Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib  hari Khamis ( 02.12.1999 / 24 Syaaban 1420 )
Alamat Diterima Sesuatu Amal

Petikan dari  Pengajian  Hikmah Sebelum Ini.

Dan kata Sayyidi Abu Hassan Al-Syazali r.a. dalam doanya;

Dan Tuhanku jadikan olehMu Ya Allah akan segala kejahatan aku iaitu kejahatan segala orang yang Tuhan Kasih dan jangan jadikan segala kebajikan kami akan kebajikan orang yang dimurkai.  Maka kebajikan itu tiada memberi manfaat ia serta benci daripadaMu dan kejahatan itu tiada memberi mudhorat serta Kasih daripadaMu.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan ketahui olehmu bahawasanya hamba itu apabila telah ikhlas dalam amalnya,  nescaya zhohirlah segala faedah(amal)nya.  Maka jikalau ada lagi tinggal dalam ikhlasnya itu,  maka berdiri ia serta wujudnya dengan wasithoh(pengantara/sebab) memandang amal;   dan jikalau ia daripada orang yang Ahli Al-Mahabbah dan Ahli Al-Ikhlas,  maka terhijab daripadanya itu memandang amalnya dan haqirlah daripadanya(hamba) wujudnya(amal) hingga tiada melihat baginya amal serta berdiri(mengerjakan) pada segala amalnya.

Keterangan Suluk

Setelah selesai keterangan Tok Pulau Manis berkaitan dengan perihal tiada bergunanya banyak amal tetapi yang dibenci oleh Allah Taala dan betapa berfaedahnya sedikit amal dari hamba yang dikasihNya,  maka Tok Pulau meneruskan lagi keterangannya yang menjuruskan kepada syarat-syarat penerimaan sesuatu amal-ibadat,  bagaimanakah tanda-tanda dan apakah alamatnya jika ingin dikatakan sesuatu amal itu telah diterima oleh Allah Taala.

Eloklah disentuh sedikit bahawa sesuatu amal yang dikerjakan hendaklah terlebih dahulu disahkan oleh syariat.  Ini bermaksud amal itu hendaklah dikerjakan mengikut hukum dan ketetapan yang telah digariskan oleh syarak atau hukum fekah.  Seorang hamba perlu mengetahui dengan jelas perkara-perkara yang melibatkan rukun-rukunnya,  syarat-syarat fardunya serta,  boleh membezakan di antara perkara yang sunat  sama ada sunat yang biasa atau sunat yang dituntut/diberati,  manakah yang makruh,  yang haram  dan manakah yang harus serta mengetahui/berilmu dalam perkara-perkara yang membatalkan sesuatu amalan.  Dengan demikian ilmu tentang cara-cara beramal(fekah) adalah perkara pertama yang perlu/Wajib dikuasai oleh seorang hamba kerana amal yang dikerjakan dalam keadaan jahil akan hukumannya walaupun ianya membetuli dengan hukum syarak tidak akan dapat disahkan oleh syarak kerana ianya dikerjakan dalam keadaan yang meraba-raba dan bertaklid buta.   Setelah sempurna semua rukun syarat amalan zhohir ini dan disahkan oleh hukum-hukum syariat,  maka seorang hamba akan diberikan faedah-faedahnya yang hasil dari amalan yang dikerjakan itu iaitu dalam bentuk-bentuk ganjaran pahala dan kebajikan yang akan ditulis dalam suratan amalannya atau dalam bentuk petunjuk-petunjuk Ilahiyah.

Sungguhpun sesuatu amalan yang dikerjakan telah disahkan oleh syariat atau hukum fekah,  namun belum tentu lagi ia ada jaminan untuk diterima oleh Allah.  Ada lagi tapisan-tapisan yang lain.  Ini adalah kerana Allah itu lebih mengetahui daripada malaikat-malaikatNya akan keadaan hati dan tuju hati hamba itu dalam beramal itu.  Adakah semata-mata untuk Allah atau ada maksud-maksud kepentingan lain yang tersirat?  Dengan kata lain hanya amal yang benar-benar ikhlas sahaja yang akan diterima oleh Allah.  Saudara-saudara patut meneliti satu hadis yang diriwayatkan oleh Mu'adz bin Jabir r.a.  yang boleh didapati di bawah tajuk "Laknat Allah untuk yang tidak ikhlas".  Terlalu banyak peringatan dan pengajaran yang terdapat di sana.

Dan ketahui olehmu bahawasanya hamba itu apabila telah ikhlas dalam amalnya,  nescaya zhohirlah segala faedah(amal)nya.   Ini menunjukkan kepada isyarat bahawa hanya dengan benar-benar ikhlas sahaja hamba itu akan mendapat faedah dari amalannya.  Persoalannya kini,  bagaimanakah segala faedah amal itu akan terzhohir?  Apakah maksud atau makna ikhlas di sisi Aulia Allah ini?  Persoalan-persoalan inilah yang ingin diutarakan oleh Tok Pulau Manis;   maka berdiri ia serta wujudnya dengan wasithoh(sebab) memandang amal yang bermaksud belum dinamakan benar-benar ikhlas jika seorang hamba mengerjakan sesuatu amal tetapi masih melihat atau menilik-nilik kepada usaha perbuatannya dalam beramal.  Bagaimana boleh dikatakan ikhlas kerana hamba itu masih mengira-ngira atau menghitung amalan yang dikerjakan?  Sedangkan menilik kepada amal sendiri boleh membawa kepada sifat-sifat yang tercela seperti Ujub,  Riya dan Takbbur dan lain-lain sifat yang tercela;

Sedangkan ikhlas yang sebenarnya ialah sebagaimana kata Tok Pulau Manis dan jikalau ia daripada orang yang Ahli Al-Mahabbah dan Ahli Al-Ikhlas,  maka terhijab daripadanya itu memandang amalnya dan haqirlah(lekeh atau remeh)  daripadanya(hamba) wujudnya(nampak amal) hingga tiada melihat baginya amal serta berdiri(mengerjakan) pada segala amalnya . yang membawa maksud bahawa seorang hamba yang benar-benar ikhlas itu tidak lagi akan melihat dan memandang bahawa dia yang mengerjakan amalan itu malah dipandangnya amal-iabdar yang dikerjakan itu semata-mata atas limpah kurnia Taufiq dan Inayah dari Allah Taala jua.  Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi.  Inilah pandangan hati Ahli Mahabbah dan Ahli Ikhlas yang menjadikan mereka terdinding dari melihat dan mengira-ngira amalan yang mereka kerjakan.  Ringkas kata mereka telah benar-benar tidak sekali-kali mengisbatkan diri mereka dalam setiap perbuatan dan amal ibadat yang dikerjakan.

Dengan sebab itulah Tok Pulau Manis meneruskan lagi keterangan dan kupasan beliau sebagaimana berikut;
Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka adalah demikian itu menunjukkan atas ikhlas dalam amalnya dan sucilah daripada nazhor(tilik) kepada wujudnya(amal) dan demikian itu  kata Mualif(Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a.);
 

Tiada suatu amal yang dapat diharapkan diterima oleh Allah melebihi dari amal yang ghaib olehmu memandang akan wujudnya(amal) dan haqir dalam pandanganmu akan wujudnya(amal).

Terjemahan dan Keterangan Tok Pulau Manis dari Kalam Hikmah di atas;

Tiada amal yang terlebih harap bagi membaiki segala hati,  pahalanya dan hasil manfaatnya dan qabulnya daripada amal yang ghaib daripadamu memandang dia(amal) dengan sebab memandang yang mengurniakan dia(yakni Allah) dan haqirlah padamu(akan) wujudnya(amal) dengan iktibar bahawasaanya tiada ia(amal) patut akan yang engkau perbuat akan dia(amal) bagiNya(Allah) bagi barang yang dalamnya(amal) daripada segala Ilat dan Afat.

Keterangan Suluk

Dengan bahasa yang mudah,  kita boleh fahami Kalam Hikmah dan keterangan Tok Pulau di atas dengan keterangan berikut;

melainkan dari amal seorang hamba yang ghaib pandangannya dari melihat atau memandang amalan yang dikerjakannya.

Sesungguhnya lenyap pandangan terhadap amal itu adalah kerana tersyuhud hati itu dengan memandang Af'al Allah(Fana Af'al atau Perbuatan) dari KurniaNya Yang Menzhohirkan amal kebaikan kepada hamba yang diKasihNya.  Dengan Syuhud Tajalli Afa'al ini,  maka lekehlah atau remehlah setiap amalan yang dibangsakan kepada hamba dengan iktibar bahawasanya tidaklah sepatutnya seorang hamba itu mengerjakan amalan itu bagi Allah sedangkan terkandung di dalam amal itu  tujuan dan kepentingan diri atau yang lainnya di samping memiliki berbagai-bagai penyakit yang merosakkan ikhlas dan Tauhid.  Dan bagaimanakah seorang hamba boleh mengaku yang ia berkehendak dan berkuasa untuk melaksanakan amal itu sedangkan zhohirnya amalan itu adalah semata-sama dari limpahan Kurnia Allah Taala Yang Maha Tinggi.  Inilah sebabnya seorang hamba itu pada melatih dirinya untuk berMusyahadah/memandang akan Fi'liLlah atau perbuatan Allah dan melenyapkan tilikan dan pandangan mereka terhadap diri  dan dalam setiap amal perbuatannya supaya mereka boleh untuk mencapai Maqam Ahli Mahabbah dan Ahli Ikhlas yang sentiasa berpegang dan bergantung kepada Allah semata-mata sebagaimana yang terdapat dalam keterangan Tok Pulau Manis yang seterusnya.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

kerana bahawasanya demikian itu(amal yang ghaib daripada pandangan itu akan) menyampaikan  ia(amal) akan dikau kepada I'timad(berpegang/bersandar) atas Allah Taala dengan tiada Ilat kerana tiada engkau lihat bagi amalmu harga dengan iktibar sedikit shodiqnya(benar kehambaanmu) atau kerana bahawasanya Tuhan itu Maha Besar QudratNya Yang Mengurniai akan dikau bagi berdiri pada HaqNya.

Keterangan Suluk

Apabila ghaib atau hapus atau fana seorang dari melihat amal perbuatannya,  maka mereka akan disampaikan kepada satu Maqam hamba-hambaNya yang sentiasa berpegang atau bersandar kepada Allah semata-mata tanpa mengharapkan dari sesuatu yang lain atau dengan sesuatu tujuan yang lain.  Semata-mata I'timad kepada Allah dalam apa jua amal perbuatannya.  Bila tahqiq pandangan ini,  maka tidaklah ada nilai atau sebarang harga yang layak untuk diberikan kepada setiap amal perbuatan hamba yang dikerjakan dengan iktibar terlalu sedikit shodiqnya atau benar kehambaan kepada Allah Taala.

kerana bahawasanya Tuhan itu Maha Besar QudratNya Yang Mengurniai akan dikau bagi berdiri pada HaqNya.

Fahamilah dengan sebenar-benar pengertiannya pengajaran yang tersirat di sebalik keterangan Aulia Allah ini wahai diriku.  Sebagai memperkukuhkan keterangan dari Kalam Hikmah di atas,  seterusnya Tok Pulau Manis mendatangkan beberapa petikan kata-kata dari mereka yang ahli dalam Ilmu Makrifat sebagaimana berikut;

Maka sanya kata Ali Ibnu Husain rahimallah;

Tiap-tiap sesuatu daripada segala amalmu apabila berhubung dengan dia(amal)  oleh penglihatanmu(menilik dan menghtung amalmu),  maka demikian itu menunjukkan atas tiada diterima daripadamu kerana bahawasanya Qabul(penerimaan amalan oleh Allah Taala) itu diangkatkan lagi yang ghaib daripadamu dan barang yang putus daripadanya penglihatanmu.  Maka demikian itu menunjukkan atas QabulNya(diterima oleh Allah).

Dan telah ditanyai akan setengah orang yang Arif (Apakah) alamat diterima amal?.   Maka katanya;

Lupa engkau akan dia(amal) dan putus nazhor(tidak menilik/pandang) daripadanya(amal) pada sekeliannya dengan dalil firman Allah Taala "Bermula amal yang sholeh itu diangkatkan akan dia".  Maka alamat diangkatkan(diterima) Haq Taala demikian amal itu bahawasanya tiada tinggal padamu sesuatu.(yakni tidak ingat atau membilang-bilang amalan yang telah banyak dikerjakan sama ada pada diri sendiri apatah untuk menceritakan kepada orang lain)

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka sayugianya(wajib) bagi hamba itu apabila mengerjakan sesuatu amal,  maka adalah ia(amal) kepadaNya(Allah) lupa dengan tiada ingat mengerjakan amal.

Keterangan Suluk

Sebagai kesimpulan dan penutup keterangannya,  Tok Pulau Manis telah memberi satu peringatan kepada seorang hamba yang ingin  amal perbuatannya diterima oleh Allah supaya mewajibkan dirinya berikhlas dengan Allah iaitu dengan melupakan dari mengingati setiap amal perbuatan yang dikerjakan olehnya.  Dengan itu,  fahamilah wahai diriku dan saudara-saudaraku bahawa bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah supaya amalan yang kita kerjakan ini dapat diterima oleh Allah Taala tanpa mengikuti jalan kesucian dan kebersihan jiwa para Nabi dan Rasul,  Aulia Allah dan Ahli-ahli Sufi.  Kata-kata pengajaran mereka adalah dari butir-butir mutiara pengalaman keruhanian mereka yang disimbah dengan Cahaya Makrifat Rabbaniyah yang boleh membawa kita kepada Yang Haq dengan "jalan yang lurus",  "jalan yang tidak dimurkai" dan "jalan yang tidak disesati".

Ikutilah sambungan Pengajian Kalam Hikmah yang berikutnya yang berkaitan dengan Warid Makrifat Rabbaniyah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH