Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Ke'ajaiban Hati
Petikan Dari Kitab Sira SSalikin Juzuk Ketiga Karangan Al-Arif biLlah Sheikh Abdul Samad Al-Falambi

Bermula lafaz Qalbun atau hati dan lafaz Ruh dan lafaz Nafsu dan lafaz Aqal itu walaupun bersalah-salahan mafhumnya(maksudnya) tetapi bersamaan makna pada hakikatnya.  Sebab itulah telah menyatakan Imam Ghazali rahimaLlahi Taala dengan katanya;

Makna Qalbun atau Hati

Maka yang pertama itu iaitu lafaz Qalbun yakni hati diistilahkan bagi dua makna.

Makna Pertama ialah daging  yang rupanya seperti buah kayu sanubari yang ditaruh di dalam pihak kiri daripada dada dan di dalam batinnya itu berlubang tempat diam darah yang hitam iaitu tempat terbit ruh dan tempat keluarnya ruh.  Dan daging yang dinamakan hati itu yang atas rupa buah sanubari itu ada juga terdapat pada binatang dan orang mati.

Adapun makna Keduanya ialah Latiifatul Rabbaniyah Ruhaniyah yakni jisim yang halus yang dibangsakan kepada TuhanNya.  Inilah hakikat Ruh manusia seperti firman Allah;  {Kata olehmu ya Muhammad;  bermula Ruh itu perbuatan Tuhanku).  Dan adalah baginya berhubung dengan daging yang bernama hati sanubari itu.  Adalah hati yang bernama Latiifatul Rabbaniyah inilah yang mengetahui akan Allah dan yang mendapat(mencapai) olehnya bagi sesuatu yang tidak mampu didapat dan dicapai oleh khayal dan waham.  Adalah hati yang bernama Latiifatul Rabbaniyah inilah Hakikat Insan dan iaitu yang dikhitob oleh Allah Taala di dalam Alam Arwah dengan firmanNya; (Alastu birabbikum Qaalu bala ertinya Tiadakah Aku Tuhan Kamu?.  Maka berkata sekelian ruh itu;  "Bahkan!  Engkau Tuhan Kami"}.

Dan kepada makna kedua inilah diisyaratkan dengan firmanNya;  {Bahawasanya di dalam demikian itu merupakan peringatan bagi seseorang yang ada baginya hati}.

Dengan itu adalah difahamkan dengan makna yang kedua itu bahawasanya hati itu Ruh jua sebagaimana keterangan pada lafaz Ruh mengikut makna yang kedua sebagaimana keterangan yang berikutnya.

Makna Ruh

Adapun Lafaz Ruh ada baginya dua makna jua.

Makna Pertama,  Ruh Tabie namanya iaitu seperti asap yang tempat terbitnya darah yang hitam yang di dalam batin daging;  dinamakan dia sebagai Hati Sanubari dahulu itu dan terhambur dengan pengantaraan segala urat-urat yang bergerak dan urat-urat yang memalu di dalam segala suku/juzuk badan .  Misalnya itu  seperti cahaya pelita di dalam rumah kerana terang segala penjuru yang di dalam rumah,  kesan  daripada cahaya pelita itu.  Inilah makna yang dikehendaki atau dimaksudkan oleh segala orang yang ahli Tabib(kedoktoran) dengan semata-matanya kepada Ruh yakni dinamakan Ruh Tabie itu akan Ruh Haiwani di mana dengan ruh inilah hidup sekelian haiwan;  keluar masuk segala nafas dan dengan ruh inilah kekalnya darah di dalam segala badan dan apabila terbit Ruh Tabie ini daripada badan haiwan,  maka matilah segala badan haiwan itu dan putuslah nafas dan hilanglah darahnya.

Makna kedua,  ialah Latiifatul Rabbaniyah yakni jisim yang halus yang maujud di dalam badan yang dibangsakan kepada perbuatan Tuhan.  Samalah seperti makna hakikat Qalbun atau hati dengan makna yang kedua seperti yang tersebut di atas.  Maka diketahui daripada ini bahawa lafaz Ruh dan Qalbun itu didatangkan keduanya ini atas makna yang satu iaitu dinamakan Latiifatul Rabbaniyah yang tersebut dan didatangkan keduanya itu atas aturannya yang satu pada hal tiada berbeza dan tiada berlainan melainkan pada ibarat makna pertama  jua.   Kepada makna yang kedua inilah diisyaratkan akan dia dengan firman Allah;  {Dan bertanya mereka itu daripada makna Hakikat Ruh.  Maka kata olehmu;  Bermula Hakikat Ruh itu daripada perbuatan Tuhanku}  kerana hakikat sebenar-benar Ruh itu tidak mengetahuinya melainkan Allah Taala dan orang yang diberiNya Ilmu daripadaNya dengan Ilmu Laduni namanya.

Makna Nafsu

Adapun lafaz nafsu  ada baginya dua makna juga.

Makna Pertama,  ialah makna yang menghimpunkan ia bagi kuat marah dan kuat syahwat dan berhimpun padanya segala sifat kecelaan dan berhimpun padanya segala maksiat yang batin iaitu maksud dengan sabda Nabi SAW; {Bermula yang terlebih sangat jahat daripada seterumu itu ialah nafsumu yang antara dua lambung itu}  Inilah yang disuruh kamu memeranginya dan disuruh memecahkannya.   Dinamakan nafsu kepada makna yang pertama ini akan Nafsu Ammarah yang disebutkan oleh Allah Taala  pada hal menghikayatkan akan hal Nabi Yusof.  Menyatakan Allah akan Nafsu Ammarah itu dengan katanya;  {Tiadalah aku menyucikan diriku daripada kejahatan bahawasanya nafsu itu sangat menyuruh dengan berbuat kejahatan}.

Makna Kedua,  daripada makna nafsu itu ialah Latiifatul Rabbaniyah yakni jisim yang halus yang dibangsakan kepada perbuatan Tuhan.  Ianya tidak lain malah sama dan satu makna juga dengan makna Ruh dan Qalbun.  Ini bererti makna Qalbun,  Ruh dan Nafsu mengikut makna yang keduanya adalah satu jua iaitu Latiifatul Rabbaniyah.  Lafaz nafsu itu diisti'malkan(dipakaikan) oleh ulama Ahi Sufi atas makan satu jua iaitu jisim yang halus yang tiada diserupakan bagi segala jisim yang kasar itu.  Nur bukan seperti nur suatu yang zhohir pada hal tempat terbitnya adalah di dalam hati daging sanubari itu;  dan mesra ia kepada segala badan dan kepada segala anggota.  Inilah hakikat Ruh dan Hakikat Insan yang dengannya berbeza manusia daripada segala haiwan  yang lain daripada makhluk.
 
 
 
 



 
Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Inilah sebahagian daripada pemaparan Urusan Ghoibi(Wahyu) dari firman Allah;

'Lalu kami hembuskan padanya dari ruh kami.'(Surah Al-Tahrim ayat 12)

                                                                                     12.55 pm 06. 02. 2000 /  30  Syawal 1420

 
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH