Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
BICARA DARI SAUDARA HABIB
Assalamualaikum,
Saudara-saudara Ku,

Berlakulah kudrat dan iradatNya ke atas ku untuk membicarakan peningkatan makam demi makam yang selalu dikaitkan dengan perbuatan sholat. Perkara ini penting dinyatakan, agar ianya dapat mengelak kekeliruan bagi ku. Dan,  apa yang  paling utama ialah untuk menyempurnakan ilmuNya dengan ilmuNya melalui ilmuNya.  Tiada ketiga-tiga itu tiadalah aku berbicara di sini. Lantaran aku berada dilautan Lahaulawala....

Perbicaraan mengenainya telah diilhamkan oleh saudara Jamil. Oleh itu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih, kerana melaluinya dapatlah aku memunafaatkan Diriku. Yang ku cari satu,  yang dizahirkan . hanya Allah jua yang mengetahui.

Jadi sebaiknya aku nukilkan sekadar termampu.

Didalam merenung-renungkan perkara ini, ia menjadi tanda tanya bagi ku.  Dimanakah letaknya makam-makam ini? Dari catatan-catatan yang aku baca dapatlah aku fahamkan keempat-empat makam tersebut ada diluar dan ada didalam, semasa seseorang mendirikan sholat. Tidak perlulah bagi ku menghadirkan catatan-catatan tersebut. Dulu aku tidak memberatkan perkara-perkara seperti ini. Sekarang sudah berubah, kini diri ku terdedah kepada perbincangan-perbincangan. Aku rela, jika cara ini dapat menambahkan kematangan ku. Aku sebenarnya didalam menerima sesuatu ilmu apa yang lebih penting, ialah mengambil faham seseorang menjadikan faham diri ku pula. Ini
merupakan satu perkara penting yang perlu diperhatikan di dalam menuntut ilmu. Saudara Jamil telah
membukakan jalannya, tapi bagi ku itu belum cukup. Aku mahu lagi, minta ditambah. Jadi segala
pertanyaan-pertanyaan itu berbalik ke diri sendiri. Dalam merenungkan  perkara ini, satu detik, terpancarlah NurNya. Aku tersenyum. Satu jawapan dengan sandaran yang kuat terbit dari Diri ku.
Lantaran itu, aku bertanyakan soalan tersebut kepada saudara. Ketika itu aku ikhlas menyatakan kejahilan ku mengharapkan penjelasan dari mu.

Biarlah aku berterus terang di sini. Jawapan yang aku terima ialah:
Keempat-empat makam tersebut bukan terletak didalam sholat sebaliknya diluar
sholat. Oleh itu kepada saudara Jamil jika perkara yang saya perolehi ini tidak menepati ilmu
saudara, saya dengan jujur dan merendah diri menganjak saudara membincangnya dengan lebih lanjut. Saudara boleh menghurainya mengikut faham saudara,  kemudiannya akan saya jelas dari sudut ilmu yang dipancarkan kepada saya.

Makam-makam yang dimaksudkan itu tidak asing lagi bagi saudara-saudara ku.  Walaupun begitu biarlah aku mencatitnya satu persatu.

1. Makam Mi'raj
2. Makam Ihram
3. Makam Tabdul dan
4. Makam Munajat.

Aku tidak bermaksud membicarakan keempat-empat makam ini. Sungguh! Ianya telah dibicarakan oleh saudara ku Jamil, cuma beliau tidak membicaranya dari sudut perlakuan sholat, pengalaman beliau. Oleh itu izinkan pula aku menghuraikannya berdasarkan pengalaman dan ilmu ku. Sebelum itu perlu aku nyatakan di sini,  keempat-empat makam tersebut boleh dilihat dari dua sudut. Pertama.
Peningkatan dari satu makam ke satu makam, dan Kedua: Keempat-empat makam tersebut terhimpun didalam takbir ratulehram. Aku tidak bermaksud membincangkan kedua-duanya.

Apakah dia makam Mi'raj.

