UNDANG-UNDANG
KELUARGA |
RAHSIA DI SEBALIK PERTUNANGAN
Pertunangan merupakan satu cara untuk mengenali antara satu sama lain.
Samada dari pihak lelaki mahupun perempuan. Kerana dengan jalan pertunangan,
pihak lelaki atau perempuan boleh mempelajari, mengkaji atau mengetahui
akhlak, tabiat dan kecenderungan masing-masing. Walau-bagaimanapun ianya
mestilah dilakukan dalam lingkungan batas-batas yang dibenarkan oleh syarak.
BENTUK-BENTUK PEMINANGAN
Terdapat dua bentuk peminangan, iaitu:
1) Tasrih (jelas atau terus-terang)
Iaitu peminangan yang dilakukan melalui ucapan terus-terang dari pihak lelaki dengan meluahkan perasaan ingin mengahwini perempuan yang dipinang. Contoh ucapannya:
"Saya ingin mengahwini awak."
Atau:
"saya ingin menjadikan awak sebagai isteri."
Atau
"Sudikah awak menjadi isteri saya?"
2) Ta'rid (sindiran)
Iaitu peminangan yang dilakukan dalam bentuk perbuatan atau kata-kata
sindiran. Sebagai contoh seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan:
"Awak cantik!"
Atau:
"Barangkali ada orang yang sukakan awak."
Perbuatan memberi hadiah kepada perempuan yang ingin dijadikan isteri juga dianggap sebagai meminang secara ta'rid.
SYARAT-SYARAT MEMINANG
Seorang lelaki diharuskan meminang seorang perempuan dengan dua syarat,
iaitu:
Syarat pertama: Perempuan tersebut tidak diharamkan oleh syarak
untuk dinikahi.
Syarat kedua: Perempuan tersebut belum bertunang dengan lelaki
lain.
------------------
Perinciannya:
Syarat pertama: Perempuan tersebut tidak diharamkan oleh
syarak untuk dinikahi.
Samada pengharaman tersebut untuk selama-lamanya seperti saudara perempuan,
emak saudara atau sebagainya. Atau pengharaman tersebut untuk sementara
waktu sahaja seperti perempuan ketika di dalam iddah dengan suaminya yang
lalu
MEMINANG PEREMPUAN YANG MASIH DALAM IDDAH
Seorang lelaki diharamkan meminang secara tasrih terhadap seorang perempuan
yang masih berada di dalam iddah kerana kematian suami atau kerana talak
ruj'ie atau talak ba'in.
MENGAPA HARAM?
Islam mengharamkan peminangan secara tasrih terhadap perempuan yang
masih di dalam iddah kerana:
1) Berkemungkinan perempuan tersebut akan berdusta tentang tempoh habis
iddahnya.
2) Dengan meminang perempuan yang masih dalam iddah secara tidak langsung
akan menganiaya hak suaminya yang lalu. Sedangkan menganiaya hak orang
lain adalah haram hukumnya.
HUKUM MEMINANG SECARA TA'RID
Penjelasan hukum meminang seorang perempuan yang masih dalam iddah
secara ta'rid adalah sebagai berikut:
a) Jika iddah perempuan tersebut dengan sebab kematian suami, maka harus meminangnya secara ta'rid kerana perkahwinannya telahpun berakhir. Dengan ini peminangan secara ta'rid tidak dianggap sebagai menganiaya hak orang lain, berbanding dengan peminangan secara tasrih.
b) Jika iddahnya dengan sebab talak, maka terbahagi kepada dua:
1) Talak ruj'ie
Iaitu perceraian dengan talak satu atau dua. Haram meminangnya
samada secara tasrih atau ta'rid kerana suaminya yang lalu masih mempunyai
hak untuk rujuk kembali ketika tempoh iddahnya. Dengan ini meminang perempuan
tersebut bermakna telah menganiaya hak suaminya yang lalu kerana dia masih
lagi dianggap sebagai isterinya.
2) Talak ba'in bainunah sughra atau kubro
Dengan talak ini, seorang lelaki boleh meminang perempuan tersebut
secara ta'rid. Kerana dengan talak ini, bemakna telah terputuslah hubungan
suami isteri dengan ertikata sebenarnya. Maka tidak timbul masalah menganiaya
hak orang lain jika peminangan tersebut dilakukan secara sindiran atau
ta'rid.
Syarat kedua: Perempuan tersebut belum bertunang dengan lelaki lain.
HUKUM MEMINANG TUNANGAN ORANG
Haram meminang atas pinangan orang, iaitu meminang perempuan yang telah
diikat dengan tali pertunangan. Hukum ini adalah berdasarkan sabdaan Rasulullah
s.a.w. yang pernah menyatakan mengenai larangan ini:
Ertinya: Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkan. (Riwayat Bukhari)
Hadis di atas melarang seorang muslim meminang pinangan saudara muslimnya yang lain. Larangan ini dikecualikan jika peminang pertama telah meninggalkan perempuan itu atau jika lelaki pertama telah memberi izin kepada peminang kedua.
Larangan yang terdapat di dalam hadis di atas membawa maksud haram. Dan pengharaman ini bertujuan untuk melindungi hak lelaki pertama.
SYARAT-SYARAT PENGHARAMAN
Menurut al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Mughni al-Muhtaj
bahawa pengharaman meminang atas pinangan orang hanya berlaku dengan syarat-syarat
di bawah ini:
Pertama: Peminang yang kedua telah mengetahui bahawa perempuan yang dipinangnya itu telah dipinang oleh lelaki pertama. Atau dengan ertikata yang mudah, lelaki tersebut telah mengetahui bahawa perempuan yang dipinangnya itu adalah tunangan orang.
Seseorang perempuan telah dianggap sebagai tunangan orang secara syarak dengan jawapan setuju menerima yang diberikan oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki yang meminang.
Jawapan terima boleh diambil kira oleh syarak bagi pihak perempuan melalui
salah seorang sebagaimana dibawah ini:
a) Perempuan itu sendiri, seandainya pengizinannya boleh diambil kira.
b) Wali perempuan yang dipinang seandainya pengizinan perempuan tersebut
tidak boleh diambil kira.
c) Perempuan dan walinya jika peminang tidak kufu
d) Sultan, jika perempuan tersebut gila, telah baligh dan ketiadaan
bapa serta datuk.
DIAM SEORANG WANITA
Diam seorang wanita yang masih dara lagi ghairil mujbirah yang diminta
jawapan ketika peminangan boleh dianggap sebagai jawapan setuju. Inilah
pendapat yang dinyatakan oleh imam Syafi'i di dalam kitabnya al-Umm.
Tidak haram bagi peminang kedua jika pihak perempuan belum memberikan jawapan kepada peminang pertama dalam jangkamasa yang boleh diambil kira oleh syarak. Jangkamasa tersebut dikira dengan uruf atau adat kebiasaan masyarakat setempat pada masa itu.
Hukum ini bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w., ketika Baginda meminang
Fatimah binti Qais untuk Usamah bin Zaid, dia menyatakan kepada Baginda
bahawa dirinya telah dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah:
Ertinya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Abu Jahm seorang yang ringan
tangan , sedang Muawiyah seorang yang melarat, berkahwinlah dengan Usamah
bin Zaid."
Hukum yang dapat diambil dari hadis di atas ialah:
Abu Jahm dan Muawiyah telah meminang Fatimah binti Qais. Selepas itu
Rasulullah s.a.w. pula datang meminangnya untuk Usamah bin Zaid. Peminangan
ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana Fatimah binti Qais belum memberikan
jawapan terhadap pinangan kedua-dua sahabatnya sebelum itu iaitu Abu Jahm
dan Muawiyah.
Kedua: Lelaki kedua mengetahui 3 perkara di bawah
ini:
1) Tentang peminangan lelaki pertama.
2) Perempuan tersebut telah menerima pinangan lelaki pertama
3) Hukum haram meminang atas pinangan.
Ketiga: Bahawa peminang pertama hendaklah orang yang diharuskan
meminang perempuan tersebut.
Seperti yang tertera pada keterangan Bentuk-bentuk Peminangan ada diterangkan
tentang pengharaman meminang perempuan yang masih dalam iddah disebabkan
talak ruj'ie.
LELAKI MEMINANG 5 PEREMPUAN
Seandainya terdapat seorang lelaki meminang lima orang perempuan dan
kelima-limanya telah memberikan jawapan jelas mengatakan setuju, maka diharamkan
bagi lelaki lain meminang salah seorang dari lima perempuan tersebut.
Pengharaman ini berlaku sehingga dia telah mengahwini empat orang darinya atau meninggalkan kelima-limanya atau sebahagian darinya.
Mengapa diharamkan meminang salah seorang dari lima perempuan yang tersebut? Menurut ulamak Syafi'e, kerana tidak diketahui perempuan yang keberapakah yang mahu dinikahinya. Berkemungkinan perempuan yang kelima dan berkemungkinan perempuan yang ketiga atau kedua.
HUKUM PERNIKAHAN SESEORANG YANG MEMINANG TUNANGAN ORANG
Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa seorang lelaki diharamkan
meminang tunangan orang. Bagaimanakah pula jika pinangan dari lelaki kedua
ini diterima dan akhirnya membawa kepada perkahwinan? Adakah pernikahannya
sah?
Pernikahannya tetap sah, dan lelaki tersebut menanggung dosa kerana peminangan tersebut.
HUKUM MELIHAT
Di bawah tajuk ini, saya tidak hanya menerangkan mengenai masalah hukum
melihat sebelum peminangan dijalankan, tetapi mencakupi seluruh hukum yang
berkaitan dengannya. Termasuk juga perbincangan di bawah tajuk ini ialah
mengenai hukum berjabat tangan dan hukum memberi salam.
Inilah tradisi ulamak-ulamak fikah mazhab Syafi'i ketika menulis tajuk
ini. Walaupun ianya dilihat sebagai tidak ada kena mengena dengan masalah
perkahwinan mahupun pertunangan tetapi saya penuh yakin dan percaya bahawa
banyak rahsia di sebalik penyusunan begini.
HUKUM MELIHAT (1)
MELIHAT BAKAL TUNANG
Seorang lelaki yang mempunyai azam untuk mendirikan rumahtangga disunatkan
untuk melihat perempuan yang mahu dipinangnya supaya tidak timbul penyesalan
dikemudian hari.
WAKTU MELIHAT
Waktu yang disunatkan melihat perempuan ialah:
1) Sebelum meminang
2) Setelah mempunyai azam untuk mengahwininya
Mengapa sebelum meminang?
Kerana melihat perempuan setelah meminang akan menyebabkan beberapa
kemungkinan yang akan menyakiti hati dan perasaan perempuan tersebut. Seperti
lelaki yang meminangnya itu membatalkan hasratnya untuk memperisterikan
perempuan tersebut setelah melihatnya.
Mengapa setelah mempunyai azam untuk mengahwininya?
Kerana melihat perempuan sebelum mempunyai azam untuk mengahwininya
merupakan suatu perkara yang tidak membawa faedah. Bahkan haram hukumnya.
ANGGOTA YANG HARUS DILIHAT
Ketika melihat perempuan yang mahu dipinang, Islam telah menyatakan
garis sempadan yang harus dipelihara. Di bawah ini saya menukilkan dari
kitab-kitab muktabar ulamak-ulamak Syafi'i tentang aggota yang harus dilihat
pada perempuan yang ingin dipinang, iaitu:
PEREMPUAN MERDEKA
Jika perempuan yang ingin dipinang itu merupakan perempuan yang merdeka,
maka lelaki yang ingin meminang diharuskan melihat dua anggota sahaja iaitu:
1) Muka
Kerana dengan melihat muka lelaki tersbut dapat mengetahui cantik atau
hodohnya perempuan yang mahu dipinang itu.
2) Dua tapak tangan
Dengan melihat tapak tangan pula, lelaki tersebut dapat mengetahui
kehalusan kulit tubuh badannya. Dengannya juga dapat diketahui cacat cela
yang terdapat pada tubuh badannya.
PEREMPUAN HAMBA
Seorang lelaki yang ingin meminang seorang perempuan hamba diharuskan
melihat selain dari anggota yang berada di antara pusat dan lutut.
PERLUKAH IZIN DARI WALI UNTUK MELIHAT?
Seorang lelaki yang mempunyai keazaman untuk memperisterikan seseorang
perempuan diharuskan melihat perempuan tersebut sekalipun tanpa keizinan
dari walinya. Memadailah dengan keizinan yang telah diberikan oleh Rasulullah
s.a.w. kepada umatnya melalui sabdaannya yang berbunyi:
Ertinya: Dari Mughirah bin Syukbah r.a., dia telah berkata: Aku
telah meminang seorang perempuan jariah dari kalangan kaum Ansar. Perkara
tersebut aku nyatakan kepada Nabi s.a.w. dan baginda telah bersabda: "Lihatlah
dia. Adalah lebih patut kalau ada kesesuaian antara kamu berdua." (RiwayatBukhari
dan Muslim)
Baginda bersabda pada hadis yang lain:
Ertinya: Di mata kaum Ansar terdapat sesuatu, jika ada di antara
kamu yang ingin berkahwin dengan wanitanya, lihatlah dia. (Riwayat
Muslim)
MELIHAT BERULANG-ULANG KALI
Islam membenarkan lelaki tersebut melihat perempuan yang ingin dipinang
berulangkali sehingga dia berpuas hati dan tidak akan timbul penyesalan
di kemudian hari.
Menurut kebiasaannya, seseorang itu tidak dapat memastikan tentang kecantikan atau kecacatan seseorang perempuan itu dengan hanya sekali pandang. Walaubagaimanapun perkara ini hanya dibenarkan dengan syarat yang lalu, iaitu mempunyai hajat.
MENIMBULKAN FITNAH DAN MENAIKKAN SYAHWAT
Apakah hukumnya jika seorang lelaki itu melihat perempuan yang
ingin dipinangnya dengan syahwat? Atau dengan melihatnya akan menimbulkan
fitnah terhadap lelaki tersebut?
Jawapannya, tidak mengapa melihat perempuan tersebut sekalipun dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau dengan syahwat.
Maksud menimbulkan fitnah ialah, sesuatu yang dapat menarik ke arah zina samada kerana kecantikan, kemerduan suara atau sebagainya.
SYARAT-SYARAT PENGHARUSAN MELIHAT
Seorang lelaki yang telah mempunyai azam untuk azam untuk mengahwini
seseorang perempuan dibenarkan melihatnya dengan tiga syarat, iaitu:
1) Perempuan tersebut tidak bersuami.
2) Perempuan tidak dalam iddah.
3) Mempunyai harapan untuk diterima pinangannya.
LELAKI YANG MEMPUNYAI KESULITAN UNTUK MELIHAT
Seorang lelaki yang mempunyai kesulitan untuk melihat perempuan yang
ingin dikahwininya atau kerana tidak mahu melihatnya sendiri disunatkan
supaya mengutuskan seorang perempuan atau mahramnya (perempuan tersebut)
untuk melihatnya. Ini dilakukan dengan harapan agar utusannya itu dapat
menceritakan kepadanya tentang rupa dan sifat perempuan tersebut.
Dalil dari perkara ini ada disebutkan oleh Syed al-Bakri bin Syed Muhamad
Syatha al-Dimyati di dalam kitab I'anah al-Talibin syarah kepada kitab
Fathul Mu'in karya al-Allamah syeikh Zainuddin al-Malbari:
Ertinya: Yang demikian itu telah diriwayatkan oleh imam Ahmad di
dalam kitabnya al-Musnad, bahawa Nabi Muhamad s.a.w. telah mengutus seorang
wanita untuk meminang seorang wanita untuknya.
Utusan tersebut dibenarkan untuk menceritakan atau menggambarkan lebih dari anggota yang dibenarkan melihatnya iaitu muka dan dua tapak tangan. Bahkan dengan cara ini, lelaki tersebut dapat mengetahui rupa bentuk atau sifat yang tidak dibenarkan oleh syarak melihatnya.
LELAKI YANG TIDAK BERKENAN TERHADAP PEREMPUAN YANG DILIHAT
Apabila lelaki tersebut tidak berkenan dengan perempuan yang dilihatnya,
hendaklah dia diam. Dan jangan berkata: "Aku tidak sukakan kamu"
atau sebagainya kerana kata-kata seperti ini hanya akan menyakiti hati
perempuan tersebut.
HUKUM PEREMPUAN MEMANDANG LELAKI YANG MAHU MEMINANGNYA
Sebagaimana lelaki, perempuan juga disunatkan untuk melihat lelaki
yang mahu meminangnya. Kerana perempuan juga mempunyai perasaan sebagaimana
lelaki, di mana ada perkara yang disukai dan dibencinya.
HUKUM MENYENTUH
Di dalam masalah yang lalu, Islam hanya membenarkan melihat sahaja
terhadap perempuan yang ingin dipinang dengan syarat-syarat tertentu. Dengan
ini, menyentuh perempuan tersebut adalah haram hukumnya kerana untuk mengetahui
cantik atau hodohnya dan cacat celanya tidak perlu dengan sentuhan, memadai
dengan melihat.
PEMBAHAGIAN PERLAKUAN MELIHAT
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah al-Talibin menyebutkan bahawa
melihat terbahagi kepada dua keadaan, iaitu:
1) Melihat tanpa disertai dengan hajat.
2) Melihat yang disertai dengan hajat.
Di bawah ini kita akan memperincikan setiap bahagian dari dua perkara di atas:
KEADAAN PERTAMA: MELIHAT TANPA DISERTAI DENGAN HAJAT
Seseorang yang melihat tanpa hajat dibahagikan pula kepada empat bahagian,
iaitu:
MASALAH PERTAMA:
Hukum lelaki yang baligh melihat perempuan ajnabi. Di bawah ini saya
nyatakan beberapa masalah di sekitar hukum ini:
a) Haram melihat kepada aurat perempuan yang ajnabi. Aurat perempuan di hadapan lelaki ajnabi sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur fuqahak ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.
b) Fuqahak telah berselisih pendapat mengenai muka dan dua tapak tangan perempuan ajnabi, adakah ia aurat atau tidak.
Menurut sebahagian ulamak, kedua anggota ini adalah aurat yang wajib ditutup samada ia menimbulkan fitnah ataupun tidak, atau samada akan menaikkan syahwat kepada lelaki yang melihat ataupun tidak.
Sebahagiannya pula berpendapat bahawa kedua anggota ini bukanlah aurat yang wajib ditutup. Tidak diharamkan bagi seorang lelaki melihatnya.
Walaubagaimanapun mereka ini bersepakat mengatakan bahawa keduanya haram dilihat apabila akan menimbulkan fitnah. Ini bermakna mereka bersetuju mengatakan haram hukumnya bagi lelaki ajnabi melihat kedua anggota ini apabila menimbulkan fitnah atau melihat keduanya dengan syahwat.
c) Pengharaman melihat aurat bukan sahaja pada anggota yang masih berhubung atau melekat dengan tubuh badan, bahkan diharamkan juga melihatnya setelah ia bercerai dari tubuh badan seperti kuku, rambut, bulu kemaluan dan lain-lain.
Wajib menyimpan anggota atau bulu yang telah bercerai dari tubuh badan dari dilihat oleh lelaki atau perempuan ajnabi.
d) Menurut yang tercatat di dalam kitab Hasyiah al-Qalyubi wal-Umairah karya Syeikh al-Qalyubi dan syeikh al-Umairah, merupakan komentar dari kitab Syarah al-Mahalli Alal Minhaj karya Syeikh Jalaluddin al-Mahalli bahawa tidak haram melihat bayang-bayang aurat perempuan samada melalui cermin, air atau sebagainya.
Hukum ini juga ada dinyatakan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami, kitab Fathul Mu'in karya syeikh Zainuddin al-Malbari.
Dengan ini hukum gambar foto yang diambil menggunakan kamera bolehlah diserupakan dengan apa yang telah dijelaskan oleh para ulamak di atas. Kerana dari sudut teorinya adalah sama, di mana gambar foto diambil hasil dari penangkapan objek bayang-bayang sesuatu benda menggunakan kamera.
Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam kitab al-Halal wal-Haram fil-Islam mengatakan bahawa gambar foto merupakan sesuatu yang baru, tiada pada zaman Rasulullah s.a.w. maupun zaman salafus soleh. Adakah ia boleh dihukumkan sebagaimana hukum lukisan dan melukis?
Mengenai masalah ini, begitu jelas apa yang telah difatwakan oleh Mufti
Mesir syeikh Muhamad Bukhait al-Muthi'i:
"Bahawa mengambil gambar dengan foto (dengan kamera), merupakan
pengambilan gambar dengan cara menangkap/memerangkap bayang-bayang dengan
perantaraan alat yang telah dimaklumi. Ia bukanlah suatu penggambaran yang
ditegah kerana penggambaran yang ditegah ialah mengadakan gambar/rupa atau
membuat gambar/rupa yang tidak wujud dan tidak dibuat sebelumnya, merupakannya
dengan haiwan ciptaan Allah. Makna ini tidak terdapat di dalam penggambaran
yang diambil dengan alat tersebut."
PERINGATAN!
Pengharusan melihat bayang-bayang aurat bergantung kepada dua perkara
di bawah ini:
1) Tidak menimbulkan fitnah.
2) Melihatnya tidak dengan syahwat.
Jika seseorang itu khuatir akan timbul fitnah dengan melihatnya atau
dia melihatnya dengan syahwat maka hukumnya adalah haram. Melihat gambar-gambar
cabul, sudah semestinya akan menyebabkan dua perkara di atas berlaku. Dengan
ini, jelaslah bahawa melihat gambar cabul haram hukumnya.
e) Masalah: Suara perempuan
1) Suara perempuan bukan aurat. Harus mendengar suaranya jika tidak
dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau tidak menaikkan syahwat.
2) Jika seseorang perempuan menjawab ketika pintu rumahnya diketuk oleh lelaki ajnabi, hendaklah dia mengeraskan sedikit suaranya, antara caranya ialah dengan meletakkan belakang tapak tangan di mulutnya.
3) Apabila seseorang perempuan itu diharamkan melihatnya, maka begitu jugalah dengan hukum menyentuhnya. Bahkan ia lebih utama diharamkan.
MASALAH KEDUA: Kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan
melihat perempuan.
Perempuan tersebut wajib menutup anggota di antara pusat dan lutut
sebagaimana auratnya di hadapan mahram.
MASALAH KETIGA: Lelaki yang hampir baligh.
Lelaki yang hampir baligh diharamkan melihat aurat perempuan yang ajnabi
sebagaimana lelaki yang telah baligh (lihat masalah pertama).
MASALAH KEEMPAT: Lelaki yang terpotong zakarnya dan buah pelirnya
Lelaki ini diharuskan melihat perempuan yang ajnabi sebagaimana dia
melihat mahramnya, iaitu selain anggota di antara pusat dan lututnya.
MASALAH KELIMA: Lelaki yang hanya mempunyai zakar sahaja tanpa
buah pelir atau yang mempunyai buah pelir sahaja tanpa zakar
Lelaki ini seperti hukum lelaki yang normal, iaitu yang mempunyai zakar
dan buah pelir (lihat masalah pertama).
MASALAH KEENAM: Hamba lelaki melihat tuannya (perempuan)
Jika hamba tersebut bersifat adil (tidak fasik) dan tuannya juga bersifat
adil, maka harus melihatnya sebagaimana melihat mahram, iaitu selain dari
anggota di antara pusat dan lutut.
MASALAH KETUJUH: Melihat hamba perempuan
Melihat hamba perempuan sebagaimana hukum melihat perempuan yang merdeka
(lihat masalah pertama).
MASALAH KELAPAN: Melihat kanak-kanak perempuan
Harus melihat seluruh anggota kanak-kanak perempuan yang belum sampai
peringkat diingini oleh lelaki kecuali pada farajnya.
Diharuskan kepada ibubapa, penjaga atau perempuan yang menyusukan kanak-kanak
perempuan yang masih dalam peringkat menyusu dan asuhan melihat dan menyentuh
farajnya. Kerana dalam usia begini, ibu ataupun pengasuh terpaksa membasuh
farajnya dari najis, mengubatinya atau sebagainya.
Melihat dan menyentuh zakar kanak-kanak lelaki adalah sebagaimana faraj kanak-kanak perempuan.
MASALAH KESEMBILAN: Melihat perempuan yang telah tua
Imam al-Ghazali berkata bahawa hukum melihat perempuan ajnabi yang
telah tua adalah sebagaimana hukum melihat perempuan yang masih muda.
MASALAH KESEPULUH: Melihat perempuan yang mahram (yang haram dinikahi
seperti ibu, saudara perempuan dan sebagainya)
Seorang lelaki diharamkan melihat anggota di antara pusat dan lutut
mahramnya. Dia diharuskan melihat selain dari anggota tersebut.
Dia juga diharuskan berkhalwat dan bermusafir bersama mahramnya.
MASALAH KESEBELAS: Lelaki melihat lelaki
Seorang lelaki diharuskan melihat selain dari anggota di antara pusat
dan lutut lelaki lain.
MASALAH KEDUABELAS: Melihat lelaki muda belia yang belum ditumbuhi
janggut atau bulu (amrad)
Haram melihatnya dengan syahwat.
MASALAH KETIGABELAS: Perempuan melihat perempuan
Sebagaimana hukum lelaki melihat lelaki (lihat masalah kesebelas).
MASALAH KEEMPATBELAS: Perempuan kafir melihat perempuan muslimah
Diwajibkan kepada perempuan muslimah menutup auratnya di hadapan perempuan
kafir kerana tidak, berkemungkinan dia akan menceritakan auratnya kepada
lelaki kafir.
MASALAH KELIMABELAS: Perempuan melihat lelaki yang ajnabi
Sebagaimana hukum lelaki melihat perempuan yang ajnabi (lihat Masalah
pertama).
MASALAH KEENAMBELAS: Perempuan yang fasik melihat perempuan yang
terpelihara kehormatannya
Perempuan yang terpelihara kehormatannya wajib menutup auratnya di
hadapa perempuan yang fasik kerana melakukan zina atau lebian (hubungan
seks antara perempuan dengan perempuan)
MASALAH KETUJUHBELAS: Suami melihat isteri
Di bawah ini adalah masalah yang berhubung kait dengan hukum ini:
a) Harus bagi suami melihat seluruh tubuh badan isterinya atau hamba perempuan yang halal untuknya, tetapi makruh melihat farajnya lebih-lebih lagi batin farajnya.
b) Diharuskan juga menyentuh farajnya. Manakala melihat dan menyentuh duburnya tanpa memasukkan zakar ke dalamnya adalah harus.
c) Pengharusan ini hanya berlaku ketika isterinya masih hidup lagi. Setelah kematiannya, hukumnya adalah sebagaimana melihat mahramnya (lihat masalah kesepuluh).
MASALAH KELAPANBELAS: Isteri melihat suami
Sebagaimana hukum suami melihat isteri (lihat masalah ketujuhbelas).
MASALAH KESEMBILANBELAS: Menyentuh sesuatu yang haram dilihat
Masalah di sekitar hukum ini ialah:
a) Haram menyentuh sesuatu yang haram dilihat sebagaimana yang tercatat
di dalam masalah-masalah yang lalu, kerana menyentuh adalah lebih mendatangkan
kenikmatan dan kelazatan lagi jika dibandingkan dengan melihat.
b) Haram bagi dua orang lelaki atau dua orang perempuan berbaring di dalam satu kain atau selimut dalam keadaan berbogel dan di atas satu tilam.
Ibubapa atau penjaga wajib memisahkan di antara kanak-kanak lelaki atau perempuan dari tempat tidur ibubapanya. Begitu juga antara adik beradik lelaki dan perempuan.
c) Haram memicit atau mengurut peha lelaki lain tanpa lapik. Jika berlapik, maka diharuskan tetapi dengan syarat tidak dikhuatirkan fitnah dan tidak dengan syahwat.
d) Haram menyentuh mahramnya, begitu juga sesama lelaki atau sesama perempuan sekalipun pada anggota yang harus dilihat seperti pada kaki atau perutnya, termasuk mengusapnya kecuali kerana hajat atau dilakukan kerana timbul dari perasaaan kasih sayang serta bebas dari fitnah dan syahwat.
e) Haram menyentuh muka perempuan yang ajnabi sekalipun diharuskan melihatnya kerana hendak meminang.
f) Hukum berjabat tangan.
i- Seorang lelaki diharamkan berjabat tangan dengan perempuan yang ajnabi. Dalil yang mendasari hukum ini ialah:
Dalil pertama:
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah r.a. mengenai
bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap beberapa orang perempuan,
Aisyah r.a. berkata:
" Demi Allah, tangan baginda tidak menyentuh seorang perempuan pun
dalam pembai'atan itu. Baginda hanya membai'at mereka dengan perkataannya:
"Benar-benar telah aku bai'at kamu atas hal itu." (Riwayat Bukhari)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata:
"Maksud ucapan Rasulullah s.a.w.:
"Benar-benar telah bai'at kamu dengan ucapan."
adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi,
di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan.
Dalil kedua:
Dari Abdullah bin Amr bin al-As r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan
dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad)
Sunat berjabat tangan antara sesama lelaki atau sesama perempuan ketika bertemu.
Makruh berjabat tangan dengan orang yang mempunyai penyakit kusta.
Haram hukumnya berjabat tangan dengan amrad (lelaki muda yang belum tumbuh misai atau bulu) dengan disertai oleh syahwat.
g) Makruh memeluk dan mengucup kepala sesama lelaki atau sesama perempuan kecuali terhadap orang yang baru sampai dari musafir atau orang yang lama tidak ditemui. Bahkan perkara ini sunat dilakukan.
h) Sunat mengucup tangan orang soleh, warak, berilmu agama atau sebagainya yang dihormati dan dimuliakan dari segi agamanya. Manakala makruh hukumnya melakukan perkara tersebut terhadap orang yang dihormati dari sudut keduniaannya, seperti orang yang berpangkat, orang kaya atau sebagainya.
i) Diharuskan mengucup mayat orang soleh.
j) Sunat mengucup kanak-kanak sekalipun anak orang lain kerana kasih sayang.
k) Sunat berdiri untuk orang yang mempunyai kelebihan di dalam bidang ilmu agama kerana menghormatinya, bukan kerana riyak, membesarkan atau mengagungkannya.
l) Makruh membongkokkan badan terhadap sesiapa sahaja.
m) HUKUM BERUTUS SURAT DAN BERBUAL DENGAN WANITA
Berikut ini saya siarkan fatwa dari guru kami yang mulia al-Ustaz Nuruddin
al-Makki yang telah disiarkan di dalam sebuah majalah pelajar di Kaherah,
Mesir (SUKEJ):
"SOALAN: Apakah hukum berutus surat antara lelaki dan perempuan, apakah ini termasuk di dalam bicara yang dilarang?
JAWAPAN: Menjawab soalan di atas, saya pernah terbaca sebuah risalah karangan Dr. Ali Tantawi dan lainnya. Menurut beliau dan kebanyakan ulamak mengatakan tidak boleh walaupun dengan alasan untuk berdakwah dan menasihati antara satu sama lain. Ini adalah kerana keburukkannya lebih banyak daripada kebaikan. Akan tetapi di dalam beberapa situasi tertentu boleh menghantar surat kepada seorang perempuan atau sebaliknya. Contohnya lelaki tersebut ingin memaklumkan kepada si perempuan tentang kematian salah seorang ahli keluarga perempuan tersebut dan hanya lelaki itu sahaja yang tahu alamat perempuan tersebut. Begitulah sebaliknya."
n) Hukum memakai kupiah
Dari al-Ustaz Nuruddin al-Makki al-Banjari di dalam majalah yang sama:
(SUKEJ....bil.10, th2, 1994)
Soalan: Sebahagian ulamak mengatakan orang yang tidak memakai
kupiah atau songkok menjadi fasik. Apakah pendapat ini bersandarkan hadis
Rasulullah s.a.w. atau sekadar pendapat ulamak? Adakah seseorang itu dianggap
fasik hanya kerana tidak memakai kupiah?
Jawab: Rasulullah s.a.w. pernah tidak memakai kupiah ketika ingin sembahyang dan tiada sutrah/penghalang. Baginda s.a.w. menanggalkan kupiahnya dan dijadikan sutrah. Seorang ulamak terkemuka iaitu Muhamad Qutub sering disuruh menjadi imam oleh sebahagian ulamak yang lain ketika mendirikan sembahyang walaupun dia tidak memakai kupiah.
Memakai kupiah tidak disebutkan sebagai salah satu rukun atau sunat di dalam ibadah sembahyang. Hanya lebih afdhal ketika sembahyang kita memakai kupiah atau serban. Oleh itu, seseorang yang tidak memakai kupiah bukan bererti fasik.
Seseorang itu hanya menjadi fasik apabila melakukan dosa besar atau mengekalkan dosa kecil. Cuma ada disebutkan di dalam kitab-kitab feqh turas seperti Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar dan kitab-kitab lain, bahawa orang yang tidak memakai kupiah dianggap tidak ada maruah. Ini sekiranya orang tersebut di dalam sebuah kampung di mana semua penduduknya memakai kupiah.
Kesimpulannya, masalah tidak memakai kupiah hanya berkaitan dengan masalah moral dan tidak membawa kepada fasik.
PENTING!!
Semua perkara-perkara yang diharuskan melihatnya pada masalah pertama
hingga keenambelas akan bertukar menjadi haram jika disertai dengan syahwat
atau dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.
KEADAAN KEDUA: MELIHAT DENGAN HAJAT
Berikut ini adalah masalah yang berhubung kait dengan keadan kedua
ini, iaitu:
1) Harus melihat muka dan tapak tangan perempuan ajnabi kerana hendak
mengahwininya (lihat Melihat (1)).
2) Kerana hendak membeli hamba perempuan.
Diharuskan melihat selain dari anggota di antara pusat dan lutu.
3) Kerana bermuamalat atau berurusan dengan perempuan seperti berjual
beli. Yang dibenarkan hanyalah melihat mukanya sahaja untuk mengenalinya.
4) Menjadi saksi, seperti melihat faraj atau zakar kerana menjadi saksi
zina atau melihat buah dada kerana menjadi saksi penyusuan.
5) Harus melihat dan menyentuh perempuan ajnabi dengan tujuan berbekam
atau mengubatinya, tetapi dengan dua syarat:
a) Pengubatan itu dilakukan di hadapan mahram, suami atau dua orang
perempuan yang boleh dipercayai.
b) Tidak terdapat seorangpun perempuan yang boleh mengubatinya.
6) Harus melihat muka perempuan ajnabi dan amrad ketika mengajar dengan
syarat:
a) Ketiadaan tenaga pengajar wanita.
b) Berkeuzuran untuk mengajar di balik tabir, sebagai contoh: Ketika
mengajar menulis atau menjahit guru terpaksa mengajanya tanpa tabir.
c) Ada mahram, suami atau dua perempuan yang boleh dipercayai bersama
perempuan tersebut.
7) Haram mengajar isteri yang telah ditalak.
KESAN PERTUNANGAN TERHADAP HUKUM
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Feqh al-Islami wa-Adillatuh:
"Pertunangan hanyalah semata-mata suatu perjanjian untuk berkahwin. Ia bukanlah ikatan perkahwinan. Sesungguhnya perkahwinan tidak akan sempurna kecuali dengan akad yang telah diketahui umum.
Maka dengan ini, pasangan yang sedang bertunang masih dianggap sebagai ajnabi/asing antara satu sama lain. Atas dasar ini, tidak dibenarkan seorang lelaki melihat tunangnya melainkan apa yang telah diharuskan oleh syarak sahaja iaitu muka dan dua tapak tangan...."
Kita dapat melihat banyak terjadi pada zaman ini, di mana seorang muslim yang tanpa segan silu menganggap bahawa bahawa tali pertunangan telah menghalalkan sebahagian hukum syarak. Oleh kerana itu mereka tanpa ragu-ragu sering bertandang ke rumah tunangnya dengan tujuan untuk membawanya keluar berjalan-jalan, bersiar-siar, berkelah atau menonton wayang. Bahkan golongan ibubapa membenarkan anak-anak perempuan mereka di bawa oleh tunang mereka tanpa ada sedikitpun perasaan cemburu dan khuatir akan berlakunya kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini seperti zina dan sebagainya. Mereka hanya berpegang kepada hujah yang mereka cipta sendiri, iaitu:
"Tak mungkin anak aku sanggup menconteng arang ke muka orangtuanya..."
Sedangkan mereka telah melihat dan mendengar sendiri bagaimana berleluasanya berlaku kejadian hamil sebelum nikah. Sebelum berlaku perkara terkutuk itu, ibubapa mereka berhujah persis sebagaimana yang digunakan oleh ibubapa yang belum terkena....
Mereka ini adalah golongan yang terlalu jahil dan buta terhadap agamanya sendiri.
HARAM BERKHALWAT DENGAN TUNANG
Sebagaimana yang telah diterangkan di atas bahawa tali pertunangan
bukanlah satu ikatan yang menghalalkan mereka berbuat apa sahaja sebagaimana
suami isteri. Dengan ini berkhalwat atau duduk berdua-duaan dengan tunang
adalah haram. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan di dalam sebuah hadis:
Ertinya: Seorang lelaki tidak boleh berkhalwat atau berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, maka sesungguhnya orang yang ketiga ialah syaitan, kecuali ada bersama mereka mahramnya. (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Amir bin Rabi'ah)
Semasa seseorang itu dalam tempoh pertunangan, sudah tentu ada perkara-perkara penting yang perlu dibincangkan dan dibualkan. Maka dia boleh bercakap dengan tunangnya, berbincang atau berbual tetapi hendaklah dengan ditemani oleh mahramnya
KESAN PUTUS PERTUNANGAN TERHADAP HUKUM
1. Hukum memutuskan tali pertunangan
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Feqh al-Islami wa-Adillatuh,
bahawa menurut padangan kebanyakan fuqahak harus bagi tunang lelaki atau
perempuan membatalkan tali pertunangannya. Kerana jika tidak ada akad nikah
yang sah maka dia tidak diberati dengan hukum agar meneruskan tali pertunangan.
Hanya dari sudut moral sudah tentu mengkehendaki agar orang yang berjanji perlu menepati janjinya kecuali jika terdapat sesuatu yang memaksanya untuk memutuskan pertunangan tersebut. Perkara ini perlu di pelihara agar kemuliaan wanita terjamin dan tidak tercemar.
Seandainya ada di kalangan lelaki atau wanita yang secara terburu-buru memutuskan tali pertunangan, adalah dikhuatiri akan termasuk di dalam golongan mereka yang tidak menunaikan dan menepati janji. Sedangkan penunaian janji adalah suatu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.
2. Putusnya satu ikatan pertunangan tidak memberi kesan terhadap hukum sebagaimana pernikahan seperti iddah, warisan dan sebagainya.
Mengenai hadiah-hadiah pertunangan pula menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali bahawa seorang lelaki tidak boleh mengambil kembali apa sahaja yang telah diberikan kepada tunangnya. Samada barang-barang tersebut masih ada lagi atau telahpun musnah. Kerana hadiah adalah hebah, iaitu suatu pemberian sari seseorang kepada seorang yang lain tanpa mengharapkan balasan. Oleh itu tidak harus mengambil kembali pemberian setelah diambi atau dimilikki oleh tunangnya itu.
3. Mahar atau maskahwin
Walaupun tali pertunangan hanya merupakan suatu perjanjian perkahwinan
tetapi ramai juga di kalangan individu sesebuah masyarakat yang mendahulukan
pembayaran mahar samada seluruhnya atau separuh . Seandainya, terputus
tali pertunangan tersebut, bagaimanakah dengan mahar tersebut? Apakah pihak
perempuan perlu membayarnya kembali atau tidak?
Menurut apa yang telah disepakati oleh para fuqahak, bahawa mahar tersebut wajib dikembalikan oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki. Kerana selama belum terjadinya akad nikah yang sah, perempuan tersebut tidak berhak ke atas mahar itu.
Sekian, untuk kali ini.
Rujukan
Muhamad al-Khatib al-Syarbini,
Mughni al-Muhtaj
al-Syaukani, Nailul Author
Dr. Wahbah al-Zuhaili, Feqh
al-Islami Wa Adillatuh
Syed Sabiq, Feqh al-Sunnah
Dr. Nasr Farid Muhamad Wasil,
Mabahith Fi Masa'il al-Ahwal al-Syakhsiyah
Syeikh Abdul Samad al-Falimbani,
Sirus Salikin
Abu Hamid al-Ghazali, Ihya'
Ulumuddin
Muhamad Ali Qutb,Tuhfatul
Aris Wal Arus (terjemahan)
Prof. Dr. Hamka, Ghirah
dan Tantangan Terhadap Islam
Syed al-Bakri bin Muhamad
Syatha al-Dimyathi, I'anah al-Tholibin
Syeikh Idris al-Marbawi,
Bahrul Mazi
Wan Muhamad bin Wan Muhamad
Ali, al-Hijab
Muhamad al-Khatib al-Syarbini
Abdullah bin Abdul Rahim
al-Fatani, Muhimmah Pada Ilmu Hadis
Majalah SUKEJ, bil. 6, tahun
2, Februari 1994.
Al-Halal wal-Haram fil-Islam
Kitab al-Feqh Ala al-Mazahib
al-Arba'ah, oleh Syeikh Abdul Rahman al-Jaziri
syeikh Abu Syujak di dalam
kitabnya Matan Abi Syujak
Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari
di dalam kitabnya Thufah al-Tullab
|
| Kemuka Soalan Ke Laman Utama | |