Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 11.03.1999/22 Zulkaedah 1419)
Rezeki Makrifat Dan Hakikat


Kata Sheikh Ibni Arabi;

Bermula tiap-tiap orang yang percaya ia daripada dalil maka tiada dapat dipegang pada Imannya kerana bahawasanya ia Nazhori, maka iaitu mendatangkan bagi kecederaan; bersalahan Iman yang Dhoruri iaitu yang didapati dalam hati dan tiada boleh ditolakkan; dan demikian lagi tiap-tiap ilmu yang hasil daripada fikir dan nazhor maka ia Madkhul tiada sejahtera ia daripada masuk syubahat atasnya.

Keterangan Suluk

Ibni Arabi telah membahagikan keadaan Iman itu kepada dua bahagian iaitu;

Adapun perbezaan antara dua jenis Iman adalah tersangat jauh bezanya kerana Iman yang Nazhori itu adalah semata-mata dengan pengajian Ilmu Akal di mana untuk membuktikan Wajudnya Allah ini, Alam ini digunakan sebagai dalilnya. Ada Alam ini menunjukkan adanya Allah yang menjadikannya.

Manakala Imam Dhoruri pula adalah keyakinan kepada Wujudnya Allah tanpa sedikitpun Nazhor(tilik atau fikir) bahkan semata-mata keimanan yang dianugerahkan dalam hati secara langsung dari Allah tanpa sebarang usaha pengajian yang memerlukan bukti dan dalil. Malah Allahlah yang menjadi dalil pada wujudnya Alam ini.

Dengan demikian segala bentuk Ilmu Pengetahuan yang bersumberkan akal dan logik semata-mata tidak dapat lari dari Madkhul(ada penyakit/kecacatan)yang memungkinkan berlakunya kesalahan, kekeliruan, salah kefahaman atau berdasarkan atas gerakan nafsu syahwat yang halus lagi tersembunyi. Ilmu akal ini mungkin benar dan betulnya tetapi kesilapan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Seperti contohnya orang yang mengatakan Ada Alam ini menunjukkan adanya Allah. Jika ditanya "Jika tidak ada Alam ini maka adakah Allah juga tidak ada??". Inilah antara kerapuhan dan kecacatan atau penyakit yang ada pada Ilmu Yang Hasil dari fikir semata-mata.

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari
 

Hendaklah dibelanjakan oleh orang yang mempunyai keluasan daripada keluasannya dan mereka itulah orang yang Washil dan barangsiapa dipicikkan atasnya rezekinya maka hendaklah dibelanjakan daripada barang yang dianugerahkan Allah akan dia dan mereka itulah orang yang berjalan kepadaNya.

Pengertianya Oleh Pengarang (Tok Pulau Manis).

Segala orang yang Wasil itu telah diluaskan(Dikayakan) atas mereka itu rezeki hatinya (dengan) Maariful Lidunniyah dan faham hakikat daripada Allah dengan Isyarat dalam Muqhotobah(berbicara) dan Munajat hingga mengambil dalil mereka itu dengan dia atasnya(Allah). Maka mereka itulah orang yang ahli keluasan. Maka keluar mereka itu daripada penjara melihat lainnya kepada padang tauhidNya. Maka luaslah Nazhor mereka itu, maka dibelanjakannya atas sekadar barang yang kepada mereka itu keluasannnya(Ilmu Makrifat)

Dan segala orang yang Salik itu telah dipicikkan (disempitkan)mereka itu dalam rezeki Ulum(Ilmu Makrifat) dan faham (hakikat). Maka terpenjara mereka itu dalam picik Khayaalat Al-Rusum(bekas-bekas Masyiwallah/masalah keduniaan). Maka dibelanjakan mereka itu daripada barang yang didatangkan Allah akan mereka itu daripada rezeki yang picik hingga berkehendak kepada Istidlal(dalil) atas yang tiada berkehendak ia kepada dalil(yakni Allah).

Keterangan Suluk

Perbicaraan Kalam hikmah di atas adalah berkisar kepada perbezaan anugerah rezeki daripada Ilmu Makrifat dan Faham Hakikat kepada dua golongan manusia iaitu;

Adapun orang-orang yang Washil yang terdiri dari golongan ArifbiLLah telah diluaskan pandangan makrifat mereka dengan Ilmu Yang Terus dari Allah yang memenuhkan hati mereka itu dengan penerangan makrifat dan hakikat pada segala sesuatu sama ada yang dipandang, yang dilihat, yang didengar, yang disentuh atau yang dirasai. Dalam setiap hal atau keadaan, Jiwa mereka sentiasa terbuka dan dihadapkan dengan isyarat-isyarat Ketuhanan melalui Muqhotobah(berbicara Sir dengan Allah) dan Munajat.Dengan cetusan Ilmu Laduni yang hasil dari isyarat-isyarat ini, mereka menjadikannya sebagai dalil ke atas Keesaan dan Kamalatnya Allah. Mereka mengenali Allah dengan Allah di mana Allahlah yang meliputi segala sesuatu. Dengan itu mereka ini digelar sebagai orang yang ahli keluasan(makrifat dan hakikat).

Dengan rezeki (Ilmu Makrifat) dan faham (hakikat)inilah mereka ini dibebaskan daripada kurungan(penjara) pandangan basyariah kepada padang Tauhid Uluhiyah dan Rububiyah di mana pandangannya hanya Allahlah yang semata-mata wujud dan memerintah segala sesuatu di Alam ini tanpa sedikitpun campurtangan dirinya atau makhluk. Merekalah Ahli Tauhid yang bebas dari sebarang syirik sama ada Syirik Jali atau Syirik Khofi. Mereka tenggelam dalam lautan musyahadah dan mukashafah dengan Allah.

Maka luaslah Nazhor mereka itu, maka dibelanjakannya atas sekadar barang yang kepada mereka itu keluasannnya(Ilmu Makrifat)bermaksud telah memenuhi hati mereka dengan Ilmu Makrifat yang menjadikan mereka itu Ahli-ahli hikmah yang akan menggunakan pengetahuannya sama ada untuk kebaikan dirinya atau untuk disebarkan kepada orang lain mengikut kadar makrifat yang dianugerahkan dari Allah sebagai usaha untuk memaknakan Tauhid. Benarlah kata-kata setengah sufiah

"Sufi itu mulanya satu titik air dan menjadi lautan. Fananya diri itu meluaskan keupayaannya. Keupayaan setitik air menjadi keupayaan lautan."

Adapun golongan kedua iaitu orang-orang Salik hanya mendapat rezeki yang sedikit sahaja mengenai Ulum(Ilmu Makrifat) dan faham (hakikat).Dengan sebab itu masih lagi dipenjara dan dibayangi dengan kesempitan khayalan pemikiran mereka dengan Masyiwallah(sesuatu selain daripada Allah) yang terdiri daripada masalah-masalah keduniaan, keperluan basyariah dan runtunan nafsu syahwat.

Dengan ini mereka hanya mempunyai sedikit sahaja petunjuk dan cahaya makrifat dan hanya mampu menggunakan pengetahuan yang sedikit ini sehinggakan terpaksa memadai dengan menjadikan Alam ini sebagai dalil akan wujudnya dan berkuasanya Allah sedangkan jika mereka faham dan meluas pengetahuan mereka mengenai Ilmu Makrifat, mereka tidak akan menggunakan sesuatu yang tidak wujud ini(Alam) sebagai dalil untuk membuktikan sesuatu yang benar-benar Wujud(Allah). Bagaimana bisa dikenal(dalam erti kata yang sebenarnya) sesuatu yang ada(Allah) dengan bersandarkan kepada sesuatu yang tidak ada????. Inilah maksud "Maka dibelanjakan mereka itu daripada barang yang didatangkan Allah akan mereka itu daripada rezeki yang picik hingga berkehendak kepada Istidlal(dalil) atas yang tiada berkehendak ia kepada dalil(yakni Allah).

Berkata Pengarang Kitab Hikam

Dan tiadalah diberati Allah akan manusia itu melainkan barang yang telah didatangkan akan dia daripada Ilmu atau Amal atau Rezeki lagi dijadikan Allah kemudian daripada sukar itu mudah bagi yang berdiri pada hak waktunya dan bagi yang tasdiq janjinya.

Keterangan Suluk

Walaupun jauhnya beza ilmu atau pandangan antara orang-orang Washil dengan orang Salik, namun Allah tidaklah memberati orang-orang Awam atau Salik dengan sesuatu yang mereka tidak mampu untuk melakukannya sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang Wasil. Ini adalah hal yang berkaitan dengan anugerah atau kurnia. Maka dalam apa jua kedudukan kita apa yang perlu bagi seorang hamba ialah menuntut ilmu pengetahuan yang benar serta beramal dengannya. Jika ada rezeki kurnia daripada Allah, maka sesuatu yang sukar itu akan menjadi mudah atau sesuatu yang sempit akan menjadi luas. Itupun hanyalah disediakan untuk mereka yang berdiri dengan melaksanakan hak waktunya sama ada semasa sempit atau luas dan pada mereka yang benar-benar teguh perjanjianya untuk menjadi hamba Allah yang takbud kepadaNya.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar