Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kenapa Menjadi Cicak Kalau Boleh Menjadi Naga?

Dream what you dare to dream,
Go where you want to go,
Be what you want to be,
You can if you believe you can,
Believe in yourself and other's will too.

Empayar Kesultanan Melayu Melaka tidak terbina dalam satu hari. Alex Ferguson memerlukan 7 tahun mencipta kejuaraan pertama untuk Manchester United. Abdul Malik Mydin berlatih selama 4 tahun sebelum berjaya merentasi Selat Inggeris. Thomas Alva Edison memerlukan ratusan kegagalan sebelum mencipta mentol. Dr Mahathir memerlukan 22 tahun membangunkan Malaysia seperti hari ini. Michael Schumacher tidak terus menjadi juara F1 semasa mula berlumba dan Siti Nurhaliza juga tidak terus menjadi bintang sewaktu mula menyanyi.

Pekakkan telinga dan buat tak tahu terhadap kritikan yang tidak membina. Teguhkan prinsip dan gandakan usaha. Tentu kita juga akan menjadi seseorang satu hari nanti. Ancaman luar selalunya membuatkan kita semakin kuat, tetapi bisikan hati dari dalam diri akan terus melumpuhkan segala usaha dan impian yang dicita-citakan.

"It was never a physical barrier, it was a mental barrier." (Roger Bannister)

Orang yang tahu apa yang dia cita-citakan akan memulakan langkah ke arah destinasi yang dituju. Halangan sepanjang perjalanan dianggap pemangkin menuju cita-cita kerana dia percaya kepada kepada dirinya sendiri. Sekali dia telah berjaya, semua orang akan mencontohinya.

"Tiada gunung yang tidak dapat didaki. Tiada lurah yang tidak dapat dituruni." Ini antara ungkapan yang biasa kita dengar.

Tidak ada yang mustahil didunia sebenarnya. Berfikirlah secara positif nescaya semua boleh dicapai. Komputer zaman dahulu perlukan sebuah bilik yang besar, tetapi kini sudah ada sebesar tapak tangan dan boleh dibawa ke sana sini.

Mencipta kejayaan akan menjadi mudah sekiranya kita berjaya memecahkan tembok-tembok yang terbina dalam diri kita, iaitu tembok minda dan psikologi. Inilah sebenarnya musuh kita yang paling utama. Bila berlaku kegagalan, kita adakalanya kita lebih suka menyalahkan tembok-tembok luaran yang adakalanya tidak wujud dan ada pula sengaja diwujudkan oleh diri sendiri daripada mencari tembok-tembok yang telah terbina kukuh dalam diri kita.

Sekukuh-kukuh tembok Berlin, runtuh juga akhirnya.

Pelajar yang mendapat 16A dalam SPM 2002, Yap Sui Lin, bukanlah seorang yang ulat buku yang hanya terperap di perpustakaan dan bilik. Dia merupakan pelajar yang aktif dalam pelbagai bidang. Dia juga menghabiskan masanya bersosial dengan rakan-rakannya. Tanpa memakan 'supplement food' dia masih boleh mencapai kejayaan yang mengkagumkan. Orang lain mungkin cakap, "It is gifted." Tetapi pada hakikatnya, dia merupakan pelajar yang berfikirkan positif untuk berjaya.

Orang yang membina tembok minda akan memberi alasan yang bukan-bukan untuk mempertahankan dirinya. Waktu adalah elemen yang sering dipersalahkan. Tak cukup waktu lah. Kenapa dijadikan sehari 24 jam sahaja lah. Sedangkan yang bersalah adalah kita yang suka membuang masa. Masa untuk membaca buku digunakan untuk menonton wayang. Masa untuk beriadah digunakan untuk tidur. Masa untuk bekerja digunakan untuk berbual-bual. Masa untuk beribadah digunakan untuk melepak.

Sedangkan masa yang Allah peruntukkan 24 jam itu adalah mencukupi. Ia tidak menjadi cukup kerana manusia itu sendiri tidak pernah mengaturnya secara bijak. Sesungguhnya Allah telah bersumpah demi masa bahawasanya manusia itu didalam kerugian melainkan mereka yang memanfaatkannya dengan perkara kebenaran dan kesabaran.

Matahari tidak pernah merungut kerana lambat terbit ataupun kerna bulan menggantikannya terlalu awal. Air pasang surut akan berlaku mengikut masanya. Lembu-lembu dan kambing-kambing di padang ragut tidak pernah kelaparan bila dihalau kembali ke kandang. Kerana tindakan mereka semuanya itu adalah mengikut fitrah mereka sebagai matahari, bulan, tarikan graviti, sifat air, sifat lembu dan kambing. Tetapi manusia sering melarikan diri dari fitrah sebenar iaitu sebagai sebaik-baik makhluk Ilahi. Akhirnya, terciptalah tembok-tembok diri yang merugikan.

Kalau Lat mengikut kata-kata orang ramai dahulu, "Lukis kartun ni boleh hidup ke?", sudah tentu kita tidak ada seorang kartunis Melayu yang tersohor di seluruh dunia. Kalau Roger Bannister mendengar kata-kata pakar-pakar disekelilingnya, sudah tentu kejayaan mencatat rekod larian 1 batu bawah 4 minit tidak dicapai pada tahun 1954. Kalau Dr Stephen Hawking mengalah dengan sakitnya, belum tentu buku 'A Brief History of Time', yang memperkatakan tentang teori-teori kewujudan alam semesta itu wujud. Kalau J.K Rowling berputus asa selepas manuskrip pertama Harry Potter ditolak oleh 12 syarikat penerbitan, sudah tentu kita tidak mengenal watak budak berambut lurus berkaca mata bulat itu.

Ujian, nista, kegagalan yang menimpa bukan selamanya bermaksud hidup kita sudah berakhir. Ia sebenarnya sebagai pengajaran yang berguna supaya kita tidak melangkah masuk ke lubang yang sama sebanyak 2 kali. Kolonel Sanders memulakan perniagaan pisang ayam gorengnya selepas dia gagal dalam perniagaan pertamanya. Siapa sangka, hanya menggoreng ayam secara francais pun boleh menjadikan Kentaki Kentucky Fried Chicken terkenal di merata tempat.

Rasulullah saw mengajar umatnya agar sentiasa berfikirkan positif dan berjiwa besar. Ekspedisi dakwah Islamiyyah ke Ta'if bersama Zaid b Harithah telah disambut dengan maki hamun dan lontaran batu-batu sehingga diriwayatkan kasut Nabi saw dipenuhi darah yang menitis dari ketingnya. Baginda mengadu kepada Allah dan akhirnya Jibrail as telah datang mengkhabarkan berita bahawa malaikat yang menjaga bukit sedia bertindak untuk menghempaskan bukit kepada penduduk Ta'if tetapi tawaran tersebut telah ditolak lantas baginda bersabda,

"Bahkan, aku berharap supaya Allah melahirkan dari dalam 'salbi' mereka orang yang menyembah Allah azza wajalla dan tidak menyekutui-Nya dengan sesuatu yang lain."

Akhirnya, selepas perisitiwa Hijrah, Ta'if telah menjadi kubu kuat umat Islam. Islam tidak diterima di Mekah, lalu dipilihnya Habsyah, tetapi tidak begitu strategik, lantas baginda mencubanya di Taif, gagal. Akhirnya rakyat Madinah menawarkan tempat untuk pemerintahan baginda saw.

Benar, apa yang berlaku ke atas Nabi saw telah ditetapkan sebegitu. Tetapi itulah tujuan seorang Rasul diturunkan agar segala tindak tanduk dan ajarannya menjadi petunjuk di sepanjang kehidupan kita sebagai Muslim.

Monggol tidak dapat menakluk China kerana wujudnya Tembok Besar China. Kita tidak dapat mencipta sesuatu yang hebat dan bersejarah kerana kita masih belum meruntuhkan tembok-tembok yang wujud dalam diri kita sendiri.

Pekakkan telinga dan buat tak endah sahaja kalau kita yakin apa yang kita buat itu betul. Kenapa perlu ikut cakap orang sedangkan yang bakal melakukannya adalah kita sendiri? Orang lain berkata jangan dan tidak kerana dia yang lemah, bukannya kita. Minda kita sebenarnya mempunyai kekuatan yang terlampau sekiranya kita tahu menggunakannya dengan betul.

Kenapa perlu menjadi seekor cicak sedangkan kita berkuasa umpama seekor naga? Hanya orang bodoh dan lemah semangat sahaja yang tidak meyakini keupayaan diri sendiri. Belajarlah teknik berbicara dengan minda, InsyaAllah kita akan melakukan sesuatu yang pernah dianggap mustahil pada satu masa dahulu.

Wallahua'lam.