Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib  hari Khamis ( 04.11.1999 / 25 Rejab 1420 )
Tuntutan Berzikir 

Petikan dari  Pengajian  Hikmah Sebelum Ini.

Dengan melaksanakan Hak Kehambaan dan Hak Ketuhanan ini,  mudah-mudahan Allah akan membukakan/menghidupkan "Sir" mereka untuk meneroka lautan makrifatullah yang tiada terhad.

Keterangan  selanjutnya oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)

Dan kata mereka itu(Kaum Sufiah);  dan setengah daripada Khoshoih Zikir itu tiada berwaktu dengan suatu waktu.  Maka tiada jua daripada suatu waktu(setiap nafas) melainkan hamba itu dituntut padanya(berzikir).  Ada kalanya Wajib dan ada kalanya Sunat;  bersalahan dengan lainnya daripada segala Taat.

Keterangan Suluk

Pandangan Ahli-ahli Sufi di atas adalah sebagai ingin menegaskan bahawa sebahagian daripada ketentuan atau ketetapan (Khoshoih) Zikir itu ialah ianya dilakukan dengan tidak mengira waktu,  masa dan tempat.  Dengan kata lain amalan zikir di sisi mereka ialah satu amalan yang tetap dilakukan dalam apa jua situasi atau keadaan,  di mana jua tempat malah pada setiap nafas yang dihembus dan disedut menjadi tuntutan pada mereka untuk tidak melupai zikir.

Berbanding dengan lain-lain ibadat seperti Sholat, Puasa,  Zakat,  Haji dan lain-lain.  Amalan-amalan ini hanya dituntut dan boleh dilaksanakan pada waktu-waktu dan tempat-tempat yang tertentu sahaja.  Dan terdapat pada sesuatu waktu, sesuatu keadaan  atau sesuatu tempat seseorang itu tidak dituntut malah ditegahkan untuk melaksanakannya walaupun ianya kebaikan.  Ada tegah yang makruh dan ada tegah yang diharamkan.

Contohnya,  Sholat-sholat sunat ditegah melaksanakannya pada waktu-waktu tahrim.  Ada sholat-sholat Sunat itu pula hanya tertentu dan berkait dengan masa seperti Sunat Israk apabila sempurna matahari naik,  Sholat Dhuha apabila matahari tinggi segalah,  Sholat Witir hanya boleh dikerjakan di waktu akhir malam dan tidak dituntut pada waktu-waktu yang lain.  Qiyaslah sendiri dengan amal ibadat yang lain-lain seperti Haji,  Puasa dan sebagainya;  di mana kesimpulannya   amal ibadat tersebut hanya dituntut pada  masa atau tempat yang tertentu sahaja dan ditegah pada masa atau tempat yang lain.

Berbeza dengan zikir,  ianya boleh dilakukan bila-bila masa sahaja dan di mana-mana tempat sahaja. Di waktu tahrim boleh,  di dalam pasar boleh,  di tempat mencari rezeki boleh,  di khalayak ramai boleh,  bersunyi seorang diri boleh,  di tengah-tengah laut atau bandar boleh malah di dalam bilik air dan tandas pun boleh yakni dengan Zikir Sir atau Zikir Aqal.  Firman Allah

"Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang" [Al-Ahzab:41-42]

Orang-orang yang mengingati Allah sambil duduk atau berdiri atau dalam keadaan berbaring (semua keadaan) dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) "Ya Tuhan kami, tiada Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka. (Surah Al-Imran:191)

Begitulah Rasulullah (saw) pun sentiasa ingat Allah seperti didalam sabdanya

"Kedua mataku menidurkan aku tetapi hati ku tidak tidur"

"Sebutlah nama Tuhanmu Allah dan beribadahlah kepadaNya dengan penuh ketekunan".(Surah Muzzammil: 8)

Dengan kerana tuntutan inilah,  maka ramai di kalangan Penghulu Masyayeikh Thoriqat-thoriqat tertentu telah menyusun pelbagai zikir yang perlu(WAJIB) dilaksanakan oleh murid-murid bimbingan dengan kadar bilangan dan masa yang tertentu.  Pun demikian ada juga di kalangan mereka yang tidak mewajibkan amalan-amalan zikir tertentu dengan hanya menjadikan zikir-zikir tersebut sebagai sesuatu amalan-amalan sunat yang sentiasa dikerjakan seperti membaca doa-doa pada setiap perbuatannya seperti doa pada waktu makan,  pada waktu tidur dan sebagainya di samping mendawamkan zikir-zikir lidah atau Zikir Sir yang menjadi satu kebiasaan diri dan tabiat peribadinya sehingga tidak sunyi setiap nafas mereka melainkan dengan berzikir secara lisan atau berzikir Aqal atau berzikir Sir atau berzikir anggota lahir mereka dengan amal kebajikan yang sejalan dengan kemuliaan syarak Rasulullah SAW..

Keterangan  selanjutnya oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)

Dan ceritara daripada Rasulullah SAW;  bahawasanya Sabdanya;

"Perbanyak oleh kamu akan Zikir hingga dikata kamu Majnun(Gila)".

Maka sayugianya bagi hamba itu bahawa membanyakkan daripada Zikir dalam tiap-tiap Halnya dan jangan meninggalkan dia selagi ada Aqal dan jikalau serta lalai sekalipun.  Maka meninggalkan itu terlebih sangat jahatnya daripada lalainya.

Keterangan Suluk

Istilah sayugia ini memberi dua pengertian iaitu;

Dengan ini jelaslah dari tuntutan wajib menghadirkan zikir dalam setiap hal bagi orang-orang sufi menunjukkan atau memberitahu  satu isyarat yang penting,  menyatakan satu makna yang besar yang menjadi dasar atau nadi perjalanan mereka.  ZIKIR dan BERZIKIR,  mendawamkan ZIKIR dan HIDUP DENGAN ZIKIR.  Zikirnya terpancar pada setiap anggota zhohirnya,  Zikirnya menjelma dalam tindak-tanduknya,  Zikirnya menghiasi dalam Syuhudnya  dan Zikirnya bersemadi pada rahsia ruhnya.   Isyarat ini boleh kita perolehan dari keterangan Tok Pulau Manis yang seterusnya;

Keterangan  selanjutnya oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)

Dan terkadang ada Zikir Lisan itu sebab bagi Hudur iaitu sifat segala Ulama dan terkadang ada Hudur itu akan sebab bagi Zikir Ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkur iaitu Martabat  segala orang yang Arif dan Muhaqiqin daripada Aulia Allah.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas menunjukkan kepada satu isyarat dengan menggunakan perkataan "terkadang".  Terkadang membawa kepada pengertian bahawa "tidak semestinya" atau "ianya bukan selalu begitu" atau lebih sesuai lagi sebagai "salah satu bahagian daripada suatu keseluruhan"  dengan maksud ianya bukan meliputi keseluruhan atau yang terbaiknya sebagai "salah satu jalan/thoriq" daripada jalan-jalan/thoriq-thoriq lain yang membawa seseorang untuk sampai kepada Allah(Washil ilaLlah).

Kadang-kadang seseorang itu boleh memanjat kepada Maqam yang menyamai hal-ahwal atau Sifat para Ulama.   Mereka ini ialah yang sentiasa mendawamkan Zikir Lisan sehingga akhirnya dengan tetap dan dawamnya tersebut menyebabkan datangnya Zikir serta Hudur(Zikir Qalbi atau Zikir Yaqzhoh).

Kadang-kadang pula dengan tetapnya hal Zikir Qalbi itu,  akan menjadikan seseorang itu ghaib dalam zikirnya atau "tidak dingat atau tidak dilihat/musyahadah dalam zikirnya melainkan Allah Taala" jua yang Wujud.  Inilah Zikir Dengan Mazkur(TuhanNya) yang menjadi  Martabat  segala orang yang Arif dan Muhaqiqin daripada Aulia Allah.

Ya Allah!!! Tuhan Yang Menzhohirkan Rahmat Kasih SayangNya pada hamba-hambanya terpilih.  Masukkan kami ke dalam golongan mereka yang Engkau himpunkan keredhoaanMu pada jiwa mereka.  Hamba ini terlalu Dhoif, Lemah, Jahil dan Papa.  LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH

Tanbih..

Selesai sudah kalam hikmah yang berkaitan dengan hal-ahwal zikir yang terkandung dalam tiga bicara sebelum ini.

Seterusnya sebagai mendatangkan Kalam Hikmahnya,  maka kata  Sheikh r.a (Muallif Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
 

Sebahagian  daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa

Bersambung dalam bicara yang berikutnya ......TANDA MATI HATI

.10.30pm  05.11.99/26 Rejab 1420

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH