Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Ihsan dari seorang sahabat
Ilmu Tauhid Berasaskan 
Kajian Saintifik
[RUANG LINGKUP ILMU TAUHID]   [RUANGLINGKUP KAJIAN SAINTIFIK]    [HUBUNGAN ANTARA TAUHID DAN SAINS]

Bicara kali ini, saya perjelaskan nisbah kaitannya Ilmu Tauhid di dalam kajian saintifik.

TUJUAN utama penulisan ini ialah untuk menjelaskan sama ada ilmu Tauhid boleh diasaskan atau tidak kepada kajian saintifik. Bagi menjawab soalan ini perlu terlebih dahulu diterangkan apa yang kita maksudkan dengan ilmu Tauhid dan kajian saintifik serta dijelaskan ruanglingkup masing.

RUANG LINGKUP ILMU TAUHID

KITA semua sedia maklum bahawa ilmu Tauhid adalah intisari ajaran agama Islam. Ilmu ini merujuk kepada hakikat keesaan Allah SWT. Ilmu Tauhid membicarakan prinsip keesaan Tuhan. Di dalam ketuhanan Islam, Allah adalah Esa dari segi zat-Nya, Esa dari segi sifat-sifat-Nya dan Esa dari segi
perbuatan-Nya.

Sumber utama ilmu Tauhid ialah ajaran wahyu seperti yang terkandung di dalam Kitab Suci Al-Quran. Allah sendiri memberitahu manusia siapa Dia, apakah sifat-sifat diri-Nya dan apakah aktiviti-aktiviti-Nya. Di dalam hal ini,  peranan akal adalah sekadar untuk memahami makna butir-butir diri Tuhan yang Dia sendiri telah maklumkan (tajallikan) kepada kita.

Ayat Al-Quran yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad!) "Allah Maha Esa (Ahad)", menegaskan keesaan Tuhan dari segi Zat-Nya kerana Allah adalah nama zat Tuhan. Tetapi ayat yang sama turut menegaskan keesaan Tuhan dari segi sifat-sifat-Nya dan dari segi perbuatan-perbuatan-Nya (af'al) kerana Allah adalah nama Tuhan yang serba meliputi. Di dalam nama Allah terhimpun segala sifat Tuhan atau segala nama-Nya yang lain seperti Al-Rahman, Al-Rahim,  Al-Hayy, Al-Qudus dan sebagainya.

Sifat-sifat Tuhan atau nama-nama-Nya adalah sebenarnya hubungan antara zat Tuhan dan setiap sesuatu selain daripada-Nya. Dengan kata lain, alam semesta mempunyai hubungan dengan Allah menerusi nama-nama-Nya. Malahan alam semesta adalah mazahir (manifestasi) nama-nama Tuhan. Oleh sebab itulah di dalam Al-Quran setiap kali Allah menerangkan tentang sesuatu kejadian yang
dicipta-Nya Dia sudahi keterangan-Nya itu dengan menyebut satu dua nama-Nya.

Sebagai contoh, ayat di dalam surah Yasin yang bermaksud "Dan matahari beredar ke suatu tempat yang sudah ditetapkan baginya; demikianlah ketentuan (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". Ada hubungan hakiki antara peredaran matahari dan dua nama atau sifat Allah yang disebutkan di sini.  Gerakan matahari dan peredarannya yang mematuhi hukum-hukum tertentu adalah manifestasi keperkasaan dan kebijaksanaan Allah. Pengetahuan manusia yang mendalam tentang peredaran matahari di dalam sistem planet kita akan menimbulkan kesedaran di dalam dirinya tentang kekuasaan dan kebijaksanaan Penciptanya.

Al-Quran memang menjelaskan bahawa nama Allah juga meliputi segala perbuatan-Nya. Keesaan Allah dari segi sifat-sifat-Nya yang bermakna keesaan Allah dari segi perbuatan-Nya. Menurut Al-Quran lagi, demikianlah juga sebaliknya. Kesatuan alam semesta membuktikan keesaan Allah.

Sepotong ayat ayat Al-Quran mengemukakan hujjah berikut :

"Kalaulah terdapat di kedua-duanya (yakni langit dan bumi) Tuhan-tuhan selain Allah nescaya rosak binasalah kedua-duanya." [Al-Anbiya' : 22]

Ayat ini menegaskan kepada kita bahawa alam semesta wujud dalam keadaan kesatuan atau dalam keadaan teratur, bertertib dan terencana kerana yang menciptanya ialah Tuhan Yang Maha Esa.

Dengan kata lain, Al-Quran memberitahu manusia bahawa sekiranya mereka mengkaji alam semesta ini dengan teliti serta adil dan saksama (atau objektif, menurut istilah ahli-ahli sains zaman sekarang) maka mereka akan dapati alam ini benar-benar merupakan sebuah kosmos, bukan chaos, yakni alam yang teratur, bertertib dan terencana. Hakikat ini sepatutnya diterima oleh mereka sebagai bukti keesaan Allah.

Ajaran agama memberitahu kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui tentang zat Allah. Hanya Allah yang mengetahui rahsia zat-Nya.   Bagaimana pun, ada dua aspek diri Tuhan yang boleh diketahui oleh manusia. Aspek pertama ialah sifat-sifat-Nya dan aspek satu lagi ialah
aktiviti-aktiviti-Nya. Sebenarnya dua aspek ini tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Aktiviti Tuhan mencerminkan sifat-sifat-Nya dan sebaliknya pada Tuhan menzahirkan sifat-sifat-Nya menerusi aktiviti-Nya.

Di dalam konteks perbincangan kita tentang hubungan antara Tauhid dan sains, adalah penting kita merujuk kepada hakikat bahawasanya manusia boleh mengetahui sifat-sifat dan perbuatan Allah. Suatu soalan yang wajar ditimbulkan di sini ialah adakah sains berkemampuan mencapai ilmu
pengetahuan tentang sifat-sifat Allah dan perbuatan-Nya tanpa bantuan agama atau wahyu??? Tentang perbuatan Allah yang samalah maksudnya dengan alam ciptaan-Nya manusia memang mampu mengetahuinya menerusi daya usahanya sendiri, iaitu dengan membuat pencerapan, menjalankan ujikaji dan analisis rasional dan berbagai-bagai lagi bentuk pengajian dan penyelidikan ilmiah.

Namun demikian perlu ditegaskan bahawa tanpa bimbingan agama kemampuan sains untuk membongkar rahsia alam semesta ini adalah sangat terbatas. Sains akan memperolehi keupayaan yang lebih besar dan akan mencapai kemajuan yang lebih seimbang apabila kegiatannya disinari dengan cahaya agama. jangan sekali-kali pandangan kita dikaburi oleh kejayaan ajaib yang dicapai oleh sains moden, iaitu sains yang kita ketahui telah membelakangkan agama.

Ada beberapa perkara yang patut ada di dalam ingatan kita. Pertama, sains moden tidak bermula daripada tiada dan berakhir dengan segala pencapaian yang menakjubkan seperti yang dapat kita lihat sekarang ini. Sains moden menggunakan tapak sains yang sudah disediakan oleh sains Islam. Dari segi falsafah alam, falsafah manusia dan falsafah ilmu, mungkin sains moden telah berkerat rotan, berputus arang dengan sains Islam dan sain pra-moden yang lain. Tetapi dari segi pengetahuan sains, sains moden adalah kesinambungan daripada sains Islam. Dengan kata lain, sains moden bertitik-tolak daripada pengetahuan saintifik yang sebahagian besarnya adalah sumbangan
tamadun-tamadun beragama, khususnya tamadun Islam.

Kedua, banyak ahli sains yang membuat sumbangan besar terhadap perkembangan dan kemajuan sains moden adalah individu yang mempunyai kepercayaan agama, sekurang-kurangnya kalau dilihat dari kacamata Islam tentang konsep agama.  Tokoh-tokoh sains moden seperti Johannes Kepler, Isaac Newton dan Albert Einstein dan para pengasas ilmu fizik kuantum pada kurun ke-20 ini bukan
sahaja menyakini kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, malah konsep alam semesta mereka hampir-hampir sama dengan konsep alam semesta di dalam Islam yang berdasarkan ajaran Tauhid. Mereka ini boleh saya sifatkan sebagai ahli Tauhid tanpa Nabi dan Rasul dan tanpa syariah. Di dalam kes Einstein, memang ada hubungan konsep yang jelas antara pemikiran sainsnya dan pandangan
Tauhidnya.

Ketiga, sains moden baru berusia lebih kurang 350 tahun. Ini suatu usia yang sangat muda barbanding dengan usia sains di dalam kebanyakan tamadun beragama sebelum zaman moden seperti usia sains Islam yang mampu mempertahankan kegemilangannya selama lebih kurang lapan kurun. Walaupun usia sains moden masih muda, tetapi banyak pemerhati masa kini telah
mengeluarkan pendapat yang era sains moden sudah berakhir.

Teori ilmu dan pandangan alam semesta yang menjadi asas kepercayaan falsafah sains moden sejak kelahirannya pada kurun ke-17M tidak dapat dipertahankan lagi ekoran daripada perkembangan-perkembagan dalaman baru yang dicetuskan oleh sains itu sendiri. Ada pendapat mengatakan manusia Barat sekarang sedang memasuki suatu era baru di dalam sejarah pemikiran sains, iaitu era sains pasca moden.

Berdasarkan ketiga-tiga perkara yang saya sebutkan ini saya ingin menegaskan semula kesimpulan berikut. Walaupun sains mampu menghasilkan penemuan-penemuan saintifik baru, merumuskan teori-teori sains baru dan menghasilkan berbagai-bagai bentuk teknologi baru tanpa bantuan agama, namun pencapaiannya tentu lebih besar, keterangan-keterangannya lebih memuaskan kehendak akal manusia dan kemajuannya lebih menguntungkan umat manusia sekiranya ia berpadu tenaga dengan agama. Dalam hal ini saya ingin memetik kata-kata masyhur Einstein :

"Agama tanpa sains buta, sains tanpa agama cacat."

Bagaimana pula dengan ilmu tentang sifat-sifat Tuhan??? Mampukah sains menemui sifat-sifat Tuhan dengan bergantung semata-mata kepada kaedah saintifik yang sudah terbukti sangat berkesan dan berhasil di dalam bidang pengajian alam lahiriah??? Elok kita bincangkan dahulu secara ringkas sifat
sains dan ruanglingkup kajian saintifik menurut fahaman umum dewasa ini. Tetapi sebelum itu kita boleh memberi jawapan berdasarkan ajaran wahyu Islam.

Ilmu Ilahiyah (metafizik) atau Ilmu Usuluddin memberitahu kita bahawa wahyu adalah satu-satunya sumber ilmu kita tentang sifat-sifat Allah. Allah sendiri yang mengajar kita nama-nama-Nya atau sifat-sifat-Nya. Kalau Dia tidak memberitahu kita tentangnya maka kita tidak akan mengetahuinya. Adalah di luar kemampuan tabii akal manusia untuk membuat penemuan sendiri tentang sifat-sifat Tuhan. Tetapi setelah kita diberitahu nama-nama-Nya akal kita mampu memahami makna yang terkandung di dalam nama-nama itu.

Dan yang pentingnya, menurut Al-Quran, ilmu kita tentang sifat-sifat Allah boleh menjadi lebih mendalam dan lebih meyakinkan dengan bertambahnya ilmu pengetahuan kita tentang alam semesta. Tegasnya, andainya kita berIman dengan sifat-sifat Allah yang diwahyukan menerusi Al-Quran itu maka sains boleh membantu meningkatkan ilmu kita tentang sifat-sifat Allah. Dengan kata
lain, ada peranan bagi sains untuk memantapkan ilmu Tauhid seseorang insan.

RUANG LINGKUP KAJIAN SAINTIFIK

KAJIAN saintifik adalah berdasarkan pencerapan pancaindera, kaedah ujikaji. kaedah matematik yang bersifat kuantitatif dan analisis data (maklumat) secara rasional yang melibatkan fikiran logik (mantik). Bagi tujuan menghasilkan pengumpulan data atau maklumat seseorang ahli sains akan
menggunakan pancainderanya dengan dibantu oleh peralatan saintifik yang terkini. Demikian juga dengan ujikaji. Bagi tujuan membuat pentafsiran data yang sudah terkumpul beliau akan menggunakan peralatan konsep yang sesuai yang tersimpan di dalam fikirannya dan teknik-teknik analisis dan sintesis atau teknik-teknik berfikir yang biasa dikaitkan dengan ilmu mantik.

Pada umumnya, kajian saintifik terbatas kepada benda-benda atau kejadian-kejadian yang dapat dialami oleh pancaindera, yang dapat diukur dan disukat (yakni, yang boleh diberi kuantiti) dan yang boleh dianalisis dengan menggunakan kaedah-kaedah logik. Proses pentafsiran dan ujikaji akhirnya
akan membuahkan hukum-hukum atau teori-teori sains yang merupakan idaman utama ahli-ahli sains.

Maka jelaslah bahawa kajian saintifik sangat sesuai dan berguna di dalam usaha mendapatkan ilmu tentang alam lahiriah dan alam kuantiti. Tetapi kaedah saintifik tidak boleh digunakan untuk mengkaji alam rohaniah, jauh sekali daripada mengkaji sifat-sifat Tuhan. Alam rohaniah tidak boleh dialami dengan pancaindera, tidak boleh diberi kuantiti dan tidak tertakluk kepada hukum-hukum matematik yang bersifat kuantitatif. Namun demikian kita masih boleh bertanya : Apakah tidak mungkin akal manusia melanjutkan proses pentafsiran di dalam sains sehingga menyentuh aspek ketuhanan?

Akal manusia memang mempunyai kecenderungan tabii untuk membuat pelbagai tafsiran apabila ianya disuapkan dengan maklumat-maklumat. Tetapi pentafsiran boleh menghasilkan berbagai-bagai kesimpulan. Kepercayaan yang dianuti seseorang ahli sains boleh mempengaruhi pentafsirannya. Oleh sebab itulah ada ahli-ahli sains yang mengemukakan pengetahuan sains sebagai hujah untuk menafikan kewujudan Tuhan dan menidakkan kebenaran agama.

Tetapi ada pula ahli-ahli sains yang menggunakan pengetahuan yang sama sebagai dalil untuk membuktikan kewujudan agama dan kebenaran agama. Nampaknya, kesimpulan akhir tentang Tuhan dan agama yang dibuat oleh seseorang ahli sains banyak bergantung kepada kepercayaannya tentang Tuhan dan agama yang sedia ada pada dirinya sebelum dia membuat kajian saintifik dan pentafsiran terhadap penemuan-penemuan saintifik.

Jika orang itu sudah berIman sedikit sebanyak dengan Tuhan dan wahyu maka pengetahuan sainsnya akan menjadi bukti kebenaran kepercayaannya. Sebaliknya jika dia tidak percaya kepada Tuhan maka pengetahuan sainsnya akan dijadikannya bukti untuk membenarkan kepercayaannya itu. Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang itu ikhlas untuk mencari kebenaran maka ada kemungkinan besar pengetahuan sainsnya akan mendorong dirinya untuk mengubah kepercayaannya yang tidak selaras dengan pengetahuan itu.

Hakikat inilah yang ditegaskan di dalam Al-Quran. Menurut Al-Quran, orang-orang yang berIman menerima hakikat bahawa seluruh isi alam ini adalah risalah daripada Tuhan. Tetapi orang-orang yang menafikan kewujudan Tuhan berada dalam kebingungan tentang asal usul dan matlamat alam semesta.  Pengetahuan sains mereka lebih banyak menimbulkan tanda tanya daripada menjawab soalan. Ia tidak membawa mereka kepada keyakinan tetapi sebaliknya mencetuskan banyak keraguan di dalam diri mereka. Tegasnya, mereka seolah-olah menemui jalan buntu di dalam pemikiran mereka tentang alam ini.

HUBUNGAN ANTARA TAUHID DAN SAINS

SEPERTI yang telah disebutkan tokoh sains seperti Einstein kuat berpendapat bahawa sains dan agama tidak seharusnya dipisah-pisahkan. Agama memerlukan sains dan sains memerlukan agama. Seperti kata beliau, tanpa sains agama menjadi buta. Dengan kata lain, sains mempunyai peranan penting untuk membantu cahaya agama menjadi lebih bersinar. Kedudukan agama menjadi lebih
kuat dan kukuh apabila penganut-penganut agama itu menghasilkan pengetahuan dan budaya sains yang tinggi.

Begitu juga sebaliknya. Tanpa agama sains menjadi tempang. sains tidak boleh berjalan dengan betul sekiranya ia tidak dibimbingi oleh agama. Itulah yang terjadi sekarang. Sains membawa banyak manusia zaman moden kepada kesesatan serta meninggalkan banyak kesan buruk ke atas kehidupan manusia dan alam sekitar kerana telah disalah-gunakan. Sains moden tempang dari segi teori dan amali kerana ia telah membelakangkan agama.

Khususnya, sains memerlukan bimbingan Tauhid. Dalam sejarah manusia, sudah terbukti bahawa ilmu Tauhid adalah punca utama kemajuan sains. Pemikiran Tauhidlah yang memberi inspirasi kepada Einstein untuk menghasilkan teori-teori sains yang agung pada kurun ke-20 ini. dalam tamadun Islam ilmu Tauhid menjadi asas utama pemikiran sains.

Tauhid juga memerlukan sains. Oleh itu ada kewajarannya bagi kita mengemukakan konsep "Tauhid yang berasaskan kajian saintifik". Ilmu ketuhanan Islam sendiri mewajarkan konsep ini. Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, manusia hanya boleh mengetahui sifat-sifat Tuhan menerusi pengetahuannya tentang alam. Mereka yang belajar "sifat dua puluh" secara tradisionalnya tentu sedar bahawa alam semesta dan segala isi kandungannya dikemukakan sebagai dalil atau bukti untuk membenarkan sifat-sifat Tuhan yang berkenaan. Untuk kita mengetahui Allah adalah perlu kita mempunyai ilmu tentang "selain daripada Allah". Yang dimaksudkan dengan "selain daripada Allah" ialah alam semesta.

Salah satu prinsip yang kita dapati daripada Tauhid ialah prinsip kesatuan alam tabii. Prinsip ini menjadi titik-tolak dan juga matlamat sains Islam. Maksudnya, ahli-ahli sains Islam memulakan kajian saintifik mereka dengan menerima kebenaran prinsip kesatuan alam tabii sebagai akibat daripada
keesaan Allah SWT. Prinsip itu juga dikatakan matlamat sains dalam ertikata bahawa ahli-ahli sains Islam ingin membuktikan kebenaran prinsip ini menerusi sains. Semakin banyak pengetahuan sains yang dicapai semakin benarlah dan semakin kukuhlah prinsip kesatuan alam tabii. Dan secara
implikasi prinsip keesaan Tuhan juga menjadi semakin benar dan kukuh dalam pandangan ahli-ahli sains Islam dan juga masyarakat umum.

KESIMPULAN

MASYARAKAT Islam perlu menyuburkan ilmu Tauhid dan menjadikan ilmu itu sebagai titik-tolak pengajian sains. Dengan berbuat demikian kita akan meletakkan sains di atas landasan pemikiran yang kukuh. Tauhid juga akan menjadi sumber inspirasi utama bagi generasi muda untuk belajar sains dan mengkaji alam yang luas ini.

Masyarakat Islam perlu mempunyai kesedaran mendalam bahawa sains  memperkukuhkan ajaran agama Islam itu sendiri. Kajian saintifik perlu digalakkan sebagai salah satu cara utama yang membolehkan kita memajukan  ilmu Tauhid.


 

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH