Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
TUDUHAN DAN TOHMAHAN
 Nasri Ilyas

 DI SINI patut saya sentuh pula terhadap tuduhan-tuduhan, atau amalan mengada-adakan tohmah, kerana dasar sentimen dan sikap keliru dari segelintir pengarang kitab yang memburuk-burukkan Dakwah-Islah yang diperjuangkan oleh Syeikh Muhammad `Abdul Wahab dan kejayaannya yang diakui oleh kawan dan lawan atau musuh Islam.

Para penjajah biasanya memburuk-burukkan Islam dan pemeluknya, tetapi amat sayang ada juga orang Islam yang terikut-ikut dengan perbuatan musuh Islam dan mewarisi sikap penjajah seperti misalnya apa yang telah ditulis oleh K.H. Sirajuddin Abbas dalam kitabnya: I’tiqad Ahlus-Sunnah wal-Jamaah.

Kesimpulan yang saya dapat dari kitab itu setelah mengadakan kajian dan membacanya berulang-ulang kali, saya dapati banyak kekeliruan dan kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang:
 

1. Beliau tidak menjelaskan secara terperinci kandungan I’tiqad Ahlus-Sunnah wal-Jamaah siapakah mereka yang dikatakan pengikut Ahlussunnah-walJamaah dan siapa-siapakah pelupurnya selain dari Abul Hasan Asy’ari, kerana ternyata Abul Hasan Asy’ari sendiri menegaskan bahawa beliau adalah pengikut kepada Imam dan pembela sunnah, pelupur Ahlus-Sunnah yang bernama Imam Ahmad bin Hanbal.

2. Dalam kitab beliau telah menuduh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Syeikh Ibnu Taimiyah sebagai musyabbih dan mujassim dan terkeluar dari Ahlus-Sunnah wal-Jamaah; sedang kedua Imam itu anti tasybih dan anti tajsim bahkan mengkufurkan tasybih dan tajsim.

Untuk lebih mengenal pasti perkara ini, bolehlah merujuk kepada semua kitab-kitab karangan kedua-dua Imam itu yang tersebar ke seluruh dunia sehingga universiti-universiti asing, dan jika belum puas hati bolehlah yang berkenaan belajar sendiri di salah satu universiti yang ada di Arab Saudi, benarkah mereka itu mujassim dan musyabbih seperti yang ditohmahkan.

Amat sayang K.H. Sirajuddin Abbas tidak pernah belajar di Universiti Timur Tengah, hanya mendengar dari mulut ke mulut orang memburuk-burukkan Wahabi dan Ibnu Taimiyah, lalu beliau pun terikut-ikut menghukum tanpa asas, juga mengikut keterangan Ibnu Bathuthah dalam kitabnya Rihlah dan Taqiyyuddin ad-Dimasyqi dalam kitabnya Daf’us Syubhah; dan bagi tuduhan ini perlulah dijawab:

a. Ibnu Bathuthah hanya menulis dalam perjalanan itu apa yang dia dengar dan tersiar tentang Ibnu Taimiyah berupa khabar angin ari musuh Ibnu Taimiyah dan Ibnu Bathuthah tidak berjumpa langsung dengan Imam itu kerana dia dipenjara di bulan Sya’ban 826 H, sedang Ibnu Bathuthah sampai di bandar Damsyik di bulan Ramadhan 826 H, ditambah pula dengan perbezaan mazhab fiqh dan tariqat, telah membawa Ibnu Bathuthah tersilap memburuk-burukkan Ibnu Taimiyah.

b. Terhadap sikap Taqiyyuddin ad-Damasyqi dalam kitabnya Daf’us Syubhah, jelas berpunca dari perasaan sentimen yang diwarisi dari orang tuanya, kerana sebahagian dari penduduk Damsyik adalah pengikut Ibnu Taimiyah dan ada juga yang tidak menyukainya, terutama puak yang telah menjerumuskannya masuk penjara, dia pun dipenjara kerana tegas dan benar bukan kerana kesalahan atau jenayah. Di samping beliau pernah bersama-sama kerajaan menegakkan Islam.

3. Cara penulisan kitab I’tiqad Ahlus-Sunnah memang baik dan bahasanya mudah difahami, hanya amat sayang isi dan kandungannya kebanyakannya adalah caci-maki dan tuduhan, melontarkan tuduhan yang tidak berasaskan al-Qur’an dan Sunnah. Dalam hal ini saya lebih simpati dengan cara polemik antara Ustaz Asy’ari Muhammad dengan Ustaz Mukhtar atau antar umat Islam mengoreksi kitab Kassim Ahmad dalam kitabnya, Hadith, suatu penilaian, dengan cara berdepan dan hujah serta gayung-bersambut antara kedua belah pihak, tanpa menghukum di belakang layar dengan didahulukan rasa anti dan emosi.

Dengan orang kafir pun jika hendak berjidal dikehendaki dengan cara yang Islamik, wajadilhum billati hiya ahsan. Sebahagian besar pelajar universiti-universiti di Arab Saudi pernah meminta penjelasan-penjelasan tentang perkara di atas dan telah dijawab oleh pihak pengajar universiti yang terdiri dari para professor, para doktor dan syeikh, ustaz-ustaz dari Timur Tengah bukan dari pensyarah tempatan sahaja.

Dan mereka yang dikatakan Ahlus-Sunnah ialah mereka yang mengikuti sepenuhnya sunnah dalam segenap aspeknya, khasnya dalam i’tiqad dan imam-imam serta pelupur Ahlussunnah ialah para sahabat, para tabi’in termasuklah para imam yang empat.

Mereka menjaga dan membela perpaduan, dalam aqidah mereka bersatu, tidak menjadi syi’ah, tidak menerima mu’tazilah, tidak Asy’ariyah, tidak musyabbihah, tidak mujassimah, tidak khawarij, tidak Qadariyah dan tidak Jahamiyah, serta firqah yang lain.

Agama Islam melarang dan mengharamkan berburuk sangka serta menuduh tanpa meneliti sesuatu perkara dengan tidak merujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah. AL-WAHHAB adalah satu di antara asma-ullah al-husna yang bermakna; Yang Maha Melimpah PemberianNya, kita dilarang mempersendakannya, dan adalah tidak wajar pemakaian kata-kata Wahabi untuk dipersendakan serta bodohlah orang yang memandang buruk kepada dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul wahab. Panggil memanggil dengan gelaran yang buruk antara satu dengan yang lain adalah dilarang oleh Islam (lihat surah al-Hujurat: 11).

Kitab I’tiqad Ahlussunnah wal-Jamaah karangan K.H. Sirajuddin Abbas mesti diteliti dan disempurnakan, kerana kecenderungan pengarang berpegang kepada kitab: Itha fu Sadatul Muttaqin, karangan Muhammad al-Husni az-Zabidi, yang antara lain menyatakan bahawa Ahlussunnah wal-Jamah ialah orang-orang yang mengikut rumusan (faham Asy’ari dan faham Abu Mansur al-Maturidi (Asy’ariyah).

Ini adalah satu kekeliruan yang berlarut-larut. Kerana fahaman Asy’ariyah dan Maturidi dalam Tauhid Sifat-sifat Allah hanya mengithbatkan tujuh sifat bagi Allah yang disebut sebagai sifat-sifat al-Ma’ani atau sifat-sifat Azali-Qaimah bizatihi ta’ala, tetapi sifat-sifat Khabariah yang disebut dalam ayat-ayat dan sunnah kebanyakan dita’wil oleh Asy’ariyah seperti Ibnu Forak dalam kitabnya At-Ta’wilat, Al-Hulaimi, Al-Amidi dan lainnya.

Di samping Asy’ariyah menumpukan bahas dalam bab Tauhid Rububiyah tanpa menyentuh langsung bab Tauhid yang terpenting dan terutama iaitu Tauhid-Ibadat atau Tauhid-Uluhiyah.

Imam Abul Hasan Asy’ari di akhir hayat bersama murid-muridnya seperti Abu Bakar al-Baqalani dan Ibnu Mujahid mengithbatkan sifat-sifat Khabariyah tanpa ta’wil dan ta’thil, tanpa tasybih dan tajsim, dan secara tegas Imam Abul Hasan Asy’ari menyatakan pegangan I’tiqad beliau adalah mengikut faham Imam Ahmad bin Hanbal (Pembela Sunnah).

Dan patut kita sentuh di sini tentang hakikat kehidupan peribadi pengarang yang pernah sebagai ahli parlimen Indonesia dari Parti Tarbiyah Islamiyah (PERTI) yang telah memisah dari MASYUMI, dan pernah melakukan lawatan ke Beijing (China), dan salah seorang menteri dalam Kabinet Seratus Menteri (zaman Sukarno). Sebelum perebutan kuasa oleh komunis menjelang tahun 1965, terbukti beliau terlibat bersekongkol dengan tokoh-tokoh komunis Indonesia sehingga beliau dijuluki: Sirajuddin Kibasy.

Guru beliau: Syeikh Sulaiman ar-Rasuli (Allahyarham) meninggalkan sebuah kitab: Tablighul Amanat untuk disiarkan kepada orang ramai, tetapi sehingga matinya pengarang, kitab itu tidak disiarkan (Allah Yahdihi), jadi pengarang tidak thiqah dan tidak amanah, berbeza dengan para ulama as-Soleh terdahulu yang dikenal pasti peribadinya serta kepujian dalam segala hal, wallahu a’lam wa `Ilmuhu Atam.