Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Hakikat Syahadah
dan cara-cara menikmati  ucapannya.

Apabila sahaja kita menyebut atau membicarakan syahadah, yang pastinya ia adalah persoalan TAUHID!   Inilah point utama bicara kalimah tersebut!  Di dalam Kitab Hakikat Insan di dalam bab Membicarakan Kalimah ada diperbincangkan persoalan bicara Syahadah ini.  Dengan sebab itu aku katakan bagi mereka-mereka yang ditalkinkan sahaja dapat MENJIWAI dan MENIKMATI
ucapannya dengan perasaan sungguh berahi dan mujarab sehingga ke dalam darah daging yang berzikir.

Yang aku maksudkan talqin di sini adalah Talqin  Zikir Nafas!

Sekali lagi aku tanya kepada saudara Suluk dan Habib,  adakah saudara berdua sudah ditalqinkan Zikir Nafas daripada Guru Mursyid kalian???

Inilah pentingnya untuk mendapatkan ilmu tersebut. Kalau dah dapat baru kita boleh memahaminya dengan mudah!

Jadi di sini aku menyentuh dahulu bab Tauhid sebagai pembukaan kepada muqaddimah Hakikat Syahadah dan cara-cara menikmati ucapannya.

TAUHID


UNTUK mencapai matlamat ini, soal yang pertama yang wajib diketahui ialah bersabit dengan soal diri sendiri.

TELAH diperkatakan oleh Arifbillah,

"Man 'arafa nafsahu faqad 'arafa Rabbahu, waman 'arafa Rabbahu fasadal jasad."

Yang bererti :

"Barangsiapa mengenal akan dirinya, mengenallah ia akan Tuhannya dan barangsiapa mengenal akan Tuhannya binasalah (hancur) dirinya."

MAKA itulah sebabnya terlebih dahulu kita wajib mengenal rahsia diri, kerana adalah diri yang kita
lihat akan menerima perubahan, tetapi adalah diri yang sebenar diri itu tidak binasa. Berhubung dengan diri, terbahagi kepada dua; iaitu jasad dan roh. Jasad yang tidak mempunyai ruh bererti mati, dengan itu teranglah kepada kita didalam soal ketuhanan. Roh itulah yang terpenting dan nyata pulalah kepada kita adalah jasad itu ibarat syukur kepada roh itu, maka di dalam roh itulah tersembunyinya akal untuk berfikir dengan bimbingan Al-Quran dan Hadis.

SEPERTI sabda Nabi Muhammad SAW ertinya :-

"Barangsiapa berpegang pada kedua iaitu Al-Quran dan Hadis, dijamin selamat dunia dan akhirat."

SEKARANG jelas pula kepada kita adalah satu perbuatan dan amalan hendaklah kita berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis jika sekiranya kita ingin mencapai matlamat tersebut. Bolehlah dimisalkan adalah Al-Quran dan Hadis itu umpama "plan" bagi membentuk sebuah rumah.
Maka di dalam "plan" itu tersimpan segala ukuran rumah tersebut. Begitulah pula berhubung dengan Al-Quran dan Hadis itu, yang mana kepadanya ini "plan" pula kepada diri kita untuk mencari keredhoan Allah.

KITA dilahir sebagai orang Islam, tetapi bagi orang bukan Islam, jika hendak memeluk agama Islam;
hendaklah dengan melafazkan dua kalimah syahadat iaitu,

"Ashaduan la ilaha ilallah wa ashaduana Muhammadur Rasulullah"

YANG bererti,

"Telah menyaksikan aku tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah. Dan telah menyaksikan aku sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah."

DI sini jika diletakkan menyaksikan itu dengan mata kepala kita, maka belumlah sempurna maksud keIslaman itu, kerana perkara ini tidak akan dapat dilihat dengan melalui pancaindera kita melainkan dengan ma'rifat iaitu dengan ilmu yang dipertaruhkanNya di dalam roh kita itu.

SOAL pokok di dalam agama Islam itu ialah,

"Awaluddin ma'rifatullah."  Bererti,  "Awal agama mengenal Allah."

BAGI pendapat hambamu yang dhaif ini, dengan adanya mngenal Allah itu maka baharulah kita dapat menempuhi landasan hidup yang terpuji di sisi Allah. Di mulai dengan perkataan Allah, semua kita tahu bahawa Allah itu adalah nama yang dimaksudkan kepada diri yang empunya nama. Maka nama yang tidak dikenal yang empunya nama itu tetap maksud dan tujuan.

OLEH itu haruslah kita renungkan baik-baik nama itu tidak bercerai dengan yang empunya nama. Tetapi diri yang bernama Allah itu tidak akan dapat dilihat oleh pancaindera, tetapi sebaliknya adalah wujud manusia itu menyatakan wujudnya Allah yang tidak dapat dilihat itu. Jika kita katakan wujud manusia itu sebagai kenyataan, maka haruslah kita mempersoal-jawabkan yang bernama manusia dahulu, baharulah kita akan mencapai yang bernama Allah itu.

SEMUA orang sependapat adalah manusia itu terbahagi  kepada dua jauhar. Yang pertama, jasad dan roh. Maka apabila ruh itu bercerai dengan badan, terlanjurlah badan itu tidak bergerak lagi. Walaupun sebelum ia seorang perawan yang cantik, yang menjadi rebutan ratusan teruna. Walaupun seorang teruna yang gagah perkasa jika telah ditinggalkan oleh rohnya, maka hilanglah tenaga dan kekuatan yang ada di waktu hidupnya di sisi mayat terbujur itu. Hanya getaran mulut sanak-saudara yang mengasihinya sambil mengeluarkan perkataan,

"Datang dari Allah, kembali kepada Allah."

DI waktu itu, tersebutlah nama Allah dan terbayanglah kebesaran Allah, walaupun seluruh manusia di dunia ini berhimpun untuk mempertahankan hidupnya, namun tidak akan berupaya berbuat demikian.

SEKARANG marilah kita buat perkiraan bersama, sebab dia masih berada di dalam batang tubuh kita bersama dengan roh yang masih berjasad ini. Kita tahu sebelumnya kita mati menjadi mayat, kita dikatakan hidup serta mempunyai anggota yang lengkap yang boleh mendengar menerusi telinga, melihat menerusi mata,  berkata menerusi mulut dan sebagainya. Tetapi kita sebelum dizahirkan dari alam rahim ibu kita, kita tidak dapat berbuat demikian; yang mana kita di waktu itu telah ada mata, telinga dan mulut. Tetapi tidak boleh mendengar, melihat dan berkata-kata, tetapi di waktu itu kita hidup tanpa kita ketahui dari setitik air sehingga membesar bertubuh selama sembilan bulan
lamanya. Maka jika kita renungkan siapakah yang berkehendak dan berkuasa di waktu itu, jawabnya tidak lain ialah "Allah". Apatah lagi jika kita menerangkan sebelumnya di manakah kita, maka tentu tidak ada jawapan yang lain melainkan Allah sahajalah yang tahu.

  "Inni a'lam ma laa ta'lamun."

MAKA nyatalah di sana hanya yang hidup itu sahaja yang tahu pada segala hakikatnya yang bererti hidup kita di waktu itu dengan hidupnya Allah. Nah! Sekarang kita zahir di alam syahadah. Di alam dunia ini kita telah dapat mendengar, melihat dan berkata-kata oleh sebab roh yang hidup itu maka tahulah kita bahawa hidup kita ini sebagai kenyataan hidup Allah yang "Wajibal-wujud" itu. Oleh itu setelah kita membuat di atas kajian ini maka dapat pulalah kita mendalami ilmu kita bahawa
adalah mata yang melihat itu dengan ruh, telinga yang mendengar itu dengan roh, mulut yang berkata itu dengan roh. Maka nyata pula di dalam roh itu ada sifat sama', basar  dan qalam. Dan kita melihat, mendengar dan berkata-kata itu sebagai kenyataan adanya sifat-sifat itu di dalam ruh kita. Sekarang jika kita terus mendalami lagi bagi manusia yang hidup ini,  lama- kelamaan akan pekak telinganya, akan kabur matanya dan suara pula akan turut berubah jika  sekiranya umurnya telah lanjut, jadi bererti segala yang ada zahir ini akan binasa tetapi ruh kita itu  tidak sekali-kali akan menerima kebinasaan. Maka ia terus hidup berpindah dari alam syahadah ke alam barzakh.

BILA sampai renungan kita ke peringkat ini, baharulah  kita dapat pula membicarakan kalimah,

"La ilaha ilallah."

UNTUK sampai kepada apa yang dikatakan `Ashad' itu yang bererti telah menyaksikan "La ilaha ilallah". "La ilaha ilallah" ini bererti "Tiada Tuhan yang lain, sebenarnya Allah." Kita semua sebagai umat Islam memang tidak ada mempunyai Tuhan yang lain seperti berhala atau sebagainya melainkan Allah sahaja, tetapi Tuhan yang dimaksudkan di sini adalah diri sendiri.  Jadi yang dimaksudkan yang lain itu adalah orang yang bersifat bongkak, ta'kabur yang mana membangga dirinya kepunyaan Allah itulah yang bijak, yang mulia dan yang pandai. Maka apabila kita telah diberi ilmu yang
mengiktiqadkan bahawa orang yang bijak itu ialah orang hidup. Orang itu hidup oleh adanya ruh. Maka ruh itu akan kembali kepada Allah kerana adalah ia hak Allah.  Maka baharulah kita dapat menafikan dari bertuhankan diri sendiri. KepadaNya bertuhankan Allah, kerana adalah ruh itu kenyataan wujudnya Sifat Allah yang bersifat Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sama', Basar dan Qalam. Maka baharulah lahir kenyataan bahawa di dalam alam syahadah ini jasad kita hidup semata-mata
bergantung kepada atau berserta dengan sifat-sifat yang qadim yang tersembunyi di dalam ruhani kita itu.

DI ketika ini kita telah sampai ke peringkat membicarakan Zat dan Sifat, yang mana telah disebutkan
di atas tadi nama dengan diri yang empunya nama tidak bercerai. Tetapi bagi kita, nama dengan diri itu akan bercerai jika kita telah hilang di muka bumi ini. Maka diri yang bernama "Anu" itu akan dikuburkan ke liang lahat untuk selama-lamanya. Tetapi bagi Allah dengan diriNya yang,

"Laisa kamitslihi syai'un." [Ash-Syura : 11]

"Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya."

itu tetap ada nama dan dirinya meliputi awal dan akhir, zahir dan batin. Di sini jika kita mempersoalkan tentang awal dan akhir kita sudah maklum bahawa Allah itu awalNya tiada permulaan, akhirNya tidak ada kesudahan. Tetapi yang rumit kita memahami ialah zahir dan batinNya itu. Maka marilah sama-sama kita renungkan pula bahawa akhirnya manusia itu kerana
nyawanya atau rohnya. Maka ruh itulah pada hakikatnyajasad atau diri yang sebenar yang bersama Insan dan Sifat Allah yang bernama Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sama', Basar dan Qalam  itulah ruhani.

SEKARANG tahulah kita bahawa ruhani yang mengandungi rahsia Ketuhanan itulah yang sentiasa berhadap kepada Allah, yang sentiasa akur dan patuh kepadaNya. Apa yang diperintahkan Allah, yang tidak bercerai dengan Allah yang mana semata-mata hak Allah, maka itulah yang dinamakan "Sifat Allah, Nur Muhammad, Muhammad yang batin dan Al-Quran yang qadim" yang hidup setelah
berpisah dari jasad kita ini. Oleh itu nyatalah makhluk yang dipanggil manusia ini adalah tempat
himpunan zahir dan batin, dan nyatalah maujud makhluk itu memakai Sifat Allah.

Seperti Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Sesungguhnya Allah itu lebih hampir dari urat leher dengan batang leher."

Dengarkanlah keluh-kesah dan munajatku sebagai fakir majnun....

"Sekarang telah aku serahkan segala-galanya kepada Engkau sehingga aku tidak memiliki sebesar zarah melainkan adalah semuanya kepunyaanMu. Aku hairan dan tercengang Engkau wujud di dalam kehancuran.  Kadang-kadang aku rasa Engkau sahaja yang ada, tetapi membisu mulut ku untuk memperkatakan, namun begitu oleh sebab kebesaran Engkau aku terpaksa! Ya! Kelahiran aku, Engkau rahsiakan. Maka kelahiran Engkau di dalam ma'rifat ku tetap aku rahsiakan pula. Tetapi
bagaimana aku hendak merahsiakannya terhadap Mu, sebab segala-galanya adalah Zat dan Sifat Engkau jua!"

BARULAH nyata kepada kita rupa-rupanya berkehendak jasad kita selama ini adalah kehendak nyawa dan berkehendak nyawa sebab Iradat Allah. Maka nyata sangatlah salahnya kalau kita hanya mengatakan aku yang berkehendak, aku yang berkuasa jika kita tidak mempunyai makrifat yang sebenarnya itu.

Itu jugalah yang dimaksudkan mematikan diri sebelum dimatikan iaitu,

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Kami datang dari Allah, kami kembali kepada Allah."
(Daripada Allah, dengan Allah, bagi Allah.) [Al-Baqarah : 156]

Pengertian Ma'rifat (Batin) -

'Sesungguhnya dirimu itu Allah (Tuhan asal dirimu) dan hendaklah kamu pulang menjadi Tuhan kembali."

[Ini adalah persoalan menyelami kefana'kan. Dan ditambahi pula dengan sulami aliran kemasukkan
martabat asyik dan maksyuk. Inilah juga yang aku maksudkan peringkat "majnun"!]

Sesudah seorang salik mencapai tahap "fana' fi'dz-dzzat", dia menjadi "majzub" (terserap ke dalam
Tuhan atau kecenderungan dalam cinta kepada Tuhan).  Bila dia kembali dari keadaan ini dan memperolehi  kembali kemanusiaannya, dia dinamakan Rasul (Pesuruh),  dan sebagai itu, dia berkata Hua'l-Haqq (Dia adalah  Tuhan); dan bila menjadi faanii dalam dirinya sendiri dan baaqii dalam Tuhan, dia melihat Zat langsung, lalu dia berseru Ana'l Haqq (Aku adalah Tuhan).

Syeikh Jalaluddin Rumi telah menyatakan hal ini di dalam kitabnya "Matsnawi", dalam perihal Nabi Nuh a.s.

Nuh berkata :

"Wahai, orang-orang yang tidak percaya, aku bukan aku,  Aku mati dan Tuhan adalah hidup."

"Bila "aku" itu mati dalam pancaindera manusia,  Si pembicara, si pendengar, dan yang mengerti, adalah Tuhan."

"Bila "aku" itu bukan "aku", maka "aku" itu adalah nafas Tuhan.  Menentang Dia adalah suatu kesalahan."

Kalaulah diri yang hidup ini sudah DIMATIKAN (Fana'),  siapa pula yang HIDUP (Hayat) ???

Dan firmanNya lagi, bermaksud :

"Apakah engkau tiada melihat, apa yang ada pada diri kamu?"

Tentang kifiat pengucapannya akan dibincangkan  kemudian di masa yang sesuai.......

InsyaAllah.......

Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri