| Beberapa Petanda Susahnya Amalan Batin |
Ketika kita sembahyang, lahirnya kita berdiri,
rukuk dan sujud dengan mula terkumat-kamit memuji dan berdoa kpd Allah,
tetapi sebenarnya di manakah hati kita (ingatan
dan fikiran)? Adakah ia juga mengadap Allah, khusyuk dan tawadhuk
serta merasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan
serta malu dan takut kepada Allah swt? Atau adakah hati kita terbang
menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah Yang Maha
Agung yangg sedang disembah? Begitu juga ketika kita membaca Al-Quran,
berselawat, berzikir, dan sebagainya lagi... adakah roh kita turut
menghayatinya?
Pernahkah kita merasa indah bila bersendirian di tempat sunyi kerana
mengingati Allah dan menumpukan sepenuh perhatian
kepadaNya, merasa rendah dan hina diri, menyesali
dosa dan kelalaian, mengingatiNya sambil berazam untuk memperbanyakkan
amal bakti kepadaNya?
Kalau ada orang Islam yang ditimpa bencana dan berada dalam penderitaan,
adakah hati kita merasa belas kasihan untuk membantu
atau mendoakan dari jauh agar mereka mendapat
pertolongan dari Allah?
Pernahkah kita menghitung dosa kita, lahir dan batin? Bila teringatkan
dosa-dosa kita, adakah mudah untuk kita menangis
menyesali diri sambil memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya?
Adakah kita sentiasa mengingati pada mati yang akan
datang beberapa saat saja lagi? Sebab Tuhan
memang boleh buat begitu. Jadi ketika umur masih ada ini, adakah kita berusaha
mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepadaNya?
Pernahkah kita hitung berapa banyak harta kita, duit
kita, rumah kita, kereta kita, motosikal kita,
perabot kita, pinggan mangkuk kita, periuk belanga kita, kain
baju kita, kasut kita, makanan kita, dan lain-lain kepunyaan kita yang
melebihi dari keperluan kita sendiri (yang halal)? Kerana yang mana
berlebihan itu akan dibicara, dihisab, ditanya, dicerca,
dan dihina oleh Allah di padang Mahsyar nanti
kerana membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat?
Pernahkah kita kenangkan orang-orang yang pernah
kita kasari, umpat, tipu, fitnah, hina, kutuk,
dan aniaya sama ada suami, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai,
jiran dan sesiapa saja, supaya kita meminta maaf dan membersihkan
dosa dengan manusia di dunia ini lagi tanpa menunggu hari yang dahsyat?
Senangkah kita untuk memaafkan kesilapan orang lain dan adakah kita
mudah untuk terus meminta maaf bila bersalah?
Apabila kita sakit kerana ditimpakan oleh Allah,
dapatkah kita tenangkan hati kita dengan rasa
kesabaran dan kesedaran bahawa sakit adalah kifarah dosa (pengampunan
dosa) atau sebagai darjat dan pangkat di sisi Allah swt? Ketika
menerima takdir yang kita rasakan tidak sesuai dengan kehendak kita,
dapatkah kita rasa redha bahawa ia adalah satu pemberian
daripada Allah
yang patut untuk kita?
Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati bahawa
ia adalah pemberian daripada Allah, lalu timbul
rasa terima kasih kepada Allah dan rasa takut kalau-kalau
ia tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berazam untuk menggunakan
nikmat itu demi Allah jua?
Kalau ada orang yang mengata atau mencerca kita di
belakang kita, dapatkah hati kita merasa tenang
lalu kita diamkan sahaja (tanpa rasa sakit dan susah hati
serta dendam) bahkan kita memaafkan orang itu sambil mendoakan kebaikan
untuknya sebab merasakan ia telah memberikan pahala kepada kita
melalui cercaannya itu?
Begitu juga kalau orang menipu, menganiaya dan mencuri
harta kita, mampukah kita relakan saja atas
dasar kita mendapat pahala menanggung kerugian
itu?
Kalau orang lain mendapat kesenangan dan kejayaan,
dapatkah kita merasa gembira dan turut bersyukur
serta mengharapkan kekalnya nikmat itu bersamanya
tanpa ada rasa dengki dan sakit hati dengan kejayaan org itu?
Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu orang itu memerlukan sesuatu yang kita juga perlukan?
Adakah kita merasa puas dan cukup dengan apa yang ada tanpa mengharapkan apa yang tidak ada?
Susah agaknya untuk kita menjawab soalan-soalan
di atas dengan jawapan-jawapan yang sepatutnya
kerana sememangnya susah seorang buat insan biasa seperti kita untuk benar-benar
menyempurnakan amalan batin. Walau bagaimanapun
kita seharusnya menyimpan niat di hati kita dan seterusnya bersungguh-sungguh
bermujahadah untuk menyuburkan amalan-amalan batin kita
kerana amalan batin adalah lebih penting dari amalan
lahir.
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak memandang akan rupa dan harta kamu, tetapi
Dia memandang hati dan amalan kamu."
(Hadith Riwayat Muslim)
Firman Allah pula yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah
apa yang ada
pada kaum itu, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada
dalam diri mereka (hati mereka)."
(Surah Ar-Raad: ayat 11)
Marilah kita cuba tekunkan diri untuk membersihkan dosa lahir dan batin kita. Mari kita bermujahadah untuk itu. Mudah-mudahan Allah menolong dan meredhai kita.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan mereka yang bermujahadah kepada
jalan Kami,
nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya
Allah berserta dengan orang-orang yang berbuat baik."
(Surah Al-Ankabut: ayat 69)