Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam kali terakhir hari Khamis ( 12.02.1999/25 Syawal )
dikemaskini semula dengan sedikit bicara yang lebih halus pada
Pengajian semula pada Khamis 09.06/1999 dan 16.09.1999 /  06 Jamadil Akhir 1420
Kelebihan Zahid


Petikan dari  Pengajian Sebelum Ini.

Dan tiadalah jalan kepada mengenal dia(orangArif) melainkan dengan zhohir Asar(nyata bekas/kesan) makrifat atasnya dan iaitu ZAHID  dalam dunia.  Maka dengan demikian itu,  kata Maalif(  Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari).
 

Tiada sedikit amal yang zohir daripada hati orang yang zahid dan tiada banyak amal yang zohir daripada hati orang yang gemar akan dunia.

Keterangan Oleh Tok Pulau Manis

Tiadalah sedikit amal yang zohir daripada hati orang yang zahid dalam dunia kerana amalnya itu diterima kerana selamatnya daripada segala Afat (penyakit yang membinasakan dia)

Keterangan Suluk

Zahid mengikut guru Suluk ialah benci kepada tiap-tiap perkara yang lalai daripada Allah sebaliknya mahabbah(kasih/cinta) kepada Allah semata-mata. Adapun alamatnya ialah bersamaan di sisinya antara emas dan tanah dan serupa sahaja antara kaya dan miskin. Seorang yang zahid ialah seorang yang dingin dan sunyi hatinya daripada cenderung kepada sesuatu selain daripada Allah. Adapun makna dingin hati seperti yang diutarakan oleh Imam Ghazali ialah menghapuskann fikiran seseorang terhadap dunia dan memandangnya kotor, dan sangat mengingkarinya. Dan tidak tertinggal dalam hatinya untuk mengusahakan dan menginginkannya.

Mengikut maksud kalam hikmah di atas,  amalan yang terbit atau lahir dari hati seorang yang zahid ini,  akan diberikan balasan pahala yang tiada kehinggaanya di sisi Allah kerana telah selamat daripada semua jenis penyakit dan perosak amalan. Dalam erti kata yang lainnya amalan orang yang zahid ini menjejaki hakikat ikhlas yang di mana tiada dicampuri oleh sesuatu kecenderungan dan keinginan selain daripada untuk sampai kepada Allah. (Keterangan selanjutkan akan dibahaskan dalam perbincangan seterusnya.)

Berkata Pengarang Kitab Hikam

Dan maksud(tempat tilik) Allah Taala daripada segala hambanya itu ialah kepada hati hambanya seperti yang telah tersebut dalam hadis bahawasanya Allah Taala "Tiada menilik ia kepada segala rupa kamu dan hanyasanya menilik ia(Allah) kepada segala hati kamu" dan apabila telah sunyi hati itu daripada kasih kepada dunia maka diamalkan lawannya iaitu (mahabbah)yang bermaksud kasih dan cinta kepada Allah yang merupakan maqam tertinggi yang dianugerahkan bagi orang-orang Yang Washil ilaLah. Ini adalah kerana hati itu tiada sunyi ia daripada sesuatu dan lawannya. (sama ada zahid atau sesuatu selain Allah)

Dan kerana inilah firman Allah Taala bagi Nabi Daud Alaihissalam.

"Hai Daud jikalau ada engkau kasih akan daku maka keluarkan oleh mu akan kasih dunia daripada hatimu kerana kasih kepada Aku(Allah) dan kasih kepada dunia itu tiada boleh berhimpun keduanya dalam satu hati selama-lamanya".

Dan adalah amal yang sholeh selepas daripada Tauhid itu ialah zahid dan dengan dia(Zahid) terlebih besar kepada Allah Taala walaupun sedikit amal sekalipun kerana syaitan itu tiada boleh mengerasi baginya. Ini adalah kerana orang yang zahid itu dengan sendirnya menjauhkan syaitan daripada kekerasan(tipu daya syaitan) ke atasnya. Maka jadilah ia(tipu daya syaitan) yang memberi cedera dalam ikhlas dan khidmat(kehambaannya).

Dan lagi adalah orang yang zahid itu akan meninggalkan segala bahagian dunia daripada kebesaran dan harta dan martabat dan puji dan kesempurnaan. Maka jadilah ia hampir kepada berbahagia sejahtera(selamat/terhindar) daripada Ifah(penyakit-penyakit hati). Maka amalnya itu (dikira/nilai) amat banyak dan jikalau sedikit sekalipun dan pahalanya kepada Allah itu amat besar. Dan segala orang Roghib (gemar) pada dunia itu maka segala amalnya itu memberi cedera dalam ikhlas mereka itu dengan sebab gemar mereka itu pada dunia. Maka tiada diterima amal daripada mereka itu. Maka jadilah sedikit walaupun banyak daripada amal mereka itu kerana diperoleh kurang dalamnya.

Keterangan Suluk

Sifat utama orang yang zahid ialah semata-mata ikhlas dan taqarrub kepada Allah Taala.  Tidak ada tujuan ibadatnya kerana mengharapkan sesuatu keuntungan yang bangsa keduniaan  atau keakhiratan seperti pangkat, kedudukan, kesenangan,  harta waima pahala, maqam disisi Allah atau karamah(perkara-perkara yang mencarik adat seperti berjalan atas air atau melipatkan bumi dsb). Sesungguhnya berhajatnya hati atau tuju hati kepada perkara-perkara ini adalah penyakit-penyakit hati yang akan merosakkan kemurnian Ubudiyah dan seterusnya menggugurkan pahala amalan. Jika hati telah bersih dari kecenderungan kepada sesuatu selain Allah,  maka terselamatlah ia dari godaan dan tipudaya syaitan.  Ini adalah kerana jarum atau senjata utama syaitan dalam menyesatkan perjalanan hati seorang Salik itu ialah apabila ada "sesuatu kehendak lain" dalam amalan atau ibadat mereka.

Sebagai contohnya kita lihat perihal seorang yang mengajar ilmu agama yang mengharapkan sanjungan masyarakat atau sesuatu habuan yang berbentuk wang ringgit sebagai balasan penat lelahnya akan mudah mendapat serangan tipudaya iblis.  Syaitan akan menyemaikan sifat-sifat sombong dan bongkak kepada ulama tersebut di samping sifat-sifat riya dalam usaha untuk terhasilnya  maksud mendapat sanjungan masyarakat.  Cara tipuan dan penyakit ini sememangnya tersangat halus dan sukar dikesan.  Ulama tersebut akan mengucapkan sesuatu kalimah pengajaran yang boleh menarik perhatian orang lain,  mengkritik dengan bijak tetapi mengandungi keangkuhan pada pandangan-pandangan ulama lain dan memperelokkan dan menghiasi zhohir mereka dengan sifat yang lemah-lembut,  warak,  hebat dsb. Demikian juga jika diberi ganjaran upah atau elaun yang sedikit,  ulama-ulama ini akan tersinggung malahan cuba membanding-bandingkan pendapat orang lain yang lebih lumayan ganjarannya.  Mereka akan mengajar ugama pada tempat-tempat di mana mereka akan mendapat bayaran yang lebih dan dengan mmeninggalkan tempat-tempat yang kurang habuannya atau kurang sambutan orang yang datang.  Sifat-sifat yang roghib atau gemarkan dunia ini seterusnya akan membenihkan sifat-sifat syataniah yang lain yang akan mmerosakkan amalan mereka.  Alangkah rugi dan jahatnya mereka ini kerana telah menjadikan/menjual akhirat mereka untuk mencari dunia.  Sepatutnya usaha agama ini,  dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang upah atau maksud lain,  sebab kerja-kerja agama adalah kerja-kerja sabilillah untuk Allah semata-mata sebagaimana ulama-ulama terdahulu. Ini adalah satu contoh berkaitan dengan betapa tidak selamatnya dan betapa mudah berpenyakitnya hati yang gemar kepada dunia.  Walaupun banyak yang dilakukan/diusahakan namun ganjarannya adalah sedikit cuma jika dibandingkan dengan balasan Allah kepada mereka yang zahid dengan amalan mereka.

Dengan sebab itulah amalan orang yang zahid itu akan dikira berharga dan bernilai tinggi walaupun sedikit sahaja. Berlawanan dengan mereka yang ada tujuan keduniaan(selain dari Allah), amal mereka tidak ada nilai dan harga walaupun banyak dikerjakan.

Dari kerana inilah guru suluk telah memberi satu pesanan dan ingatan yang besar terutamanya pada murid-murid yang ingin menuntut ilmu.  Carilah guru-guru atau ulama yang mengajar secara ikhlas,  yang hanya mengajar kerana Allah dan dengan Allah kerana belajar dengan mereka ini akan membuahkan keberkatan di mana kita akan dapat memahami rahsia-rahsia ilmu tersebut di samping dapat mengamalkannya dengan mudah.  Berlainan jika menuntut ilmu dengan guru yang mengharapkan dunia,  kita sendiri akan rosak(terutamanya keruhanian kita) kerana menerima sesuatu daripada orang yang telah rosak dan berpenyakit;  jauh sekali untuk dapat mengamalkannya.

Berkata Pengarang Kitab Hikam

Dan sesungguhnya telah disifatkan Allah Taala bagi segala orang yang mukmin itu dengan banyak amal kerana mengandung akan dia daripada wujud ikhlas dan ketiadaan Riya Un Nas (buat kerana manusia) dan segala orang yang munafik itu dengan sedikit kerana yang mengandung atasnya daripada tiada ikhlas dan wujud Riya unNas.

Keterangan Suluk

Tersingkaplah sedikit rahsia bagaimana orang-orang mukmin mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda walaupun dengan amalannya yang sedikit. Seumpama sebiji sahaja pahalanya tetapi nilainya adalah berlian. Apa guna setimbun amal tetapi ianya adalah timbunan batu-batu biasa sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang ada Riya kepada manusia dan kepentingan-kepentingan lain.

Berkata Pengarang Kitab Hikam

Dan telah diceritakan oleh Sayyidi Syeih Abdullah Ibni Mas'ud RA. bahawasanya: "Dua rakaat daripada orang yang zahid yang alim itu terlebih baik daripada ibadat orang yang abid yang mujtahid(bersungguh-sungguh dengan ibadatnya" sehingga ke akhir zaman".

Dan kata Abu Muhammad Sahal RA. bahawasanya dikurniai orang yang zahid itu pahala segala orang yang (didapati oleh)alim dan segala orang yang abid kemudian dibahagikan atas segala mukmin pahala segala amalnya dan tiada dilihat dalam hari kiamat yang terlebih afdal daripada orang yang zahid yang alim lagi warak.

Dan kata Sheikh Abdullah Al-Kursi; telah mengadukan setengah manusia bagi seorang laki-laki daripada orang yang sholeh bahawasanya selalu berbuat ia akan amal kebajikan dan tiada dapat manis dalam hati. Maka katanya (Sheikh Abdullah Al-Kursi) Ini adalah kerana bahawasanya kepadamu ada anak iblis dalam hatimu iaitu dunia. Dan tidak dapat tidak bapanya(iblis) itu akan mengunjungi anaknya dalam rumahnya iaitu hatimu. dan tiada memberi bekas masuknya melainkan binasa.

Keterangan Suluk

Bila berpaling atau cenderung hati kepada dunia maka seseorang itu telah lalai dari mengingati kepada Allah. Di saat bila wajah dunia ini(dalam erti kata apa sahaja selain daripada Allah) tertancap dalam hati maka iblis yang sentiasa menanti-nanti peluang akan berjaya memasuki hati seterusnya menggoda dengan berbagai-bagai muslihat yang licik(nampak baik tetapi jahat). Apabila iblis menguasai, maka kesannya ialah memberi kebinasaan pada hati itu dengan menyuntik berbagai-bagai penyakit hati yang sentiasa berjangkit daripada suatu keinginan kepada keinginan yang menjauhkan hamba dari Allah.

Berkata Pengarang Kitab Hikam

Dan cerita daripada setengah sahabat RA. katanya telah kami ikut akan sekelian amal (yang dibuat oleh Rasul) maka tiada dilihat dalam dunia dan dalam akhirat yang terlebih baik daripada zahid dalam dunia.

Dan kata Sayyidi Abu Sulaiman Ad-Daroni RA. telah bertanya aku kepada Sayyidi Syekh Ma'aruf Al-Kharki daripada segala taat bagi Allah Taala dengan apa suatu yang dikira-kirakan mereka itu atas taatnya. Maka katanya dengan mengeluarkan dunia daripada hati mereka itu dan jikalau ada sesuatu daripada dunia dalam hati mereka itu maka tiadalah sah sujud bagi mereka itu.

Adalah demikian itu (buang dunia dalam hati) tiada dikata dengan mengeluarkan dunia daripada tangan mereka(harta yang mereka ada)itu kerana bahawasanya telah ada dunia(harta dan kebesaran)itu dalam tangan setengah orang yang telah suci hatinya seperti Nabi Daud dan Zulkarnain dan setengah sahabat dan yang tabie. Dan tiada berpaling(suka/cenderung) mereka itu(yang suci hati) daripada dunia; maka iaitu(zhohirnya nampak ada)dalam tangannya jua tiada dalam hati mereka itu dan alamatnya demikian itu bahawa tiada suka dengan wujudnya (dunia) dan tiada duka kerana ketiadaannya.

Keterangan Suluk.

Di sinilah diterangkan kekeliruan dan kejahilan manusia tentang hakikat zahid ini. Mereka menganggap bahawa untuk zuhud itu mereka perlu membuang semua harta benda dan kedudukan yang mereka ada. Fahaman ini adalah salah dan sesat kerana tempat yang perlu dizahidkan ialah di hati. Kurnia Allah harta atau kedudukan yang tinggi tidak perlu dibuang; cuma membuangnya dari kehendak dan cinta hati kepadanya. Dalam hal ini Imam Ghazali melalui kitabnnya Minhajul Abdidin menegaskan: "Banyak orang yang meninggalkan dunia pada lahirnya, padahal dalam hatinya sangat berkeinginan dan cinta pada dunia, malah hatinya tenggelam dalam pergelutan dan penderitaan yang sangat payah. Sedangkan soal zuhud terletak seluruhnya pada meniadakan keinginan dalam hati(tidak tergila-gila dan mabuk dengan dunia)".

Berkata Pengarang Kitab Hikam

Maka sesungguhnya zahid itu terlebih meliputi(umum) daripada wara' kerana bahawasanya wara' lagi(masih ada) tinggal(kehendak hati) setengahnya (kepada dunia) dan zahid itu putuslah sekeliannnya iaitu;

Zahid kepada orang yang Ahli Tahqiq kerana orang yang Ahli Tahqiq telah berpaling ia kepada(kecintaan kepada)Haq Taala dan

Zahid kepada Ahli Thoriq ialah berpaling daripada yang digemari daripada suatu(keinginan duniawi) kepada barang(amal/ibadat) yang terlebih baik (kholis)daripadanya. Dan

Zahid kepada orang yang Ahli Syarak ialah wajib zahid dalam segala yang haram dan sunat zahid dalam segala yang mubah (harus).

Keterangan Suluk

Teramat jauh bezanya orang yang mahir berkata-kata tentang zahid dengan orang yang zuhud adalah sifat hatinya. Dan tidaklah bersifat zuhud hati itu melainkan setelah mengenal(Arif) hati itu pada/tentang bahayanya dunia.

Sila ke sini untuk meneliti kupasan yang agak mendalam dalam bab Hakikat Zuhud pada pengajian semula Kalam Hikmah di atas

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar