Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Bermula segala kesempurnaan puji-pujian itu hanya tertentu buat Allah SWT, Tuhan yang sentiasa melimpahkan rahmat kasih sayangnya untuk semua makhluk ciptaanNya, Tuhan yang memandu dan memimpin hamba-hamba pilihanNya ke arah jalan yang haq, Tuhan yang memancarkan Israk benderang cahaya makrifatNya buat hamba-hambaNya yang bersih dan Tuhan yang membukakan pintu-pintu Alam ghaib buat hamba-hambanya yang bermuwajah denganNya.

Doa afiat dan sejahtera buatmu manusia yang kubanggai dan kuhormati, moga berkekelan penghormatan dan kebanggaan ini hingga ke akhir hayat. Suluk datang lagi kepadamu membawa perkhabaran diri dan perasaan untuk dikongsi bersama dengan sahabat yang sudi mendengar dan memahami.

Ketahuilah sahabat......Hal ibadat telah cukup Suluk fikirkan, telah pula Suluk teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Inilah realitinya buat sesiapa sahaja yang ingin berjalan. Sedikit teman dan penolongnya. Yang ramainya teman yang tidak ikhlas, berpura-pura, merosakkan dan melemahkan semangat perjuangan ini. Inilah antara keadaan yang terpaksa Suluk hadapi. Terasing dan terpaksa mengasingkan dari kebanyakan manusia. Dunia dan kehidupan menjadi sepi, malap tidak bermaya malah kadang-kadang amat menjerihkan(dalam kontek hubungan sesama manusia). Seakan tidak ada yang mahu ambil pusing atau peduli. Di atas nama manusia yang serba kekurangan dan bersalutkan kelemahan dan aib-aib yang nyata dan tersembunyi, suluk memang tidak lepas dari dari hal-hal yang tersebut.

Telah banyak sudah suluk dedahkan kelemahan dan kekurangan suluk pada ila dan mungkin ila telah mula untuk mengenali sebahagian besar dari manusia yang bernama Suluk ini. Sebenarnya dengan mencurahkan apa yang terpendam ini pada seorang sahabat yang dipercayai, suluk terasa sedikit lega dan aman.

Terus terang suluk katakan...ilalah satu-satunya sahabat yang membangkitkan semangat ini untuk meneruskan perjuangan ini. Ya...dari segi hakikatnya memang Allahlah yang mengaturnya, tapi pada zhohirnya kekuatan dan semangat ini, ilalah satu-satunya teman yang mengisi keterasingan jiwa ini. Suluk tidak punya ramai kawan yang meminati bidang keruhanian ini begitu juga tiada langsung kawan yang boleh menyelami hasrat perjuangan ini. Dunia Suluk ialah mengajar di sekolah...petang dan malam mengikuti pengajian kitab tua...hari minggu menulis. Selebihnya bersama dengan keluarga. Kawan?....memang tidak ada

Kadang-kadang timbul pertanyaan...kenapa suluk harus menceritakan banyak perkara pada ila mengenai diri ini?. Tidak cukupkan dengan mengamalkan petua-petua yang dipungut hasil dari pengajian-pengajian kitab yang diikuti? atau tidak cukup lagikan tawajuh(amalan dan wirid harian sebagai pembersih jiwa) pada saat-saat sepi malam?. Bukankah Allah sebaik-baik tempat untuk murojo'ah(merujuk) dan mengadu?..Apalah istimewanya manusia ila? Untuk apakah pengaduan suluk ini ditujukan kepada manusia ila?

Memang begitulah hal dan kehidupan harian Suluk....jauh dari manusia....bertawajuh....muroja'ah...memperhalusi butir-butir ilmu dan mengadu pada Allah. Tapi sewaktu-waktu ingin juga Suluk punya seorang sahabat mulia dan sejati yang ikhlas untuk diadukan kesunyian jiwa ini untuk manusia kerana suluk adalah manusia. Bukannya malaikat. Fitrah suluk dan semua manusia memang begitu. Lainlah jika mereka yang telah Wasil dan sampai kepuncaknya.

Terima kasih buatmu sahabat yang banyak membantu dan banyak memahami. Moga kita tidak akan ditemukan secara bersemuka demi untuk mengelakkan gangguan zhohir atau perasaan lain yang ada pada kita. Suluk amat senang sekali berurusan denganmu dengan cara begini.

Doakan agar perjuangan Suluk untuk menemui Allah di dunia ini terkabul biarpun untuk sesaat cuma sebelum Suluk dipanggil untuk menemuiNya. Suluk tidak ingin menjadi orang-orang yang meraba-raba di masyar nanti.

Telah banyak dunia yang kubuangkan dalam perjalankan ini dan tidak sedikit kepahitan yang kutelan dan mengisi perjuangan ini. Allah jua yang mengurniakan

Inilah sekadar jua untuk dikongsi buat kali ini. Terima kasih sekali lagi kerana sudi berhubungan dengan Suluk. Semoga ila sudi-sudilah untuk mengungungi Suluk selalu. Suluk akan sentiasa menanti kehadiran bicaramu.

Allah memberkatimu selalu.

Suluk