Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
  Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 03/10. 05. 2001 /  09/16 Rabiul Awal 1422)
HAMBA YANG DIREDHOI
CUKUPLAH SEBAGAI TANDA KASIH SAYANG ALLAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Terjemahan dan Keterangan Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Maka memadailah daripada balasan Allah akan dikau atas kebaktian itu bahawa Redho Ia akan dikau bagi taat itu halnya.

Keterangan Suluk

Tidak ada sesuatu yang lebih tinggi dan lebih bererti buat seorang hamba dengan tuannya selain daripada mendapat keredhoaanNya

Pendek kata buatlah apa sahaja kebaikan dan ketaatan dan milikilah apa sahaja kesenangan dan keselesaan hidup,  tetapi jika ianya tidak mendapat keredhoaan dari Allah Taala,  maka tidaklah berbaloi segala usaha dan pemilikan yang diterima.

Dengan demikian fahamilah wahai diri,

Cukuplah.....dan memadailah dengan keredhoaan Allah itu kerana tidak ada apa lagi yang lebih baik selain daripada mendapat keredhoaan Allah,  malah ianya merupakan sebaik-baik Anugerah Allah yang limpah nikmatNya.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan inilah kesudah-sudahan balas bagi Anugerah dan nikmat daripada Allah atasmu jikalau engkau dalam perhimpunan orang-orang yang taat;  dan bersifat engkau daripada demikian antara malaikat yang muqarrabin.

Keterangan Suluk

Keredhoaan Allah inilah sehabis-balas baik pembalasan dengan sehingga-hingga penghargaan dan limpah anugerahNya yang terdiri daripada puncak kenikmatan daripada Allah buat seorang hambaNya yang berada dalam golongan orang-orang taat.  Inilah Anugerah buat mereka yang berada dalam kalangan orang-orang yang ta'bud taat kepada Allah.  Yang sidiq dengan taatnya dan yang benar dalam taatmya.

Dengan ketaatan yang kholis dan sidiq dan dengan limpah kurnia yang besar dari Allah,  maka selayaknyalah mereka berada antara para malaikat yang paling hampir dengan Allah Taala.  Demikianlah perihal berkenaan dengan amal taat,  pembalasan,  pengiktirafan Allah kepada hamba-hambaNya yang diredhoinya.

Cukuplah dan memadailah dengan keredhoaan Allah di atas setiap hal dirimu.  Cukuplah kerena sesuatu yang lain tidak akan bererti tanpa keredhoaan dari Allah Taala

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan tiap-tiap demikian itu kemuliaan daripadaNya atasmu kerana bahawasanya taat itu tiada memberi manfaat ia akan Dia seperti yang maksiat itu tiada memberi mudhorat ia akan Dia.  Maka iaitu mendirikan Ia akan dikau dalam taat dan Redho Ia akan dikau bagi taat supaya kembali manfaatnya atasmu.

Keterangan Suluk

Dan dalam tiap-tiap taat dan kebaktian yang kau kerjakan,  dengan keluhuran dan ketulusan hati yang dibawa adalah dan dengan keredhoaanNya atas tiap halmu itu,  maka sesungguhnya ini adalah dari kerana terserlahnya Kemuliaan daripadaNya ke atas dirimu.

Semua kemuliaan tersebut,  bukanlah  kerana dengan ketaatan yang  kau dirikan,  bukan kerana ketinggian ilmumu,  dan bukan kerana eloknya hal-ahwal dirimu dan yang lain-lannya,  malahan semua perkara-perkara tersebut dapat memberi sebarang manfaat kepada Allah,  sebagaimana tiada berkurangan ketinggian dan kemuliaanNya kerana maksiat dan penderhakaanmu kepadaNya.  Dia tetap Maha Tinggi,  Maha Mulia dengan KeperkasaanNya dan Terkaya daripada sesuatu.

Maka ketahuilah,  Allahlah yang mendirikan engkau dengan pelbagai taat dilakukan dan Ia Meredhoi pula hal-ahwal dirimu dengan pelbagai limpah dan Anugerah,  bukanlah dengan usaha dan tadbir diri engkau,  tetapi bahkan semata-mata kembali segala manfaat yang kau kerjakan itu kepada dirimu,  untuk kebaikan dirimu dan untuk memuliakan dirimu.  Sedikit pun tidak ada sebarang manfaat kepada Allah,  malah untuk dirimu sendiri.  Untuk dirimu sendiri.

Terjemahan dan Keterangan Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Telah memadailah balas akan amal mereka itu yang 
  • Ia membukaNya atas hati mereka itu dalam berbuat taat dan 
  • Ia yang mendatangkan dia(balas) atas mereka itu daripada diperoleh berjinak-jinakan dengan Dia dalam tiap-tiap segala waktu mereka itu; 
    • dan iaitu balas kemudian daripada amal kerana wujudnya(balas) martabat atasnya(amal).

Keterangan Suluk

Kalam hikmah di atas adalah lanjutan penerangan dan penjelasan berkaitan dengan hakikat amal,  hakikat balasan yang memperihalkan berkaitan dengan wajah-wajah Kebaikan dan Keredhoaan Allah terhadap hamba-hambaNya.

Apa yang perlu diinsafi dan disedari terutamanya bagi mereka yang merasa diri banyak melakukan amal taat dan kebajikan,  berdakwah,  berjuang dan berjihad kepada Allah dengan pelbagai ibadat dan kebaikan sama ada untuk dirinya mahupun untuk saudara-sauadaranya yang lain ialah cukuplah dengan mengingati dan memandang bahawa;

Semuanya ini menunjukkan betapa setiap kepayahan dan kesusahan yang dilalui itu mendapat harga dan penilaian di sisi Allah.  Siapakah lagi yang punya kebaikan yang dapat mengatasi kebaikan Allah ini di mana; Sesungguhnya kebaikan Allah itu mengatasi segala perilaku dan hal-ahwal dirimu. Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Turab Al-Khusbii rahimallah;

Apabila Shodiq hamba itu dalam amalnya,  nescaya diperoleh manisnya sebelum mengerjakan dia;  dan apabila ikhlas dalamnya,  nescaya diperoleh manisnya pada ketika  mengerjakan dia.

Dan kata Thabit Al-Bunanii ra.;

Telah bersakit aku dalam membaca Al-Qur'an pada masa 20 Tahun dan beroleh aku kesukaannya 20 Tahun.

Dan seperti demikian itu [jugalah] kata Uthbah [pada kesakitan dan kesukaan dalam] mendirikan pada malam.

Dan kata setengah ulama (sufiah) rahimallah;

Tiada dalam dunia itu waktu yang menyerupai ia akan nikmat ahli Syurga melainkan barang yang mendapat akan dia Ahli Tamluq(Rindu) dalam hati mereka itu pada malam khulwat munajat.

Keterangan Suluk

Petikan kata-kata Sufi di atas cukup menggambarkan kepada kita perihal yang berkaitan dengan balasan Allah sebelum dikerjakan,  balasan Allah semasa mengerjakan dan balasan Allah selepas mengerjakan sesuatu amal taat.

Jika dapat difahami dan dikesani oleh jiwa yang halus,  maka jelaslah pada kita bahawa tidaklah layak untuk kita mengharap-harapkan lagi balasan dan keistimewaan dari Allah Taala kerana pembalasan itu sudah sedia ada sebelum,  semasa dan sesudah kita melaksanakan hukum ketentuan dan ketetapanNya.  Dan tidaklah patut(beradab) bagi yang bermakrifat itu mendakwa akan kehebatan ibadatnya,  memandang tinggi akan hal-ahwalnya dan merasai bersih sucinya keikhlasan hatinya kerana semuanya itu adalah kerana wujudnya kebaikan dan keredhoaan Allah ke atas dirinya.

Cukuplah pembalasan itu dengan kebaikan Allah yang  dilimpahkan kepada dirimu.
Cukuplah pembalasan itu dengan keredhoaan Allah yang dianugerahkan buat dirimu.

Jangan lah ditukar-tukar lagi keredhoaan dengan kemurkaanNya hanya kerana inginkan itu tamakkan ini.   Bersyukurlah dan bersyukurlah kepadaNya yang telah memberikan kebaikan yang tiada kehinggaan ini.

Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ..........Maksud Menyembah Allah

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar