Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 28. 09. 2000 / 29 Rejab 1421)
KESEMPURNAAN 
PEMBALASAN ALLAH 
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Huraian Pengajian Terdahulu

Dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian Musyahadah itu dan ahwal itu tiada sempurna Haqaiqnya melainkan dalam negeri akhirat kerana bahawasanya negeri akhirat itu tempat balas yang sempurna;  dan negeri dunia itu tempat Sitrun dan takhlif dan amal;  dan akhirat itu negeri kashaf dan jaza' dan fadhol.

Keterangan Suluk

Perlu diketahui oleh seorang yang ada cita-cita untuk sampai kepada TuhanNya,  bahawasanya sekelian Musyahadah,

adalah tidak sempurna Haqaiqnya.  Demikian juga segala hal-ahwal hamba-hamba PilihanNya seperti; Sekelian Musyahadah dan ahwal seperti yang disebutkan di atas,  tidak sempurna hakikatnya melainkan di dalam negeri Akhirat Nanti.

Ini adalah kerana negeri akhirat itu dijadikan tempat untuk menyempurnakan segala nikmat dan balasan Allah Taala untuk hamba-hambaNya yang mu'min.  Hanya di akhirat nanti akan disempurnakan nikmat Allah yang benar-benar hakiki.

Tambahan pula dunia ini adalah Sitrun dan takhlif  yakni tempat untuk kita diam(taat dan patuh) dan tetap(yakin) untuk menerima segala apa yang diperintahkan oleh Taala.  Dunia ini adalah tempat untuk kita berbuat sebanyak mungkin  amal dan ibadat terhadap Allah dengan penuh ketaatan dan kepatuhan dan keyakinan.

Berlainan sekali dengan negeri akhirat.  Ianya adalah negeri negeri kashaf yakni tempat di mana terbukanya segala yang sesuatu yang sebelumnya tertutup,  yang  menjadi rahsia dan yang tersembunyi.  Negeri di mana menunjukkan tidak ada nikmat yang lebih sempurna daripada melihat Wajah Allah di dalam Syurga.  Ini adalah kerana negeri akhirat itu adalah tempat jaza' dan fadhol  yakni menerima balasan dan nikmat yang sempurna.

Berkenaan dengan pembalasan Allah di akhirat inilah,  yang menjadi isi perbincangan dari Kalam Hikmah Sheikh Ibn Atoillah yang selanjutnya mengikut Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis;
 

  • Hanya sungguhnya dijadikan Allah Taala negeri akhirat akan tempat bagi membalas segala hambaNya yang mu'min kerana bahawasanya; 
    • negeri dunia ini tiada lulus yang dikehendakiNya Mengurniai akan mereka itu; 
    • dan dari kerana ia membesarkan kadar mereka itu daripada membalas mereka itu dalam negeri yang tiada kekal baginya; 
      • padahal memuliakan bagi mereka itu dan membesarkan pada kadar mereka itu; 
        • kerana negeri dunia itu negeri fana tiada kekal baginya dan negeri akhirat itu negeri kekal tiada fana dalamnya. 
    Maka membalas bagi segala hambaNya yang mu'min dalam negeri yang kekal daripada terlebih sempurna nikmat dan terlebih mulia pembalasan bagi mereka itu.

    Keterangan Suluk

    Sesungguhnya telah dijadikan oleh Allah Taala akan negeri akhirat nanti sebagai tempat untuk menyempurnakan nikmat pembalasanNya terhadap hamba-hambaNya yang mu'min kerana;

    Inilah kelebihan dan kesempurnaan negeri akhirat.

    Bahasan lanjut,  elok kita jelujuri .............

    Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Dan hanya sungguhnya dijadikan membalas segala mu'min dalam negeri akhirat itu kerana dua perkara;  Pertama;  bahawasanya negeri dunia itu tiada lulus yang dikehendakiNya Mengurniai mereka itu daripada segala bahagi(bagai) nikmat pada hissi atau pada ma'ani.

    Keterangan Suluk

    Telah ditegaskan lagi sekali,  sesungguhnya dijadikan akhirat itu tempat untuk membalas hamba-hambaNya yang mu'min adalah kerana dua sebab.   Yang pertamanya ialah,   dunia ini terlalu sempit dan tidak berupaya untuk meluluskan kadar kurniaan nikmat yang luas tiada kehinggaan dengan berbagai-bagai nikmat yang hissi yakni atau ma'ani .

    Apakah itu nikmat hissi dan nikmat maani ini?.  Kita ikuti..........

    Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Adapun yang pada hissi itu maka dari kerana dunia itu hampir perjalanannya,  picik daerahnya dan dikurniai Allah Taala dalam negeri akhirat bagi salah suatu daripada mu'min itu dalam satu milik daripada mereka itu seperti yang datang dalam khabar;  "Perjalanan 700 tahun".  Maka apa sangkamu kepada yang khowas mereka itu.  Maka piciklah dunia daripada sekelian balas mereka itu dari kerena terlebih besar kadar mereka itu daripada membalas mereka itu dalam negeri yang tiada kekal baginya.

    Keterangan Suluk

    Nikmat pada hissi Allah Taala teramat besar;  sedangkan negeri dunia ini terlalu sempit dan picik  serta terhad daerahnya.  Bagaimana dunia ini boleh menyempurnakan keluasan dan kebesaran nikmat Allah ini sekiranya seorang hamba dikurniakan daerahnya sejauh 700 tahun perjalanan sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW.   Mana mungkin dunia kecil yang kita duduki sekarang ini dapat menempatkan kesemua hamba-hambaNya yang mu'min sekiranya untuk seorang hamba pun tidak dapat dimuatkan.   Bagaimana pula hal keadaannya pula bagi yang yang khusus dan terpilih untuk mendapat kebesaran nikmat yang lebih berkali-ganda lagi?

    Maka dengan itu,  terlalu sempitlah dunia ini jika hendak dibandingkan dengan kadar nikmat balasan Allah yang lebih besar kadarnya. Tidaklah mungkin dapat disempurnakan nikmat Allah yang besar itu di negeri dunia yang sempit dan akan binasa ini.  Di akhirat jualah dapat disempurnakan nikmat-nikmat Allah pada hissi ini.

    Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Dan adapun yang pada Ma'ani itu maka dari kerana dunia itu tempat hina dan kurang dan keji;  dan tiap-tiap suatu yang memberi kesukaan dalam syurga itu terlebih mulia dan terlebih tinggi seperti yang datang dalam khabar bahawasanya "cahaya segala pakaian Huuru'ain itu memadamkan cahaya matahari"  dan tiadalah seumpamanya.

    Keterangan Suluk

    Adapun kenapa dunia ini tidak dapat meluluskan nikmat pada Ma'ani pula dari kerana dunia ini adalah tempat yang hina,  yang kurang lagi yang keji.  Termasuklah apa-apa sahaja yang hodoh,  yang cacat,  yang lekeh,  yang remeh dan apa sahaja yang menunjukkan ketidaksempurnaannya.

    Sedangkan tiap-tiap sesuatu yang menjadi kesukaan dan kenikmatan dalam syurga dalam negeri akhirat nanti terlalu mulia,  terlebih tinggi dan terlebih sempurna sehinggakan hanya dengan pakaian seorang bidadari sahaja boleh memadamkan terus cahaya matahari yang begitu kuat dan teguh.  Tentu sekali tak dapat nak dibayangkan bagaimana pula apabila melihat wajah bidadari itu.  Benarlah apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW.  melalui hadis Qudsi sebagaimana..........Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Dan sabda Nabi SAW. pada yang dikhabarkan dari TuhanNya 'Azzawajalla;  Telah Kusanggarahakan(sediakan) bagi segala hambaKu yang sholeh yang

    Bagaimana layak dunia yang hina ini menyempurnakan nikmat maani Allah Taala yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna???

    Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Dan kepada Allah Subhanahuwa Taala membesarkan kadar segala hambaNya mu'min.  Maka tiada dijadikan mereka itu balas atas taat mereka itu dalam negeri Faniyyah(yang binasa),  tetapi diAnugerahi mereka itu kekal dalam ni'mat.  Maka dinamai akan Dia dengan NamaNya Yang Karim iaitu Yang Hidup Yang Tiada Mati.

    Keterangan Suluk

    Sesungguhnya Allah Taala sentiasa ingin membesarkan dan memuliakan kadar kurnia untuk hamba-hambaNya yang mu'min.  Maka kerana itulah tidak dibalaskan lagi amal taatnya dalam negeri yang fana dan akan hancur binasa ini;  dan kerena anugerah Allah kepada mereka itu adalah kekal selama-lamanya;  kekal dalam nikmatnya yang tidak ada akhirnya.

    Segala puji dan kesyukuran itu  kepada Allah Taala,  Zat Yang Karim iaitu Yang Hidup dan Yang Tiada Mati.  Siapakah lagi selaian daripadaNya yang memiliki kebaikan yang sempurna.

    Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Dan kata Muhammad bin Al-Hanafiah ra;

    Tiada bagi segala badan kamu itu harga melainkan Syurga.  Maka jangan kamu jual akan dia melainkan dengan Syurga;  dan tiada mulia atas diri hamba jual akan dia melainkan dengan Syurga;  dan tiada mulia atas diri hamba itu melainkan hina atasnya segala syahwatnya.

    Keterangan Suluk

    Nilai bagi diri kamu itu ialah dengan harga Syurga.

    Demikian juga nilai bagi diri kamu itu bahkan nilainya adalah dengan syurga yang kekal abadi.

    Diri kamu itu adalah diri yang mulia,  yang suci,  yang layak untuk menerima kesempurnaan kebaikan itu.  Jangan dilekehkan dirimu yang mulia itu dengan dijual kepada sesuatu selain daripada Syurga.  Hanya dengan syurga sahaja yang layak bagi kemulian yang kau miliki itu.

    Kemuliaan dirimu itu akan bertukar menjadi sesuatu yang hina kiranya tidak dipeliharakan fitrah diri yang dimuliakan.  Hinanya engkau kerena terbelanggu dan menjadi hamba kepada syahwatmu. Sesungguhnya tiada kemuliaan di atas dirimu itu melainkan hina semata-mata jika dituruti syahwatmu yang nyata dan syhawatmu yang tersembunyi itu.

    Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

    Maka adalah balas dalam negeri akhirat itu baginya alamat dalam negeri dunia sebagaimana iaitu....(Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Atoillah yang selanjutnya);
    Barangsiapa diperolehnya akan buah amalnya pada sekarang,  maka demikian itu menunjukkan atas diperoleh Qabul dengan Anugerah Allah Taala

    Bersambung dalam catatan pengajian yang selanjut di bawah tajuk Tanda Dan Alamat Diterima Amalan

    Insya Allah.....jika direzekikan lagi

    [[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

    Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
    Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar