Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 05. 04. 2001 /  11 Muharram 1422)
DUNIA DARI PIHAK ZHOHIR DAN BATINNYA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Terjemahan dan Keterangan Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Bermula segala Kun itu zhohirnya [mem]perdayakan;  tiada hakikat baginya daripada sekira-kira zhohirnya;  dan batinnya ibarat kerana iaitu tempat memandang segala Haqaiq al-Haqaiq daripada Ghona' dan Baqa' bagi TuhanNya;   dan Faqir dan Fana' bagi hamba. 
  • Maka nafsu itu menilik ia kepada zhohir[per]dayanya,  maka suka bagi wujudnya dan duka bagi ketiadaannya;
  • dan hati itu menilik ia kepada batin ibaratnya,  maka suka bagi ketiadaannya dan duka bagi wujudnya; 
seperti segala hal orang-orang dahulu apabila datang dunia atas mereka itu maka kata mereka itu dosanya telah disegerakan akan balasnya,  dan apabila jadi Faqir atas mereka itu,  maka kata mereka itu sebaik-baik tanda orang yang sholeh. 

Keterangan Suluk

Makna KUN di sini adalah merujuk kepada apa sahaja yang masuk di bawah "kejadian".  Dunia dan segala isinya adalah KUN;

Pendek kata,  apa sahaja asalkan ianya sesuatu "kejadian" maka pada satu pihaknya,  kita katakan mereka sebagai KUN.

Bila ianya sesuatu yang berupa kejadian,  maka sudah tentu sekali ada penzhohirannya.  Tanpa penzhohiran,  apakah ada lagi sesuatu yang lain yang boleh dijadikan tanda bagi wujudnya sesuatu  kejadian itu???  Dengan itu sesuatu kejadian(KUN) itu mesti ada penzhohirannya.  Bila dizhohirkan,  maka ia dinamakan sebagai KUN.  Ia zhohirnya dengan penuh keindahan dan rupa yang menarik sekali.  Mata bisa terpukau pada kehebatan dan kecantikkannya.  Telinga bisa terhibur dengan kelunakan suara-suara dan bunyian dalam KUN.  Hati bisa terpikat dengan sesuatu yang manis,  lazat dan menyelesakan.

  • Tengok orang bergaya dengan kereta mewah dan rumah besar,  ahli dunia mana yang tidak terpikat.
  • Punya isteri cantik,  anak-cucu yang berjaya,  hati mana yang tidak senang
  • Punya pangkat tinggi,  kedudukan dan kemuliaan,  jiwa mana yang senang.
  • Dan selebihnya lagi; Semuanya itu adalah KUN .  Dan sememangnya KUN itu dizhohirkan dengan sesuatu yang memperdayakan.  Ianya memperdayakan pandangan dan tilikan hati seseorang hamba dengan segala bentuk keindahan,  kesenangan,  keselesaan,  keseronokkan dan kegembiraan dan kehebatannya.

    Inilah sebahagian daripada maksud Bermula segala Kun itu zhohirnya [mem]perdayakan;  tiada hakikat baginya daripada sekira-kira zhohirnya;    yakni  pada pihak zhohir pandangan,  KUN itu adalah semata-mata kosong dan hampa tanpa berhakikat.  Sesuatu yang tiada hakikat,  jika dijadikan tempat bersandar,  atau mengharapkan atau menjadikan ianya sebagai maksud hati,  maka kecenderungan tersebut adalah memperdayakan.  Ia nya memperdayakan kerana lawan pada hakikat itu ialah batil

    Itu dari segi zhohirnya.    Tapi dari segi batinnya atau yang tersirat secara hakikatnya,  KUN itu adalah ibarat kerana iaitu tempat memandang segala Haqaiq al-Haqaiq daripada Ghina' dan Baqa' bagi TuhanNya;   dan Faqir dan Fana' bagi hamba. atau dalam sebutan lainnya,  KUN itulah adalah tempat mengambil iktibar dan pengertian berkenaan tempat untuk dimusyahadahkan kepada Yang Ampunya Wujud yakni hakikat bagi segala hakikat yang menyedarkan hamba betapa "TerkayaNya" Allah  dan betapa KekalNya Allah dalam KekekalanNya Yang Qadim.

    Sesungguhya Mahasuci Allah daripada mengambil faedah di atas ahkam yang dijadikan.
    Bukan untuk itu,  bukan untuk ini,  kerana itu dan kerana ini.
    Dan semuanya ini adalah Kekal selama-lamanya.  Jika hilang,  fana atau binasa sekalipun,  ianya hilang dari segi bentuknya sahaja,  tetapi AinNya tetap kekal selama-lamanya;   sebagaimana Kekal IlmuNya Yang Qadim di A'yan Saabitah.

    Dengan kesedaran ini,  dan dengan pandangan tajam yang menembusi ke sebalik batin setiap KUN ini,  maka di manakah lagi tempat kedudukan bagi seorang hamba jika tidak pada Faqir dan Fana?

    Maka inilah ibarat,  ataupun iktibar yang perlu disedari oleh setiap hambaNya pada setiap batin Kun itu.  Memandang kepada hakikat bagi segala hakikat,  bukannya pada apa yang dihakikatkan.

    Ramai yang sudah tertipu dengan zhohir perdaya KUN ini.  Terpadayanya mereka adalah kerana semata-mata terpesona  pada pihak zhohirnya yang tiada berhakikat.   Sebenarnya puncanya adalah dari kerana nafsu itu menilik ia kepada zhohir[per]dayanya,  maka suka bagi wujudnya dan duka bagi ketiadaannya;  yakni kuatnya nafsu yang mengenderai jiwanya sehingga cenderung kepada kesukaan yang sementara dan akan hilang.  Seronok dan gembira/sukacita dengan kedatangan nikmat keduniaan dan akan berdukacita dan kadang-kadang memberontak apabila ketiadaannya.

    Ini adalah pandangan nafsu,  di mana perhatiannya adalah semata-mata pada zhohirnya.  Rakus dan lahap untuk mengecapi kesenangan dan kesukaaan walau pun hanya untuk seketika,  bertakabbur,  mementing dan mengutamakan kepentingan diri zhohirnya tanpa memperdulikan kecenderungan hatinya yang sentiasa ingin bermakrifat dengan TuhanNya.

    Dengan kerana inilah Tok Pulau Manis menegaskan;
    hati itu menilik ia kepada batin ibaratnya,  maka suka bagi ketiadaannya dan duka bagi wujudnya
    yang menunjukkan fitrah hatinya yang sentiasa sedar akan tipu daya zhohirnya sesuatu;  malah sentiasa menghadapkan pandangnnya kepada hakikat di sebalik sesuatu penzhohiran KUN.  Pada KUN,  diambilnya iktibar,  pengajaran,  petunjuk yang boleh menetapkan pandangannya akepada Yang Ampunya Wujud.  Dengan fitrahnya yang suci ini sudah tentu sekali,

    Sebaliknya, Demikianlah rupanya keinginan dan kesukaan hati yang sentiasa ingin menjauhkan daripada sebarang habuan keduniaan.  Hati yang selamat dan sejahtera daripada tipu daya sebagaimana yang menjadi perhiasan dan pakaian orang-orang Sholeh yang terdahulu sebagaimana yang terdapat pada keterangan;

    seperti segala hal orang-orang dahulu apabila datang dunia atas mereka itu maka kata mereka itu'
    "dosanya telah disegerakan akan balasnya,"
    dan apabila jadi Faqir atas mereka itu,  maka kata mereka; "itu sebaik-baik tanda orang yang sholeh."
     

    Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka keadaan dunia itu zhohirnya kesukaan dan batinnya kejahatan;  dan inilah menegahkan Rasulullah SAW.  daripada melanjutkan nazhor kepadanya.  Maka berpaling Ia daripadanya.  Maka ada ia daripada sekira-kira zhohirnya amat manis dan daripada nazhor kepada batinnya amat keji.

    Keterangan Suluk

    Keterangan berikut adalah merupakan perincian berkenaan dengan terjemahan dan huraian di atas.  Dengan tegasnya disebut bahawa kelazatan,  keindahan dan kehebatan dunia itu memang menyeronokkan tetapi di sebalik kemanisan dunia(batinnya) itu ada racun(kejahatan) yang membinasakan

    Dengan kerana bahayanya manis dunia ini kepada umatnya,  maka Rasulullah SAW.  pernah menegaskan kepada  sahabat-sahabatnya melalui hadis-hadis yang shohih supaya tidak mudah terpesona dan melanjutkan keingginannya mereka kepada habuan dunia.  Kadang-kadang di dengan disebutnya sebagai bangkai malah lebih hina daripadanya,  dan kadang-kadang dengan ditunjukkan dengan hal keadaannya yang zuhud dengan dunia sehingga sanggup menolak pelawaan tawaran Allah untuk menjadi Rasul serta Kaya dengan memilih menjadi Rasul serta Fakir.

    Maka adalah segala tegahan dan larangan ini adalah kerana bimbangkan akan umat-umatnya daripada terjerumus ke lembah yang keji  dengan sebab berhajat-hajat kepada manis dan cantiknya dunia.

    Waspadalah wahai diri dengan racun dunia yang bisa ini.  Sekali terkena sengatnya,  sakitnya lebih bisa daripada sengat tebuan.

    Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka nafsu itu tilik ia kepada perhiasannya yang zhohir terpedaya ia dengan dia(dunia);  maka membinasakan ia akan dia.  Dan hati itu menilik ia kepada jahatnya yang batin,  maka diiktibarkan dengan dia,  maka sejahteralah daripada kejahatan.

