ISTIHADAH
Yang dimaksudkan dengan istihadah menurut syara' ialah darah penyakit yang keluar dari hujung urat di bawah rahim perempuan di waktu selain dari waktu haid yang terpanjang dan selain dari waktu nifas yang terpanjang, baik darah tadi keluar mengiringi darah haid atau tidak. Sebahagian ulama berkata istihadah adalah darah yang bersambung dengan darah haid dan selain dari itu hanya darah penyakit bukan istihadah. Syek Ibnu Hajar menerangkan dalam "Syarah Bafadhal" bahawa perbezaan itu kembali kepada perbezaan lafal saja.
Istihadah itu adalah hadas yang terus menerus keluar dan semua itu tidak menyebabkan ia tidak boleh sembahyang, puasa, bersanggama dan sebagainya kerana itu tidak diharamkan bagi perempuan yang istihadhah dan yang keluar air kencing, wadi dan mazi apa yang diharamkan bagi perempuan yang haid dan nifas. Perempuan yang istihadhah wajib membasuh farajnya. Kalau darahnya tidak berhenti keluar melainkan dengan menyumbat farajnya umpamanyan dengan kapas selama tidak menimbulkan rasa sakit kerana sumbatan, kerana darah yang terkurung tadi, dan pada saat itu ia tidak wajib berpuasa tapi kalau tidak mendatangkan rasa sakit maka wajib menyumbatnya. Dan kalau dengan disumbat namun kerana darahnya banyak sehingga tetap mengalir, tidak dapat ditahan atau dikurangi melainkan dengan memakai cawat maka wajib baginya bercawat dengan cara yang lumrah selama tidak menimbulkan rasa sakit. Dan kalau timbul rasa sakit kerana disumbat atau kerana memakai cawat maka tidak wajib menyumbatnya dan juga tidak wajib memakai cawat dan jika ia puasa maka ia wajib melepaskan sumbatan pada siang hari.
Dan kalau darah keluar sesudah disumbat dan sesudah memakai cawat dengan tidak sengaja dan tidak kerana kecerobohan dalam menyumbat dan memasang cawat tidaklah mengapa. Dan wajib atasnya sesudah memasang cawat mengambil air wudu atau bertayamum dan wajib membasuh faraj, menyumbat dan memasang cawat berwuduk atau bertayamum pada setiap kali mengerjakan yang fardu di dalam waktunya sekalipun cawatnya tidak bergesel dari tempatnya dan tidak ditemukan darah pada cawat itu. Dan tidak boleh melakukan semua itu sebelum masuk waktu seperti hukum bertayamum.
Dan wajib mengerjakan yang empat perkara di atas dengan tertib dan segera. Umpamanya disumbatnya sesudah beristinja, kemudian memasang cawat sesudah menyumbat, berwudu atau bertayamum sesudah memasang cawat dengan segera. Kerana itu tidak boleh dilambatkan dari pekerjaan yang terdahulu dan kalau telah selesai dari berwudu atau bertayamum hendaklah bersegera mengerjakan sembahyang kerana mengurangi hadas secepat mungkin. Tetapi tidaklah mengapa terlambat hanya sedikit kerana ada sesuatu yang dikerjakan dalam menyempurnakan sembahyang umpamanya menutup aurat, berijtihad dalam menentukan arah kiblat, menanti jemaah, nmenjawab azamn dan iqomat, tetapi kalau terlambat kerana sesuatu yang tidak ada hubungan dengan sembahyang maka batallah wudunya dan wajib atasnya mengulangi kembali semua itu.
Kalau darah istihadah berhenti sesudah mengambil wudu atau pada pertengahan wudu wajib atasnya membasuh faraj dan mengambil wudu atau tayamum kerana diperkirakan ia telah sembuh dari istihadah dan asal yang dilaksanakan bahawa ia tidak kembali keluar darah. Dan juga ia wajib mengulang sembahyang yang dikerjakan dengan taharah yang sebelum itu, kerana ternyata taharahnya batal terkecuali kalau keluar darah kembali pada waktu yang sekira-kira tidak sempat lagi mengerjakan taharah dan sembahyang pada waktu darahnya berhenti keluar baik sudah menjadi kebiasaan kembali keluar atau tidak diduga keras akan kembali keluar menurut kebiasaan atau menurut keterangan orang yang dipercayai sebelum dapat mengerjakan taharah dan sembahyang. Dan ia tidak wajib mengambil wudu kerana wudunya yang terdahulu masih sah dan ia dapat bersembahyang dengan wudunya itu terkecuali jika masanya panjang menyalahi kebiasaan sehingga dalam masa itu ia dapat mengerjakan taharah dan sembahyang maka batallah wudu dan sembahyang yang telah dikerjakannya dengan wudu itu.
Adapun orang yang selalu keluar air kencing, wadi dan mazi, disamakan dengan perempuan yang istihadah diperlakukan seperti hukum perempuan yang istihadah. Orang yang selalu keluar air kencing tidak diperbolehkan menggantung tabung pada zakarnya agar titik air kencingnya jatuh ke dalam tabung. Kerana dianggap menanggung najis yang bukan pada tempatnya najis dan tidak pula kerana darurat maka sembahyangnya dianggap tidak sah.
Kalau air kencing keluar terus menerus tidak akan berhenti terkecuali dengan duduk maka wajib ia bersembahyang dengan duduk Orang yang selalu keluar air mani wajib mandi padasetiap kali mendirikan yang fardu. Dan orang luka yang sentiasa keluar darahnya atau nanahnya seperti hukum perempuan yang istihadah wajib membasuh darah dan wajib membalut pada setiap kali melaksanakan yang fardu namun hukum yang lainnya tidak diberlakukan.
HUKUM MUSTAHADAH DAN JENIS-JENISNYA
Apabila seorang perempuan yang berusia sembilan tahun atau lebih, melihat darah keluar dengan sifat-sifat seperti berikut :
jumlah himpunan waktunya sehari semalam atau lebih;
darah yang keluar tidak melampaui lima belas hari;
waktu yang tertinggal baginya adalah waktu suci sekalipun darah yang keluar terputus-putus.
maka hukum darah yang dilihat tadi ialah darah haid sekiannya samada perempuan itu baru pertama kali datang haid atau sudah biasa kedatangan haid, baik sesuai dengan kebiasaan haidnya atau tidak, baik darah itu sama semua warnanya seperti semuanya warna hitam atau merah atau kuning atau warnanya berbeza setiap kali keluar umpamanya warna hitam lima hari kemudian keluar lagi warna merah selama lima hari, maka ditetapkan darah yang hitam dan yang merah itu semuanya adalah darah haid dengan syarat bahawa darah itu berhenti apabila sudah sampai lima belas hari atau sebelum lima belas hari.
Dan kalau darah itu tidak berhenti sesudah lima belas hari maka darah haidnya adalah darah hitam yang lima hari itu sahaja dan yang merah itu adalah darah istihadah yang akan diterangkan kemudiannya.
Adapun kalau masih ada hari-hari yang tertinggal itu, suci umpamanya dilihatnya tiga hari darah kemudian dilihatnya dua belas hari bersih dan tidak keluar darah, kemudian tiga hari darah keluar pula dan seterusnya berhenti. Maka darah yang keluar tiga hari yang pertama itulah darah haid dan darah yang tiga hari yang berikutnya adalah darah rosak dan dua belas hari yang tidak keluar darah itulah hari suci.
Jika darah itu tidak berhenti dan terus keluar maka hukumnya seperti berikut:
Jika perempuan itu baru pertamakali datang haid maka waktu haidnya hanya sehari semalam sahaja.
Jika sudah pernah haid maka ditetapkan waktu haidnya sesuai dengan kebiasaannya dan ini akan diterangkan kemudiannya
Jika perempuan sudah pernah haid melihat darah keluar lima hari pada awal bulan seperti biasanya kemudian darah itu berhenti keluar selama empat belas hari kemudian kembali keluar darah terus: maka sehari semalam dari awal darah yang kembali keluar ditetapkan suci seperti yang empat belas hari dahulunya dan lima hari yang kemudiannya ditetapkan haid dan seterusnya ditetapkan pusingan darahnya dua puluh hari.
Kalau perempuan melihat darah keluar pada masa yang kemungkinan haid wajib atasnya meninggalkan sembahyang, puasa dan lainnya dari yang diharamkan kerana haid. Kemudian kalau darah itu terputus genab sehari semalam, maka darah itu lain darah haid, wajib atasnya mengqada sembahyangnya dan puasanya yang ditinggalkan pada masa itu. Dan kalau darah itu terhenti sesudah sehari semalam atau lebih nyatalah darah itu adalah darah haid. Dan semenjak detik terhenti darah haid dan tandanya, jika dimasukkan kapas ke dalam farajnya dan dikeluarkan apabila kapas itu tetap putih bersih wajiblah ia mandi untuk mengerjaka ibadat seperti sembahyang, puasa dan lainnya. Kemudian kalau darah keluar lagi sebelum genap lima belas hari, wajib pula dia meninggalkan sembahyang, puasa dan lainnya. Dan kalau darah terhenti wajib lagi ia mengerjakan ibadah yang disebutkan tadi, demikianlah hingga selesai lima belas hari. Pada saat itu dikembalikan perempuan itu kepada adat kebiasaannya jika ia sudah pernah haid atau ditetapkan haidnya sehari semalam jika pertama kali haid, jika darah itu tidak melebihi lima belas hari. Nyatalah bahawa tiap waktu darah yang keluar dan waktu antara yang tidak keluar darah itu juga adalah masa haid, maka pada bulan kedua dan yang ketiga dan seterusnya ditetapkan waktu haid dan sucinya seperti pada bulan pertama.
Kalau masa keluar darah melampaui waktu haid yang terpanjang maka perempuan itu dinamakan mustahadah, baik terjadi pada perempuan yang baru pertama kali haid atau sudah pernah haid dan darah yang keluar tadi dapat dibezakan sifatnya atau tidak dapat dibezakan. Dan perempuan yang sudah pernah haid terkadang ia ingat lama haidnya dan terkadang lupa, dan lupa pada sifat kedua darah yang berbeza tadi dan kadang-kadang lupa salah sati sifat dari kedua macam darah tadi, Inilah tujuh macam perempuan yang mustahadah.
Kalau perempuan itu baru pertamakali haid dan darah yang keluar dapat dibezakan sifatnya umpamanya darah kuat berwarna hitam atau lemah (daif) berwarna merah, maka darah yang merah itu adalah darah mustahadah sekalipun waktu keluarnya lama dan darah yang hitam itu adalah darah haid, dengan syarat bahawa waktu keluarnya tidak kurang dari waktu haid yang terpendek dan tidak melampaui waktu haid yangterpanjang dan tidak kurang darah yang berwarna merah tadi dari sekurang-kurang waktu suci yang bersambung. Umpamanya lima belas hari yang bersambung terus antara dua masa haid, baik darah yang kuat tadi lebih dahulu dari darah yang lemah atau darah yang lemah dahulu dari darah yang kuat atau tengah-tengahnya.
Kalau tidak terdapat satu syarat yang disebutkan tadi umpamanya darah yang kuat tadi kurang dari waktu haid yang terpendek atau melampaui waktu haid yang terpanjang atau darah yang lemah tidak sampai waktu suci yang terpendek atau tidak bersambung. Umpamanya dilihatnya sehari berwarna hitam dan sehari berwarna merah, dan terus berlaku seperti itu, maka perempuan itu kekurangan syarat tamyiz yakni dapat dibezakan seperti yang akan diterangkan kemudian. Berbeza kalau ia melihat sehari semalam darah hitam sesudah itu dilihatnya darah merah, dan hal yang seperti itu berlaku terus beberapa tahun, maka pada waktu keluar darah yang lemah tadi itulah waktu sucinya kerana sepanjang-panjang waktu suci baginya tidakada batasnya.
Syarat yang ketiga terjadi kalau darah yang keluar itu terus menerus. Dan kalau terputus-purus umpamanya dilihatnya sepuluh hari darah hitam dan sepuluh hari darah merah kemudian berhenti maka yang ditetapkan baginya dapat dibezakan dan masa haidnya sepuluh hari pada waktu keluar darah hitam sekalipun darah merah yang lemah itu kurang dari lima belas hari. Demikian juga kalau ia melihat lima belas hari darah hitam, kemudian lima belas hari darah kuning kemudian enam hari darah merah atau dilihatnya tujuh hari darah hitam kemudian tujuh hari darah merah, kemudia tiga hari darah hitam hendaklah ditetapkan tamyiznya, maka masa haidnya adalah masa keluar darah hitam yang pertama berdasarkan pendapat yang dikuatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitab "Tahkik" yang dianut oleh sebahagian besar fukaha mutaakhirin, tetapi ini terjadi jika darah terhenti.
Adapun kalau darah itu keluar terus menerus, maka perempuan itu tidak mencapai syarat tamyiz dan dikenal darah itu kuat dengan warna dan dengan kasar dan dengan bau busuk, maka warna yang terlebih kuat itu berwarna hitam, kemudian merah, kemudian merah bercampur kuning, kemudian kuning bercampur putih dan kasar lebih kuat dari yang halus dan yang berbau busuk lebih kuat dari yang tidak berbau busuk dan yang bersifat dengan dua sifat seperti hitam yang halus dan yang berbau busuk lebih kuat dari yang tidak berbau busuk dan yang bersifat hitam lagi kasar atau berbau busuk lebih kuat dari yang bersifat dengan salah satu sifat seperti hitam yang tiada kasar dan tidak berbau busuk. Dan yang bersifat dengan yang tiga sifat seperti hitam dan kasar serta berbau busuk terlebih kuat dari yang bersifat dengan dua seperi hitam dan kasar atau bau busuk dan jika kedua darah itu dibandingkan tentang sifat umpamanya darah hitam dan kasar dan darah hitam dan berbau dan seperti darah merah serta kasar atau serta berbau, darah hitam tidak kasar dan tidak pula berbau, maka yang terdahulu itulah yang kuat dan itu pula yang dianggap darah haid.