Dari satu sudut puan perlu mengucapkan puji dan syukur kepada Allah Taala kerana kesedaran dan petunjuk yang diberikan olehNya untuk melaksanakan syariat Islam di dalam diri puan. Puan telah tahu apakah kewajipan yang dikenakan oleh Allah ke atas diri puan. Ini bermakna puan adalah wanita yang beriman kepada ALlah dan RasulNya. Percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan kefahaman, kemahuan dan niat yang ada di dalam diri puan.
Dari sudut lain, puan perlu beristighfar memohon keampunan kepada Allah Taala kerana masih berada di persimpangan samada mahu menutup aurat ataupun tidak. Berlaku pertembungan antara perintah Allah dan larangan suami. Ini adalah sebahagian dari ujian dan dugaan yang perlu puan lalui untuk menegakkan hukum Allah di dalam diri. Seandainya puan berjaya melepasi ujian ini, Allah akan memberi ganjaran atas pahit getir perjuangan yang puan telah lalui.
Semoga Allah memberi puan kekuatan...
---------
Firman Allah Taala:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu,
dan isteri-isteri orang beriman, hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka
ke seluruh tubuh." (33:59)
FirmanNya lagi:
"Dan jangan mereka menampakkan perhiasan kecuali apa yang zahir."
(24:31)
Di atas adalah sebahagian dari perintah syarak agar kaum wanita beriman
menutup aurat. Untuk maklumat tambahan mengenai aurat sila lihat:
http://ahkam.hypermart.net/08/keluarga8.htm
http://ahkam.hypermart.net/soaljawab/soaljawab56.htm
-----------
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tiada ketaatan kepada makhluk di dalam kemaksiatan kepada al-Khaliq
(Allah)."
Mentaati Allah dan RasulNya adalah wajib. Mentaati suami juga wajib. Namun apabila terdapat pertentangan antara perintah Allah dan perintah suami, maka perintah Allahlah yang perlu didahulukan. Seperti jika suami memerintahkan isteri melakukan sesuatu yang dilarang Allah dan RasulNya, maka perintah Allah dan RasulNya yang perlu kita dahulukan.
Contoh: Jika suami memerintahkan isterinya agar meninggalkan sembahyang fardu, maka perintah ini tidak wajib ditaati. bahkan haram ditaati.
Kaedahnya: Isteri wajib mentaati perintah suami selama perintah itu tidak tidak bertentangan dengan perintah ALlah dan RasulNya.
Kaedah ini bukan sahaja khusus terhadap suami dan isteri. Ia juga merangkumi antara anak dan ibubapa. Antara pekerja dan majikan. Antara ketua dan anak buah. Antara rakyat dan pemerintah. Jika arahan yang dikeluarkan itu bertentangan dengan syarak, maka ia haram ditaati.
-----------
Masalah:
Apakah saya perlu taat kepada suami saya yang melarang saya dari menutup
aurat?
Jawab:
Haram mentaatinya, kerana kita tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara
maksiat. Membuka aurat tergolong di dalam maksiat kepada ALlah.
Masalah:
Adakah saya berdosa sepanjang masa saya tidak bertudung ini.
Jawab:
Dalam keadaan biasa, iaitu dalam keadaan tidak dipaksa atau tidak dalam
keadaan darurat, melanggar perintah Allah adalah termasuk melakukan dosa.
Adalah berdosa jika puan masih boleh melakukan pilihan samada mahu melakukannya
ataupun meninggalkannya (tidak dipaksa).
Berlainan keadaannya jika puan dalam keadaan tiada pilihan lain melainkan terpaksa membuka aurat. Ia dinamakan keadaan darurat. Dalam keadaan ini puan terlepas dari beban dosa kerana Allah tidak akan mengambil kira sesuatu yang berada di luar kemampuan kita.
Keadaan terpaksa dan darurat ialah suatu keadaan yang akan menyebabkan diri puan ditimpa kecelakaan yang berat. Seperti akan mengancam keselamatan nyawa dan diri.
Allah tidak mensyariatkan sesuatu hukum yang tidak mampu dilakukan oleh manusia. Semua syariat Islam mampu dilakukan. Sembahyang, puasa, zakat, haji, taat kepada ibubapa, larangan berzina, larangan berjudi, larangan membuka aurat, larangan minum arak dsbnya.
Jika perintahNya kita tidak dapat ikut dan larangannya kita tidak mampu jauhi kerana ada suatu yang mengancam jiwa, maka kita dibenarkan untuk dikecualikan dari hukum itu selama ancaman itu wujud. Contoh yg biasa di katakan: Allah melarang memakan babi. Larangan ini kita mampu jauhi. Namun apabila tiada makanan lain untuk mengelakkan kebuluran melainkan babi, maka babi boleh dimakan sekadar yg diperlukan.
Ini bermakna, selagi puan tidak berada di bawah keadaan darurat dan keterpaksaan, maka diri puanlah yang bertanggungjawab terhadap apa yang puan lakukan dalam soal dosa dan pahala. Tidak ada pengecualian hukum ke atas diri puan.
Apa yang telah kita lakukan atas sebab kejahilan kita dahulu atau kerana kelalaian kita atau kerana kelemahan diri kita, maka hendaklah bertaubat kepadaNya dengan penuh penyesalan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Allah Maha Pengampun. Dan taubat adalah salah satu dari penghapus dosa.
Masalah:
Ada orang mengatakan bahawa sebahagian syariat Islam itu susah dan
sukar diamalkan?
Jawab:
Hanya sukar (pada hakikatnya mudah) bukan tidak mampu dilakukan. Kesukaran
mengamalkan sesuatu peraturan adalah perkara biasa. Ia juga berlaku di
dalam undang-undang dunia sendiri. Mahu memandu kenderaan di atas jalanraya,
perlulah ada lesen. Untuk memperoleh lesen, perlu melalui beberapa proses
lain yang bukannya mudah. Baiklah, setelah mendapat lesen, ketika berada
di atas jalanraya, kita perlu mengikut peraturannya. Tidak boleh memandu
sesuka hati.
Contoh lain, bekerja di dalam satu-satu jabatan/syarikat.. Peraturannya, perlu masuk pukul 8.00 pagi sehingga ke pukul 4.00 ptg atau 5.00 ptg. Wajib berpakaian kemas. Tidak boleh memakai selipar, berambut serabai dsbnya.
Bukankah ini sukar?? Untuk apa mengadakan kesukaran-kesukaran ini? Ia adalah untuk kebaikan orang-orang yang tertakluk di bawah peraturan itu. Jika di jalanraya, akan dapat mengelakkan kemalangan. Jika di pejabat, akan dapat meningkatkan produktiviti dsbnya. Begitulah juga peraturan-peraturan syarak.
Puasa, bukankah susah? Menutup aurat, bukahkan sukar? Zina, bukankah ia menyeronokkan, mengapa diharamkan? Bukankah menyusahkan? Mengapa ia disyariatkan?
Kerana ada kebaikannya. Puasa untuk menyucikan roh. Menutup aurat untuk mengelakkan dari gangguan lelaki jahat, perzinaan dsbnya. Zina dilarang kerana mahu mengelakkan kerosakan keturunan dan gejala-gejala lain yang tidak sihat.
Dan kesukaran yang terpaksa kita lalui ketika menjalani perintah Allah tidaklah sampai ke peringkat boleh merosakkan sistem kehidupan sebagai seorang manusia.
Masalah:
Jikalau saya meneruskan juga niat saya (mahu menutup aurat), adakah
saya berdosa?
Jawab:
Jika puan meneruskan niat puan, dan terus menutup aurat, maka puan
akan diberi pahala kerana telah melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan
puan sebagai seorang muslimah.
Kisah:
Pernah suatu ketika dahulu, salah seorang perempuan dari kaum kerabat
dekat saya tidak menutup aurat. Saya dan keluarga di samping menasihatkannya,
juga tidak pernah putus berdoa ke hadrat Illahi agar dia dibuka pintu hatinya
untuk mengamalkan Islam secara sempurna. Pada suatu hari, dia datang berziarah
ke rumah kami. Kali ini, terdapat kelainan pada dirinya. Dia telah memakai
skaf (tudung kecil). Saya berbisik kepada ibu saya agar dia diberitahu
bahawa tudung yang dipakai itu tidak menepati ciri-ciri penutupan aurat
yang dikehendaki oleh syarak. namun ibu saya melarang. Katanya: "Biarkan..
Jangan ditegur walau sepatah katapun." Saya akur.
Dalam tempoh sebulan dua dia mengenakan skaf, dia telah mula bertanyakan mengenai masalah hukum-hakam dengan saya. Dia juga sudah nampak ghairah untuk mempelajarai ilmu-ilmu fardu ain. Dan dia istiqomah dengan pemakaian skafnya.
Selepas tempoh itu, ketika dia berkunjung lagi ke rumah kami, saya mendapati dia telah mengenakan tudung dengan sempurna. Kami sekeluarga bersyukur ke hadrat Illahi.
---------------
Perempuan di atas tidak berkemampuan untuk melaksanakan kewajipannya
secara mengejut. Ada latarbelakang di sebaliknya yang menjadi penyebab.
Dia lakukan apa yang terdaya secara bertahap-tahap. Apabila dia mula memakai
skaf, ibu saya dapat melihat bahawa di dalam dirinya sudah ada kemahuan
yang disertai dengan amalan, walaupun masih tidak sempurna. Sebab itu saya
dilarang dari menegurnya. Kerana ibu tahu bahawa dia berada dalam proses
untuk menuju ke arah kesempurnaan.
Cadangan:
Nasihat dan cadangan kami kepada puan adalah sebagai berikut:
1. Pakai tudung terus secara sempurna.
2. Jika puan yakin ia akan mengakibatkan kehancuran rumahtangga atau
sesuatu yang memudaratkan akan berlaku, maka puan bolehlah melakukannya
secara bertahap. Pakai skaf terlebih dahulu. Tetapi jangan mengambil masa
yang terlalu lama pada tahap ini. Kami anggap seminggu sudah cukup lama.
Kemudian, tutuplah aurat dengan sempurna.
3. Jika puan masih tidak berjaya juga dengan cara 1 & 2, maka puan
hendaklah pergi berjumpa dengan pegawai tadbir agama (Kadhi) untuk meminta
pandangan dan nasihat darinya. Dalam kes ini puan sebenarnya telah dihalang
oleh suami dari mengerjakan dan melaksanakan kewajipan agama yang difardukan
ke atas puan.
4. Kita wajib mencari jalan penyelesaian untuk keluar dari satu keadaan
atau masalah di mana di dalamnya kita gagal untuk menegakkan hukum-hakam
dan syariat Allah.
Nasihat lain:
1. Sentiasalah berada dalam keadaan belajar dan menuntut ilmu.
2. Sentiasa mengingati Allah dan berpegang teguh kepada agamaNya.
3. Jangan putus berdoa kepada ALlah agar puan sekeluarga dilimpahi
rahmatNya dan diberi taufiq dan hidayah:
Sekian. Wassalam
Rujukan:
Al-Usrah al-Muslimah: Ususun Wa mabadi': Dr. Abdul Hakam Abdul Latif
al-Sho'idi
Usul al-Feqh, Muhmad Abu Zahrah.
[Kemuka
Soalan] [ke laman utama]