Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 01. 03. 2001 /  05 ZulHIJJAH 1421)
HAMA NAFSU DI 
SEBALIK SUKACITA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan dari Keterangan Pengajian Terdahulu;

Dan inilah Maqam Khowas segala orang yang Arif.  Bersalahan dengan orang yang Salik,  maka bahawasanya apabila datang atasnya nikmat,  maka sukalah ia dengan dia.

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang selanjutnya mengikut terjemahan Tok Pulau Manis sebagaimana berikut;
 

Bermula segala orang yang Arif itu apabila disukakan mereka itu terlebih takut daripada mereka itu apabila didukakan mereka itu;  dan tiada berdiri atas segala had adab pada masa sukacita melainkan sedikit.

Keterangan Suluk

Orang yang Arif adalah satu golongan hamba Allah yang dikurniakan pandangan mata hati yang tajam dan jauh menembusi zhohir tiap-tiap suatu bentuk.  Bukan setakat itu sahaja,  malahan mereka dapat menjejaki penglihatan kepada batin dari batinnya sesuatu.  Tidak hairanlah kerana mereka adalah ahli makrifat yang mana dengan cahaya makrifat ini menjadikan mereka arif dan cerdik dalam membezakan antara sesuatu yang haq dengan sesuatu yang batil.  Cahaya mereka seumpama tebaran cahaya matahari yang mampu menyuluh sesuatu yang tersembunyi di bumi yang gelap pekat .

Berbeza dengan yang tidak arif,  yang terdiri dari murid dan salik.  Pandangan mereka adalah pandangan yang tumpul dan terhijab.  Golongan ini masih tidak dapat membezakan lagi antara yang haq dengan yang batil.  Masih terkeliru dan nanar dengan pelbagai pengalaman dalam perjalanan.

Inilah perihal berkenaan dengan pemikiran(mentaliti) para murid dan salik yang tidak arif.   Tidak cerdik dan tumpul akalnya seperti mana yang dimiliki oleh orang-orang Arif.

Ini adalah kerana segala orang yang Arif itu apabila disukakan mereka itu terlebih takut daripada mereka itu apabila didukakan mereka itu  yakni betapa orang-orang Arif itu tersangat takutnya mereka apabila didatangkan suka dan nikmat daripada ditimpakan kedukaan.  Mereka takutkan sukacita yang mendampinginya,  tidak sebagaimana sewaktu berdukacita.

Datanglah apa sahaja yang jahat-jahat,  yang susah-susah atau duka-duka seperti di atas,  namun semuanya itu bukanlah menjadi ketakutan mereka sebagaimana yang ditakuti oleh para murid dan salik.

Tetapi yang ajibnya orang Arif ini  ialah kerana mereka teramat takut sekali apabila dihadirkan dengan sesuatu yang sememangnya disukai dan diburui oleh kebanyakan manusia itu;

Kenapa sampai begitu sekali ketakutan orang yang Arif ini sehinggakan sesuatu yang memang terkhusus untuknya dari anugerah TuhanNya pun sangat ditakutinya?

Bukankah kedatangan nikmat-nikmat itu yang sering kali menjadi harapan dan meniti di bibir kebanyakan orang apabila berbicara mengenai kesufian?.....sehinggakan dibicarakan dengan begitu takjub dan hebat-hebat sekali sampai menyeronokkan para pendengar.  Keramat itu,  keramat ini,  boleh buat itu,  boleh buat ini,  nampak begitu,  nampak begini dan pelbagai lagi perkara-perkara pelik yang menunjukkan si pendengar dan si yang bercerita itu asyik dan tertarik dengan sukacita-sukacita itu.

Sebenarnya.  bukan di situ terhentinya pandangan orang yang benar-benar Arif.  Bukan pada manisnya kesukaan nikmat-nikmat itu.  Bukan pada gula-gula yang lemak bermadu.  Bukan pada ketakjuban dan kehebatan yang ditiliki melainkan dengan kerana bimbangnya mereka bahawa tiada berdiri atas segala had adab pada masa sukacita melainkan sedikit yakni jarang sekali kebanyakan manusia yang arif apatah lagi yang di bawahnya dapat bertahan menjaga segala had adab semasa didatangi kesukaan nikmat.  Tidak ramai  melainkan sedikit sahaja yang dapat melaksanakan had adab semasa menerima anugerah nikmat kesukaan.  Kebanyakan mereka mudah terdedah untuk jatuh kufur dalam tipu daya hawa nafsunya.  Memang begitulah,  nafsu itu memang licik menyamar.  Hanya yang benar-benar punya pandangan yang tajam dan yang teguh adab-adabnya sahaja yang mampu selamat dari tipuan bahagian nafsu ini.  Yang pastinya,  jarang manusia yang dapat meneguhkan adab-adabnya semasa sukacita itu.

Dengan kata lain,  kebimbangan dan ketakutan orang Arif ialah dari wujudnya campur tangan hawa nafsunya dalam mengambil bahagian semasa bersukacita.  Demikianlah yang boleh kita ikuti dari huraian dan kupasan Tok Pulau Manis berkaitan dengan Kalam Hikmah di atas.  Huraian dan penjelasan yang lebih detailnya,  boleh kita dapati dari...........

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Hanya sungguhnya sangat takut segala orang yang Arif dalam sukacita yang tiada sangat takut ia dalam dukacita daripada kejahatannya bagi hawa nafsu;  bersalahan dengan dukacita seperti yang lagi akan dikata Mualif sekarang;

Keterangan Suluk

Takutkan sesuatu yang berupa  sukacita dengan pelbagai nikmat pada orang Arif itu ialah kerana sememangnya suka dan nikmat itu selari dan bersetujuan dengan kecenderungan hawa nafsunya.  Hawa nafsu memang sifatnya suka dan kasih kepada yang senang-senang,  yang mudah-mudah,  yang suka-suka,  yang banyak-banyak,  yang lebih-lebih,  yang tinggi-tinggi,  yang halus-halus,  yang ajaib-ajaib,  yang pelik-pelik,  yang ganjil-ganjil dan entah apa lagi asalkan yang mensukacitakan.  Bukanlah sesuatu yang mudah untuk seseorang hamba selamat dan bebas daripada bersekutu dengan hawa nafsunya dalam mengambil dan menerima sesuatu yang disukai itu.  Tidaklah mudah,  malahan banyak sudah yang sudah binasa dalam manis gula itu.

Bersalahan dengan sesuatu yang mendukacitakan.

Inilah yang akan cuba diperkatakan dalam catatan pengajian yang berikutnya;

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka takut mereka itu pada ketika itu daripada rujuk mereka itu kepadanya(nafsu) dan merasai mereka itu bagi besar(megah) nafsu mereka itu dalam demikian itu menjauhkan mereka itu.

Keterangan Suluk

Ditegaskan di sini,  bahawa ketakutan mereka itu sebenarnya adalah kerana takutkan dari wujudnya campurtangan hawa nafsunya dalam mengambil suka dan nikmat itu.  Dengan adanya campurtangan itu,  maka timbullah tanpa disedari sesuatu yang didorongkan atas hawa nafsunya.

Dan dalam demikian itu menjauhkan mereka itu yakni pada ketika rujuknya mereka kepada hawa nafsu,  akan melontarkan mereka jauh dari Hadirat Allah Taala.  Rasa hampir dan dekat dengan Allah,  tetapi sebenarnya jauh dan semakin jauh dengan Allah.  Masya Allah.....  bagaimanakah yang sedang enak bersukacita akan bisa tersedar dan terselamat dari bencana yang sangat ditakuti oleh orang yang Arif ini.

Dan jika ada seorang berkata;  Insya Allah saya boleh memelihara adabnya bila diberikan kesukaan itu yakni saya akan pandang kepada yang memberi iaitu Allah.

Kata-kata ini memanglah biasa kita dengar dan sesiapa pun boleh berbuat demikian.  Waktu nikmat pandang Allah;  tetapi persoalannya bolehkah dipeliharakan kecenderungan nafsunya yang memang suka pada sesuatu nikmat itu.  Mulut kata pandang Allah,  tetapi di hati kecil kita amat senang sekali dengan kehadiran nikmat itu.  Ramai yang takjub dengan kebolehan kita,  ramai yang mengunjungi kita minta nasihat,  ramai yang beri itu dan ini kepada kita.  Adakah boleh kita pelihara adab-adab tersebut sedangkan dalam masa yang sama,  kita senang dengan nikmat-nikmat tersebut?

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang selanjutnya mengikut terjemahan Tok Pulau Manis sebagaimana berikut;
 

Bermula sukacita itu mengambil nafsu akan bahagiannya dengan diperoleh kesukaannya;  dan dukacita itu tiada bahagian bagi nafsu di dalamnya.

Keterangan Suluk

Telahpun dibincangkan bagaimana seorang yang Arif begitu takut sekali pada sesuatu nikmat yang mensukacitakan;  dan telahpun diketahui kini bahawa ketakutan mereka sebenarnya adalah kerana dalam sukacita itu amat mudah bagi nafsu mengambil bahagiannya.  Sekali masuk dalam bahagian nafsu,  bahananya ialah tersingkirnya mereka daripada berhadapan di Majlis Ketuhanan.  Ini adalah kerana Hadrat Qudsiyah itu adalah tempat yang suci dan bersih.  Tidak akan berada di tempat ini melainkan mereka yang benar-benar suci.  Suci daripada menilik bahagian wujud dirinya dan bersih daripada bahagian kesukaan nafsu;  suci dan bersih daripada sebarang persyirikan dan kelalaian.  Orang yang lalai ialah mereka yang ada janabah di mana janabah itu adalah merupakan satu manik yang mencegah daripada mendirikan ibadat.  Sama sekali tidak akan diizinkan masuk ke Hadirat ini mereka yang tidak bersih dari junub kelalaian.

Kalam hikmah di atas,  mengesahkan dan mentahqiqkan lagi kefahaman yang benar itu bahawa Bermula sukacita itu mengambil nafsu akan bahagiannya dengan diperoleh kesukaannya .  Maksudnya dalam setiap sesuatu yang menjadikan diri kita senang,  jinak dengan rasa gembira dan sukacita,  maka di situ dengan nyatanya sekali menampakkan akan wujudnya nafsu dalam mengambil bahagiannya.  Nafsu memang sifatnya cenderung dalam mengambil bahagian dalam kesukaannya.  Di mana ada kesukaan,  di situlah adanya bahagian-bahagian nafsu.  Apa sahaja,  asalkan sesuatu  yang dikatakan sebagai sesuatu yang menyukakan dan suka pula agar ianya menjadi tetap,  maka di situ adanya nafsu yang mengambil bahagian-bahagiannya.

Maka dalam kesukaan-kesukaan ini,  sentiasa ada sahaja nafsu yang ingin mengambil bahagian dalam menerimanya.

Habis jika di sini nafsu,  di sana nafsu,  di manakah lagi.... dan tolong nyatakan di manakah satu daerah di mana nafsu sama sekali tidak akan mengambil bahagian-bahagiannya.!!!!!!

Jawapannya ada dalam maksud kalam hikmah  dukacita itu tiada bahagian bagi nafsu di dalamnya. yakni nafsu tidak ada sama sekali ingin dan akan mengambil bahagian di dalam sesuatu yang mendukacita.  Dukacita dan sesuatu yang sedih-sedih dan sesuatu yang menakutkan dan menggerunkan itu sama sekali tidak akan ada nafsu dalam bahagiaannya.  Ini bukannya sifat kecenderungan nafsu.

Maka dengan kerana itu,  adalah benar sekali sememangnya sesuatu yang mendukacitakan itu,  sama sekali tidak akan ada nafsu mengambil bahagian di dalamnya.

Bebas dan lepas merdeka dari bahagian nafsunya.  Bila bebas dari bahagian-bahagian nafsu,  maka di kala itu dapatlah disempurnakan adab-adab Kehambaan dan adab-adab Ketuhanan.  Sentiasa berhadaplah hamba-hamba yang dukacita ini dengan hina(Zhullin) dan pecah hati(Inkisyar) mengharapkan limpah kurnia Allah,  Kasih SayangNya,  menyaksikan Kekuasaan dan Keagungan Allah Taala.  Inilah sifat-sifat hati yang sentiasa berduka cita.  Sentiasa merujuk dan berhadap kepada Pertolongan Allah.  Inilah adab-adab sebagai seorang hamba sebagaimana yang dituntut oleh Haq Taala..

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka memeliharakan adab dalam sukacita itu pekerjaan yang amat sukar;  dan demikian itu bahawasanya dalam sukacita itu diperoleh bahagian nafsu;  maka memerintahkan atasnya suka hingga jatuh ia dalam jahat adab;  dan dukacita itu tiada dalamnya bahagiannya nafsu.  Maka kerana demikian itu adalah ia sejahtera.

Keterangan Suluk

Telahpun disinggung sebelum ini,  bahawa hati yang sentiasa hudur dan merujuk kepada Allah ialah dari hati yang sentiasa berdukacita.  Hudur dan taqarrub kepada Allah dalam setiap waktu adalah merupakan adab-adab yang perlu dipelihara oleh seorang hamba yang sedar diri.  Dengan ini di dalam dukacita memudahkan hamba untuk menjaga adab-adab seorang hamba

Berlainan sewaktu sukacita.  Seorang yang suka dengan sesuatu amat susah baginya untuk memeliharakan adab-adabnya sebagai seorang hamba.   Walaupun sudah dipandang bahawa nikmat-nikmat yang datang itu adalah dari kurnian Allah,  tetapi hati masih cenderung untuk bersuka-suka dan bersenang-senang dengan nikmat itu.  Hati masih seronok dan kalau boleh diharapkan agar dikekal nikmat itu,  atau ditambahi lagi.  Bila begini rupanya,  maka cacatlah adab-adabnya,  malahan mungkin hingga ke peringkat jahat adab.  inilah maksud berkenaan
dan demikian itu bahawasanya dalam sukacita itu diperoleh bahagian nafsu;  maka memerintahkan atasnya suka hingga jatuh ia dalam jahat adab

Berlainan dengan dukacita.   Dukacita itu tiada dalamnya bahagiannya nafsu  yakni hati tidak gemar dan cenderung dengan sesuatu yang ada pada dirinya malah semata-mata hudur dan muroja'ah dengan Allah Taala,  mengakui kelemahan dan kedhoifan diri,  merasai Kekerasan dan Kekuasaan Allah yang menunjukkan wujud terdirinya adab-adab seorang hamba dengan TuanNya.  Dengan kerana inilah,  maka selamatlah  ahli dukacita ini daripada nafsunya dan sejahteranya mereka daripada tidak beradab dengan TuhanNya.

Jika demikian jadinya,  maka bolehlah kita katakan bahawa dukacita itu sebenarnya satu nikmat yang datang secara berhikmah dari Allah Taala.
 

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adalah Ustaz Abu Ali al-Dhoqaq ra. berkata;

Bermula dukacita itu sebenar-benar haq Al-Haq daripadamu;  dan sukacita itu bahagian hamba daripadaNya(Allah);  dan bahawa adalah engkau pada HaqNya daripadamu terlebih sempurna daripada bahawa ada engkau dengan bahagian daripada Allah.

Keterangan Suluk

Bermula dukacita itu sebenar-benar haq Al-Haq daripadamu bermaksud;   adalah dengan berdukacita,  seorang hamba telah melaksanakan dan menyempurnakan haq Ketuhanan.  Adab seorang hamba yang menghadapkan kelemahan,  kekurangan,  kedhoifan,  kefakiran dan kehaqiran kepada TuhanNya Yang Qawi,  Yang Ghani,  Yang Qahar,  Yang Mulia..........  Sebagai memperakukan Haq KetuhananNya.

dan sukacita itu bahagian hamba daripadaNya(Allah) yakni bermaksud pula sesuatu yang mensukacitakan itu adalah merupakan bahagian-bahagian untuk dirinya daripada Allah Taala..... Sebagai sesuatu yang menyatakan ada tilikan kepada bahagian-bahagian nikmat dari Allah Taala.

Daripada kedua-dua perkara di atas,  mengikut kata sufi di atas;  adalah dengan berdiri pada HaqNya yakni dengan berdukacita itu lebih sempurna jika dibandingkan dengan sesuatu yang berserta dengan bahagian-bahagian nikmat dari Allah.  Kesempurnaannya adalah pada Yang Ampunya Haq,  bukan bersenang-lenang dengan sesuatu yang diberikan.  Inilah antara maksud kata-kata dan bahawa adalah engkau pada HaqNya daripadamu terlebih sempurna daripada bahawa ada engkau dengan bahagian daripada Allah.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Sayyidi Abu Hassan Al-Syazili ra.;

Bermula dukacita dan sukacita itu sedikitlah yang sunyi [hamba] daripada keduanya;  dan kedua itu seperti berganti-ganti malam dan siang.  Dan Haq Taala itu menghendaki daripada Ubudiyah dalam keduanya.

Keterangan Suluk

Mengikut kata sufi di atas,  jarang sekali manusia yang tidak didatangi oleh dukacita dan sukacita ini,  malah ianya selalu datang silih berganti kepada seorang hamba sebagaimana bergantinya malam dan siang.  Dan adalah Haq Ketuhanan itu menghendaki agar setiap hamba sentiasa berada dalam Ubudiyah(kehambaan)nya pada kedua-dua waktu tersebut;

Inilah adab-adab Ubudiyah(Kehambaan) seorang hamba yang sempurna melaksanakan Haq KetuhananNya.  Syuhud kepada Allah Taala dalam setiap halnya.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka barangsiapa ada waktunya dukacita,  tiada sunyi ia ada kalanya diketahui sebabnya atau tiada diketahuinya.  Dan segala sebab dukacita itu tiga perkara iaitu

Keterangan Suluk

Bersambung dalam pengajian yang berikutnya.....di bawah tajuk Adab Dukacita dan Sukacita Dalam Ubudiyah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar