Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 08. 03. 2001 / 12 ZulHIJJAH
1421)
ADAB
DUKACITA & SUKACITA DALAM
UBUDIYAH
|
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Petikan
dari Keterangan Pengajian Terdahulu;
Maka barangsiapa ada waktunya dukacita,
tiada sunyi ia
-
ada kalanya diketahui sebabnya atau
-
tiada diketahuinya.
Dan segala sebab dukacita itu tiga perkara
iaitu;
-
dosa engkau datangkan akan Dia atau
-
dunia yang hilang ia daripadamu atau kurang
ia bagimu atau
-
zholim yang menyakiti ia akan dikau dalam dirimu
atau dalam mata bendamu atau nasabmu.
Keterangan
Suluk
Bermula dukacita yang diketahui sebab atau puncanya adalah berdasarkan
kepada tiga pokok utama iaitu;
Pertamanya oleh
sebab sesuatu dosa yang sengaja dilakukan olehmu; Bukanlah ini bermaksud
semata-mata dosa seperti meninggalkan sholat atau puasa kerana sememangnya
ianya telah sedia termaklum oleh semua orang Salik. Ini adalah kerana
bukanlah dinamakan Salik atau Murid seorang yang melakukan dosa-dosa yang
sedia termaklum seperti meninggalkan sholat atau puasa atau mencuri,
berzina, minum arak dan sebagainya. Tetapi dosa yang dimaksudkan
di sini ialah seperti;
-
lalai dalam memelihara sholat seperti
mentakhirkan waktu tanpa kaifiat dan adab-adab sebagaimana yang digariskan
oleh hukum fekah;
-
mengutamakan yang sunat dengan meninggalkan
yang wajib seperti meninggalkan mempelajari hukum agama dengan asyik mengerjakan
amalan-amalan yang sunat.
-
meninggalkan wirid-wirid harian kerana
kesibukan mengejar dunia,
-
bersifat ujub, riya dan takbur
serta lain-lain sifat mazmumah dalam amalannya tanpa disedarinya atau sengaja.
Rasa seperti sudah elok dan baik, namun penuh bercampur dengan hama-hama
penyakit yang tercela.
Keduanya, kerana
kehilangan dunia atau berkurangnya dunia daripadamu;
-
Bukan sekadar hilangnya harta atau
berkurangnya wang ringgit;
-
Bukan sekadar kerana kehilangan jawatan
atau kerana diturunkan pangkat,
-
Bukan sekadar disebabkan tidak berupayanya
memiliki sesuatu yang diperlukan untuk melangsungkan keperluan diri dan
ahli keluarga;
-
tetapi bahkan dukacitanya mereka
ini adalah kerana;
-
hilangnya sesuatu keistimewaan yang
sebelum ini dimiliki oleh hatinya;
-
hilangnya ilham dan terputusnya laduni
yang sebelumnya mencurah-curah datang;
-
hilangnya mukasyafah yang dapat melihat
perkara-perkara yang ghaib sebelum ini;
-
terputusnya atau lemahnya diri daripada
memanjat terus ke alam-alam tinggi
-
tiada lagi keramat atau lemahnya
sesuatu barakah amal yang dulunya hebat.
Kehilangan-kehilangan seperti di atas adalah antara punca yang menyebabkan
seseorang hamba itu berdukacita.
Sebab ketiga dari dukacita
yang diketahui ialah kerana merasakan diri dizholimi atau dianiyai oleh
makhluk ke atas dirinya, harta-bendanya serta kaum keluarganya.
Kita tak buat apa-apa kesalahan atau menggangu orang lain, tetapi
tiba-tiba sahaja ada manusia.......
-
yang datang mencederakan diri
kita tanpa sebarang sebab,
-
menyakiti hati dan perasaan,
memfitnahkan kita,
-
mengambil harta-benda kita tanpa
sebenar,
-
menganiyai anak-isteri atau
kaum keluarga kita dengan pelbagai kesusahan dan masalah.
Inilah antara punca-punca yang diketahui yang menjadikan seseorang itu
berdukacita dan bersedih. Suka atau tidak, kedukaan-kedukaan
itu pasti juga akan mendatangi. Namun, sebagai seorang Salik
atau sebagai seorang hamba yang menyedari akan Kekuasaan dan Keesaan TuhanNya,
atau sebagai seorang yang menyedari akan kedudukan dirinya dan Ketinggian
TuhanNya, maka semestinya mereka dikehendaki melaksanakan Hak Ubudiyahnya
sebagaimana yang terdapat dari ......................
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila datang atasmu dukacita daripada
salah suatu daripada segala sebab ini, maka Ubudiyah itu menghendaki
engkau rujuk kepada ilmu yang diistimalkan baginya seperti yang disuruh
engkau.
-
Maka adapun dalam dosanya itu, maka hendaklah
engkau dengan taubat dan bersungguh-sungguh dalamnya;
-
Dalam hilangnya dunia itu, maka
hendaklah dengan taslim dan redho(dalam ubudiyah);
-
Dan dalam yang menyakiti(oleh orang lain)
itu, maka hendaklah dengan sabar dan diihtimalkan kepada Yang Menjadikan.
Keterangan
Suluk
Sesuatu yang didatangkan ke dalam hatimu itu adalah merupakan sebab-sebabnya.
Sebab-sebab itulah yang menjadikan engkau berdukacita, rungsing,
cemas dan perit. Oleh kerana ianya datang sebagai satu sebab,
maka sewajarnya bagi seorang Salik seperti engkau melaksanakan hak-hak
Kehambaanmu kepada Allah Taala Yang Menjadikan sebab itu. Di waktu
begini, apa yang dituntut ke atasmu ialah "rujuk
kepada ilmu yang diistimalkan" yang bermaksud;
dengan menyandarkan tindakan atau apa yang harus dilakukan kepada pengetahuan(ilmu)
yang perlu dipakaigunakan.
Apabila berlaku pelanggaran
dosa, maka ilmu yang mesti diistimalkan menuntut agar engkau segera
bertaubat dengan sungguh-sungguhnya di waktu itu; Lari dan
terus meninggalkan perbuatan atau sesuatu yang menyebabkan engkau terjerumus
untuk kali yang seterusnya,
-
Mengisi dan memenuhi waktu-waktu
tersebut dengan amal ibadat dan kebajikan.
-
Daripada tidak bersholat sunat kepada
mempelbagaikan sholat-sholat sunat
-
Daripada tidak pernah bangkit malam
kepada memenuhi malam dengan zikruLlah
-
Daripada tidak gemar dan memandang
remeh ilmu syariat kepada rakus dalam menuntutnya keistimewaannya
-
Bertawaduk dan merendahkan diri kepada
makhluk Allah atas dasar kewajipan untuk memohon maaf dan memulangkan
semula harta benda saudara-suadara tanpa jalan sebenar.
-
Benar-benar bertekad untuk tidak
memalingkan muka kepada maksiat-maksiat tadi buat selama-lamannya.
Inilah apa yang dimaksudkan dengan bertaubat. Bukan semata-mata dengan
mengatakan aku menyesalinya sedangkan hal keadaan diri sama sahaja seperti
dahulu. Apa yang perlu ialah adanya peningkatan amal taat kepada
Allah dan berkurangnya kecenderungan diri untuk berjinak-jinak dengan jalan-jalan
yang membawa kepada kelalaian dan maksiat. Keadaan inilah sahaja
yang dapat dijadikan bukti bahawa Taubatmu itu adalah taubat yang benar
dan ikhlas.
Apabila berdukacita dengan kehilangan
dunia pula, maka ilmu yang mesti diistimalkan, menuntut agar
engkau; taslimkan(serahkan) kepada Kekuasaan Allah dan
redho di atas KehendakNya;
-
Serahkan dan berlepas dirilah engkau
dari rasa aku ada ini, aku ada itu, itu milik aku, ini
milik aku, aku boleh buat itu, atau sepatutnya aku buat
begini bukannya begitu dan aku akan buat begini dan apa sahaja itu ini.
-
Tanggalkan rasa keupayaan dan kekuatanmu
dalam berasbab sebelum ini kepada Keupayaan dan Kekuatan Allah Taala,
sebagaimana yang selalu sebut-sebutkan dalam kalimah "La haulawa quwwataiLlah
biLlah".
-
Terimalah dengan dada yang lapang
walau ianya perit sekalipun. Ingat....engkau hanya seorang hamba!!!!!.
Seorang hamba patut menerima apa sahaja perlakuan dari TuanNya. Inilah
ilmu yang mesti diistimalkan sewaktu berdukacita dalam kehilangan dunia;
Harta benda, pangkat, kedudukanmu, Keramat, ilham,
laduni, barakah yang pernah diberikan, harus bagiNya
menarik balik bila-bila masa dan apa jua masa sekalipun, mengikut
barang KehendakNya. Untuk itu, serahlah dan redholah kepada
Kekuasaan dan KehendakNya Yang Mutlak dengan melenyapkan upaya,
kuasa dan kehendak-kehendak dirimu.
Seterusnya apabila kedukaan
dirimu itu kerana disakiti, dizholomi atau dianiyai oleh manusia
lain, maka adalah menjadi kewajipanmu sebagai seorang hamba menerimanya
dengan sabar. Sabarlah dengan kerenah makhluk lain dengan memandang
kepada Yang Menjadikannya yakni Allah.
Seorang Wali Allah Abu Osman Al-Hairi dijemput oleh seorang dalam jamuanmakan.
Apabila beliau datang, beliau pun dihalau dengan kata-kata yang kasar.
Kemudian beliau diajak lagi. Beliau datang lagi tetapi dihalau lagi.
Beliau pun pulang. Beliau diajak lagi. Beliau pergi dan dihalau lagi.
Beliau pulang. Lebih kurang 30 kali perkara itu berlaku tetapi beliau
tidak peduli. Akhirnya orang itu menjadi murid beliau dan menghormati beliau.
Murid itu bertanya bagaimana beliau dapat menahan sabar sedemikian.
Al-Hairi menjawab;
"Sebenarnya
tidak ada luar biasa tentang perkara itu. Apa yang saya buat, anjing
pun boleh buat. Apabila diajak dia datang;apabila dihalau, dia pergi.
Ini bukanlah tanda kewalian yang besar".
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan adapun apabila datang dukacita atasmu
dan tiada engkau ketahui baginya sebab, maka waktu itu dua waktu;
Suatu malam, kedua siang.
Maka duka itu diumpamakan dengan malam
dan suka itu diumpamakan dengan siang.
Keterangan
Suluk
Setelah diperincikan berkenaan dengan dukacita yang diketahui sebab
dan puncanya, maka keterangan selanjutnya menjelaskan pula berkaitan
dengan dukacita yang tidak diketahui sebab atau puncanya. Hal ini
biasalah berlaku ke atas hati seorang hamba. Tanpa sesuatu kerana,
tanpa sesuatu sebab, tiba-tiba sahaja hati menjadi cemas, atau
berdebar-debar, atau rasa cemas, rungsing dan berdukacita.
Mengikut keterangan di atas, apabila hadir pelbagai rasa dukacita
seperti di atas, maka hendaklah disedari dan difahami bahawa
sememangnya ianya adalah menjadi lumrah kehidupan seorang hamba di dunia
ini. Tidak ada satu manusia pun yang didatangkan semata-mata dengan
sukacita dari semenjak ia lahir sehinggalah meninggalkan dunia yang fana
ini. Demikian juga, dukacita itu tidaklah selama-lamanya.
Duka dan suka pasti akan datang silih berganti sebagaimana silih bergantinya
siang dan malam. Semata-mata sebagai satu fitrah makhluk yang bernama
manusia.
Pun begitu, walaupun tanpa diketahui puncanya, seseorang
hamba itu perlu juga melaksanakan adab-adab dalam Ubudiyahnya sebagaimana
adab-adab yang lainnya.
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila datang duka atasmu dengan tiada
sebab, maka engkau ketahui akan dia. Maka Wajib atasmu sukun(tetap
hati dengan Qada' Allah). Dan sukun itu atas tiga perkara iaitu;
-
Sukun daripada segala qaul(perkataan);
-
Dan sukun daripada segala harkah(gerak-geri);
-
Dan sukun daripada segala iradat.
Keterangan
Suluk
Apa yang dituntut dan dikehendaki oleh seorang hamba ialah beradab dengan
sukun yakni tetap dan teguh berdiri hatinya dengan Qada' Allah Taala.
Tidak merungut-rungut, tidak berganjak daripada hemah dan cita-citanya
yang satu, tidak mudah kalah kepada rasa sakit, perit dan penderitaan
yang mendatangi, tidak mempedulikan kerisauan dan kebimbangan yang
datang cuma sebagai satu bentuk kenyataan dan penzhohiran Kehendak dan
Kekuasaan Allah Taala.
Dan adalah sukun ataupun tetap hati dengan Qada' Allah itu terbahagi
kepada tiga perkara;
-
Pertamanya, Sukun daripada segala qaul
yakni tidak merungut-rungut, merintih-rintih dan merayu-rayu simpati
dan menagih kefahaman daripada manusia lain. Biasanya, bila
kita ada masalah, maka hati kita perlukan seseorang sebagai tempat
untuk mengadu dan mencurahkan perasaan yang tertekan itu. Ini
bukannya adab sebagai seorang yang sukun dalam perkataannya. Apalah
daya manusia untuk memahaminya, membuangkan rasa resah gelisah itu
sedangkan diri mereka sendiri pun turut terpenjara dalam kurungan pelbagai
perasaannya. Cukuplah....memadalah Allah sahaja yang mengetahuinya
kerana Dialah satu-satunya yang sebaik-baik tempat untuk diadu dan dirujuk.
Tahanlah lidahmu itu daripada mengeluarkan perkataan yang boleh merosakkan
adab-adabmu sebagai seorang hamba yang melaksanakan Hak Ubudiyahnya.
-
Keduanya, sukun daripada segala harkah
yakni gerak-geri. Tidak menunjukkan tanda-tanda kegelisahan,
cemas dan rimas pada peribadinya. Tenang dan bersahaja dalam
menerima apa jua kedukaan sehinggakan orang yang terdekatnya tidak menyedari
kedukaan di hatinya. Tidak lalai dari untuk terus mengistiqamahkan
wirid-wirid dan taat yang dikerjakan. Tetapkanlah anggotamu daripada
bertindak dan melakukan sesuatu yang akan merosakkan adab-adabmu sebagai
seorang hamba yang melaksanakan Hak Ubudiyahnya.
-
Ketiganya, sukun daripada segala iradat
yakni tetap dan teguh kehendak hatinya. Tidak berubah hemah dan maksud
cita-cita hati walaupun dengan terpaksa mengharungi kepayahan dan kepahitan.
Teguhkanlah langkahan kakimu di atas jalan kepada Allah itu daripada memijak
simpang-simpang yang boleh merosakkan adab-adabmu sebagai seorang hamba
yang melaksanakan Hak Ubudiyahnya.
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan barangsiapa ada waktunya sukacita,
maka tiada sunyi ia ada kalanya diketahui baginya sebab. Maka segala
sebab sukacita itu tiga perkara iaitu;
-
bertambah dalam taat atau;
-
bertambah dari dunia dengan kasab(usaha dan
ikhtiar) atau barang sebagainya atau ;
-
beroleh puji dari manusia.
Keterangan
Suluk
Adapun sebab-sebab sukacita diketahui itu pula berpunca daripada tiga
perkara iaitu;
-
Bertambah dalam
taat;
-
Rajin dan dapat merasai manis
dan lazat dalam taat
-
Suka untuk menambahkan ilmu pengetahuan
berkenaan dengan Syariat dan Jalan Ketuhanan.
-
Didatangi ilmu laduni yang dapat
menyempurnakan amal taatnya.
-
Bertambah dari
dunia
dengan usaha kasab
-
Semua kerja-kerja yang dibuat
menjadi
-
Dinaikkan pangkat atau jawatan
yang lebih tinggi
-
Hasil kebun atau tangkapan ikan
bertambah banyak
-
Diberikan rumah, tanah dan
harta benda kerana sesuatu jasa kebaikan
-
Beroleh puji
dari manusia
-
Seorang yang alim dan wara'
-
Seorang yang baik dan berbudi-pekerti
yang tinggi
-
Seorang yang banyak berjasa kepada
masyarakat dan agama.
Yang mana semua contoh-contoh di atas akan menghasilkan kegembiraan dan
sukacita pada hati seseorang hamba. Pun demikian, dalam berseronok
dan bersukacita itu, seseorang itu janganlah pula lupa dan lalai
kepada adab-adabnya sebagai seorang hamba. Ubudiyahnya menuntut agar
mereka melaksanakan adab-adabnya sebagaimana...............
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila datang atasmu suka daripada
salah suatu daripada sebab ini, maka Ubudiyah itu menghendaki bahawa
engkau lihat asar nikmat dan kurnia daripada Allah Taala atasmu dan jangan
engkau lihat daripada bahagian suatu bagi dirimu.
-
Dan adapun (Ubudiyah) dalam bertambah taat
itu, maka hendaklah engkau melazimkan(tetap/istiqamah) dia;
dan takut hilang daripada yang dikurniakan atasmu; maka engkau binasa.
-
Dan (Ubudiyah) dalam bertambah dunia
itu, maka iaitu nikmat pula; dan takut olehmu daripada yang
tersembunyi daripada kebinasaannya.
-
Dan dalam puji manusia itu, maka
Ubudiyah itu menghendaki akan syukur nikmat daripada yang ditutup(aib)
atasmu; dan takut olehmu daripada Allah Taala akan menzhohirkan daripada
yang batin daripadamu. Maka membinasakan manusia itu kepadamu.
Keterangan
Suluk
Bila saja datang nikmat kesukaan pada dirimu, maka wajib ke atasmu
melaksanakan adab-adab Ubudiyahmu semasa bersukacita itu. Pandanglah
dan lihatlah ianya sebagai satu tanda penzhohiran nikmat dan anugerah Allah
ke atas dirimu tanpa sesuatu sebab atau kerana daripada dirimu. Bergembiralah
dengan Kurnia Allah itu untuk Allah kepada Allah, bukan kerana telah
buat itu dan buat ini, ada ini dan ada itu. Tidak diizinkan
sama sekali untuk kau memandangkan dan melihat ianya kepada bahagian dirimu.
Dengan kerana itu,
Apabila bertambah dalam
taat, maka peliharalah kurniaNya ini dengan menetapkan dan mendawamkan
serta mengistiqamahkan ketaatan itu di samping punya rasa takut dan bimbang
ianya akan disentak dari dirimu. Ini adalah kerana kegagalan untuk
memelihara dan mengistiqamahkan ketaatan yang didirikan itu, merupakan
sebagai satu bencana dan musibah yang akan membinasakan dirimu nanti.
Sebab itulah, telah muafakat segala orang-orang Arif mengatakan bahawasanya
"Istiqamah
itu terlebih baik daripada seribu keramat". Dalam
mendapat sukacita keramat, ramai yang telah kecundang dan binasa
atau sekurang-kurangnya tersekat jalannya untuk Wasil ilaLlah dengan sebab
memandang kepada bahagian dirinya dan bersukacita dengan keramat tersebut
sehingga mengabaikan istiqamah dalam taatnya..
-
Apalah lebihnya dapat terbang di
udara kerana haiwan burungpun dapat melakukannya.
-
Apalah hebatnya dapat berjalan di
atas air kerana ikan-ikan yang menjadi makanan makhluk lainpun dapat melakukannya.
-
Apabila takjubnya menerawang ke alam
ghaib, kerana jin dan iblis laknatullah pun berupaya melakukannya.
Demikian juga dalam bertambah dunia.
Ianya hendaklah tidak lebih sebagai satu nikmat untuk tubuh badanmu,
maka Ubudiyah itu menghendaki agar engkau memandangnya sebagai satu pemberian
dari Allah untuk dirimu yang bukannya untuk digunakan sewenang-wenangnya.
Bukan pula untuk dijadikan sebagai penegak status dan kedudukan dirimu
sebagai seorang yang berharta atau berpangkat di sisi masyarakat;
dan jauh sekali bukannya sebagai satu lambang kejayaan dirimu yang cekap
dan bijak dalam mengurus kehidupan duniamu sebagaimana sangkaan di
jahil. Di samping itu juga, hendaklah engkau sentiasa berhati-hati
dan takut kepada sesuatu kebinasaan yang tersembunyi di sebalik nikmat
dunia itu. Ianya seumpama racun yang tersembunyi di sebalik kelazatan
satu hidangan makanan yang berhiasan cantik dengan aromanya yang membangkitkan
selera. Silap makan, dirimu akan binasa atau menderita dihinggapi
penyakit yang kronik.
Dan dalam mendapat pujian dan
sanjungan manusia itu, hak Ubudiyah itu menuntut agar engkau bersyukur
di atas nikmat Allah yang telah menyembunyikan banyak aib dan celanya dirimu
itu. Segala yang buruk-buruk dan dan rendah-rendah Allah sembunyikan
daripada dapat dikesani oleh kebanyakan manusia. Bersyukur engkau
itu adalah kerana walaupun dirimu masih kurang dan penuh dengan keaiban,
Allah dengan limpah RahmatNya menzhohirkan dan menyatakan apa-apa yang
baik sahaja pada pandangan manusia. Memang sepatutnya engkau bersyukur
dan terus bersyukur kepadaNya.
-
Batinpun masih ada riya, ujub
dan suma'ah tetapi manusia memandangmu sebagai seorang yang berbudi-pekerti
yang mulia dan tinggi.
-
Batinmu masih meraba-raba dalam hakikat
dan makrifat, tetapi manusia memujimu sebagai seorang Ahli Thoriq
atau Ahli Tauhid yang Alim,
-
Batinmu masih penuh dengan hama-hama
takabbur dan lalai, tetapi manusia memujimu sebagai seorang yang
bertawaduk dan khusyuk.
Untuk itu, hendaklah engkau sentiasa takut kepada Allah daripada
menzhohirkan kejahatan, keaiban dan kejelekan batinmu kerana sekali
Allah dedahkan perihal dirimu yang sebenarnya, maka binasalah dirimu
dengan kejian dan cacian manusia yang pernah memuji dan menyanjungi dirimu.
Di manakah lagi harga dirimu di sisi mereka? Di manakah lagi kesukaan
dan kebanggaan dirimu selama ini? Sesungguhnya Allah itu Maha Pelindung
dan dalam berkasih sayang IaNya telebih Kasih dan Sayang daripada kedua
ibu-bapamu hatta daripada dirimu sendiri. Masya Allah.....di manakah
lagi dapat dicari Kasih Sayang yang melebihi Kasih Sayang Allah Taala ini?
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan adapun sukacita yang tiada diketahui
baginya sebab itu, maka hak Ubudiyah dalamnya itu [ialah dengan]
meninggalkan meminta dan sejahteralah ia hingga mati. Inilah adab
dukacita dan adab sukacita dalam Ubudiyah. Wassalam Intaha (Sayyidi
Abu Hassan Al-Syazili ra.).
Keterangan
Suluk
Maksud meninggalkan meminta ialah tidak cenderung dan berharap lagi
akan rezeki dan habuan di tangan-tangan makhluk; dan tidak lagi meminta-minta
kepada Allah; kerana dalam Ubudiyah jenis ini,
apabila sudah didapati akan sukacita itu dengan tanpa diketahui sebab-sebabnya,
maka hendaklah diyakini bahawa limpah kurnia Allah Taala itu adalah tanpa
ada sedikitpun campur tangan dan bahagian makhluknya. Bukan kerana
itu, bukan kerana ini dan apa-apa kerana jua.
Allah bisa sahaja memberikan sesuatu yang memang diperlui walaupun tanpa
diminta. Ia lebih Mengetahui mana yang patut dan mana yang tidak
layak untuk seseorang hamba. Di dalam doa dan meminta-minta itu seakan
menyatakan bahawa Allah itu perlu diingat-ingatkan akan hak kita,
perlu dirayu-rayu untuk disampaikan sesuatu hajat sedangkan Allah
Taala telah Menentukan dan Mengkadarkan sesuatu habuan buat seseorang hamba
sebelum ianya dijadikan lagi. Permintaanmu itu seakan mengandungi
ketidakyakinanmu terhadapNya.
Maka dengan sebab itu ada sebahagian dari para sufi yang sampai ke maqam
ini meninggalkan asbab, meninggalkan tadbir dan ikhtiar, meninggalkan
meminta-meminta terhadap makhluk hatta meninggalkan berdoa kepada Allah
Taala. Bukan kerana mereka menafikan sunnah Rasulullah untuk sentiasa
berdoa dan meminta kepada Allah, tetapi semata-mata menunjukkan hampirnya
kedudukan dirinya dengan Allah Taala, sehingga merasa malu untuk
meminta lagi kerana telah dilihat olehnya batapa banyaknya kebaikan yang
tiada kehinggaan dilimpahkan oleh Allah ke atasnya; yang tidak diminta
olehnya, dihajati olehnya dan yang tidak pernah terlintas di hatinya
Dan orang begini akan sentiasa sejahteralah ia daripada sebarang pesekutuan
dan syak wasangka terhadap Allah. Sejehteralah mereka sehingga mereka
menemui TuhanNya Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Demikianlah berakhirnya keterangan (Sayyidi
Abu Hassan Al-Syazili ra.) berkenaan dengan kata-kata
yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis dalam usahanya untuk memperincikan
berkenaan dengan Dukacita dan Sukacita dan bagaimana seharusnya seorang
hamba melaksanakan adab-adab kehambaannya untuk dihadapkan kepada Haq Ketuhanan
Allah.
Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ......Hakikat
Tegah Dan Kurnia
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|