Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Maafkan aku kerana "terpaksa" mencelah.  Aku amat yakin sekali saudaraku Abdul Jamil akan dapat memberikan jawapan yang terbaik daripada apa yang diajukan oleh saudara Habib.  Aku yakin kerana aku meyakini makrifat yang dipancarkan saudara Abdul Jamil adalah dari ilmu yang benar;  dari sumber yang benar.  Pertanyaan itu adalah juga pertanyaan yang benar kerana aku meyakini ianya juga adalah berpunca dari  ilmu yang benar.  Oleh itu aku serahkan kepada saudara Abdul Jamil untuk membukakan jalan-jalan itu atau menzhohirkan bintang-bintang yang dicapai untuk dinilai oleh saudara Habib.  Dan aku pula.....hanya menumpang limpahan barakah-barakah itu.

Dalam tafakkurku aku sering berkata;  Adakah mungkin yang tidak wujud ini boleh mengenali yang wujud?.  Bolehkah yang kasar menyentuh yang halus?  Mampukah yang rendah mencapai yang tinggi?.  Bolehkah jasad menemui jalan kepada Ruhul Qudus?  Jawapan yang diberikan terlalu bersahaja.  Tidak mungkin;  mustahil.

Jika ianya mustahil  maka yang sebenarnya ialah boleh aku katakan;

Hanya yang wujud boleh mengenali yang wujud.
Hanya yang halus boleh menyentuh yang halus.
Hanya yang tinggi boleh mencapai yang demikian.
Hanya ruh jua yang boleh mendapatkan Ruhul Qudus

Tidak lain wujud itu sendirilah yang mengetahui wujudnya dan mengenali zatnya.  Dialah juga yang menguasai ilmunya,  menilik ilmunya dan Dialah juga yang menzhohirkan keindahanNya Yang Maha Sempurna.  Segala-galanyanya adalah Dia Yang Maha Meliputi di atas segala sesuatu.  Meliputi Laduni pada Abdul Jamil;  Anak Kunci Perbendaharaan pada Habib;  tulisan-tulisan Suluk,  Makrifat Aulia Allah,  Piala Muhammad Para Ambiya dan Mursalin dan lain-lain tajalli lagi.  Di daerah ini tidak kelihatan kecuali Aku Yang Haq.  Selama-lamanya Aku Yang Haq ini akan meliputi tiap-tiap sesuatu.  Kenapa dipandang pada yang lain?  Kenapa ditilik kepada tajalli?  Kenapa disandarkan kepada diri sendiri?  Sesuatu selain dariku adalah tidak wujud dan tidak berhak untuk mengaku ianya wujud?  Bagaimana pula ia mendakwa mengenaliku???.  Hanya aku yang dikenal dan aku jua yang mengenal.

Dalam lautan wujud,  tidak ada mutiara selain daripada makrifat diri.  Kita sendiri berpusing sekeliling diri kita seperti pusaran air.  Ada revolusi dalam tindak tanduk kita,  akhlak kita dan dari syirik yang halus kepada Tauhid.  Tidak perlu memfanakan diri kerana anda tidak dapat memfanakan apa yang tidak wujud.  Revolusi akhlak dan perbuatan tidak perlu benar seperti revolusi dari syirik tersembunyi kepada Tauhid.  Pada masa hidup Rasulullah,  perkara menghapuskan syirik ini adalah satu agenda yang amat penting sekali. Yunus:106 bermaksud: "Mereka yang beriman dengan Allah tetapi masih banyak daripada mereka yang syirik".{Yunus:106). Apa sahaja yang  ghair adalah sebenarnya Haq.  Anda anggap diri anda dan dunia itu sebagai ghair.  Anggaplah diri anda dan dunia ini sebagai Haq dalam Mujrad dan dalam perincian.  Dalam ketenangan Ahdiyah,  Dalam buih Wahdah dan dalam ombak Wahdiyah hinggalah ke Insanul Kamil anda adalah HakikatNya.  Anda adalah Dia,  anda adalah Engkau dan anda adalah Aku dan di mana-mana sahaja peringkat anda adalah Ia jua.

Sembahyang,  puasa,  khalwat dan biji tasbih adalah untuk memerhatikan Haq dalam diri dan di pasir-pasir di tepi pantai.  Anda perhatikan ombak,  tidak nampak air.  Ombak adalah bentuk-bentuk dalam khayalan.  Hakikatnya adalah air.  Anggaplah wujud anda sebagai wujud Allah dan perbuatan dan sifat anda sebagai perbuatan dan sifat Allah.  Pertama sekali,  hilangkan diri anda,  kemudian cari semula apa yang telah hilang itu dalam wujud.  Mula-mula anggaplah diri anda telah fana dan kemudian Hakikat Haq adalah Hakikat Anda.

Ilmu bukanlah hanya dipelajari dan difikirkan tetapi adalah lebih dari itu lagi;  iaitu Hal.  Apabila Hal ini berkekalan ia menjadi maqam.  Ada orang dapat hal ini sebentar sahaja,  ada yang lebih lama dan ada pula yang berkekalan.  Firman Allah;  "Dan mereka yang berkekalan dalam sembahyang mereka".  Mikraj dan Lailatul Qadr adalah ketiga-tiga ini.  Orang boleh mendapat Hal dan Washil yang berlainan jenis;

Abid mendapat hal di mana didapatinya dirinya sebagai galian yang tidak bergerak.
Asyik memerhatikan keindahan Haq dalam berbagai-bagai objek.
Mutakalliq menukar sifatnya kepada sifat-sifat Haq.
Muwahid fana dalam zat,  didapati zatnya bertukar kepada Zat Haq.
Mutahaqqiq ialah mereka yang turun dari Zat kepada Sifat.

Perlu aku maklumi kepada saudara-saudaraku.  Dalam fekah aku bermazhabkan Imam Syafie,  Dalam Usuluddin aku bersandarkan kepada Asy'ariah;  Thoriqat/Tasauf aku berpenghulukan Sheikh Junaid Al-Bagdadi dan dalam Makrifat aku tidak bermazhabkan sesiapa kecuali Aku sendiri yang menjadi mazhabnya."Ma 'arfnaaka haqqan ma'rifatik"  Aku tidak mengetahui Yang Haq setakat lebih dari yang diperlui oleh pengetahuan Yang Haq.

Kalian bebas mengutarakan apa-apa sahaja ilmu atau makrifat yang anda capai.  Turutilah jalan mana-mana yang terdorong.  Katakan sahaja apa yang ingin anda katakan. Ianya tidak lebih daripada memperkatakan Hal kerana "Hal mestilah menjadi hakikat kata-kata"  Kata-kata itu menunjukkan hal-ahwal anda.  Hal-ahwal anda dan aku adalah cermin Asma,  Af'al,  Sifat dari Zat itu.  Terhimpun dalam Kesatuan Wahdah dan diperincikan dalam Kasrah  Dan aku berada di mana-masa peringkat sahaja kerana aku adalah Yang Wujud.  Yang tidak wujud tidak tahu dan tidak boleh untuk mengatakan sebagaimana yang aku katakan ini.

Sekian,  sekadar mencelah di celah-celah kearifan saudara-saudaraku.

Fakir Suluk.
11.30 pm  20.11.99