|
Terjemahan Kalam Hikmah
Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. oleh Tok Pulau Manis;
|
Keterangan Suluk
Makna 'awa'id mengikut penjelasan guru suluk ialah tiap-tiap perkara yang membawa petunjuk kepada Allah Taala. Melalui keterangan Tok Pulau Manis di atas, terdapat beberapa isyarat yang sukar difahami yang beliau cuba disampaikan kepada kita. Antaranya ialah tidaklah Allah Taala memberikan sesuatu 'awa'id kepada seseorang hamba itu, melainkan dengan tujuan untuk memberikan kebaikan dan kebajikan kepada hambaNya sebagai satu nikmat dan kurnia dari sifatNya Yang Maha Pemurah. Biarpun 'awaid yang datang itu berupa bala, kesusahan dan kejahatan, namun pada hakikatya ia adalah satu kebaikan malah berupa satu anugerah kurniaNya yang penuh berhikmah. Ini adallah kerana; mengikut pandangan hakikat, sesuatu yang wujud di alam ini adalah merupakan manifestasi (penzhohiran) Wujud Allah Yang Hakiki.
Dengan itu, Sesungguhnya sesuatu 'awa'id yang sentiasa mendatangi hambaNya adalah sebagai satu hikmah untuk membaiki jiwa hambaNya menuju ke arah kesempurnaan pada setiap masa dan ketika. Nikmat, bala, musibah dan taat yang ditimpakan (dianugerahkan) adalah dari Kehendak dan KekuasaanNya tampa sebarang ilat(sebab/kerana) atau campurtangan ikhtiar dan pilihan hamba atau oleh kerana sesuatu yang boleh menguntungkan Allah, tetapi semua itu sebagai satu nikmat anugerah kurniaNya bagi hamba-hambanya berbaik sangka kepadaNya.
Dari itu, sewajarnyalah seorang hamba itu memperhambakan diri serta
ketaatannya kepada Allah Taala tanpa sebarang ilat(tujuan) atau sebab yang
lain kecuali semata-mata berikhlas kepadaNya.
Jangan mengharapkan balasan pahala dan kebaikan di atas apa yang hamba
kerjakan. Janganlah pula dihadapkan kepada kebaikan dunia seperti
berkat dalam hidup, keramat, dimuliakan orang atau apa sahaja yang berupa
kehendak-kehendak keduniaan. Hadapkan hati atau jiwa dengan sentiasa
berbaik sangka di atas sesuatu(taat. rezeki, makrifat, dsb) yang
diperolehi dengan sentiasa memandang bahawa Allah Taala dengan penuh hikmah
dan kasih sayangNya ingin membaiki jiwa hamba untuk lebih dekat dan lebih
mengenaliNya.
Hiasilah pandangan hamba itu dengan betauhid kepadaNya tanpa tujuan hati pada yang lain. Inilah balasan yang sepatutnya diberikan oleh seorang hamba sebagai menyatakan kesyukuran atas nikmat anugerah Allah yang diberikan kepadanya tanpa sebarang "kerana" tetapi semata-mata kerana kebaikan dan ihsan Allah Taala buat hambanya.
Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;
Dan kata Sheikh Shazili r.a. tiadalah kami melihat yang membaiki (diri kami) melainkan Allah Taala jua. Maka tiadalah kami kasih kepada lain daripadaNya (Allah) dan kami perbaiki sangka pada Allah kerana nikmat Allah Taala jua ahli bagi baik sangka tiada bagi yang lain. Maka barangsiapa didirikan(ditetapkan) dalam maqam yang baik sangka, maka didirikan dalam yang jinak dan barangsiapa dalam perkataan lawannya(jahat sangka) maka didirikan dalam maqam yang liar.
Maka sayugianya memilih kepada maqam yang jinak pada Allah Taala atas maqam yang liar daripadaNya.
Keterangan Suluk
Maqam yang jinak bermaksud hati dan jiwa hamba yang sentiasa melihat dan memandang akan Allah yang sentiasa menentukan dan melakukan serta mentadbir seluruh hal-ahwal perbuatan makhluk tanpa menyandarkan kepada makhluk..
Maqam yang liar ialah mereka yang buta mata hatinya untuk melihat perbuatan dan kekuasaan Allah, dalam sesuatu yang mendatangi, malah sering mempersalahkan sebab, menuduh, membenci makhluk apabila bertentangan dengan kekehdak dan nalurinya, suka dan cenderung kepada makhluk yang disangka berbuat baik kepadanya atau dengan kata lainnya, hatinya selalu menghadap kepada sesuatu yang zhohir semata-mata.
Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;
Dan hasilnya itu bahawasanya barangsiapa membaiki sangkanya pada Tuhannya dan tetaplah hatinya bagi segala sifatNya(Allah). Maka beroleh teranglah is dengan Nurul Yakin kerana membaiki sangka pada Allah Taala itu salah satu daripada Maqam Al-Yakin.
Keterangan
Suluk
Dalam keterangan di atas, kita ditemukan dengan satu pembukaan
rahsia oleh Tok Pulau Manis mengenai Makam Al-Yakin. Kita disedarkan
oleh musonnif betapa besarnya nikmat membaiki baik sangka pada Allah.
Kita akan dapat memahami betapa tingginya amalan batin ini kerana ia membawa
seseorang yang memilikinya kepada satu Maqam daripada beberapa maqam
yang disediakan dan diberikan kepada golongan orang-orang Sholihin.
Maqam Al-Yakin yang dimaksudkan di sini membawa pengertian bahawa ainul basyirah(pandangan mata hati) atau jiwa keruhanian seseorang hamba itu dapat melihat dan merasai akan benarNya Wujud Allah dalam setiap ketika mengikut kadar kekuatan dan anugerah yang diizinkan oleh Allah Taala. Mungkin berada dalam lingkungan Ainul Yakin atau mungkin dalam Haqqul Yakin. Inilah satu rahsia yang terselit di sebalik amalan berbaik sangka kepada Allah Taala.
Dari kerana itulah Pengarang melanjutkan kupasan mengenai Maqam Al-Yakin ini dengan mendatangkan keterangan yang berikutnya;
Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;
Bermula manusia itu atas dua bahagi;
Dan berkurang lebih antara dua maqam itu zhohir kerana yang awal itu tajali segala sifat iaitu syuhud segala orang yang khas dan yang kedua itu tajali segala afa'al iaitu syuhud segala orang yang am. Maka tiap-tiap daripada keduanya itu dengan sekira-kira maqamnya.
Keterangan Suluk
Manusia yang dimaksudkan di sini ialah mereka dalam golongan mukmin yang sholihin yang berada dalam maqam orang-orang Khas dan yang berada dalam maqam kebanyakan orang(Sholihin Yang Am).
Mereka yang telah terbuka rahsia mata hati(Ainul Basyirah) akan memandang dan melihat sesuatu itu mengikut pandangan hakikat yang ditajalikan(ditunjukkan/dinyatakan) oleh Taala mengikut kadar kemurnian jiwanya(rahsia mata hati).
Bagi yang mereka yang membaiki sangkanya terhadap Allah dengan memandang (syuhud) kepada segala Sifat Allah Yang Maha Maha Tinggi dan Maha Sempurna. Tidak mereka lihat lagi kepada zhohir alam ini, dan tidak pula mereka pandang akan bekas perbuatan Allah, malahan mereka telah tenggelam dalam keasyikan pandangan dan kecintaan perasaan kepada Sifat-sifat Allah Yang Mengatasi segala sesuatu; Yang Mendahuli segala sesuatu, Yang Menjelma dalam sesuatu dan; Yang Menyebarkan Barakah kepada tiap-tiap sesuatu. Mereka telah fana dari melihat dan merasai sesuatu yang lain kecuali berenang dalam lautan musyhadah dengan Allah Taala. Inilah maqam dan syuhud orang-orang sufi yang khas.
Bagi Sholihin yang am pula, mereka memperbaiki sangka mereka terhadap Allah dengan memandang kesempurnaan nikmat Allah kepada setiap kelakuan hamba. Tidak dilihat dirinya atau orang lain, menerbitkan atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan mata hatinya tersyuhud kepada memandang Allahlah Menguasai perbuatan hamba, Allahlah yang menentukan pilihan dan ikhtiar yang dilaksanakan olej hamba. Setiap kejadian yang menimpa dan membekas dalam alam ini, dipandangnya sebagai satu penyempurnaan nikmat Allah dalam PemerintahanNya.
Jika dibandingkan maqam orang am ini, ianya sedikit terkebawah dari maqam orang khas. Ini adalah kerana golongan am ini melihat sesuatu dengan memandang kepada bekas(asar) akan perbuatan Allah, manakala orang-orang khas, telah sunyi hati mereka daripada memandang kepada bekas perbuatan Allah kerana asyiknya mereka dengan memandangkan sifat-sifat Allah yang menzhohirkan segala sesuatu. Jika dilihat sesuatu itu pun, maka ianya hanyalah sebagai cermin atau bayangan kepada sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi.
Inilah antara maqam daripada berbagai-bagai maqam yang diberikan kepada hambanya yang membaiki sangkanya pada Allah Taala.
Ya, Allah ......masukkan kami ke dalam golongan mereka yang
telah Engkau berikan kepada mereka yang berbaik sangka terhadapMu.
Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;
Dan sesungguhnya telah banyaklah datang dalam khabar(hadis-hadis) menyuruh atas membaiki sangka pada Allah Taala. Dan sabda Nabi SAW. ;
"Dua perkara tiada di atasnya daripada kebajikan(setinggi-tinggi kebajikan) iaitu baik sangka pada Allah dan baik sangka pada segala hamba Allah dan dua perkara tiada di atas kedua itu daripada kejahatan(sehabis-habis jahat) iaitu jahat sangka pada Allah dan jahat sangka pada segala hamba Allah".
Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;
Dan kata Abu Tholib rahimallah; adalah Ibni Mas'ud r.a. bersumpah ia katanya;
Demi Allah tiadalah membaiki hamba itu akan sangkanya pada Allah melainkan mengurniai Allah akan dia baik sangka padaNya(Allah). Demikian itu kerana bahawasanya sekelian kebajikan itu dalam QudratNya. Maka apabila mengurniai Allah akan dia baik sangka padaNya, maka sanya mengurniai Allah akan dia barang yang disangkanya kerana bahawasanya yang membaiki akan sangkanya pada Allah itu yang menghendaki bahawa mentahqiqkan akan dia(hamba) bagiNya(Allah).
Keterangan Suluk
Isyarat yang cuba disampaikan oleh ahli sufi ini ialah satu kemestian atau jaminan yang akan diberikan kepada seseorang yang mengamalkan hal baik sangka kepada Allah. Dengan tuju hatinya untuk mengamalkan baik sangka ini, maka beliau yakin sekali bahawa Allah akan menyuburkan dan memperelokkan baik sangkanya pada Allah Yang Menguasai di atas sekelian kebajikan dan kebaikan. Dengan kurnia ini, maka hasillah bagi hamba itu sesuatu yang menjadi kenyataan yang Haq pada apa yang disangkanya. Ini adalah kerana tidaklah akan berbaik sangka seorang hamba itu melainkan daripada kalangan mereka yang ingin tahqiq(tetap dan teguh dalam melaksanakan) Haq Ubudiyah(Kehambaan)nya bagi Allah Tuhan Yang Maha Agung.
Keterangan Tok Pulau Manis seterusnya;
Dan tatkala telah selesai daripada menyebut daripadanya maka menyebut
tuntutnya maka kata Maalif;
|
Bersambung seterusnya dalam pengajian yang berikutnya
Allahhu A'lam
|
|