    Keterangan Suluk

    Kecenderungan nafsu yang ada memang sukakan dan mudah terpikat dengan perhiasan zhohir dunia yang cantik dan menawan.  Seperti seorang perempuan jelita yang memanggil-manggil RasuluLlah sewaktu peristiwa Isra' dan  Mikrajnya,  ianya memang memperdayakan.  Sebab itulah baginda tidak berpaling dan memberi apa-apa respon di atas bujukan perempuan itu.

    Dalam perjalanan(Isra') seorang Salik sebelum terbang ke alam tinggi(Mikraj),  maka sudah tentu sekali bayangan kecantikkan dunia ini akan ditemuinya.  Tinggal lagi.....apakah mereka melanjutkan tiliknya pada kecantikkan dunia itu atau tidak?

    Maka di sinilah nyatanya kekuatan Aqal hati hati itu.  Fitrahnya memang melihat kepada jahat dan tipu daya di sebalik kecantikkan dunia itu,  maka dijadikan ia sebagai peringatan,  pengajaran kepada Salik akan tipu daya tersebut.  Jika demikian lakunya,  maka selamatlah dan sejahteralah hati daripada cengkaman hubbul dunia yang kemudian mengembang biakkan hubbul-hubbul yang lain serta sifat-sifat keji yang lain.

    Ini adalah kerena hati secara fitrahnya hanya ingin memandang dan bersekedudukan dengan Allah pada setiap waktu dan ketika.  Hati yang bersih hening tidak mudah terpedaya dengan apa sahaja yang dipanggil "KUN".

    Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka barangsiapa memandang dunia pada awal sifatnya nescaya tiada terpedaya ia pada akhirnya;  dan barangsiapa mengetahui dia pada batin hakikatnya nescaya tiada 'ajib ia pada zhohirnya.

    Keterangan Suluk

    Maka barang siapa yang hidup hatinya sebagaimana awal sifat fitrahnya,  maka dapatlah mereka memahami dan menyedari akan batilnya segala KUN atau dunia ini pada zhohirnya.  Dengan ini,  selamatlah hati tersebut daripada terperdaya dan menyesal di hari kemudian.  Mereka tidak ambil apa-apa habuan di dunia ini,  maka di akhirat nanti,  sudah tentu tidak ada apa-apa yang perlu di hisab dan di timbang melainkan semuanya kebajikan dan kebaikan.  Merekalah golongan yang akan mendapat perlindungan dan Rahmat Allah nanti dengan pelbagai anugerah yang besar-besar.  Dengan sebab itulah, dan barangsiapa mengetahui dia pada batin hakikatnya nescaya tiada 'ajib ia pada zhohirnya  yakni tidaklah ia terlalu ajib heran mahu pun bangga dengan hebat dan enaknya dunia ini.  Apakah ada lagi sesuatu yang lebih hebat dan membanggakan selain daripada mendapat Rahmat Keredhoaan Allah Subhanuhuwa Taala?

    Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Dan barangsiapa telah dibukakan pada kesudahannya,  nescaya tiada ingin kepada kesukaannya.

    Keterangan Suluk

    Kesudahannya pada sesetengah hambaNya bermula di sini lagi.  Memandang dan Melihat Allah,  Berhadapan di Dalam Majlis Ketuhanan.  Maka,  bila begini kesudahannya,  nescaya hilanglah dan hapuskan sebarang bentuk kesukaan rasa ini,  rasa itu,  dapat ini dan dapat itu kerana mereka telah larut bersama dalam AgungNya Keesaan Itu.

    Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

    Maka hasil bahawasanya segala Kun itu sekelian itu Zulumah dan Agyar.  Maka nafsu serta agyar itu tiadalah melihat ia kepada hakikat sekali-kali;  dan Qalbun itu jikalau melihat ia kepada Agyar,  maka melihat ia dengan ain Al-Haq,  maka tiada memandang  ia lain sekali-kali.  Wallahu A'lam.

    Keterangan Suluk

    Sebagai rumusan dan ringkas katanya,  maka segala dunia dan keduniaan KUN itu adalah Zulamah kegelapan serta sesuatu yang melalaikan hamba daripada "jalan" yang hakiki.  Sesungguhnya ditegaskan lagi sekali bahawa nafsu dan sesuatu yang lalai itu tidaklah pernah ia ingin,  mahu dan "boleh" melihat hakikat sekali-sekali.  Mereka termasuk dalam kejadian "Al-kun Wal-Fasad"  tidak sebagaimana Qalbun atau Ruh yang dijadikan dari "urusan Ketuhanan".

    Dengan kerana itulah,  apabila Qalbun melihat kepada sesuatu KUN atau Agyar,  pandangan dan tilikannya tidak pernah berbeza dengan hakikat Wajibal Wujud(Ain Al-Haq).  Dengan itu tidak dipandang sekali-kali melainkan Allah Jua Yang Maha Meliputi KewujudanNya.

    Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ......Kemuliaan Yang Kekal

    [[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
    Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
    Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar