan paru-paru adalah anatara bahagian yang terlibat dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa. (Rajah 2) 

Pembunyian bahasa bermula apabila udara daripada para-paru di hembus keluar. Semasa proses penghembusan, udara bergerak melalui saluran suara yang melibatkan rongga tekak, rongga mulut dan rongga hidung. Alatan dirongga tekak terdiri daripada glotis, pita suara dan epiglotis. Yang di rongga mulut pula ialah bibir, gigi, gusi, lelangit, lidah dan anak tekak. Manakala yang di saluran hidung didominan oleh rongga hidung. Hal ini bermakna, udara daripada paru-paru adalah elemen utama dalam berbahasa. Jika seseorang bermasalah dalam pernafasan seperti ‘sesak nafas”, “lelah” dan sesumpamanya akan sukar baginya untuk bertutur.  

Di samping itu, dua keadaan akan berlaku semasa proses pergerakan atau penghembusan udara, iaitu sama ada tersekat di mana-mana bahagian rongga atau tidak. Tempat-tempat yang lazim berlaku sekatan udara seperti di bibir, gigi, gusi, lelangit dan seumpamanya bagi menghasilkan bunyi yang berbeza-beza. Antara bentuk-bentuk bunyi bahasa ialah letupan, letusan, sengauan, geselan, geteran, sisian dan separuh vokal. Umpamanya, jika berlaku sekatan di bibir akan menghasilkan bunyi fonem [b, p] dan tersekat di gusi menghasilkan fonem [t, d]. Semasa proses tersebut, udara daripada paru-paru akan merempuh pita suara dan getaran pita suara ini penting untuk menentukan sama ada sesuatu bunyi yang dihasilkan bersuara atau tidak. Jika pita suara digetarkan dikenali “bunyi bersuara” dan jika sebaliknya “bunyi tidak bersuara”.

 Untuk mengenali yang mana satu bunyi bersuara dan bunyi tidak bersuara dapat kita lakukan dengan meletakkan tapak tangan di tekak sambil membunyikan bunyi “sssss…” dan bunyi “zzzzz…”, contohnya. Bunyi “sssss…” bukan bunyi bersuara kerana kita tidak berasa getaran berlaku dan bunyi “zzzzz…” adalah bunyi bersuara kerana ada getaran berlaku yang dapat dirasakan oleh tapak tangan kita. Perbuatan meletakkan tangan di tekak tersebut adalah panduan mudah untuk membezakan anatara bunyi bersuara dan tidak bersuara.

 Vokal dan konsonan adalah dua bentuk bunyi bahasa yang utama dalam mana-mana bahasa pertuturan. Udara yang keluar tanpa sebarang sekatan membunyikan bunyi “vokal”. Kesemua vokal dikenali sebagai bunyi bersuara kerana pita suara digetarkan semasa penghasilannya. Sebaliknya jika berlaku sekatan udara di mana-mana bahagian saluran suara diistilahkan sebagai “konsonan”. Bunyi konsonan boleh terdiri daripada bersuara dan tidak bersuara. Hal ini juga bergantung pada pita suara sama ada digetarkan atau tidak semasa proses penghasilannya.  Ada sesetengah bahasa membabitkan bunyi diftong, iaitu gabungan dua bunyi vokal yang disebut serentak dan berterusan.

 Oleh itu, jelaslah bahawa terdapat berbagai-bagai bunyi yang dapat dihasilkan melalui rongga mulut, yang kemudiannya dikenali sebagai bahasa pertuturan. Terdapat berbagai-bagai jenis bahasa dunia yang digunakan oleh masyarakat dunia. Ini menggambarkan bahawa rongga mulat dan hidung dapat menghasilkan pelbagai jenis bunyi yang dapat dilihat melalui bunyi-bunyi bahasa dunia, yang semuanya amat berbeza. Keupayaan rongga mulut menghasilkan bunyi-bunyi tersebut memperlihatkan betapa kompleks dan ajaibnya mekanisma yang terlibat semasa berbahasa.

 Untuk memudah mendiskripsikan bunyi-bunyi bahasa pertuturan yang digunakan oleh masyarakat dunia, satu sistem piawai yang dikenali “The International Phonetic Alphabet” (IPA) dicipta, yang terdiri daripada pelbagai simbol bagi melambangkan bunyi-bunyi berkenaan (Lihat Rajah 3). Terciptanya IPA memudahkan kajian dilakukan terhadap bahasa-bahasa pertuturan dunia dengan cara mendeskripsikan bunyi-bunyi menggunakan symbol-simbol IPA walaupun oleh mereka yang tidak memahami bahasa yang dikajinya.

 Merujuk pada bahasa Melayu, terdapat 24 bunyi asli bahasa Melayu yang terdiri daripada 18 konsonan dan 6 vokal. Manakala bahasa Inggeris pula mempunyai 24 konsonan dan 8 vokal.

Perkataan yang kita hasilkan semasa bercakap adalah gabungan daripada pelbagai bunyi. Umpamanya, kata “duta” adalah gabungan daripada bunyi [d,u,t,a] yang kita sebut dengan kadar kecepatan tertentu. Hasilnya kata “duta” dibunyikan. Hal ini dapat kita anologikan seperti konsep bagaimana filem tayangan gambar dihasilkan. Filem tersebut terdiri daripada kepingan-kepingan gambar dan apabila digerakan dengan kadar tertentu akan menghasilkan satu aksi. Begitulah juga kata yang kita hasilkan, yang terdiri daripada pelbagai bunyi. Oleh itu penghasilan bunyi bahasa yang kita anggap sebagai lazim merupakan satu proses yang komplek. Sekiranya berlaku ketidakabrnomalan pada saraf berkaitan atau/dan pada alat-alat artikulator, bunyi bahasa yang kita hasilkan sukar difahami, iaitu bunyinya tidak seragam bunyi milik sesuatu bahasa. Hal ini dapat kita dengar pada pertuturan oleh orang yang sumbing, pelat atau orang pekak, umpamanya.

Memahami cara satu-satu bunyi bahasa dihasilkan membantu kita menyebut satu-satu perkataan dengan betul dan tepat maknanya, lebih-lebih lagi jika kita praktikan semasa membaca Al’Quran yang kebanyakan sebutannya sangat asing dalam bunyi bahasa Melayu. Perubahan pada pembunyian boleh membawa perubahan makna, contohnya pada perkataan-perkataan di peringkat suku kata akhir bahasa Melayu berikut; bubu, bucu, buku, bulu, buru, busu.

Sesungguhnya berbahasa merupakan satu proses yang kompleks dan kebolehan kita membunyikan bunyi bahasa merupakan satu anugerah Allah tidak ternilai harganya. Lihatlah betapa sukarnya untuk kita memahami percakapan orang sumbing dan betapa terasing orang pekak yang tidak dapat berbahasa lisan yang mengakibatkan golongan ini ketinggalan dalam apa jua bidang berbanding dengan mereka yang boleh berbahasa lisan walaupun pelbagai usaha dilakukan masyarakat dunia bagi membolehkan meraka berbahasa.. Begitu juga dengan mereka yang mengalami lesi (luka) di bahagian tertentu otak yang ada kaitan dengan berbahasa seperti di bahagian Wernicke dan Broca. ‘Afasia’ adalah antara contoh keadaan seseorang yang mengalami gangguan berbahasa. Oleh itu, hargailah kebolehan kita berbahasa.

 

------TAMAT-------

Rajah 3: Simbol-simbol IPA: Simbol-simbol yang dicipta mampu untuk mendeskripsikan mana-mana bahasa dunia.

Rajah 2: Bahagian-bahagian terlibat dalam berbahasa: Udara sangat penting bagi menghasilkan pertuturan.

Rajah 1: Bahagian-bahagian otak yang terlibat dengan bahasa :Kecacatan pada mana-mana bahagian akan membawa masalah dalam pertuturan.

RAJAH 3

 

RAJAH 2

 

Bahagian paru-paru

 

Bahagian rongga mulut dan hidung

 

Bahagian otak

 

 

Rajah 1

 

 

 Kembali ke

© www.abdullahyusoff.cjb.net 2005