Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Hasil tulisan seorang sahabat

Pengertian Iktiqad Dan Aqidah

Apa erti iktiqad dan aqidah ?

Ada beberapa perkataan yang selalu kita dengar dan jumpa di dalam masalah perkara Tauhid dan Mengesakan AlLah Ta'ala iaitu :

1. Perkataan Syarak, Syariat, Millah dan Din.

(Ugama) : erti perkataan-perkataan ini dalam pengertian ugama dan syarak, iaitu hukum - hukum yang telah AlLah Taala terangkan dan nyatakan melalui lisan Nabi kita Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi disampaikan kepada kita supaya kita junjung dan terima.

Atau erti (Ugama) : Iaitu perkara yang telah AlLah Taala hantarkan dan letakkan dan nyatakan yang membawa orang - orang yang berakal yang sempurna akal fikirannya, menjunjung akannya dengan pilihan yang baik yang sejati bagi kebaikan di dunia dan akhirat. (Dari Hasyiah Al Baijuri 'Alal Jauharah)

Kata ahli ilmu ugama bahwa perkataan "Ugama" itu diambil dari perkataan Arab "Iqamatuddin", ertinya mendirikan ugama, kemudian dipakai perkataan "ugama" sahaja.

2. Perkataan Iktiqad ertinya : Menghukum dan membenarkan sesuatu dengan jazam dan putus pegangan padanya. (Dari Syarhu Al Jauharah dan Al Jawahirul Kalamiah).

3. Perkataan Aqidah ertinya : Sesuatu perkara yang dijazam dan diputuskan pegangan padanya. (Dari Hasyiah Al Baijuri Kifayatul 'Awam)

4. Perkataan Islam ertinya : Menjunjung dan mengikut akan segala perkara yang dibawa oleh Nabi Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diketahui perkara itu dengan ilmu dharuri bahawa perkara ugama yang dibawa oleh Nabi Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu. (Dari Hasyiah Al Baijuri 'Alal Jauharah dan Fathul Mubin 'Alal Arba'in)

5. Perkataan Ihsan ertinya : Menghalusi segala ibadat dengan ditunaikan di atas rupa yang dipinta buat, serta menjaga hak - hak AlLah dan memerhatikan AlLah dan menghadirkan kebesaran AlLah di dalam hati, sepanjang beribadat itu. (Dari Fathul Mubin Syara' Al Arba'in)

6. Selawat ertinya : Rahmat AlLah serta kurnia kemuliaan ke atas Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengucap selawat ke atas Nabi SallalLahu Alaihi Wasallam dengan seseorang itu berkata : (SallalLahu Ala Sayidina Muhammadin Wa Alihi Wasallam) atau (AlLahumma Salli 'Ala Sayidina Muhammadin Wa Alihi Wasallam ertinya : Ya AlLah mohon kurniakan rahmat serta dengan kurnia kemuliaan ke atas Sayidina Muhammad ke atas baginda dan keluarga baginda). (Dari Hasyiah Al Baijuri 'Alal Jauharah dan Kifayatul 'Awam)

7. Salam ertinya : Salam hormat yang munasabah dengan kemuliaan baginda RasululLah, atau selamat sejahtera ke atas baginda RasululLah SallalLahu Alaihi Wasallam. (Dari Hasyiah Al Baijuri 'Alal Jauharah dan Kifayatul 'Awam).

8. Menulis Selawat dengan huruf potong seperti (diwakilkan dengan huruf Sod), SAW, SallalLahu Alaihis-Salam dan seumpamanya itu adalah tiada menepati perintah berselawat, tambahan pula tiada padanya memuliakan Nabi Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (bagaimana kata Al Muhaddith Al-Mutafanniah Assayed Abdullah Al Ghumari dalam Al Mahdiyul Muntazar dan Al Imam Ibnu 'Allan dalam Syarah Al Azkar Lil Imam An Nawawi).

9. Menulis perkataan "Rasul" dengan tiada disandarkan lafaz Al Jalalah (AlLah) seperti kata seseorang "Rasul" dengan tujuan Nabi Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, adalah kurang adab. Kata Al Imam Asy Syafie makruh menyebut "Rasul" dengan tiada disandarkan kepada lafaz Al Jalalah (RasululLah). Ini disebutkan di dalam Manaqib Asy Syafie oleh Al Imam Al Baihaqi dan Al Imam An Nawawi dalam Al Majmu'.

10. 'Alam ertinya : Segala apa yang lain daripada AlLah Taala dari segala bahagian alam langit dan bumi dan jisim - jisimnya dan apa - apa yang dikandung oleh 'alam itu dari tumbuh - tumbuhan dan binatang - binatang segala perbuatan segala percakapan, segala iktiqad dan kepercayaan, segala 'ain dan zat sesuatu segala jauhar dan segala 'arasy semuanya itu dinamakan 'alam. Semuanya itu baharu (muhaddas) dijadikan AlLah Taala setelah alam itu tiada sesuatupun. (Dari Kitab At-Tabsiru Fid Din; Wattam Yizul Firqati An Najiyati 'Ani Firaqil Halikina oleh Al Imam Hujjatul Mutakallimin Wal Mufassiru An Nadzoru Abul Muzzafari Al As Faraini yang meninggal tahun 471H)

11. Tauhid ertinya : Mengesakan AlLah Taala dengan disembah akannya semata - mata dengan tiada beserta disembah yang lain, serta iktiqadkan esa pada zatnya, esa pada sifat - sifatnya, yakni tiada berbilang - bilang sesuatu sifatnya dari jenis yang satu dan esa pada perbuatannya yakni tiada ada perbuatan yang terbit daripada yang lain daripada AlLah,

Maka zat AlLah tiada menerima dibahagi - bahagikan dengan apa jua carapun dan zatnya tiada serupa dengan zat ynag lain dan sifat - sifatnya tiada serupa dengan lain - lain sifat yang lain dan tiadalah sesiapa bersekutu pada membuat dan melakukan sesuatu perbuatan, melainkan AlLah jua yang membuat perbuatan itu, maka segala perbuatan dan kejadian semuanya dibuat dan dijadikan oleh AlLah Taala. (Dari Syarhu Jauharatut Tauhid oleh Al 'Allamah Al Sayed Abdussalam Al Laqqani Al Maleki, meninggal pada tahun 1078 H)

Tajuk Seterusnya Iktikad Yang Selamat

Indek Pengajian Kitab Usuluddin