Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 03. 04. 2000 / 08 Muharram 1421)
CABANG-CABANG KEHINAAN
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Sheikh Abu Hassan Al-Syazali r.a;  Bermula segala sebab buta mata hati itu dalam tiga perkara;

Keterangan Suluk

Berbuat Tashonnu' dengan taat bermaksud mengada-ngada dalam amal ibadat di samping melakukannya untuk memperagakan kepada orang lain dan mengharapkan sanjungan serta pujian manusia.  Amalan dan taat yang sebegini seumpama asap yang akan menggelapkan cermin mata seseorang.  Semakin dibuat semakin menebal asap hinggalah tertutup terus mata hati yang asalnya cerah dan bercahaya.  Biasanya orang yang tashonnu; dengan taat ini akan berbuat banyak amal kebajikan apabila berada dalam khalayak ramai,  tetapi bila berseorangan amalan ibadatnya tidaklah sebanyak mana.

Tamak kepada makhluk pula bermakna kasih hati dan suka kepada sesuatu selain daripada Allah Taala.  Antara contoh-contohnya seumpama berikut ;

Dengan  melihat pada buruk dan jahatnya kecenderungan hati kepada sesuatu selain daripada Allah sebagaimana contoh-contoh di atas,  maka benarlah kata-kata di atas bahawasanya Tamak kepada makhluk  itu asal yang menjatuhkan seseorang itu ke lembah kehinaan dan yang menyebabkan tumbuhnya kehinaan yang terjelma pada sikap dan tindakan sesesorang.

Bagi mengupas dan menjelaskan lagi hina dan buruknya perihal Tamak ini,  maka Tok Pulau Manis mendatangkan pula Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang berikutnya sebagaimana berikut;

Dan kata Sheikh r.a. (Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari);
 

Tidak akan berkembang biak cabang kehinaan itu,  melainkan di atas bibit tamak.

Terjemahan dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Tiada panjang segala cawang kehinaan itu,  melainkan daripada benih tamak;  dan tiada jadi tamak itu melainkan daripada waham.

Keterangan Suluk

Sesungguhnya tidak akan berkembang-biak segala cabang-cabang dan ranting-ranting kehinaan itu,  melainkan kerana terdapatnya benih-benih tamak dalam diri seseorang hamba.

Demikianlah beberapa contoh sekadar menunjukkan bagaimana sifat tamak itu membenihkan dan menumbuhkan sifat-sifat dan tindak-tanduk yang hina.  Yang jelasnya dengan sifat Tamak itu,  seorang hamba yang asalnya mulia,  akan jadi hina.  Yang sedar diri akan jadi lupa diri.  Mereka jadi hina dan lupa daratan kerana tidak bersifat; Dengan ini tiada jadi tamak itu melainkan daripada waham kerana makna waham itu ialah syak dan ragu-ragu dengan Qada' dan Qadar Allah serta Kasih Sayang Allah terhadap hamba-hambaNya..

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka barangsiapa sabit tamaknya,  maka lanjutlah kehinaannya;   kerana tamak itu diisti'arahkan benih iaitu,  asal.  Dan kehinaan itu cawang iaitu furu'.  Maka barangsiapa tamak ia,  nescaya hina ia atas sekadar tamaknya kerana bahawasanya tamak dalam sesuatu itu hanya sanya jadi ia daripada kasihnya.  Dan barangsiapa kasih akan sesuatu,  maka jadilah ia akan hamba sesuatu.   Dan hinalah baginya dengan sekadar kasihnya dalam dalamnya.

Keterangan Suluk

Bila telah sah dan sabit seseorang itu dihinggapi penyakit Tamak ini,  maka akan tumbuh dan berkembang-biaklah sifat-sifat kehinaan yang keji dan tercela seperti;

Hina dan kejinya sifat-sifat ini  kerana ia dikaitkan dengan sifat-sifat yang layak pada haiwan dan iblis.  Dengan kerana itulah Tok Pulau Manis mengatakan bahawa  tamak itu diisti'arahkan benih iaitu,  asal.  Dan kehinaan itu cawang iaitu furu'.   yang bermaksud istilah Tamak itu dipinjamkan(ditentukan maksudnya) dengan makna benih yang menjadi asal atau punca;   manakala kehinaan itu ialah sebagai cabang-cabang dan ranting-ranting kepada Tamak.

Maka barangsiapa tamak ia,  nescaya hina ia atas sekadar tamaknya kerana bahawasanya tamak dalam sesuatu itu hanya sanya jadi ia daripada kasihnya membawa maksud barangsiapa tamakkan sesuatu,  nescaya hinalah kedudukannya di sisi agama dan Allah.  Kadar hinanya dan jahatnya pula bergantung kepada kadar ketamakkan yang ada padanya;

Pendek kata,  Tamaknya seseorang itu kepada sesuatu itu terjadi dan berkembang  kerana adanya keinginan dan kasihnya ia kepada "sesuatu".  Dengan itu,  di sisi kaum Sufiah,  barangsiapa kasih akan sesuatu,  maka jadilah ia akan hamba sesuatu. Demikianlah contoh-contoh kerendahan hemah dan kehinaan seorang manusia yang kasihkan sesuatu sehingga sanggup menghambakan dirinya kepada apa yang diingininya sebagaimana maksud keterangan Tok Pulau Manis Dan hinalah baginya dengan sekadar kasihnya dalam dalamnya

Bersandarkan keterangan di atas,  jika kita perhatikan keadaan kehidupan manusia di sekeliling kita hari ini,  maka nampak jelaslah pada kita betapa ramainya manusia-manusia di alaf baru ini,  memburu dan mencari tuhan-tuhan lain,   menyembah tuhan-tuhan lain,  sedangkan sewaktu-waktu mereka dakwakan bahawa mereka adalah orang Islam yang tulen.  Sungguh keliru dan mengelirukan!!!.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adalah tamak itu lawannya bagi Hakikat Imam yang dikehendaki wujud kemuliaan.  Dan mulia itu sifat mukmin;   Dan hendaklah meninggalkan segala cita-cita mereka itu kepada Tuhan mereka itu;  Dan menetapkan hati mereka itu kepadaNya;  Dan berpegang mereka itu pada Allah,  tiada kepada yang lain daripadaNya.  Maka inilah segala sifat yang mulia yang dikurniakan Allah Taala akan Dia kepada segala hambaNya yang mukmin.

Keterangan Suluk

Melalui keterangan di atas,  fahamlah kita bahawa lawan kepada Tamak itu ialah Hakikat Iman.  Adapun yang dimaksudkan dengan Hakikat Iman ialah yakin dan teguh serta tetap pegangan hati kepada Qada dan Qadar Allah.  Yakin kepada kadar rezekinya,  jodoh, ajal dan  maut mereka.  Tidak mudah bergoyang dengan perubahan dan kerosakan yang berlaku di sekelilingnya.  Tidak akan cenderung kepada sesuatu yang bukan haknya. Di  terima sahaja apa yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Taala tanpa memandang dan menoleh kepada yang lain.  Dengan ini,  Hakikat Iman yang dihayati oleh seorang hamba itu,  akan menjadikan mereka bersifat dengan sifat yang mulia.

Dengan sifat-sifat di atas,  maka tidaklah lagi wujudnya sifat Tamak dalam diri mereka.   Inilah anugerah yang dikurniakan Allah Taala kepada hamba pilihanNya yang mukmin.  Carilah dan jejakilah kurnia yang mulia ini.  Hayatilah Hakikat Iman ini sebagaimana yang dihayati oleh para Mursalin,  Ambiya' dan Sholihin kerana penghayatan mereka ini membuahkan pelbagai sifat-sifat yang mulia.  Antaranya ialah Wara' sebagaimana yang terdapat dalam keterangan berikutnya.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan tersebut dalam Kitab "Tanwir",

Bahawasanya Tamak itu lawannya Wara'.  Dan tiadalah syak bahawasanya Wara' yang zhohir bagi segala orang Am(Awam) itu iaitu meninggalkan segala perkara yang syubhat.

Keterangan Suluk

Jika keterangan sebelum ini menyatakan lawan Tamak itu ialah Hakikat Imam,  maka keterangan berikutnya melanjutkan pula perihal Tamak ini dari sudut yang lain pula.  Dari sudut yang ini;   lawannya Tamak  ialah Wara'.  Sebenarnya tidaklah jauh berbeza maksud antara Hakikat Imam dan Wara' ini dari segi  tidak beringinan hati untuk berhadap kepada yang lain selain daripada Allah.  Sungguhpun demikian,  Wara' sebagaimana keterangan di atas memperincikan lagi perbezaan penghayataannya di kalangan orang-orang awam dengan orang-orang yang khas .

Di sisi orang-orang awam,  Wara' pada mereka ialah meninggalkan sesuatu perkara,  amalan dan kepercayaan yang syubhat dengan berpegang teguh kepada apa yang betul-betul diyakini dan diktiraf oleh hukum syarak.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan hanyasanya lawannya Wara' [bagi orang] yang khas itu iaitu kepada(di sisi) mereka itu yang mengesahkan yakin dan menyempurnakan takluk[hati] kepada Tuhan;

Maka inilah Wara' yang lawannya Tamak yang membinasakan; dan dengan dia(wara') membaiki tiap-tiap amal dan hal

Keterangan Suluk

Berbeza dengan orang-orang yang Khas,  Wara' di sisi mereka ialah dihayati dengan mengesahkan keyakinan mereka Allah di samping menyempurnakan takluk(tuju hati) hanya kepada Allah semata-mata.  Dengan pengesahan dan penyempurnaan ini,

Maka inilah Wara' di sisi Ahli Sufi yang meninggalkan sesuatu syubhat yang boleh memalingkan mereka untuk berhadapan dan memandang Allah Taala semata-mata.  Wara' yang begini akan membaiki tiap-tiap amalan dan hal-ahwal hatinya daripada sifat-sifat yang hina dan keji.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya....Perihal Wara' Dan Halal.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar