Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Saya sedar selagi saya bersama sahabat saya takkan dapat cinta Allah, saya bosan pada ilmu&teori semata, saya ingin merasakan sendiri. Saya selalu terfikir "aku tahu tentang kehebatan Allah, kesempurnaanNya tapi mengapa masih banyak dosa yang dilakukan seolah tidak kenal tuhan... apa yaang dimaksudkan dengan kenal diri & tuhan,


Saya amat bersetuju dengan dapatan saudara bahawa ilmu dan teori semata-mata adalah hampa dan sia-sia.  Semata-mata cakap kosong,  seumpama pemidato yang pandai beretorik.  Apa yang penting ialah pengalaman keruhanian,  menghidupkannya dan memperkembangkannya dengan amalan-amalan yang menepati syariat,  thoriqat dan hakikat.  Ini adalah kerana dengan gabungan dan rangkaian yang tiga ini sahajalah yang akan mencetuskan makrifat.

Dengan kerana tidak mempraktikkan sedikit ilmu yang kita perolehi,  maka sesekali kita tidak akan dapat manfaat dan buah daripada ilmu tersebut.  Perlu saya tegaskan pada saudara,  walaupun ianya telah disentuh dalam beberapa bicara saya di webpage bahwa Ilmu Tasauf ini ialah satu Ilmu yang diasaskan dari gabungan Ilmu tentang cara-cara beramal dengan Ilmu-ilmu yang hasil dari amalan tersebut.  Jika semata-mata berteori dan tahu menghuraikan dengan panjang lebar sesuatu dapatan ilmu tetapi tanpa disertai dengan amalan, maka ianya telah terkeluar dari thoriq atau jalan tasauf.  Ini penting diingat kerana ramai yang berminat dengan tasauf ini,  sering keliru dengan kaedah dan pendekatan ini.

Nabi SAW. pernah bersabda yang bermaksud;

"Barangsiapa mengamalkan/mengerjakan apa-apa ilmu yang diketahuinya nescaya akan dipesakakan akan dia oleh Allah akan Ilmu yang tidak diketahuinya".

Inilah antara kunci Ilmu Keruhanian iaitu mengamalkan sesuatu yang diketahui.  Dengan itu,  kali ini saya rasa adalah lebih baik untuk saya memperkatakan satu contoh hal yang berkaitan dengan amalan-amalan asas kita dahulu sebelum kita memperlanjutkan kepada hal-hal yang tinggi.

Seorang ahli fekah yang belajar mengenai bab wudhu,  dari syarat-syarat sahnya,  rukun-rukunnya,  kesempurnaannya dan perkara-perkara yang membatalkannya,  perlu sekali mengamalkan/mengaplikasikan Ilmu Tauhid(Ilmu Usuluddin) semasa berwudhu,  demikian juga jangan sekali-kali lupa mengamalkan Ilmu Tasauf semasa berwudhu.  Saya akan tunjukkan contoh bagaimana ketiga-tiga ilmu ini boleh diamalkan serentak semasa kita berwudhu sekaligus menjadikan ianya sebagai wirid atau latihan untuk kita memperteguhkan ketiga-ketiga ilmu tadi.  Tanpa gabungan amalan ini,  jauh sekalilah kita akan dapat merasai sentuhan amalan-amalan yang difardukan atau sentuhan ilmu-ilmu yang ddiketahui.

Adapun hakikat niat wudhu itu adalah membawa kepada ketepatan makna hujung jatuh kepada;

Iaitu sebelum kita menunaikan sembahyang,  kita haruslah terlebih dahulu manafikan hak kita tetapi sebaliknya hendaklah mengisbabkan sepenuhnya hak itu kepada Allah semata-mta.  Ini adalah bersesuai dengan firman Allah di dalam surah Al-Qashash:88 yang bermaksud;

Tiada yang wujud hanya ZatNya semata-mata,  maka setiap sesuatu(yang zhohir) adalah terhapus(tiada sebenarnya) kecuali semua yang zhohir itu adalah wajahNya semata-mata.  Dialah yang benar-benar berhak dan kepadaNya haruslah dikembalikan.

Kita mengisbabkan

semuanya adalah hak Allah semata-mata dan bukan sekali-kali hak kita dan sesungguhnya konsep di atas inilah pengertian hakkat Wudhu yang sebenar pada pandangan Ahli Tasauf.

Di sini saudara boleh nampak,  bagaimana fekah diamalkan dengan wajah kita menggunakan air dan menyempurnakan rukun dan syaratnya kepada anggota wudhu yang wajib serta yang sunat.

Ilmu Usuluddin juga diamalkan di sini,  di mana kita telah mengisbabkan Sifat-sifat Maani yang tujuh yang wajib ada pada Allah.  (Saya ingin bertanya adakah saudara telahpun mahir dengan Ilmu Usuludddin ini sekadar boleh membezakan makna Allah dan makna ketuhanan serta maksud nafi dan isbab dalam kalimah syahadah serta memahami maksud iftiqor dan istigna' serta perkara-perkara yang melazimi kedua-duanya?)

Kenyataan Ilmu Hakikat yang perlu diamalkan semasa berwudhu ialah sebagaiaman berikut;

Adapun hakikat membasuh muka,  adalah membawa erti bahawa sebelum kita menunaikan sembahyang,  kita harus terlebih dahulu membersihkan atau membuang segala sifat-sifat bermuka-muka yang ada pada diri kita.  Kita harus membuang segala sifat takabur,  megah,  sombong,   kemuliaan,  kebesaran dan sebagainya pada diri kita sebelum dan ketika menunaikan sembahyang.  Ini membawa maksud bahawa semasa kita membasuh muka,  kita perlu menghadirkan pengertian hakikat pembersihan muka dan wajah kita daripada menilik keegoan diri kita.

Adapun hakikat membasuh tangan adalah membawa erti bahawa sebelum kita menunaikan sembahyang kita harus terlebih dahulu membersihkan atau membuangkan daripada diri kita segala sifat-sifat "aku berkuasa",  "aku orang kuat",  "aku orang besar" dan sebagainya pada diri kita sebelum dan ketika menunaikan sembahyang.  Sesungguhnya tangan yang dimaksudkan ialah adalah simbol kepada kuasa dan kekuatan seorang manusia.  Ini membawa maksud sekurang-kurangnya lima kali sehari kita sedang melatih diri dan membersihkan diri kita daripada dakwa-dakwaan yang menyabitkan diri kita berkuasa dalam bertindak dalam melakukan sesuatu perbuatan.

Adapun hakikat membasuh kepala adalah bermakna sebelum dan ketika menunaikan sembahyang,  kita harus membersihkan segala fikiran kita dengan sifat-sifat syirik dan mazmumah pada diri kita dan kita haruslah membersihkan segala fikiran kita dan tumpukan segala-galanya kepada Allah semata-mata.

Adapun yang dimaksudkan dengan membasuh kaki pada pengertian hakikat adalah bererti kita haruslah membetulkan jalan perjalanan kita hanya untuk satu tujuan iaitu Allah semata-mata.  Kita harus menghalakan cara perjalanan kita hanya kepada Allah semata-mata,  tidak lagi ke jalan-jalan lain,  sebelum dan ketika ketika menunaikan sembahyang.

Jika saudara faham akan makna,  tujuan dan hakikat wudhu ini,  maka suadara akan fahamlah akan maksud isyarat seorang ArifbiLlah yang pernah berkata;

"Sesungguhnya wudhu itu adalah perceraian,  dan sholat itu adalah penyatuan.  Orang yang tidak bercerai tidak akan dapat bersatu".(huraian lanjutnya Insya Allah di lain waktu yang sesuai)

Amalan wudhu ini bukanlah semata-mata boleh dipraktikkan semasa hendak sembahyang sahaja,  malah kita boleh qiyaskan pemahaman ini kepada gerak-kerja yang kita lakukan sepanjang hari.  Jika kita sering mendakwa atau merasakan atau suka diketahui diri kita banyak amal atau pandai atau banyak berjasa atau dihormati orang,  sebenarnya,  ruh kita telah dikotori dengan hadas.  Orang yang berhadas,  tidak layak untuk berada di majlis Tuhan.  Untuk kita kita perlu membersihkan anggapan kita,  pandangan kita dan kecenderungan kita dari hadas dan najis tersebut dengan air Istigfar dan membetulkan pandangan kita kepada perkara yang haq.  Ini pula satu hal lagi yang panjang huraiannya.   Saudara boleh mendapat petunjuk-petunjuk ini dari Pengajian Kitab Hikam yang saya layarkan secara mingguan hasil dari pengajian saya secara menadah Kitab tua ini di sebuah pondok tradisional.  Nasihat saya,  jangan miss untuk mendapat petunjuk bagaimana untuk membersihkan hati dan jiwa kita daripada kekotoran nafsu syhawat dan pengaruh basyariah di sana.  Mungkin ia boleh menjawab dan meleraikan teka-teki kenyataan saudara pada email "tapi mengapa masih banyak dosa yang dilakukan seolah tidak kenal tuhan".

Saudara,

Maafkan saya kerana terpaksa berbicara perkara-perkara yang asas dahulu.  Bukan apa..sekadar untuk mengingati diri sendiri dan sebagai menyatakan pesanan Abu Qasim Al-Qusyari r.a;

"Tiap-tiap syariat yang tiada dikuatkan dengan hakikat adalah dia tidak diterima.  Tiap-tiap hakikat yang tak diikatkan dengan syariat tiadalah berhasil.  Maka syariat itu mendirikan dengan barang yang disuruh,  sedangkan hakikat memandangkan kepada barang yang diqada dan qadar sama ada yang tersembunyi dan yang nyata".

Adakah saudara faham apa yang saya cuba nyatakan ini???
Harap dapat dimaklumi.

Allahu A'lam

Fakir Suluk