Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 17. 08. 2000 / 17 Jamadil Awal
1421)
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan setengah daripada
yang terlebih besar pekerjaan jahat adab itu [ialah] menceraikan(membeza-bezakan)
antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam) dengan sebab memandang
segala halnya. Maka kerana demikian berkata Mualif.........
Keterangan
Suluk
Keterangan di atas adalah pengakhir bicara yang bersangkutan dengan
kejahilan dan jahat adab seorang hamba atau seorang Salik yang telah dibincangkan
dalam pengajian sebelum ini. Jika dalam pengajian sebelum ini kita
didedahkan dengan antara jahil dan jahat adab seorang hamba seperti
-
Terpedayanya pada zhohir barang yang berlaku
atasnya daripada TolongNya dengan sangkaannya;
-
Baik sangkanya pada dirinya pada hal tasarufnya;
-
Menolong kesalahannya dengan membukakan pintu
ta'wil.
-
Diperdayakan dengan dia segala Wali akan segala
karamat dan tiada Makri di atas ini.
-
Berpaling aku atasnya(Allah) atas hukum
-
Cenderung ia kepada orang ahli dunia dan hampir
ia kepadanya dan bersahabat ia dengannya
maka keterangan yang berikutnya ialah mengetangahkan pula antara sebesar-besar
jahat adab di samping yang lain-lain itu ialah menceraikan
antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam)
yakni membeza-bezakan berkenaan dengan maqam-maqam dan ketetapan
ahli-ahli yang menduduki sesuatu maqam. Pandangan mereka yang membeza-bezakan
ketetapan ahli-ahli maqam ini adalah berdasarkan tilik mereka kepada berbezanya
hal-ahwal ahli-ahli Maqam tersebut. Seolah-seolah di sisi mereka;
-
Orang yang berupaya menembus pandangan kepada
perkara-perkara yang ghaib lebih tinggi kedudukannya daripada mereka yang
masih tidak terbuka sesuatu pada mereka;
-
Orang yang boleh membaca lintasan hati seorang
yang lain lebih tinggi kedudukannya daripada mereka yang masih terhijab
dengan alam benda itu,
-
Orang yang maqam zuhud lebih baik daripada
mereka yang abid yang asyik dengan ibadat mereka;
-
Dan berbagai-bagai lagi pandangan atau tilikan
mereka sehingga terluncur keluar antara kata-kata seperti berikut;
-
Dia tu bukan ada apa-apa, perkara-perkara
yang ghaibpun sedikitpun tidak tahu
-
Mana boleh dia seorang jadi seorang sufi,
sedangkan aku nampak beliau masih kalut dengan usaha kasab;
-
Dia tu asyik wirid sahaja bertahun-tahun,
sedangkan abuk makrifatpun tak ada kerana tak pernah dengarpun beliau bercakap
sesuatu mengenainya.
-
Tidak zhohir sepatahpun kalam kecintaannya
terhadap Allah.
Inilah antara kejahilan dan sebesar-besar jahat adab seorang salik yang
suka menilai seseorang itu sekadar kapada sesuatu yang istimewa dan karamat
sahaja sedangkan yang masih tidak zhohir tanda-tanda tersebut dianggap
sepi dan rendah sahaja.
Keterangan yang berkaitan dengan inilah yang menjadi sebahagian daripada
bicara dan perbincangan kalam hikmah Sheikh Ibnu Atoillah selanjutnya sebagaimana
yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis.............
Apabila telah engkau
lihat akan seorang hamba telah mendirikan Allah akan dia dengan mengerjakan
segala Aurad iaitu mendirikan segala amal dengan sekira-kira segala waktunya
dan segala halnya dan mengekalkan Allah akan dia atasnya serta berlanjutan
segala tolong seperti meluaskan rezekinya, maka jangan engkau hinakan
akan yang telah dianugerahkan oleh Tuhannya akan dia kerana bahawasanya
engkau itu tiada engkau lihat atasnya segala alamat segala orang yang Arif
dan tiada kebajikan segala orang yang kasih akan Allah. Maka jikalau
tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Wirid itu. |
Keterangan
Suluk
Untuk memudahkan kefahaman kita berkenaan kalam hikmah di atas,
tidak salah rasanya kita rumuskan dalam bahasa yang lebih mudah akan terjemahan
Tok Pulau Manis di atas sebagaimana berikut;
Jika kau melihat seorang yang ditetapkan oleh Allah dalam menjaga
wirid-wiridnya; dan sampai lama tidak juga menerima Kurnia(Keistimewaan)
dari Allah, maka jangan engkau remehkan pemberian Allah(dapat mengekali
wirid-wirid tersebut) kerana belum terlihat padanya tanda-tanda orang Arif
atau Keindahan cinta pada Allah, sebab sekiranya tidak ada WARID(Kurnia
Allah), nescaya tiada WIRID dari hamba tersebut.
Wah sekarang....kita sedang berdepan dengan satu bicara yang berkaitan
dengan rahsia Wirid dan Warid yang menjadi intipati Ilmu Kaum Sufi.
Yang dimaksudkan dengan wirid mereka ialah apa sahaja perbuatan/pekerjaan
yang ditujukan kerana Allah mengikut apa yang dituntut dan digalakkan oleh
syarak. Tidaklah ianya semata-mata ditujukan kepada mereka yang mengamalkan
zikir-zikir yang khususiyah dengan kadar dan bilangan yang tertentu atau
dengan tertib masa dan ketikanya. Tetapi bahkan, Wirid boleh
muncul dalam pelbagai wajah dan bentuk.
-
Mengekalkan sembahyang sunat di waktu siang atau
malam
-
Mengekali puasa pada umpamanya setiap hari Isnin
dan Khamis,
-
Mengekali membaca al-Qur'an
-
Mengekali bertasbih, berzikir, bertahmid
dan beristigfar pada waktu-waktu yang khusus atau di mana-mana sahaja
-
Mengekali menuntut ilmu akhirat,
-
Mengekali Mentelaah Kitab-kitab Ilmu
-
Mengekali Takafur dan Muhasabah
-
Mengekali membuat kebaikan dan kebajikan kepada
manusia lain seperti,
-
Suka membersihkan tandas dan kawasan surau tanpa
disuruh atau upahan
-
Membuang sampah dan sesuatu yang membahayakan
di jalan-jalan yang dilalui oleh orang ramai
-
Sedia menghulurkan bantuan tenaga dan fikiran
apabila dipinta;
-
Banyak memberi dan sedikit meminta;
-
dan pelbagai sifat-sifat baik perangai lain sebagaimana
yang tercermin pada diri orang-orang Sholeh, Aulia, Ambiya
dan Mursalin.
Adapan yang dikatakan Warid itu ialah sesuatu yang berupa bentuk limpah
kurnia Allah Taala yang dicampakkan ke dalam hati seorang hamba dengan
berbagai-bagai perasaan seperti;
-
suka dan seronok dalam berbuat ibadat, atau
-
merasai manis dan lazat untuk sentiasa beribadat atau
-
perasaan kecut atau takut dengan Kekuasaan Allah atau
-
diberikan kemudahan untuk memahami sesuatu Ilmu yang tinggi-tinggi dan
yang susah bagi kebanyakan orang, atau
-
didatangi perasaan Kasih dan Cinta kepada Allah yang amat sangat.
Inilah antara contoh-contoh rupa Warid yang jatuh ke atas hati seorang
hamba yang dikehendaki Allah. Banyak lagi contoh-contoh lain mengenai
Warid ini yang boleh anda dapati di bawah tajuk Warid
Makrifat Rabbaniyah
Jika kita telah benar-benar fahami apa yang dimaksudkan dengan Wirid
dan Warid ini, maka akan jelaslah pada kita bentuk hubungan antara
kedua-duanya dan faham lah kita berkenaan keterangan Maka
jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Wirid itu
yakni jika tidak ada limpah Kurnia Allah dengan pelbagai kecenderungan
rasa(Warid), maka tidak zhohirlah pelbagai hal-hal ibadat(Wirid)
dari seorang hamba.
Dengan Warid inilah timbulnya pelbagai hal dan maqam seseorang hamba
yang terjelma melalui Wirid-Wirid(Aurad) yang dikerjakan mereka.
-
Dan tidaklah semestinya Warid yang membolehkan
membukakan sesuatu ghaib sahaja semata-mata sebagai Warid yang tinggi dan
terpuji dan
-
tidaklah semestinya yang bisa mengetahui secara
terus apa-apa yang dijahilkan sahaja yang boleh diiktiraf sebagai seorang
yang ada Warid.
-
Demikian pulalah Warid itu semata-mata wujud
dengan lahirnya keramat dan pelbagai keistimewa yang mencarik adat pada
seorang hamba.
-
Tetapi bahkan ia boleh
muncul dan menjelma dalam pelbagai bentuk yang menjadikan ianya disebut
sebagai hal ataupun maqam.
Dengan ini seorang yang dapat mengistiqamahkan auradnya iaitu dengan mengekali
mengerjakan pelbagai amal ibadat dan kebaikan seperti sholat-sholat sunat,
berzikir, bertasbih, berselawat dan sebagainya nanti sehinggakan
amalan-amalan tersebut menjadi rutin dan sebagai satu kebiasaan dirinya
dengan diberikan keluasan rezeki sama ada dunia, atau dimudahkan
segala urusan akhirat mahupun ruhnya adalah seorang yang telah mendirikan
haq Allah yang terjelma melalui Wirid-wirid tersebut.
Orang yang begini
maka jangan engkau hinakan akan yang telah dianugerahkan oleh Tuhannya
akan dia yakni jangan diremehkan dan diperkecilkan Warid
Anugerah Allah ini. Jangan engkau hinakan mereka hanya kerana
-
bahawasanya engkau itu
tiada engkau lihat atasnya segala alamat segala orang yang Arif dan
-
tiada kebajikan segala
orang yang kasih akan Allah.
-
yakni jangan dihinakan mereka walaupun tidak zhohir dan ternyata tanda-tanda
orang-orang arif yang Ahli Makrifat, Musyahadah dan Mukasyafah.
Jangan direndahkan mereka walaupun,
-
Tidak tersohor namanya;
-
Tidak ramai pengikut-pengikutnya
-
Tidak punya milik
-
Tidak punya apa-apa keistimewaan yang nyata
-
Walaupun engkau melihat tidak zhohirnya tanda-tanda orang yang asyik ma'syuk
dengan Mahabbah Allah, jangan dilekehkan hal-ahwal mereka.
Jangan dihina walaupun mereka nampak;
-
bengis,
-
aktif,
-
sibuk dengan asbab.
Ini adalah kerana Maka
jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Warid itu
yakni jikalau tidak pelbagai limpah kurnia dari Allah Taala itu,
maka tidaklah mereka itu akan sibuk dengan urusan Wirid-wirid harian mereka
itu.
Tegasnya, apa yang lebih penting dan utama ialah mengistiqamahkan
sesuatu wirid itu, biarpun sekadar yang sedikit cuma. Maka
ingatlah wahai diriku, membeza-bezakan seorang itu dengan berdasarkan
ada tiadanya tanda-tanda orang arif atau yang sedang mabuk Fana adalah
setengah daripada jahat adab yang perlu dijauhi.
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Bermula segala
hamba Allah yang makhsus itu terbahagi atas dua bahagi;
-
Pertama, segala
orang yang Muqarrab(hampir) dan
-
Kedua, segala
orang yang Abrar(sentiasa buat amal dengan tertib dan teratur).
Keterangan
Suluk
Melanjutkan lagi huraian berkaitan hal-ahwal dan maqam-maqam yang terhasil
dari wujudnya Warid Ilahi di atas, maka hendaklah diketahui bahawa
segala hamba Allah yang khusus dan terpilih untuk mendapat menerima Warid
itu terbahagi kepada dua golongan yakni Muqarrab dan Abrar.
Maka segala orang
yang Muqarrab itu mereka itulah yang telah diambil(diangkat oleh Allah)
mereka itu daripada bahagian nafsu mereka itu dan daripada iradat(kehendak)
mereka itu dan mengerjakan mereka itu dalam mendirikan segala haq Tuhan
mereka itu padahal Ubudiyah bagiNya dan menuntut Kurnia padaNya.
Maka sekelian mereka itu lah segala orang Arif dan orang yang Kasih.
Maka adalah segala orang-orang Yang Muqarrab itu ialah satu golongan
hamba yang dipilih khusus oleh Allah Taala
-
sebagai seorang yang telah dibebaskan dari
rantai dan belenggu hawa nafsu;(yang
telah diambil(diangkat oleh Allah) mereka itu daripada bahagian nafsu mereka
itu)
-
sebagai seorang yang lepas bebas dari mengikut
kehendak diri dan pengaruh basyariyah (daripada
iradat(kehendak) mereka itu)
-
sebagai seorang yang yang sentiasa melaksanakan
kesempurnaan amal-ibadat yang zhohir dan batin
-
padahal dilaksanakan segala perintah dan
dijauhkan segala tegahan itu dengan semata-mata kerana melaksanakan Hak
Kehambaan bagi menyempurnakan Hak KetuhananNya dengan sentiasa mengharapkan
limpah kurnia dari Allah Taala kerana nyatanya dirinya Fakir, Hina,
Dhoif, Lemah, Jahil lagi Haqir.
Maka sekelian mereka yang bersifat seperti di atas adalah terdiri dari
golongan orang-orang Arif dan Yang Mahabbah kepada Allah Taala.
Dan segala orang
yang Abrar itu iaitu segala orang yang lagi tinggal serta bahagian nafsu
mereka itu dan iradat mereka itu dan mendatangkan mereka itu dalam segala
amal dan taat supaya dibalas mereka itu atasnya dengan meninggikan segala
darjat dalam segala kebajikan dan mereka itulah segala orang Zahid yang
'Abid.
Golongan yang kedua yakni yang digelar sebagai orang Abrar adalah mereka
dalam melaksanakan Hak Kehambaan;
-
masih cenderung kepada bahagian nafsu mereka;
-
masih cenderung untuk mengikut kehendak dan
pilihan diri
-
masih mengharapkan balasan dari amal-ibadat
dan taat mereka dengan
-
mengharapkan balasan darjat yang tinggi-tinggi
dan mulia dalam setiap kebajikan yang dilaksanakan.
-
Harapkan kedudukan yang tinggi
-
Harapkan sanjungan dan pujian manusia
-
Harapkan pengiktirafan sama ada di dunia
mahupun di akhirat.
Sifat dan peribadi sebegini adalah hal-ahwal golongan Abrar yang terdiri
daripada orang-orang Yang Zahid dan Yang Abid. Orang-orang Abrar
adalah mereka yang mengerjakan amal dengan tertib dan teratur secara rutin
dan berkekalan.
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan tiap-tiap
seorang daripada mereka itu dikurniai dalam Maqamnya yang dikehendaki daripada
mereka itu akan mendirikan pada segala haq Maqam mereka itu bersalah-salahan.
Keterangan
Suluk
Dengan huraian dan perbincangan yang telah dibuat di atas, maka
yang jelasnya bagi tiap-tiap hamba itu ada KurniaNya yang tersendiri.
Berbagai-bagai bentuk Kurnia ini menjadikan mereka berada pada Maqam-maqam
sebagaimana yang diKehendaki Allah. Maka berdirilah ahli-ahli Maqam
tersebut dengan menunaikan hal-ahwal, adab-adab dan hak-hak mengikut
kepelbagaian Maqam tersebut.
Untuk itu mengapa ada yang sampai tolol dan rakus sekali menghina-hina/melekeh-lekehkan
sebahagian mereka dan melebih-lebihkan sebahagian yang lain; sedangkan
itu adalah tanda-tanda yang menunjukkan betapa indah, betapa kaya,
betapa kreatifnya dan betapa berhikmahnya Pemerintahan Allah. Renungilah
firman Allah;
"Sesungguhnya
limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.
(Al-Imran: 73)
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang
berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur,
dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang
tidak berumpun; semuanya disiram dengan air
yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain
(pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang
yang (mahu) berfikir serta memahaminya.(Al-Rad:4)
Untuk itu janganlah dihinakan mereka sebagaimana yang ditegaskan lagi
sekali dari......
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila engkau
lihat seorang hamba
-
telah mendirikan
Allah akan dia dalam segala amal kebajikan
-
dan taat yang zhohir
-
dan mengekalkan segala
Aurad-aurad
-
dan ditolong dalam
demikian itu dengan TolongNya
-
dan dimudahkannya,
-
maka demikian itu
daripada Ikhtiar(Pilihan) Allah Taala baginya;
Maka jangan engkau
hinakan demikian itu kerana
-
tiada engkau lihat
atasnya alamat segala orang yang Arif daripada meninggalkan segala ikhtiarnya
-
dan tiada lepas daripada
segala nafsunya dan segala iradatnya
-
dan tiada[nyata)
kebajikan segala orang yang kasih daripada sangat kasihnya pada segala
keredhoan yang dikasih mereka itu
-
dan beroleh kekalnya
dan petunjuk antara kekasih mereka itu.
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka jikalau tiada
Warid dikeluarkan oleh Ilahi atasnya, nescaya tiada berdiri ia atasnya
dan Wiridnya(tidak akan zhohir amal taat itu). Maka iaitu tiada keluar
ia daripada daerah TolongNya dan Hithoh(lingkungan) PeliharaNya.
Keterangan
Suluk
Jika difahami intipati perbincangan dan huraian di atas, maka
jelaslah bagi kita seorang yang dapat mendirikan dan melaksanakan pelbagai
jenis Wirid secara rutin dan berkekalan adalah seorang yang telah mendapat
anugerah limpah kurnia Warid Ilahiyah. Ini adalah jika tiada Warid
itu, nescaya tidak akan zhohirlah wirid-wirid yang dikerjakan oleh
hamba itu.
Dengan itu adalah seseorang hamba itu akan sentiasa berada dalam daerah
lingkungan Pertolongan dan Pemeliharaan Allah Taala. Sesungguhnya
dalam apa jua jelmaan taat dan ibadat itu menunjukkan bahawa tidak sekali-kali
terkeluar seorang hamba itu daripada
daerah TolongNya dan Hithoh(lingkungan) PeliharaNya.
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan ketahui olehmu
bahawasanya Wilayah itu dua perkara;
Pertama,
Wilayah Umum dan
Kedua,
Wilayah Khusus.
Keterangan
Suluk
Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Pembahagian
Wilayah
Insya Allah.....jika direzekikan lagi
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|