Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 24. 08. 2000 / 24Jamadil Awal 1421)
PEMBAHAGIAN WILAYAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan ketahui olehmu bahawasanya Wilayah itu dua perkara;

Maka yang pertama itu bagi segala orang yang Mujahadah dan yang khidmat;  dan yang kedua itu bagi segala orang yang Mahabbah dan Minnah(bangkit syukur kepada Allah).

Keterangan Suluk

Istilah Wilayah merupakan salah satu komponen di samping yang lain-lainnya yang bersangkutan dengan Ilmu dan hal-ahwal kaum Sufiah.  Pembahagian Wilayah kepada dua perkara di atas adalah merujuk kepada dua golongan/martabat yang sememangnya telah ditetapkan dan ditentuak oleh Allah Taala.  Ditetapkan dan ditentukan masing-masing mengikut takluk Ilmu Allah Yang Qadim sebelum daripada dizhohirkan mereka di alam ini.   Masing-masing golongan mempunyai peranan dan hal-ahwalnya  mengikut kententuan yang tersendiri.

Kepada inilah diisyaratkan Mualif(Sheikh Ibnu Athoillah As-Kandari ra) dengan katanya;
 
Bermula segala hamba itu atas dua bahagi. 
  • Satu kaum yang didirikan Haq Taala akan mereka itu berbuat khidmat akan Dia;  dan 
  • kedua kaum yang dituntut Haq Taala akan mereka itu mengasih Dia(Makrifat) 
Firman Allah;  "Tiap-tiap mereka itu kami tolong sekelian mereka itu;  dan adalah tolong akan sekelian mereka itu daripada Anugerah  Tuhanmu,  Ya Muhammad dan tiada ada anugerah TuhanMu tertegah.

Keterangan Suluk

Sebelum kita menjelujur pada keterangan dan huraian Tok Pulau Manis berkenaan dengan Kalam Hikmah di atas,  ada baik rasanya kita terlebih memahami akan dasar dan asas kepada pembahagian Wilayah ini.

Asas yang menjadi dasar pembahagian tersebut adalah berdasarkan adalah tolong akan sekelian mereka itu daripada Anugerah  Tuhanmu yang antara maksudnya telah ditentukan dan dikadarkan dari azali lagi menurut apa yang terpendam dalam takluk Ilmu Allah Yang Qadim.  Segala sesuatu yang terzhohir di alam ini tidak sedikitpun berubah atau lari dari ketentuan dan ketetapan Allah yang Qadim itu.  Termasuklah kadar rezeki dan kedudukan serta hal-ahwal hamba-hambanya.  Masing-masing ada habuannya dan kedudukan tempat tegaknya tersendiri.  Dan sememangnya tiada ada anugerah TuhanMu tertegah yakni kedudukan dan ketetapan untuk seseorang hamba itu tidak akan berubah-ubah lagi biarpun setinggi  mana cita-cita seorang hamba sekuat mana usaha untuk merubahnya.

Huraian dan Keterangan Kalam Hikmah Tok Pulau Manis

Maka yang satu kaum itu telah didirikan Ha Taala akan mereka itu bagi berbuat khidmat akan Dia hingga patut mereka itu SyurgaNya.  Dan mereka itulah segala orang yang Zahid dan segala orang Abid.

Keterangan Suluk

Dalam menyatakan Indahnya Manifestasi Jamal Tuhan dan betapa Agung KeesaanNya,  maka telah ditentu olehNya satu golongan hamba-hambanya untuk sentiasa Mengagungkan dan Memulia Zat Rabbul Jalil itu dengan dislutkan pakaian dan perhiasan hamba yang sentiasa berbuat khidmat kepadaNya.  Ditentukan mereka untuk sentiasa gemar dan berlazat-lazat dengan pelbagai amal-ibadat dan taat di samping ada pula yang sampai dingin hati kepada dunia,  bersifat zuhud dengannya dengan merasa kaya dengan Allah.  Mereka ini adalah golongan yang telah ditetapkan dan ditentukan untuk menjadi seorang yang Zahid dan orang yang Abid.  Mereka adalah golongan bertuah yang mendapat limpah anugerah persalinan Al-Khidmat ini sehingga melayakkan mereka untuk masuk ke Syurga Allah

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan yang satu kaum itu telah ditentukan Haq Taala akan mereka itu bagi mengasih akan Dia hingga patut mereka itu hampir akan Dia dan masuk HadratNya.  Dan mereka itulah segala orang yang Arif dan segala orang yang Ulama.

Keterangan Suluk

Manakala ada lagi satu golongan hambanya yang telah terpilih dari Azali lagi untuk menjadi kekasihNya,  yang mengasihi diriNya dengan rindu dendam dan asyik ma'syuk.  Hamba yang terpilih ini adalah mereka yang disimbahkan dengan MakrifatuLlah sehingga dikenalnya Allah dengan sebenar-benar kenal sehingga menenggelamkan mereka dalam lautan Kasih Sayang Allah.  Mereka itulah yang diumpamakan "orang istana" yang patut  untuk mendampingi TuhanNya dan layak untuk masuk ke HadratNya untuk mengenali(makrifat) antara yang haq dengan yang batil.  Mereka ini adalah golongan orang Arif dan Ulama Tauhid

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan sekelian mereka itu dalam taatnya.  Maka barangsiapa disyughulkan dengan ibadatnya,  maka iaitu dalam keredhoaanNya dan KurniaNya.  Dan barangsiapa dituntutkanNya dengan KasihNya,  maka iaitu dalam Fadhol AnugerahNya.

Keterangan Suluk

Adalah hal-keadaannya sekelian mereka itu yakni orang yang Zuhud dan Abid;  ArifbiLlah dan Ulama Tauhid sentiasa berada dan amal taatnya yang tersendiri.  Berbeza-beza antara satu sama lain mengikut bezanya golongan dan bahkan berbeza pula antara sesama satu golongan.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka inilah iktibar bagi tiap-tiap kadarnya tetapi orang yang Mahabbah dan Makrifat itu terlebih tinggi Maqamnya kerana bahawasanya Maqam ibadat itu bidayah dan Maqam Mahabbah itu Hidayah dan Maqam Makrifat itu Nihayah.

Keterangan Suluk

Maka keterangan di atas adalah satu wajah memperincikan bagi tiap-tiap kadar Iradat Tuhan Yang Qadim itu.  Ada yang jauh,  ada yang hampir,  ada yang di luar,  ada yang di dalam,  ada yang rendah dan ada yang tinggi.  Namun untuk semua maqam-maqam yang ditempatkan itu,  ditegaskan oleh aulia Allah ini bahawa Ahli Mahbbah dan Makrifat itu lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan ahli Maqam ibadat.  Ini adalah kerana mengikut pengkelasan para sufi,

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan jikalau engkau kehendaki[maka boleh] engkau kata Maqam Ibadat itu Maqam orang yang berkehendak dan Maqam Mahabbah itu Maqam orang yang Dikehendaki dan Maqam Makrifat itu orang yang sempurna daripada segala hambanya.

Keterangan Suluk

Berkenaan dengan berbezanya tingkatan maqam-maqam tersebut,  maka dengan lain perkataan atau lain fahaman bolehlah kita katakan bahawa;

Dan untuk lebih detail dan terperincinya berkenaan dengan kadar pembahagian maqam ini,  kita ikuti seterusnya............

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Keterangan Suluk

Adapun seseorang yang mengerjakan pelbagai wirid atau amalan-amalan am dan khususiyah dengan sentiasa menyempurnakan adab-adabnya dan berkeyakinan akan mendapat balasan dari Allah Taala adalah terdiri dari mereka yang bertujuan memaksudkan angan-angannya.  Kaum ini memutuskan segala padang,  hutan dan gua untuk Qiyamullail dan puasa di siang hari.  Mereka melakukan pelbagai ibadat dan khidmat semata-mata kerana Allah.   Sungguhpun,  mereka ingin agar terhasil beberapa faedah yang dicita-citakan oleh dirinya;

Adalah orang Maqam Zahid pula,  orang yang beruzlah mengasingkan diri dari manusia yang lalai di  samping menjauhkan diri daripada tipu daya dunia.  Tujuan mereka adalah meninggikan dan membulatkan hemahnya dengan TuhanNya semata-mata tanpa ada kecenderungan kepada yang lain.  Mereka akan melarikan diri daripada apa-apa sahaja yang menjadi kecenderungan nafsunya. Maqam seterusnya Mahabbah iaitu mereka yang melihat akan Dia(Allah) atas tiap-tiap sesuatu; yakni memandang dalam Musyahadah mereka bahawa Kehendak,  Kekuasaan,  dan Limpah Kurnia Kasih Sayang Allah Taala itu terdahulu daripada berhajatnya sesuatu kepadaNya. Dan orang yang Arif(Makrifat) itu orang yang memandang akan Dia(Allah) dalam tiap-tiap sesuatu; yakni mereka yang telah dipenuhi jiwa mereka dengan cahaya makrifat Allah yang membolehkan mereka untuk melihat Allah dalam tiap-tiap sesuatu.  Mereka adalah golongan terpilih yang tahu untuk meletakkan sesuatu perkara yang dilihat dan dirasa itu pada tempatnya.
Memandang Allah dalam tiap-tiap sesuatu bukanlah melenyapkan terus pandangan terhadap sesuatu sehingga segala-galanya adalah Allah.

Ada golongan ahli dakwa yang keliru di sini di mana apabila mereka ingin menunjukkan bahawa mereka adalah Ahli Makrifat lantas mereka akan berkata;

Adapun memandang Allah dalam sesuatu itu mewajibkan hukum farqi dan jami'. Mereka adalah golongan yang berada dan bercampur dengan manusia ramai,  memberi dan mengambil,  berurusan dengan mereka,  tetapi tidak pernah memandang kepada asbab,  ikhtiar dan kerenah.  Mereka arif kerena tahu meletakkan sesuatu itu pada tempat yang haq.

Dan orang yang Wasil itu orang yang telah fana ia dengan Dia(Allah) daripada tiap-tiap sesuatu.
Maqam yang terakhir sekali ialah yang telah sampai dan mencapai kepada hakikat "kehampiran" dengan Allah.  Seumpama seorang yang sebelum ini mengenali kekasihnya atau Rajanya melalui tanda-tanda dan cerita orang-orang yang hampir dengannya,  dan kini berhadapan dan berpandangan muka,  maka hilanglah segala pandangannya daripada tanda-tanda dan cerita-cerita tersebut dengan sebab asyik dan mabuk dengan wajah pujaannya.

Demikianlah kiasan bagi yang fana,  sehingga diri sendiri(diri yang memandang)pun hilang lenyap seumpama lenyapnya setitis air dalam sebuah lautan.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila memandang hamba itu kepada sendiri Haq Taala dengan Ia mendirikan itu,  maka ditegahkan demikian itu daripada menghinakan.   Dan serahkannya(hamba) pekerjaannya(hal-ahwal) bagiNya(Allah) Tadbir dan Iktiar(Pilihan).

Keterangan Suluk

Keterangan di atas adalah sebagai rumusan kepada huraian dan perbincangan yang telah dibuat sepanjang pengajian ini serta yang sebelumnya yang berkaitan dengan kalam hikmah

jangan engkau remehkan pemberian Allah(dapat mengekali wirid-wirid tersebut) kerana belum terlihat padanya tanda-tanda orang Arif atau Keindahan cinta pada Allah,  sebab sekiranya tidak ada WARID(Kurnia Allah),  nescaya tiada WIRID dari hamba tersebut.

Jika difahami maksud dan tujuan perbincangan di atas berkenaan pelbagai jenis Warid dan Wirid mengikut pembahagian Wilayah-Wilayah yang tertentu,  maka.... sewajar dan semestinyalah seorang yang tahu menjaga dan memelihara adab-adab dalam Ilmu kaun sufi  menjauhkan diri daripada berkecenderungan untuk membeza-bezakan dan meremeh-remehkan kedudukan orang lain.  Ini jahat adab namanya.  Jahat adab dengan TuhanNya.

Adalah tidak menjadi haknya untuk menentukan dan menilai serta membeza-membezakan yang itu kurang dan yang ini baik,  malah hendaklah difahami dan disedari bahawa sendiri Haq Taala dengan Ia mendirikan itu yakni bersendirian Allah dalam menentukan dan mengkadarkan rezeki dan kedudukan seseorang hamba tanpa sebarang asbab dan campurtangan pilihan hambanya;  maka jangan sekali-kali dihina-hinakan dan dilekeh-lekehkan ahli maqam lain.

Ingin ditegaskan lagi sekali....jangan dihinakan dan diperlekehkan jalan-jalan yang dilalui oleh orang lain hanya dengan sebab kerana  kita...
Ahli Ilmu yang asyik dan leka dengan penggalian ilmu
Ahli ibadat dan bermasghul dengan wirid dan taat
Ahli Thoriqat yang bersalsilahkan Masyayeikh yang Mursyid.

Ingatlah!  Fahamkanlah!  dan Sedarilah bahawa Allah itu dari dahulu lagi(A'yan Sabiyah) SendiriNya dalam menentukan dan mengkadarkan sesuatu itu.

Belajarlah dan belajarlah lagi terutamanya kaifiat-kaifiat seorang pengembara kerana Imam Ghazali pernah berpesan;

Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar,  banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya,  besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar
di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya,  sedikit teman dan penolongnya.

Sentiasaku ingatkan diri ini;

Samar di mana tempat celaka dan akan binasa
Samar di mana tempat celaka dan akan binasa
Samar di mana tempat celaka dan akan binasa

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Yazid r.a.;

Telah menyatakan Allah Subhanahuwa Taala atas hati segala kekasihNya.  Maka setengah mereka itu orang yang tiada patut ia bagi menanggung Makrifat,  maka disyughulkan mereka dengan ibadat.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Kadar Untuk Seorang Hamba

Insya Allah.....jika direzekikan lagi

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar