Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 17. 02. 2000 / 11 Zulka'edah 1420)
Tentera Qalbun @ Hati
Ke Pengajian Terdahulu

Petikan Dari Pengajian Sebelum Ini

Dan apabila tempat Nur itu berserta dengan hati untuk ke Hadirat TuhanNya,  maka kadang-kadang diumpamakan hati itu sebagai kenderaan dan kadang-kadang pula sebagai bala tentera yang akan mengawal dan menjagainya dari serangan anasir-anasir yang jahat sebagaimana ungkapan Kalam Hikmah yang seterusnya oleh  Sheikh Ibnu Athoillah As Kanddari RA;
 

Bermula Nur itu tentera Qalbun seperti bahawa Zulumah itu tentera Nafsu

Terjemahan dan keterangan Tok Pulau Manis.

Dan adalah Nur itu iaitu Nur Makrifat dan Haqaiq yang beroleh faedah daripada segala Ma'ani Asma dan sifat tentera Qalbun.

Yakni Akal yang Muqabalah dengan dia nafsu dan hawa dan syaitan seperti bahawa Zulumah yang iaitu kejadian hawa dan segala adat yang jahat dan segala perangai yang rendah tentera Nafsu Ammarah iaitu Zulumah Al-Jahil yang disertakan dengan waswas syaitan yang menguatkan dengan dia Asarnya dan berperang antara keduanya itu;  sekali menang,  sekali alah.

Keterangan Suluk

Sebagaimana yang telah termaklum daripada Pengajian terdahulu,  bermula Nur itu ialah sesuatu yang bermaksud kepada Nur Islam atau  Nur Iman atau  Nur Tauhid atau Nur Makrifat.   Kita dapati keterangan di atas adalah merujuk kepada puncak  Nur yang tertinggi;   yang menjadi maksud kaum sufi untuk mencapai kehampiran dengan Allah.  Dengan itu,  Nur yang dimaksudkan di sisi mereka ia Nur Makrifat di mana  dengannya dapat menjejaki Hakikat sesuatu atau "Haqaiq".  Haqaiq adalah keadaan di mana hamba yang hatinya dipenuhi dengan limpahan faedah-faedah daripada segala Tajalli Asma dan sifat tentera Qalbun.

Yang dimaksudkan dengan faedah daripada segala Tajalli Asma ialah Nur yang menjadikan jiwa atau hati itu yang akan sentiasa tersyuhud(memandang dengan penglihatan mata batin)  pada tiap-tiap sesuatu di sekelingnya adalah merupakan  kenyataan yang menunjukkan kepada betapa nyata dan terangnya kewujudan dan keesaanNya Allah Yang Meliputi di atas segala sesuatu.  Kenyataan ini adalah  melalui kemuliaan Nama-NamaNya seperti Al-Halim,  Al-Latif,  Al-Hayun,  Al-Mutakallimun dan berbagai-bagai Nama lagi.  Mengikut keterangan guru suluk ianya bermaksud;  dikenal dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah atas segala apa yang berlaku pada diri dan yang lain.

Umpamanya seorang yang melihat akan baiknya budi pekerti seorang manusia dengan sifat lemah-lembutnya,  tidak  pemarah dan pemaaf,  maka ditanggapi oleh mata hatinya bahawa inilah kenyataannya Sifat Al-Halim atau Al-Latif Allah Taala yang dizhohirkan pada seseorang itu.  Demikian juga contohnya seorang yang menyaksikan satu bala bencana yang menimpa seperti gempa bumi atau ribut taufan,  maka pandangan mata hatinya akan terus sahaja tersyuhud kepada sifat Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Menghendaki.  Bukan dilihat atau dianggapi sebagai satu fenomena alam atau semata-mata kerana sebab-sebab manusia derhaka sebagaimana sangkaan si jahil yang sesat aqidahnya.

Keadaan hati yang menanggapi kenyataan keesaan Allah melalui Nama-namaNya,  atau keadaan hati yang sentiasa tersyuhud untuk memandang akan kenyataan Sifat-Sifat Allah pada penzhohiranNya adalah juga merupakan  Sifat Tentera Qalbun.  Ini adalah kerana dengan Nur Yang Tahqiq(teguh dan mantap) ini,  segala sesuatu yang batil dan tidak punya hakikat akan terus binasa dan tidak ada kenyataannya bila berhadapan dengan Nur ini.

Dengan sebab itulah dalam keterangan berikutnya Tok Pulau Manis melanjutkan makna tentera Qalbun ini dengan katanya;  Yakni Akal yang Muqabalah dengan dia nafsu dan hawa dan syaitan seperti bahawa Zulumah yang iaitu kejadian hawa dan segala adat yang jahat dan segala perangai yang rendah tentera Nafsu Ammarah yang bermaksud Akal atau Hati yang sentiasa bersedia berhadapan dan membetuli(Muqabalah)dan melemahkan ketamakan nafsu dan keinginan hawa serta setiap tipu daya syaitan.  Ini adalah kerana musuh utama yang ada pada seorang hamba ialah sesuatu yang sentiasa berada dalam dirinya sendiri yang terdiri daripada; Mereka ini adalah merupakan lawan dan musuh kepada tentera Qalbun itu yang sentiasa mencari jalan untuk memperdayakan hamba Allah dengan pelbagai taktik dan siasah yang halus-halus.

Dengan itu bolehlah dikatakan;  musuh kepada tentera Qalbun (Nur Makrifat) ialah Zulamah.   Ini adalah kerana  Zulamah itu ialah sesuatu yang merujuk kepada keinginan dan kehendak hawa nafsu,  adat-adat yang jahat seperti makan yang berlebihan,  tidur yang banyak,  mensia-siakan waktu dsb;  dan perangai atau peribadi yang rendah seperti kasihkan dunia,   tamak,  takbur,  riya dan sebagainya.  Semuanya ini adalah merupakan sifat-sifat"tentera Nafsu Ammarah iaitu Zulumah Al-Jahil yang disertakan dengan waswas syaitan yang menguatkan dengan dia Asarnya" membawa maksud sifat-sifat yang terbit keluar dari dorongan Nafsu Ammarah yang rendah lagi hina seumpama haiwan itu ialah Zulumah Al-Jahil.  Zulumah Al-Jahil ialah kegelapan kejahilan hati tersebut yang disertakan dengan waswas syaitan yang menguatkan lagi tentera Ammarah dengan bekas-bekasnya.

Antara contoh gelap kejahilan ialah seperti yang berlaku pada ;

Hal-hal ini dikuatkan lagi dengan waswas syaitan yang sentiasa meniupkan berbagai-bagai waham,  seperti; dan berbagai-bagai lagi fahaman dan prinsip hidup yang didalangi oleh Zulamah Al-Jahil;  tentera Nafsu Ammarah yang rosak lagi merosakkan itu.

Maka sentiasalah tentera dari Nafsu Ammarah ini menyerang dan cuba merobohkan tugu-tugu keyakinan serta keimanan hati seorang hamba dengan menyuntik pelbagai isme-isme dan prinsip hidup yang batil yang menerbitkan peribadi-peribadi yang rendah.   Demikianlah jua dengan tentera Qalbun dari Nur Makrifat ini,  akan sentiasa mempertahankan hati itu dan kadang-kadang menyerang kembali dengan panahan dan pancaran cahaya kebenaran yang menerbitkan peribadi yang berjiwa halus,  tinggi dan mulia.  Pendek kata,  sentiasalah berlaku" dan berperang antara keduannya itu;  sekali menang,  sekali alah "  yang saling mengambil tempat dalam hati seorang hamba.  Sesekali menang tentera Qalbun yakni Nur;   dan pada waktu yang lain pula,  menang tentera Zulumah yakni Ammarah.  Peperangan dan perjuangan antara kedua-dua pihak ini tidak pernah reda dalam kehidupan seorang hamba sehinggalah dia mendapat pertolongan dari Allah Taala.

Oleh yang demikian;   apa yang perlu difahami di sini  ialah jika Nur Makrifat itu adalah merupakan sebagai Tentera pada Qalbun,  manakala Zulamah pula adalah tentera bagi Nafsu Ammarah.  Kenapa dikatakan Nur itu sebagai tentera Qalbun sedangkan Zulamah itu sebagai tentera Nafsu Ammarah?.  Jawapannya dan keterangan mengenai persoalan ini  ialah dari;

Terjemahan dan keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Dan adalah demikian itu kerana bahawasanya Nur itu hasil dengan dia "Kashaf" dan "Ilmu" dan "Tahqiq";  dan jahil itu hasil dengan dia batil dan binasa.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas mempertemukan kita dengan apakah maksud sebenarnya Nur sebagaimana yang telah dibahaskan dalam pengajian  sebelum ini.  Kali pertama Nur ini dianggap sebagai kenderaan,  dan kali  yang keduanya sebagai tentera.  Di sini dapatlah difahami bahwa Nur itu adalah sesuatu yang bersifat Kasyaf(membukakan sesuatu yang ghaib),  berpengetahuan(punya ilmu yang semulajadi)  dan teguh dan mantap dengan Hakikat Kehambaan dan Hakikat Ketuhanan.   Kasyaf yakni pembukaan mata hati untuk menerima sesuatu yang hakiki dalam alam ghaib atau alam tinggi adalah merupakan limpahan anugerah yang diberikan kepada hamba-hamba pilihanNya.  Dengan ini mereka akan mendapat Ilmu-ilmu yang terus dari Allah atau Ilmu Laduni yang didapati bukan dari timbunan kitab-kitab tetapi ilmu hakikat yang menjadi Rahsia kekuatan jiwanya dan ketajaman mata hatinya untuk mengerti dan memahami bahawa pada tiap-tiap sesuatu yang disyariatkan Allah itu ada hikmah dan kenyataan hakikat Agung dan EsaNya Allah.

Demikian juga kita dapat memahami di sini lawan kepada Nur itu ialah Jahil;   yakni jahil akan Hakikat Ketuhanan dan Keesaan Allah serta jahil akan Hakikat dirinya sendiri.  Bukanlah semata-mata ditujukan maksud jahil ini kepada mereka yang tidak tahu membaca dan menulis;  tetapi ditujukan juga kepada semua golongan manusia termasuk yang berilmu.  Ilmu pada sijil,  pada diploma,  pada ijazah,  pada phd,  tetapi jahil dengan Makrifat Allah dan hakikat dirinya dan hakikat sesuatu.  Dan sesungguhnya kesan pada kejahilan ini ialah;

Pakai serban panjang,  jubah yang labuh,  cekap berceramah dan berpidato  serta bertimbun-timbun kitab bukan dalil yang menunjukkan ianya kashaf atau berilmu tetapi dengan hadirnya Nur Makrifat pada hati yang suci bersih dari agyar dan akdar.

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Dan apabila ada yang awal itu alah (kalah/tewas)oleh hawa nafsu,  maka hilanglah yang Haq;  atau kedua itu oleh yang awal,  maka diperolehlah yang Haq.

Keterangan Suluk

Apabila yang awal itu yakni Nur itu dikalahkan oleh nafsu syahwat seperti tamakkan dunia yang hina dan kotor ini,  maka hilanglah yang Haq.  Bila hilang yang hak,  muncullah yang batil melalui ungkapan-ungkapan atau peribadi-peribadi yang menjurus ke arah usaha untuk memaksudkan cita-cita keduniaan dengan sikap yang buruk dan jahat seperti tamak,  ego,  hipokrit,  ingin jadi ketua,  kasihkan pangkat,  merendahkan diri kepada sesama makhluk dan lain-lain lagi dari sifat-sifat kebinatangan dan keiblisan.

Apabila yang kedua menang yakni Nur,  maka terbinalah yang Haq.  Apabila berdiri yang haq maka muncullah  seorang insan yang berhati mulia   seperti Khauf,  Roja',  Redho,  Sabar,  Tawakkal,  Ikhlas dan sebagainya dan berkeperibadian yang tinggi seperti "Isar" melebihkan kepentingan orang lain atas kepentingan diri sendiri,  pemaaf,  suka bersedekah (harta, tenaga atau ilmu) kepada yang memerlukan,  wara',  zahid dengan dunia,  qana'ah yakni mencukupi dengan apa yang ada serta berbagai-bagai sifat-sifat yang mulia dan tinggi seperti yang terjelma pada para Mursalin,  Ambiya,  Aulia Allah dan Sholihin.

Dengan kerana inilah,  bagi golongan Ahli Tasauf,  mereka lebih mementingkan dan mengutamakan sesuatu yang Haq dari yang batil.  Perjuangan mereka adalah untuk mendapat limpah kurnia Nur ini dengan pelbagai latihan dan persediaan hati tanpa banyak memikirkan persoalan keduniaan yang tempat akhirnya sama ada pada jamban tahi(tandas) atau tinggalan yang tidak di bawa ke alam kubur nanti.

Kalam Hikmah yang seterusnya oleh  Sheikh Ibnu Athoillah As Kanddari RA;
 

Maka apabila dikehendaki Allah menolong akan hambaNya,  nescaya ditolong akan dia dengan segala tentera Nur dan diputuskan daripadanya tolong Zulumah dan Agyar.

Terjemahan dan keterangan Tok Pulau Manis.

Yakni apabila dikehendaki Allah Taala menolong akan hambanya atas segala seterunya;  iaitu nafsunya dan hawanya,  maka dikurnia hatinya dengan segala Tentera Anwar;   iaitu Taufiq dan Hidayah.  Mata tatkala mendatang akan dia Zulumah,  maka berdirilah baginya Nur maka hilanglah baginya Zulumah daripadanya.  Maka hasillah baginya Ilmu dan Tahqiq dan "Ilham" iaitu Kasyaf.  Maka terbukalah hatinya kepada barang yang diketahuinya daripada kebajikan dan kejahatan hingga berhadaplah ia atas Haq Taala,  dan berpaling ia daripada barang yang lainnya.

Keterangan Suluk

Apabila Allah Taala dengan Rahmat dan Kasih Sayangnya ingin menolong dan memenangkan hambaNya  dalam berhadapan dengan musuh atau seterunya yang licik dan bersiasah,  maka dilimpahkan hati tersebut dengan segala tentera Anwar iaitu Taufiq dan Hidayah.  Bermula makna hidayah ialah petunjuk-petunjuk ke arah jalan yang benar,  manakala Taufiq itu bermaksud kekuatan atau keupayaan untuk melakukan sesuatu.  Dengan Nur Taufiq dan Hidayah inilah,  segala Zulumah yang terdiri dari kejahilan, kejahatan,  kerakusan nafsu dan tipu daya syaitan akan dapat diluputkan dari terus menggoncang pintu hati seorang hamba.   Bila Zulumah ini dapat disingkirkan,   maka berhiasilah hati atau jiwa tersebut dengan Ilmu Tauhid yang teguh serta Ilmu Laduni yang membukakan sesuatu rahsia dari alam ghaib..

Dengan pancaran dan pembukaan Ilmu Laduni dan Kasyaf ini,  akan terbukalah segala sesuatu yang sebelum ini terselindung malahan dapat dibezakan antara yang haq(benar) dengan yang batil(salah).  Umpamanya seorang yang punya Ilmu Laduni ini akan bisa menanggapi rahsia-rahsia dan kenyataan hakikat di sebalik setiap pelakuan yang berlaku pada dirinya atau manusia lain.  Dapat dilihatnya sama ada ianya dari dorongan nafsu atau syaitan yang berwajahkan kebaikan tetapi penuh muslihat atau ianya adalah sebagai kenyataan makna-akan hakikat dari Allah Taala.  Suka saya petik satu kejadian yang pernah berlaku pada seorang murid Sheikh Junaid yang mendakwa dirinya telah sampai kepada Allah sedangkan ianya telah tertipu oleh iblis laknatullah.  Sila lihat tajuk Tipu Daya Syaitan Pada Murid Sheikh Junaid Al-Bagdadi

Dengan dapat membezakan mana yang batil dan mana yang haq,  maka berpalinglah hamba itu daripada menilik dan cenderung kepada sesuatu selain daripada Allah,  malahan berhadaplah hati hamba itu kepada Allah Taala semata-mata.

Terjemahan dan keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Dan diputuskan Allah daripadanya segala  tolong Zulumah dan Agyar iaitu segala adat nafsu dan segala syahwatnya.  Maka tiadalah tinggal tinggal lagi bagi hawa itu jalan,  dan tiada bagi syahwat dan segala perangai yang jahat itu Maqam dan tiada Hal.

Keterangan Suluk

Seterusnya  Allah Taala menolong hamba tersebut dengan menjauhkannya dari  segala gangguan dan cengkaman Zulumah yang terdiri daripada segala sesuatu yang melalaikan,  melindunginya dari segala adat nafsu syahwat yang terdiri daripada sifat-sifat Mazmumah.   Tidaklah lagi ia terikat dengan adat kebiasaannya yang rendah,  perangai dan budi pekerti yang jahat serta kecenderungan kepada maksud keduniaan.   Bebaslah hamba tersebut daripada menduduki maqam yang ghaflah dan hal-ahwal syaitan yang menyesatkan.

 Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya di bawah tajuk  Perang antara Nur dan Zulumah

Insya Allah.....jika direzekikan lagi.

Allahu Allah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar