Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 11. 05. 2000 / 07 Safar 1421)
YANG DIKATAKAN MERDEKA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

KALAM HIKMAH SHEIKH IBNU ATHOILLAH mengikut terjemahan dan keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis.
 
Tiada menghela akan dikau suatu seperti waham daripada mendapat segala Ma’ani kerana tiada tasawur lainnya.

Keterangan Suluk

Pengajian sebelum ini telah pun menyentuh dengan jelas apakah yang terhimpun dalam maksud Waham sebagaimana berikut.   Dan waham itu surah yang berdiri ia dalam Alam Khayal, [yaknl]  tiada hakikat baginya.  Dan hanyasanya didirikan akan ia Hijab al-Nafsu yang tiada hijab atas orang yang Salik yang terlebih besar daripadanya(Sila lihat pengajian sebelum ini).  Ianya bermaksud;

Maka tidak ada lagi sesuatu yang terlebih besar hijabnya antara hijab yang ada pada seseorang Salik selain daripada Waham yang tercetus dihatinya.  Dengan demikian,  maka apabila menghela atau menarik Salik kepada mewahamkan sesuatu,  maka hilanglah peluang atau kemampuannya untuk dapat melihat dan menyaksikan segala Ma'ani yang dicita-citakan.   Ini adalah kerana tidak munasabah atau tidak mungkin sama sekali orang dapat melihat sesuatu kenyataan dari Alam Malakut atau Alam Jabarut atau Laahut masih memiliki waham dalam pandangannya.  Sesungguhnya Zat Allah itu dan Keagungan serta Kebesaran Allah itu meleburkan segala sesuatu yang berhadap kepada WajahNya.  sebagaimana firman Allah:

"Segala-galanya akan hancur musnah kecuali WajahNya",

bukan sahaja musnah pada sesuatu yang tertentu bahkan sentiasa hancur musnah.......

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan Tamak pada manusia itu mengikut kepada segala waham yang batil kerana bahawasanya Tamak itu mentasdiqkan yang wajib kazab;  dan Tamak pada mereka itu pada bukan tempat Tamak;

Bermula Waham itu pekerjaan 'adami,  iaitu lawannya hakikat  yang wujudi;  dan nafsu yang naqisitu mengikut kepada segala pekerjaan yang Wahimiyah yang Batholiyah terlebih sangat daripada mengikut kepada Haqaiq yang Sabitiyah kerana wujud munasabah antara keduanya.

Keterangan Suluk

Bila telah difahami seorang yang terikat dengan wahamnya (yang sentiasa menuntut sesuatu selain daripada Allah)  akan sentiasa diikuti pula dengan sifat-sifat Tamak kepada makhluk.  Dan adalah Tamak kepada makhluk itu sebenarnya adalah sesuatu yang nyata dan terang sekali dusta atau yang bukan sebenar.   Bila sudah dusta,  maka menuntut pada mereka yakni tamak kepada makhluk adalah merupakan tamak yang tidak kena pada tempatnya.

Hanya mereka yang tidak yakin;   yakni hanya mereka yang waham sahaja akan menilik dan tertipu dengan kekuasaan makhluk,  dirinya sendiri atau keindahan dunia ini.  Ini adalah kerana orang yang menilik dan cenderung kepada dunia itu adalah mereka yang ada penyakit(virus) waham padanya.

Berbeza dengan satu golongan hamba yang telah teguh dan tetap serta yakin dengan TuhanNya dalam tiap-tiap sesuatu.   Mereka memilik prinsip dan pendirian yang tersendiri dalam perihal Tamak ini.  Keterangan mengenai golongan ini boleh diperolehi dari penjelasan dan.....

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

dan segala orang yang Ahli Al-Haqaiq;   Uzlah mereka itu daripada itu(Tamak);

Sesungguhnya telah gugurlah Agyar segala Waham dan khayal iaitu yang takluk pada  segala Agyar daripada hati mereka itu.

Keterangan Suluk

Golongan Ahli Al-Haqaiq  sebagaimana yang dnyatakan di atas;  ialah mereka yang sentiasa beruzlah(mengasingkan diri) dengan Tamak.  Mereka beruzlah dengan menjauhkan diri daripada cenderung dan tamakkan sesuatu selain daripada Allah.

Ini adalah kerana sesungguhnya telah hilang dan gugur segala Agyar(sesuatu yang melalaikan hati) segala bentuk-bentuk Waham "anu' atau "itu' atau "ini" dalam jiwa mereka;  dan terhapus semua khayalan fikiran mereka yang tertuju atau terdorong kepada segala yang melalaikan hati mereka daripada syuhud dengan Allah Taala.

Demikianlah pegangan dan pendirian golongan Ahli Tahqiq dengan Haqaiq.  Amatlah jauh dan berbeza dengan mereka yang ditawan oleh wahamnya.  Ahli Al-Haqaiq ini;

Ini adalah kerana mereka sedar dan redho tentang tugas dan kewajipannya pada Allah.  Mereka tidak fikirkan tentang habuan dan tilikan makhluk kerana sememangnya mereka memakai sifat-sifat Qana'ah dan Wara pada dirinya.  Penjelasan mengenai perkara berikut boleh diiikuti dari.......

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka hilanglah daripada mereka itu Tamak dan bersifat mereka itu dengan sifat Qana’ah dan Wara’.  Maka adalah bagi mereka itu Hayat yang Tabiat dan ‘Asiyah yang Rodiyah.  Dan Qana’ah itu maqam yang besar daripada segala Maqam Al-Yakin;  dan iaitu permulaan segala orang yang Radhi(redho).

Keterangan Suluk

Bila sudah tidak ada tamak lagi,  maka bersifatlah mereka (Ahli Al-Haqaiq ) dengan sifat-sifat yang sentiasa mencukupi dengan apa yang ada,   dengan apa yang diterima dan dengan apa yang diambil oleh orang,  di samping Wara' pada tiap-tiap sesuatu.  Besepakailah diri dan jiwa mereka dengan Hayat yang Tabiat  dan ‘Asiyah yang Rodiyah yakni kehidupan yang baik serta bagus dan yang diredhoi Allah

Melanjutkan keterangannya,  Tok Pulau Manis menegaskan;  Adapun Qana'ah itu adalah satu Maqam atau Martabat yang besar daripada segala Maqam orang-orang yang yakin dengan Allah;  dan menjadi permulaan bagi mereka yang sentiasa Redho dengan hukum Allah.

Kita ikuti penjelasan yang agak detail berkenaan makna Qana'ah dan Redho ini melalui......

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata setengah orang yang Arif;

Tiada ada hamba itu Qana’ah hingga jikalau datang kepada pintu tempatnya sekelian Raghib gemar dalamnya daripada keluasannya dan nikmat;   maka berpaling ia atasnya tiada;  tiada memandang ia kepadanya dan tiada dibukakan pintunya dan Redho daripadanya pada halnya.

Dan sesungguhnya telah tersebut dalam hadis daripada Nabi SAW.  dalam makna firmanNya Taala;

“Kami hidupkan dia dengan hidup yang baik”  iaitu Qana’ah.

Keterangan Suluk

Tidaklah dapat seseorang hamba itu mendakwa bahawa mereka adalah hamba yang Qana'ah selagi ada terselit sesuatu keinginan dan kesukaannya atau kecenderungan kepada keselesaan dan nikmat hidup di dunia ini.  Orang yang Qana'ah tidak akan berpaling apatah lagi untuk membuka pintu rumahnya atau pintu hatinya kepada sesuatu yang datang menghulurkan nikmat pemberian kepadanya.  Kata guru suluk;

Sebenarnya orang yang bersifat Qana'ah dan Wara'  ini adalah mereka yang hidup dalam Maqam Redho.  Mereka redho dengan kadar apa yang ada pada diri mereka.  Dengan ini,  mereka diberikan kehidupan yang lebih baik sebagaimana yang diisyaratkan dari Sabda Rasulullah SAW;

Dan sesungguhnya telah tersebut dalam hadis daripada Nabi SAW.  dalam makna firmanNya Taala;

“Kami hidupkan dia dengan hidup yang baik”  iaitu Qana’ah.

Kehidupan yang baik yakni kehidupan yang tidak tamakkan sesuatu yang lain,  yang mencukupi dengan apa yang ada,  yang bersifat redho dengan kadar yang dimiliki,  yang tidak meminta-minta dan mengharapkan sesuatu dari makhluk.  Bukankah ini satu kehidupan yang lebih baik,  jika berbanding dengan mereka yang tamakkan dunia dan sanggup berebut-rebut untuk menghasilkannya???.

Tambah guru suluk lagi,  janganlah jadi seperti ayam.  Tamakkan padi yang ditabur,  hinggakan jika ditaburkan pada tempat yang lain,  ayam-ayam tersebut akan terus terkam dan berebut-rebut ke tempat itu pula  sedangkan di tempat tadi,  masih banyak lagi yang boleh dimakan.  Demikianlah,  jika ditabur padi ke tempat lain pula,  masing-masing akan berebut-rebut pula ke tempat baru itu dengan meninggalkan tempat lama yang masih banyak padinya.

Sungguh bermakna dan cukup mengesankan diri yang mahu mengambil iktibarnya!!!!!

Berebut-rebut dan membanyakkan pada dunia dan isinya adalah perihal orang yang terpenjara dengan sifat-sifat kebinatangan yang rendah seperti ayam di atas.  Sifat-sifat terkam,  berkelahi,  berebit-rebut,  cantas-mencantas,  fitnah-memfitnah adalah sifat-sifat yang sesuai pada serigala,  anjing-kucing,  ayam-itik dan monyet-kera.  Orang yang memiliki sifat-sifat tersebut adalah terpenjara dalam kurungan sifat-sifat kebinatangannya.

Kebebasan dari penjara diri sendiri akan hanya akan diperolehi oleh mereka yang memutuskan semua keinginan dan kecenderungannya kepada sesuatu yang menambatnya.  Perihal ini dapat kita jelujuri dari..........

Kalam Hikmah berikutnya dari SHEIKH IBNU ATHOILLAH mengikut terjemahan dan keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis.
 

Hanya sesungguhnya engkau merdeka daripada yang engkau putus daripadanya;  kerana tiada padanya takluk[hati];  dan engkau hamba yang engkau Tamak baginya.

Keterangan Suluk

Seorang yang terkurung adalah seorang yang tidak merdeka . Ini adalah kerana orang yang merdeka adalah seorang yang tidak ada takluk atau tuju/cenderung hatinya pada sesuatu selain dari Allah.  Selagi ia menginginkan sesuatu yang berupa keselesaan dan nikmat hidupnya,  maka orang itu terpenjara dan tidak merdeka.  Mereka terpenjara dalam sesuatu yang mereka ingini.  Hanya ada satu jalan untuk lepas merdeka dari penjara ini.

Mengikut Kalam Hikmah di atas;  Seorang yang merdeka ialah orang  yang telah  memutuskan keinginan dan harapannya kepada makhluk.  Hanya yang telah putus keinginan,  putus kehendak dan kecenderungan dengan makhluk sahaja yang akan dapat digelar orang yang benar-benar merdeka.  Mereka merdeka dan bebas dari kurungan dan perhambaan makhluk ke dalam Kehendak dan Keinginan Allah

Ini adalah kerana pada mereka,  sudah tiada takluk hati kepada makhluk.  Bila tiada takluk,  bermakna putuslah segala pandangan atau tilikan kepada makhluk. Tidak wujud lagi kurungan dan perhambaan kepada sesuatu makhluk.  Adalah dengan ini menegaskan bahawa  seseorang itu adalah hamba kepada apa yang ditamakkan.  Jika tamakkan makhluk,  maka hamba makhluk ia;  dan jika tamakkan dunia,  maka hamba dunialah ia.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula Tamak dalam sesuatu itu menunjukkan atas kasih baginya;  dan berkehendak kepada hasilnya;   dan demikian itu diperhamba baginya;  seperti bahawa putus daripada sesuatu itu menunjukkan atas selesai hati daripadanya dan kayanya daripadanya;  dan demikian itu daripada merdeka daripadanya.

Keterangan Suluk

Jika kita inginkan perhatian makhluk,  maka itu dikatakan tamak dalam sesuatu.  Apabila Tamakkan sesuatu,  maka itu menunjukkan kasih dan sukanya kita kepada makhluk.  Bila sudah kasihkan pada mereka,  maka timbul pula keinginan kepada hasilnya;

Maka dengan demikian,  tanpa disedari kecenderungannya,  keinginannya,  kemuliaan yang diberikan manusia kepadanya akan menjadikan mereka hamba kepada manusia.  Nampak baik,  hebat dan banyak manfaatnya kepada manusia,  tetapi yang nyatanya mereka adalah hamba kepada manusia atau makhluk lain.

Yang demikian adalah kerana,  seorang yang putus hatinya daripada menilik-nilik dan cenderung kepada sesuatu yang lain,  adalah seorang yang telah selesai hati dan terkaya dirinya daripada membutuhkan kepada sesuatu yang sememangnya batil dan bukan Haq.  Orang yang selesai hati inilah baru dikatakan orang yang merdeka dan hidup bebas dengan TuhanNya  sebagaimana keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis yang berikut;

Maka orang yang Tamak itu hamba;  dan orang yang putus itu merdeka;

Dan kerana inilah dikata orang;

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula hamba itu merdeka [selama] barang yang sabar ia;  dan merdeka itu hamba barang yang Tamak ia.

Maka barangsiapa selesai hatinya daripada sesuatu,  maka iaitu merdeka ia;  dan barangsiapa Tamak ia dalam sesuatu,  maka iaitu hambanya.

Keterangan Suluk

Bila difahami bahawa orang yang Tamak itu hamba dan orang yang selasai hati itu merdeka,  maka sepatutnyalah hamba yang merdeka itu adalah seorang yang dapat bersabar ia dengan sesuatu dorongan dan tarikan keduniaan.

Sesungguhnya hamba yang merdeka itu adalah yang merdeka daripada tambatan dan ikatan keinginan tersebut.  Mereka bebas dan merdeka daripada sesuatu keinginan dan kehendaknya.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan dikata orang;  bermula binasa agama itu dengan Tamak dan baiknya itu dengan Wara’.

Keterangan Suluk

Bersambung lagi.....di bawah Tajuk Martabat Merdeka.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar