Saya harap serba sedikit nasihat daripada
saudara dapat membantu saya membina diri yang saya tak pasti bagaimana
keadaannya.
Dengan berkat Sayyidil Mursalin, keluarga dan sahabat-sahabat r.a..dengan
kemuliaan para pewarisnya dari kalangan Aulia Allah, siddiqin, sholihin,
mohon diberkati dan ditunjukki akan aku dan saudaraku ke arah "jalan yang
benar" "jalan yang tidak dimurkai" dan "jalan yang tidak disesati"
Saudaraku yang dimuliakan Allah,
Saya ingin mengajak supaya saudara melafazkan puji Alhamdulillah(minta dilafazkan segera) dan memanjat rasa yang penuh kesyukuran kepada Allah dengan menghadirkan kalimah "Allah" "Allah" dalam hati saudara dan pancarkan pengetahuan saudara yang ada mengenaiNya serentak dengan detikan Allah Allah dalam hati saudara. Bersyukurlah-bersyukurlah dengan sebenar-benar kesyukuran kerana sememangNya Dia telah menyatakan dan menzhohirkan Kasih SayangNya pada saudara. Mungkin saudara kurang menyedarinya, namun yang pastinya Allah dengan Kasih SayangNya telah menghela dan menarikmu berteduh di bawah pohon Kasih SayangNya.
Insya Allah, dalam sedikit masa lagi, dan jika hemah suadara masih tetap dan teguh, saudara akan dapat memahaminya malah dapat menyaksikanNya sebagaimana Kesaksian hamba-hamba pilihanNya.
Itulah respon saya yang pertama kepada "Secara tak sengaja saya mula berminat dengan ilmu Tasawwuf &kesufian,......saya sedar isu yang saya hadapi adalah berpunca daripada satu yang tak dapat dilihat oleh manusia biasa iaitu HATI.Ianya berpunca daripada kekotoran hati yang belum dibersihkan. Ikhlas entah di mana, mazmumah berkarat2 dalam diri. Tidak kenal diri & tuhan, sukar untuk saya jelaskan krn. saya selaku pesakit tak mampu untuk menguraikan apa penyakit saya sebenarnya."
Mengenai Saya harap serba sedikit nasihat daripada saudara dapat membantu saya membina diri yang saya tak pasti bagaimana keadaannya. terpaksalah saya mengaku bahawa saya terlalu lemah dan dhoif untuk melaksanakan permintaan saudara. Ilmu masih sedikit dan amal masih banyak lagi yang sumbang dan makrifat pun entahkan ada entah tiada. Semata-mata mengharapkan limpah kurniaNya jua. Namun sekadar apa yang termampu, Insya Allah sebagai seorang mukmin saya akan cuba sama-sama membantu. Bukanlah maksud saya sekadar untuk menghiaskan kata-kata, tetapi hakikatnya mereka begitu dan saya dan saudara terpaksa akur dengan hakikat ini. Kita manusia yang lemah, dhoif, hina lagi fakir. Itulah hakikat diri kita. Jangan diharapkan sesuatu yang tinggi dan lebih kelak nantinya kecewa.
Sama-samalah kita pohonkan rahmat dan keberkatannya dari pertemuan kita yang tidak direncakan ini sebagai hamba-hambaNya yang tidak terlepas dari ikatan Kehendak dan KekuasaanNya.
Ketahuilah olehmu, Saudara telahpun memaklumi bahawa ianya berpunca dari hati, tidak kenal diri dan tidak kenal Tuhan. Dengan ini kesedaran saudara ini termasuk dalam golongan kesedaran yang hasil dari tunjukkan yang benar. Saya katakan ianya benar kerana untuk memasuki daerah Ilmu Keruhanian atau Ilmu Batin atau Ilmu Tasauf atau Ilmu Ketuhanan atau Ilmu Hakikat Diri atau Ilmu Rahsia atau beberapa nama yang lain, seseorang itu perlu bermula dari kesedaran ini. Tidaklah saya nak panjang-panjangkan mengenai mengapa diberi nama Ilmu ini dengan nama-nama yang berbeza, tetapi buat masa ini saya lebih suka kita fokuskan kepada kesedaran yang saudara miliki kini. Saudara perlu banyak bersyukur kerana tidak semua akan dianugerahkan kesedaran ini dengan mudah. RahmatNya jua yang melimpahi hati yang punya kesedaran pada hatinya, sedar pada kejahilannya, sedar pada kelemahannya dan sedar betapa berhajatnya hati tersebut kepada bimbingan dan panduan ke arah jalan yang berpetunjuk.
Mengenal diri itu adalah "Anak Kunci" untuk Mengenal Allah. Hadis ada mengatakan;
'Siapa yang kenal kenal dirinya akan Mengenal Allah".
Kenal dirinya ada hati;
kenal dirinya lemah;
kenal dirinya berhajat, akan mengenal Allah
Suka saya petik kata-kata Imam Ghazali agar saudara dapat sedikit idea mengenai hati;
Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu ialah satu perkara yang menggunakan semua keupayaan; yang lain itu hanyalah sebagai alat dan kakitangannya. Pada hakikat hati itu bukan termasuk dalam bidang Alam Nyata(Alam Ijsam) tetapi adalah termasuk dalam Alam Ghaib. Ia datang ke Alam Nyata ini ibarat pengembara yang melawat negeri asing untuk tujuan berniaga dan akhirnya kembali akan kembali juga ke negeri asalnya. Mengenal perkara seperti inilah dan sifat-sifat itulah yang menjadi "Anak Kunci" untuk mengenal Allah.
Kenyataan-kenyataan di atas semuanya berkisar pada hati, sifat hati dan keupayaan hati. Namun untuk betul-betul mengenal diri, mengetahui hakikat sifat-sifatnya dan keupayaannya yang istimewa tidaklah mudah seperti yang diungkapkan tetapi tidaklah sukar pada mereka yang "menyedarinya".
Saya rasa cukup dulu sekadar bicara pertama saya sebagai memaksudkan hajat saudara. Insya Allah jika saudara benar-benar berhemah dan ikhlas dengan niat dan nawaitu yang ada....kita akan sama-sama menerokoi alam yang tiada sempadan ilmu ini sekaligus merawat kekotoran hati yang belum dibersihkan. Ikhlas entah di mana, mazmumah berkarat2 dalam diri.
Pada saya saudara punya kelayakan dan kelebihan untuk mendalami ilmu
ini kerana
1. Punya permulaan yang betul
2. Kecerdasan akal
3. Minat dan Keinginan yang tinggi.
Sebagai menghargainya, Penghulu Kaum Sufiah Sheikh Junaid al-Bagdadi pernah berkata;
"Sesiapa yang suka kepada ilmu kami(Tasauf) sesungguhnya dia adalah Wali Kecil"
Saya juga amat berharap agar saudara dapat terus meluahkan apa yang sedang dirasai kini dan menyatakan sekadar apa yang diketahui untuk membantu aliran "perbincangan" kita agar menepati seperti yang saudara carikan kerana seperti yang disentuh di atas, ilmu ini banyak dimensi dan hantarannya serta luas skopnya.
Seperkara lagi, mohon dinyatakan juga;
1. Bicara yang telah dibaca di webpage suluk
2. Bicara yang paling menarik di sisi saudara
3. Bicara yang mudah difahami
4. Bicara yang dirasa agak sukar untuk memahami maksudnya.
Semoga kita akan sama-sama mendapat manfaatnya dari bicara ini lebih-lebih diharap saudara akan dapat menerima sedikit sentuhan Ilmu ini dengan dibukakan petunjuk dan bimbingan yang benar dari Allah Taala.
Sekiranya ada salah dan silap atau bicara yang keterlanjuran harap dapat dimaafkan kerena maklum sajelah pertemuan ini baru, dan masih banyak yang tidak tahu.
Allahu A'lam.
Fakir Suluk