|
|
Dan dikata orang; bermula binasa agama itu dengan Tamak dan baiknya itu dengan Wara’.
Keterangan
Suluk
Keterangan di atas merupakan kesimpulan atau rumusan yang boleh dibuat daripada dua pengajian sebelum ini yang membicarakan perihal Tamak dan Wara'. Sebagai memperteguhkan keterangan ini eloklah diperturunkan satu kisah ketika Sayyidina Ali bin Abi Tholib semasa masuk ke masuk Masjid Jami' di Basrah.
Beliau mendapati ramai orang yang memberi ceramah/mengajar di dalamnya. Maka beliau menguji mereka dengan beberapa pertanyaan dan ternyata mereka tidak dapat menjawab dengan tepat. Mereka terus diusir dan tidak diizinkan memberi ceramah di masjid itu; dan ketika sampai kepada Majlis Al-Hassan A-Basri, ia bertanya;
Hai pemuda, saya akan bertanya kepadamu sesuatu. Jika engkau dapat menjawab, aku izinkan engkau terus mengajar di sini, tetapi jika engkau tidak dapat menjawab, aku akan usir engkau sebagaimana lain-lain temanmu yang telah aku usir.
Jawab Al-Hassan A-Basri; tanyakan sekehendakmu.
Sayyidina Ali bertanya; Apakah yang dapat mengukuhkan agama?
Jawab Al-Hassan; Wara'
Lalu ditanya lagi; Apakah yang dapat merosakkan agama?
Jawabnya; Tamak.
Lantas Sayyidina Ali berkata kepadanya; "Engkau boleh tetap
mengajar di sini. Orang seperti engkau inilah yang dapat memberi
ceramah kepada orang-orang".
Difaham daripada kisah ini, maka sewajarnyalah kita sebagai seorang penuntut yang ingin belajar dan mendapat bimbingan yang betul lagi benar; perlu mencari seorang guru yang memiliki sifat-sifat seperti di atas iaitu tidak tamak kepada apa jua habuan diri atau dunia dan Wara' halnya dalam tiap-tiap sesuatu. Dengan memiliki guru seperti ini, maka insyaAllah akan datanglah keberkatan dari Allah Taala untuk menerima sentuhan pengajarannya dan seterusnya dapat mengamalkannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan sesungguhnya
telah lalu setengah tentera Sultan atas seorang hakim yang memungut barang
yang gugur daripada daun lobak, dimakannya.
Maka katanya(tentera)
baginya(hakim);
"Jikalau engkau khidmat kepada Sultan, nescaya tiadalah engkau berkehendak kepada memakan ini"
Maka kata hakim itu kepadanya(tentera);
"Dan jikalau engkau sabar, nescaya tiadalah berkehendak engkau kepada Sultan".
Keterangan
Suluk
Hakim di atas adalah bermaksud seorang ahli hikmah atau seorang Sufi. Mengikut keterangan guru suluk, maksud Dan jikalau engkau sabar, ialah sabar di atas apa yang telah Allah kurniakan daripada kadar rezeki dan kedudukan yang diqadakan dan diqadarkan ke atas seorang hamba. Dengan sabar ini, maka bebaslah seseorang itu daripada berhajat dan berkehendak kepada manusia lain dalam mengatur dan menentukan kadar rezekinya.
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan sanya telah menghantarkan(meletakkan) Allah Subhanahuwa Taala lima perkara dalam lima tempat iaitu;
Keterangan di atas bolehlah diambil faham sebagaimana berikut;
Allah Taala meletakkan "lima perkara" dalam lima tempat. Dan tidak akan terdapat "lima perkara" itu melainkan di dalam "hal" yang lima tempat ini sebagaimana berikut;
1.
Kaya dalam Qana'ah
Kekayaan yang hakiki atau yang sebenar-sebenarnya hanya dimiliki oleh
mereka yang bersifat dengan sifat Qana'ah yakni yang mencukupi dengan apa
yang ada pada mereka. Tidak tamak dan menuntut-nuntut sebarang tambahan
lagi walaupun dengan ala kadar yang ada. Jika diberikan sesuatu kepada
mereka sedangkan mereka sudah memiliki keperluan yang cukup untuk hari
itu, maka mereka akan mengagih-agihkan lebihan yang ada padanya kepada
mereka yang masih memerlukan. Ini lah "hal" orang yang Kaya mengikut maksud
yang Hakiki. Kaya daripada meminta-minta dan mengharapkan sesuatu
yang lebih. Bukan dengan kaya harta dan wang ringgit, tetapi
Kaya dalam hal/maqam Qana'ah.
2.
Mulia dalam Taat
Seorang yang mulia di sisi Allah ialah mereka yang banyak melakukan
amal kebajikan dan taat. Semakin banyak amal taatnya, semakin
tinggi darjah kemuliaannya, sebaliknya jika berkurangan taatnya,
maka bertambah rendahlah kemuliaannya. Mulianya berada dalam taat dan terzhohir
pada anggota dan batinnya. Jika di setiap nafasnya diisi dengan taat,
maka inilah golongan manusia yang paling mulia di sisi Allah. Mulia
dalam hal amal taatnya; bukannya mulia dengan
keturunan, atau mulia dengan pangkat atau kedudukan sedangkan diri jauh
dan segan dari melakukan taat kebaktian kepada Allah Taala.
3.
Hina dalam Maksiat
Seorang yang berbuat maksiat adalah seorang yang berdosa. Dosa
pula adalah satu hal yang merujuk kepada sesuatu yang hina. Hinanya....
kerana mereka banyak membuat kesalahan dan perderhakaan kepada Allah. Dan
tidak wujud kehinaan ini melainkan dalam dosa. Seorang yang berdosa
adalah seorang yang hina . Mereka Hina
dalam Maksiatnya; bukan hina pada kemiskinan dan
kedhoifan hidup sebagaimana sangkaan kaum materislisme.
4.
Hikmah dalam Batin yang telah sunyi[daripada dunia]
Ilmu-ilmu hikmah atau limpahan laduni akan terjelma melalui kata-kata
berhikmah seorang hamba yang telah sunyi dan sepi hatinya dari bayangan
dunia dan masyiwaLlah. Batinnya atau hatinya telah bersih dari cemar
dan karat dunia. Hati yang kosong dan bersih ini layak untuk menerima
Ilmu Hikmah atau Ilham sebagaimana seorang Rasul menerima Wahyu mengikut
bisikan dari sebalik tirai. Cuma yang berbezanya Ilmu Laduni ini
adalah lemah berbanding Wahyu, tetapi dengan Ilham inilah sesuatu
urusan qhaibiyah dapat dipaparkan sebagaimana kata Imam Ghazali;
Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan
Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi
Ilham dinamakan Ilmu Laduni. (lihat
tajuk Keterangan Perihal Proses Wahyu)
Dan sememangnyalah, ilmu-ilmu hikmah serta sesuatu penerangan
mengenai suatu urusan ghaibiyah hanya boleh berada dalam hati seorang hamba
yang tiada lagi kecenderungan dan pandangannya terhadap dirinya dan seisi
dunia. Inilah maksud Hikmah
dalam Batin yang telah sunyi. bukannya pada kebijaksanaan
menyusun kata-kata yang puitis.
5.
Haibat dalam mendirikan malam.
Rasa ketakutan dan bergentarnya jiwa menyaksikan kehebatan dan JalalNya
Allah bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat, yang boleh diperihalkan
dengan kata-kata, kerana ianya adalah merupakan sesuatu yang dimaksudkan
dengan kehadiran Warid. Adapun Warid ini tidak akan wujud tanpa adanya
Wirid. Antara wirid-wirid yang paling berkesan dan mulia ialah Qiyamullail
yakni menghidupkan atau mendirikan wirid-wirid tertentu seperti Sholat,
zikir, dan membaca Al-Qur'an pada waktu malam yang sunyi. Dikatakan
ianya Wirid yang paling berkesan kerana sememangnya pada mendirikan malam
ini terdapat rasa haibat pada Keagungan dan Ketinggian Allah. Jiwa
orang berkesan dengan Qiyamullailnya adalah jiwa yang dapat merasai dan
memandang kehaibatan Allah dalam wajah-wajahNya(penzhohiran)yang berbagai-bagai.
Sekadar kata-kata saja tidak cukup untuk memahaminya, tetapi masuklah
ke dalam bidang "hal" iaitu dengan mengamalkan dan menghidupkan QiyamuLlail
ini.
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan sanya telah menyatakan Mualif akan hikmah ini kepada Maqam Ubudiyah dalam Maqam Huriyyah(merdeka dengan dunia), kerana Maqam Ubudiyah itu orang yang ada ia hamba bagi TuhanNya dan merdeka daripada segala syahwatnya.
Keterangan
Suluk
Keterangan di atas menyatakan tujuan dan maksud kata-kata Kalam Hikmah yang telah dibincangkan sebelum ini iaitu Hanya sesungguhnya engkau merdeka daripada yang engkau putus daripadanya; kerana tiada padanya takluk[hati]; dan engkau hamba yang engkau Tamak baginya.
Tok Pulau Manis mengaitkannya dengan merujuk kepada Maqam Ubudiyah atau Maqam Kehambaan yang terdapat dalam hal atau Maqam orang yang merdeka dengan dunia. Merdeka daripada dunia yang mencakupi dirinya dan barang sesuatu yang lain daripada Allah. Bila telah kosong dan lebur pandangannya terhadap dunia, maka menjadilah ia hamba yang ikhlas bagi TuhanNya. Dengan ini seorang yang benar-benar hamba bagi Tuhannya ialah seorang yang merdeka dari sebarang bentuk perhambaan yang lain samada syahwatnya, dirinya, manusia atau makhluk-makhluk lain.
Pun begitu, orang-orang yang bebas merdeka ini ada memiliki kelas dan martabat-martabatnya sebagaimana.....
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan adalah martabat merdeka itu atas beberapa martabat.
Sekali lagi kita temui, pembahagian "hal-ahwal" antara tiga golongan manusia yakni awam, khowas dan khowasul-khowas mengikut pandangan ahli tasauf. Pembahagian kali ini adalah merujuk kepada martabat kemerdekaan mengikut penilaian mereka..
Di sisi orang-orang awam yang kebanyakan seperti kita, maksud sebenarnya kemerdekaan diri ialah apabila mereka dapat memutuskan tambatan nafsu syahwatnya. Mereka berjuang dan bermujahadah dalam mengekang nafsu serakahnya. Dengan kata lain, di sisi orang-orang Awam; kemerdekaan diri itu ialah apabila;
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka adalah hasilnya itu , bahawasanya orang yang kasih akan sesuatu daripada segala sesuatu yang telah terdahulu sebutnya, atau berdiri ia sertanya, maka adalah ia dalam tawanannya dan hambanya.
Dan barangsiapa tamak kepada Allah dan putus daripada barang yang lain, maka jadilah ia akan hamba Allah, dan merdeka daripada barang yang lainnya kerana bahawasanya Hakikat Ubudiyah itu [berada] dalam kesudah-sudahan Fakir.
Keterangan
Suluk
Keterangan dan penjelasan di atas adalah merupakan pengulangan kepada isi kandungan pengajian sebelum ini yang berkaitan dengan orang yang kasihkan sesuatu adalah merupakan hamba kepada apa yang dikasihkan itu.
Kita juruskan perbincangan kita kepada maksud ayat terakhir yang berkaitan dengan Hakikat Ubudiyah. Mengikut keterangan di atas, orang yang merdeka daripada sesuatu yang lain adalah seorang hamba yang menjejaki Hakikat Kehambaan(Ubudiyah). Dan Hakikat Ubudiyah itu pula berada dalam "hal" sut atau kesudahan/Hakikat Fakir. Seorang yang benar-benar Fakir ialah seorang yang tidak punya apa-apa lagi, sama ada kehendak atau keupayaannya. Berkenaan ini, penjelasan mengenainya dapat kita fahami dari.........
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kerana
inilah, kata Sheikh Abu Hasan Al-Syazili r.a. tatkala dikata orang
baginya; "Hai Sayyidi! Mana sifat hamba?"
Maka katanya;
"Seperti yang telah disifatkan Allah akan dia kepada hamba yang dimiliki, tiada sekali-kali kuasa ia atas sesuatu"
Keterangan
Suluk
yakni tiada lagi seorang hamba yang fakir itu merasai memiliki sesuatu.
Bahawasanya setengah daripada Haq Tuhan atas hamba itu ialah bahawa ada ia dalam hal khidmatnya bagi TuhanNya iaitu gugur ikhtiar dan iradat, padahal Fana' dalam amalnya hingga tiada melihat ia baginya amalnya.
Kalam
Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra. yang selanjutnya.
|
|
Bersambung lagi.....Insya Allah dalam Pengajian yang berikutnya di bawah tajuk Nikmat Dan Syukur
|
|
|
|