Saudara Jamil mencatatkan,

1. Mi'raj - ertinya iaitu nyata ia di atas suatu dan keluar ia tiap-tiap suatu. Maka apabila ia masuk daripada suatu yang lain, Mi'raj namanya. Seperti mana di dalam Hadis sabda Rasulullah SAW, bermaksud:

"Keluar daripada batang leher dan nyawa mu yakni keluar daripada halkum dan daripada suruh ku maka sampailah kamu kepadanya."

Adapun maksudnya yang sebenar-benar Mi'raj itu sudahlah berpindah-pindah ia. Daripada yang zahir kepada yang batin dan diri yang batin menghadapi akan rahsia Allah Ta'ala.

Seperti sabda Rasulullah SAW, bermaksud :

"Tiada wujud ku lagi melainkan sudah berpindah kepada wujud Allah."

Maka tiada sembah dan puji di dalam solat itu melainkan Allah semata-mata. Adapun yang menyembah itu roh, yang disembah itu Zat Allah Ta'ala. Maka nyatalah bukannya syariat yang menyembah. Tatkala semasa hamba yang berdiri itu, dalah pekerjaan syariat. Mustahil syariat boleh menyembah Tuhan, kerana syariat itu jisim yang kasar. Melainkan roh sahaja yang menyampai pekerjaan hamba kepada Tuhannya.

Di sini saya tidak bermaksud untuk membicaranya secara luas.  Saudara telah mengetahuinya melalui catatan-catatan pengalaman yang saya  bukukan. Pernah saya mencatatkan dulu pakaian sebelum sholat ku - api, angin, air, tanah. Sesudah itu pakaian tersebut ditukarkan dengan Allah,
Muhammad, Adam.  Sekarang pakaian yang dizhohirkan - Allah. Dengan satu kalimah yang
terpancar dari kalamNya, meliputi segala-gala. Perubahan dari satu peringkat ke satu peringkat bukanlah dibuat-buat, atau diajar oleh sesiapa. Sebaliknya apa yang ditunjukkan adalah nyata. Betapa indahnya ilmu yang diajarkanNya. Firman Allah: "Sesungguhnya manusia itu melalui tingkat demi tingkat dalam kehidupan" (Beginilah lebih kurang firman Allah yang pernah terbaca satu
ketika dahulu jika saudara mengetahui surah serta ayatnya harap dapat dimaklumkan kepada saya).
 

Perpindahan yang berlaku adalah dari pemakaian

API, ANGIN, AIR, TANAH  kepada  ALLAH, MUHAMMAD, ADAM  dan sekarang
ALLAH.

Tidakkah di sini tersirat maksud: "Memandang yang banyak kepada yang Satu".  Tetapi apa yang tersirat lebih jauh dari itu, iaitu mengembalikan diri kita kepada asal. Apa asal kita? Cukuplah aku katakan

"Inna lillah wa inna ilahirajiun"

Di sini terhimpun dua ilmu. Iaitu ilmu yang dinyatakan dengan kalam dan ilmu yang dilakukan dengan perbuatan. Seiring sejalan. Kebanyakkan bersua,  bertukar jalan. Mengapa begitu? Kerana tidak berjalan pada jalannya. Itu apa yang dizahirkan dari kalamNya, bagaimana pula dari segi perbuatanNya pula.

Ku petik lagi bicara saudara Jamil,

AL-MA'RIFATU SIRRI  Bermaksud : "Yang ma'rifat itu rahsiaku."

Bagaimana peningkatan ini berlaku dan apakah yang tersirat disebaliknya?  Sebaiknya aku meminjam kata-kata saudara Jamil.

"Aku sebenarnya ingin mengajak saudara berdua kepada teori dan praktikal di dalam sesuatu amal perbuatan itu mesti disahkan dan nyata ilmu tersebut oleh guru dan ada kebenarannya di sisi Allah Ta'ala."

Nampakkah saudara-saudara kepada perkara yang ingin saya nyatakan. Tidak lain sebenarnya Ilmulah yang mengesahkan Ilmu. Dalam hal ini mana duduknya guru. Guru sebagai pembimbing kepada mereka yang masih memerlukan bimbingan.  Dengan apa bimbingan diberi? Tidak lain jawabnya dengan ilmu juga. Jadi jika kita sampai pada satu tahap ilmu mengesahkan ilmu, tahulah saudara dimana duduknya ilmu tersebut.

Jika aku ingin mengambil jalan selamat, mudah, akan ku jawab:

Aku petik lagi kata-kata saudara Jamil.

"Pengalaman yang bagaimana??? Hanya diri saudara-saudara ku sendiri yang boleh menjawabnya. Bukan diri aku, aku hanya sekadar "MERIWAYATKAN" amanah Allah SWT!

Sabda Rasulullah SAW :

LA TASIHHU'L-SALATU ILLA BI'L-MA'RIFAH

Bermaksud : "Tiada sah solat melainkan dengan ma'rifat."

AL-MA'RIFATU SIRRI Bermaksud : "Yang ma'rifat itu rahsiaku."
 

Cuba pula kita lihat makam Me'raj dari sudut yang lain. Me'raj ertinya naik. Apakah yang dimaksudkan dengan naik? Terlalu banyak rahsianya. Tidak mampu  untuk aku menghuraikan.

Assalamualaikum,
Saudara-saudara Ku,

Saya rasa sebaiknya saya jelaskan perkara ini berdasarkan ilmu yang dihadirkan kepada saya. Sebenarnya dalam merenungkan masalah ini yang diilhamkan oleh saudara Jamil, secara tiba-tiba terpancarlah NurNya. Aku tersenyum. Satu jawapan dengan sandaran yang kuat terbit dari Diri ku.

Sebelumnya aku juga ada terbaca, dan apa yang dapat aku fahamkan ialah makam-makam ini terdapat di luar dan di dalam sholat. Tetapi jawapan yang dipancarkan kepada aku ialah: Makam-makam tersebut terletak diluar sholat.  Perkara ini pula aku rujuk kepada salah seorang rakan ku yang sealiran. Jawapan yang sama aku perolehi.

Oleh itu seeloknya saya terangkan perkara dari sudut sandaran yang dihadirkan kepada saya.

Sebelum membincangkannya, suka saya mengatakan bahawa bicara kita sebenarnya adalah diperingkat yang tinggi dan tak mungkin berpatah balik kebelakang.  Biarlah saya terus kepada maksudnya. Iaitu, sebaik saja kita mengikat takbir sesudah lafaz "Allahu Akbar", maka tetakala itu kita denganNya Sezat, Sesifat, Seasmak, Seafaal. Allah menyembah Allah, Allah memuji Allah. Dari
bicara-bicara saudara inilah juga yang hendak saudara maksudkan. Dalam hal ini, ilmu atau pengetahuan kita bertiga tidak bercanggah.

Menurut saudara, apa yang dapat saya fahamkan, lafaz takbir "Allahu Akbar" boleh dinyatakan seperti berikut:

"ALLAHU (Nama) -

Lenyapkan diri yang zahir kepada diri yang batin dan hapuskan diri yang zahir kepada wujud Allah.

AKBAR (Sifat) -

Maka ketika itu tiadalah yang maujud hanyalah Zat Allah, Sifat Allah dan Af'al Allah (Inilah yang dikatakan Maqam Mi'raj).

Dan tatkala mengata "Akbar" itu Allah Ta'ala sudah meliputi sekalian alam.

Seperti sabda Rasulullah SAW, bermaksud :

"Tiada wujud ku lagi melainkan sudah berpindah kepada wujud Allah."

Maka tiada sembah dan puji di dalam solat itu melainkan Allah
semata-mata....

Kalau hendak dihimpun perkara-perkara yang berkaitan dengannya, banyak, dan perkara-perkara ini telahpun saudara sentuh. Jadi sandaran yang dihadirkan kepada saya ialah:

Jika didalam sholat, segala-galanya Dia, dimana pula letaknya makam-makam tersebut? Jika Dia berhajat kepada makam ini, menunjukkan Dia bersifat lemah. Sebaliknya jika kita masih berada dalam makam-makam tersebut, setelah kita tahu segala-galanya Dia, perbuatan atau ilmu kita adalah batal.

Kalau sudah segala-galanya Dia, perlukah lagi makam-makam ini? Tidakkah ini menunjukkan kita berbalik kebelakang?

Kalau kita dengannya Sezat, Sesifat, Seasmak, Seafaal, berkehendakkah kita lagi dengan makam-makam tersebut? Seiring sejalan, tetapi selalu terjadi bertukar jalan.

Kalau kita Dia, Dia kita, berhajatkah Dia kepada makam-makam tersebut.

Kalau hamba telah bertemu dengan tuhannya perlukah makam-makam ini. Bagi saya sebelum bertemu, ya. Iaitu sebelum memulakan sholat.

Makam-makam ini untuk kita yang bersifat kehambaan dan bukan untuk Dia, yang bersifat ketuhanan. Dimana letaknya sifat kehambaan kita? Tidak lain ialah diluar sholat. Dia tidak berhajat kepada yang lain.  Tidakkah Dia lemah jika berhajat kepada makam-makam tersebut. Kecuali jika kita masih meletakkan sholat kita sama seperti orang-orang syariat.

Jadi saya berani mengatakan sesiapa yang memegang hakikat bahawa makam-makam tersebut berada didalam sholat tanpa diterangkan jalannya, bagi saya kata-kata tersebut adalah batal.  Setiap ilmu yang dibicarakan didalam kitab-kitab masih perlu diperbincangkan dari berbagai sudut. Dan apabila kita menemui sesuatu yang baru dari itu, maka itulah yang sebenar-benarnya. Bermakna kita telah melangkah satu tapak kehadapan.

Walaupun begitu saya bersetuju dengan pandangan saudara iaitu:

"Sekiranya apa yang saudara-saudaraku menjumpai ilmu-ilmu yang aku utarakan ini menyamai dengan kitab-kitab hakikat lain, ketahuilah bahawa ilmu hakikat itu tidak jauh bezanya di dalam pendekatan pengabdian diri amalan ke atas-Nya. Kalau dibezakannya pun itu dari segi tafsiran-tafsiran batin yang tujuh puluh (tersurat) itu seperti yang sudah aku nyatakan."

Assalamualaikum,
Saudara-saudara Ku,

Memang seronok memuzakarahkan hal-hal sholat ini. Bagi saya ianya terlalu indah. Sungguh indah dan terlalu nekmatnya sholat itu. Tidak dapat saya lukiskan keindahannya atau menyatakan kenekmatannya melainkan kita perlu melalui pengalaman tersebut. Jika kita sampai keperingkat ini, tidak mungkin kita mempermudahkan sholat itu. Dan tidak mungkin juga kita membahaskannya
kepada mereka yang tidak mengerti, kalau sekadar hendak menunjuk2 kan ilmu kita. Diam lebih selamat, sebab itulah aku tidak pandai membahaskan ilmu-ilmu ini, ilmu untuk itu aku tidak ada. Aku sekadar mengamalkan apa yang aku tahu. Sesudah itu ia berkembang dengan sendirinya. Keindahan yang terdapat dalam sholat tidak mampu aku katakan. Sehingga pada satu tahap kita tahu sama tahu, tetapi tidak bisa dibicarakan dengan kata-kata. Hanya mampu diisyaratkan dengan senyuman dibibir.

Dari pengalaman yang lalu-lalu, saya berpendapat peringkat yang terendah yang perlu dilalui seseorang didalam perbuatan sholat ialah melalui peristiwa dimana Allah SWT memasukkan rohNya kedalam lembaga Nabi Allah Adam. Tetakala roh tersebut sampai ke paras dada, maka tergesa-gesalah Nabi Allah Adam bangun. Allah seterusnya berfirman: Sesungguhnya manusia itu
tergesa-gesa. Inilah peringkat terendah yang aku lalui sebelum dibawa ketingkat yang lebih tinggi. Seterusnya di dalam sholat, kita akan melalui peringkat demi peringkat. Perubahan ini dapat kita sedari. Selalunya peringkat-peringkat yang telah dilalui ianya tidak akan berulang lagi. Tetapi tidak mustahil pengulangan ini berlaku.  Satu ketika dahulu aku ada memaklumkan bahawa peringkat tinggi terjadi bila berlaku perhimpunan 99 nama Allah. Itu dulu, tapi sekarang ditingkat manakah aku berada?

Sebelum bicara ini diteruskan aku ingin membawa satu hadis yang mengisahkan penciptaan roh yang agong iaitu Nur Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan seperti berikut:

Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan sebuah pohon yang memilik empat cabang. Pohon itu disebut Sajaratul Yaqin. Kemudan Allah SWT menciptakan Nur Muhammad dari intan putih serupa dengan burung merak, lalu Allah SWT,  letakkan burung merak itu di atas Sajaratul Yaqin, bertasbihlah burung tadi di atas pohon tersebut selama 70 ribu tahun. Kemudian Allah SWT menciptakan cermin kehidupan (MirAatil Hayaati) dan diletakkannya cermin kehidupan tersebut di muka burung merak. Ketika burung tersebut menatap cermin terlihatlah wajahnya yang lebih indah dan perhiasan yang lebih baik serta lemah lembut tingkah lakunya. Maka dia merasa malu kepada Allah SWT. Lalu berkeringatlah ia hingga meneteslah keringat tersebut. Ada pula riwayat lain
yang menceritakan sesudah burung merak itu bertasbih selama 70 ribu tahun maka meniliklah Allah pada Merak itu. Ketakutanlah ia sehingga menetes keringatnya. Ceritanya ialah kedua-duanya berpandangan sehingga menetes peluh. Sebelum saya meneruskannya lagi, saya memohon maaf terlebih dahulu jika kata-kata ku disini tidak sesuai. Demi untuk mengaitkan peristiwa tersebut sebaiknya diceritakan juga.

Dari pengalaman saya, juga saudara-saudara melaluinya, ada ketikanya atau mungkin setiap masa sewaktu kita bersama dengan isteri kita, dikemuncaknya berpelohlah kita. Saya rasa saudara-saudara bersetuju dengan perkara ini.  Maksudnya disini apabila berhadapan keduanya, maka berpelohlah kita.

Inilah peringkat yang sedang aku lalui sekarang semasa di dalam sholat. Tiada yang lain dimasa itu, diantara kita dengan Dia, maka berkeringatlah kita. Peloh membasahi tubuh ku. Bukanlah saya mereka-mereka cerita ini melainkan apa yang saya catitkan adalah sebenar-benar haq. Mungkin juga
saudara Jamil telah mengalaminya.

Sebenarnya perbicaraan hal-hal sholat memang banyak terdapat didalam kitab-kitab. Tetapi itu sekadar cerita untuk mendekatkan faham. Sebenar-benar ilmunya masih terpendam. Dari bicara-bicara saudara, belum lagi saya menjumpai sebenar-benar ilmu, bukan sekadar tahu tetapi lebih dari itu ialah dapat diamalkan. Saya tahu saudara belum bersedia menyatakan ilmu tersebut, atau diruang ini bukanlah tempat yang sesuai untuk saudara mencurahkan ilmu yang tinggi nilainya. Kemungkinan ilmu-ilmu itu terpendam di sini:

""InsyaAllah, jika kita dipertemukan nanti akan aku perturunkan kifiat sembahyang (hakikat) di dalam perjalanan zikir nafas!""

""Inilah cara yang terbaik, ibarat dimisalkan kita mengambil atau menerima ilmu dari seorang guru. Ikut cara sunnah Rasulullah SAW. Kita tidak semata-mata berguru melalui buku atau kitab-kitab sahaja, sedangkan tempat untuk dirujuk tidak ada!""

Sebenarnya saya rasa sungguh seronok, malah begitu juga saudara Suluk, bila saudara memaklumkan ingin meluaskan ilmu-ilmu saudara itu kepada kami. Mudah-mudahan kami dapat menerima berkat-berkat dari ilmu saudara.

Mengenai buku Hakikat Insan walaupun didalamnya ada dinyatakan ilmu-ilmu sholat, tetapi itu hanyalah sandaran semata-mata, belum lagi ilmunya.  Melainkan jika buku tersebut dipergurukan kepada yang ahli. Mungkin ilmu-ilmu itu ada pada saudara Jamil. Tiap-tiap satu sandaran, apabila ia
berhadapan dengan yang haq, sandaran tersebut akan lenyap. Sandaran ini hanyalah sekadar untuk mendekatkan faham atau menguatkan hujah atau perbuatan. Sebenarnya sehingga satu tahap bila kita berhadapan denganNya,  tiada lagi kata-kata atau kalimahnya yang dapat kita ucapkan, walaupun
kalimah "Allahu Akbar" begitu juga bacaan-bacaan lain didalam sholat. Ketika itu mulut ku terkunci. Lidah ku menjadi kelu. Tiada lagi peredaran turun naiknya jalan pernafasan kita. Melainkan segala-galanya berlaku didalam. Itulah yang dinamakan Sir. SholatNya tiada berhuruf, tiada bersuara. Ini aku ketahui dengan ilmuNya.  Bahagian ku pula ialah aku tetap membacanya didalam hati. Cerita-cerita mengenai ilmu ini telah diterangkan oleh saudara Jamil, aku pula menceritakan pula pengalaman ku dari ilmu-ilmu tersebut. Insya Allah semuanya akan terhimpun kepada saudara Suluk. Ya tuhan Ku, sesungguhnya Engkau Maha Agong, aku tidak mampu berbicara lagi.

Assalamualaikum,

Saudara-saudara Ku,

Sebenarnya saya ingin bertanya sedikit. Apakah yang dimaksudkan dengan "Langit dunia". Lima tempat persinggahan ini memang saya ada terjumpa dalam sebuah kitab tapi yang saya tidak faham ialah istilah "langit dunia". Begitu juga dengan "Qabbul Kausain". Mungkin saudara boleh terangkan
perkara-perkara ini.

Adakah lagi pengertian-pengertian lain yang tersirat disebalik  "KAF, HA',
YA, AIN, SHAD"?  Adakah apa-apa hubungannya dengan "Ha Mim Ain Sim Kaf".

"Al-Qur'an itu AKU! Ayat Al-Aziim yang di dalam al-Qur'an itu engkau!"
Dapatkah saudara terangkan lagi perkara ini?

""Turun - Daipada Zat = Sifat kenyataan daripada Sifat = Asma' kenyataan daripada Asma' dan Af'al kenyataan daripada Af'al.

Naik - Hapus Sirr nyata Af'al. Hapus Af'al nyata Asma'. Hapus Asma' nyata Sifat, hapus Sifat nyatalah Zat.  (Inilah yang dikatakan Maqam Sirr).""

Adakah perkara di atas saudara cuba kaitkan dengan zikir turun naiknya perjalanan nafas semasa hendak melakukan sholat? Atau sekadar menjelaskan proses perpindahan dari satu peringkat kepada peringkat yang lain?

Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada saudara yang tidak jemu-jemu menjelaskan perkara-perkara yang selalu menjadi kemusykilan saya. Saya mohon jika ada apa-apa yang tergelincir dari bicara-bicara saya harap saudara dapat menegurnya. Begitu juga jika ada susunan kata-kata, atau cara penyampaian saya yang kurang tepat, dapatlah
saudara mengelokkannya.

Wassalam.