Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Ke Arah Penyelarasan Dan Penyatuan Sistem

Pentadbiran Dan Pelajaran Sekolah-Sekolah
Menengah Agama/Arab Di Malaysia

1. Pendahuluan

Terlebih dahulu kami memohon izin untuk membuat beberapa pindaan terhadap tajuk asal kertas kerja ini yang berbunyi "Penyelarasan dan penyatuan sistem pelajaran dan pentadbiran sekolah-sekolah menengah Agama/Arab di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak." Pindaan yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut :

  1. Tambahan perkataan "Ke arah" dipangkal tajuk asal itu kerana bukanlah tujuan kami dalam kertas kerja ini untuk menyurut secara detail sistem pentadbiran dan pelajaran sekolah-sekolah menengah Agama/Arab yang berjalan sekarang ini dan kemudian mencadangkan suatu sistem baru yang selaras dan bersatu. Tetapi apa yang hendak kami tarik perhatian para sidang hari ini ialah bahawa suatu langkah tertentu perlu terlebih dahulu diambil dan dilaksanakan sebelum usaha penyelarasan dan penyatuan itu dapat dijalankan. Tanpa menyelesaikan terlebih dahulu beberapa problem rumit yang terpaksa dihadapi maka segala cadangan dan keputusan akan tinggal cadangan atas kertas sahaja. Oleh itu, sesuai sekali perkataan "Ke arah" itu ditambah untuk memberi saranan bahawa kita pada hari ini akan menumpukan perbahasan bagi memecahkan beberapa masalah yang dihadapi ke arah mencapai cita-cita itu dan kemudian meentukan apakah langkah-langkah yang perlu diambil ke arah itu. Setelah itu, maka segala masalah mengenai soal-soal teknik yang berikutnya adalah mudah.

  2. Perkataan "Pentadbiran" didahulukan daripada perkataan "Pelajaran". Ini kerana apa yang penting kepada kita ialah bagaimana hendak menyelaras dan menyatukan pentadbiran sekolah-sekolah itu. Apabila sistem pentadbiran ini sudah dapat disatukan maka sistem pelajaran akan dengan sendiri selaras dan bersatu.

  3. Perkataan "Sabah" dan "Sarawak" ditiadakan kerana memadai dengan perkataan "Malaysia" yang menyeluruh kepada kedua-dua negeri tersebut.

Maka selepas pindaan-pindaan itu tajuk kertas kerja ini berbunyi " Ke arah Penyelarasan dan Penyatuan sistem Pentadbiran dan Pelajaran sekolah-sekolah Menengah Agama/Arab di Malaysia."

  1. Sepintas lalu motif penubuhan Sekolah-sekolah Agama/Arab di Malaysia

Sekolah-sekolah Agama/Arab pada mulanya ditubuhkan adalah atas daya utama rakyat dengan tidak ada campur tangan pemerintah (penjajahan) secara langsung atau tidak langsung. Penubuhan ini adalah untuk menjadi benteng mempertahankan pegangan ummat Islam kepada agamanya yang digugat oleh sistem persekolahan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Penjajah di mana badan-badan dakwah Kristian memainkan peranan penting dalam perjalanan sekolah-sekolah di masa itu. Sekolah-sekolah Inggeris itu telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ummat Islam kerana pembawaan di sekolah-sekolah itu bertentangan dengan agama dan tata susila orang Islam. Hingga akhir-akhir inipun masih terdengar suara-suara "masuk sekolah Inggeris jadi kafir." Maka penubuhan sekolah-sekolah Agama/Arab adalah untuk menyalurkan anak-anak orang Islam ke tempat yang boleh menjamin keselamatan anak-anak itu dalam pegangan agama mereka. Orang ramai yang memasukkan anak mereka ke sekolah agama bercita-cita supaya anak-anak mereka menjadi anggota masyarakat yang berpegang teguh kepada agama dan bercita-cita mereka yang tertinggi ialah menjadi ahli dalam soal-soal agama (ulamak). Boleh dikatakan tidak ada langsung cita-cita supaya anak-anak itu dapat memegang jawatan-jawatan kerajaan. Perkara ini disokong pula oleh hakikat bahawa kehidupan masyarakat pada masa itu adalah dalam keadaan simple yang tidak mendorong mereka berlumba-lumba ke arah kebendaan. Oleh itu, sekolah-sekolah ini dipanggil sekolah agama kerana cita-cita pengasas-pengasasnya dan orang ramai yang menghantar anak-anak mereka ke situ adalah semata-mata untuk agama bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia semata-mata. Oleh itu, perkataan-perkataan agama dan dunia dianggap sebagai dua perkara yang berlawanan dan bertentangan dengan tidak boleh disatukan. Dari sini tertanamlah perasaan permusuhan di antara sistem pelajaran sekolah agama dengan sistem pelajaran sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun, rasa curiga terhadap sekolah Inggeris pada masa itu ada benarnya kerana sistem ini dicipta oleh penjajah untuk kepentingan penjajahan dan pengaruh mubaligh agama Kristian dibiarkan berleluasa tanpa sebarang sekatan.

Sekarang keadaan negara dan masyarakat telah banyak berubah, sistem pelajaran kebangsaan telah diwujudkan bagi memenuhi kehendak rakyat dan negara. Masyarkat telah mula berubah sikap terhadap pengertian hidup yang dikehendaki oleh Islam di mana kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia adalah juga dituntut oleh Islam di samping kebahagiaan di akhirat. Dengan itu, usaha-usaha ke arah memperbaiki taraf hidup di dunia diberi perhatian berat oleh seluruh masyarakat Islam melalui saluran ekonomi dan pendidikan ini terbukti dari tidak ada keraguan di kalangan masyarakat Islam untuk menghanta anak-anak mereka ke sekolah kerajaan atau sekolah-sekolah bnatuan penuh kerajaan di mana kegiatan dakyah Kristian masih kuat seperti dahulu. Malangnya, sekolah-sekolah Agama/Arab masih dalam keadaan lama, tidak berubah mengikut perkembangan dan keperluan masyarakat yang sewajarnya dan perasaan permusuhan serta irihati dari sekolah-sekolah Agama/Arab terhadap sistem kebangsaan secara rasminya masih ada tetapi dari segi praktikal orang-orang perseorangan boleh dikatakan tidak ada. Contohnya, ramai orang-orang yang bertanggungjawab menjalankan sistem pelajaran agama di sekolah-sekolah Agama/Arab tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama bahkan dihantar ke sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Ramai pelajar-pelajar yang berdaftar sepenuh masa di sekolah-sekolah Agama/Arab secara rasmi mengikuti kursus-kursus aliran kebangsaan secara tidak rasmi di sekolah-sekolah malam dan sebagainya di mana kebanyakkan tumpuan tenaga dan harapan mereka adalah kepada kursus sambilan ini. Tidak syak lagi bahawa keadaan ini timbul kerana kesedaran bahawa sistem pelajaran sekolah-sekolah Agama/Arab tidak dapat menjamin kedudukan dan kehidupan yang baik dalam masyarakat.

  1. Sepintas lalu mengenai pentadbiran sekolah-sekolah menengah Agama/Arab di Malaysia

Sekolah-sekolah menengah Agama/Arab di Malaysia hari ini dari segi pentadbirannya bolehlah secara umum dibahagikan kepada 4 jenis :-

  1. Sekolah Menengah Agama Rakyat yang didirikan oleh rakyat dan pentadbirannya juga dikendalikan oleh rakyat melalui Lembaga Pentadbir atau Guru Besar. Setengahnya menerima sumber kewangan dari kerajaan pusat, negeri atau Majlis Agama Islam.

  2. Sekolah Menengah Agama/Arab kerajaan negeri. Pentadbirannya di bawah kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam. Kewangannya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

  3. sekolah Menengah Agama/Arab di bawah kelolaan Majlis Agama dan zakat.

  4. Sekolah Menengah Agama/Arab di bawah Kementerian Pelajaran.

Bahagian yang keempat tidak ada masalah kerana ianya ditadbir dan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah akta yang sama dengan sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Yang menjadi masalah dan yang sepatutnya mendapat perhatian serious dalam perbincangan hari ini ialah ketiga-tiga bahagian yang baki itu terutama bahagian yang pertama iaitu sekolah menengah Agama/Arab rakyat. Sekolah-sekolah ini didirikan oleh rakyat, dibiayai oleh rakyat dan ditadbirkan oleh rakyat. Sungguhpun di masa-masa yang kebelakangan ini sekolah-sekolah ini ada menerima bantuan kewangan dari kerajaan pusat, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam tetapi keadaan dan perjalanan sekolah-sekolah itu jauh dari memuaskan, terbiar tanpa pembelaan yang sewajarnya. Pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Makin sehari makin lemah dan ada yang terpaksa ditutup langsung. Keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya ia mendapat pembelaan yang sewajarnya dan berjalan di bawah suatu sistem pentadbiran yang kuat dan bersatu.

Manakala sekolah-sekolah menengah Agama/Agama yang di bawah tadbiran kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam pula sungguhpun di masa kebelakangan ini terdapat sedikit perubahan dan kemajuan dari segi sistem pentadbiran dan pelajarannya tetapi masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diatasi segera. Seperti dari segi kecekapan dan kelicinan pentadbiran, kewangan, kelayakan guru, sukatan pelajaran, nilai pencapaian sekolah dan murid, nilai syahadah yang dikeluarkan, pengambilan dan penerimaan pelajar, masa depan pelajar dan berbagai masalah lagi. Timbulnya masalah-masalah ini disebabkan sekolah-sekolah tadi tidak mempunyai sistem pentadbiran yang sama antara satu sama lain. Setiap negeri mempunyai sistemnya sendiri berbeza dengan negeri yang lain. Perpecahan inilah yang menjadi punca kemunduran dan kelemahan itu. Dan memang perpecahan ini direstui oleh musuh-musuh Islam. Mereka mengetahui jika sekolah-sekolah ini bersatu di bawah suatu sistem pentadbiran dan pelajaran yang satu, ia akan merupakan satu tenaga penggerak yang besar dan terpengaruh ke arah pembangunan bangsa dan negara. Musuh-musuh Islam memang suka sekolah-sekolah Agama/Arab ini berjalan bersendirian mengikut hala dan pembawaan masing-masing agar tenaga raksaksa puluhan ribu pelajar yang bernaung di bawahnya ikut sama berpecah, lemah, hanyut dalam mengejar cita-cita yang kabur. Tiada siapa yang membela dan bersimpati dengan mereka hanya takdir sahaja yang menyelamatkan sebahagian kecil dari mereka dari jurang kegagalan dan kekecewaan.

Kita sering melaungkan "Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh" tetapi nampaknya dalam perkara sekolah Agama/Arab ini, cogan kata ini tidak dipraktikkan. Oleh sebab itu, walaupun sudah berpuluh tahun kita merdeka tetapi sekolah Agama/Arab masih dalam keadaan lama juga, terbiar berjalan bersendirian. Seolah-olah dianaktirikan tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan dan pemimpin masyarakat. Berita kegagalan pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan baik di peringkat SRP atau SPM dibesar-besarkan dan mendapat perhatian dari segenap lapisan masyarakat dan kerajaan. Tetapi tiada siapa yang mengambil tahu tentang perjalanan sekolah Agama/Arab. Jauh sekali untuk membincangkan kegagalan murid-murid di sekolah itu. Kepada siapakah hendak dipersalahkan perkara ini ? Mengapakah sekolah-sekolah Agama/Arab tidak mendapat pembelaan sewajar-wajarnya ? Bukankah sudah banyak kali seminar demi seminar diadakan bagi membincang masalah ini ? Entah sudah berapa banyak resolusi dibukukan dan dihantar ke serata ceruk ? Tidak dapat dinafikan memang ada usaha-usaha yang telah dijalankan ke arah pembelaan itu tetapi tidak berhasil. Gagal di pertengahan jalan. Baru-baru ini kita dengar memanng ada usaha-usaha dari pihak Kementerian Pelajaran sendiri untuk menyatukan seluruh sekolah-sekolah Agama/Arab di Malaysia atau sekurang-kurangnya dalam peringkat permulaan sekolah-sekolah yang terbesar di setiap negeri, dibawah satu sistem pentadbiran dan pelajaran yang satu. Tetapi hasilnya tidak begitu menggalakkan kerana setiap negeri masih ingin menguasai sekolah-sekolah masing-masing dan mentadbirnya mengikut kehendak dan kecenderungan tersendiri.

  1. Sebab-sebab mengapa usaha-usaha ke arah menyelaras dan menyatukan sistem pentadbiran sekolah-sekolah menengah Agama/Arab di Malaysia menemui kegagalan

Sebenarnya, memang telah banyak usaha yang telah dijalankan ke arah penyatuan pentadbiran sekolah-sekolah Agama/Arab itu, baik di peringkat kerajaan pusat atau orang ramai. Tetapi ternyata seolah-olah ada semacam kecenderungan di peringkat negeri untuk mengekalkan sekolah agama dalam keadaannya yang lama. Kalau kita fikir secara logik memang sudah sewajarnya sekolah-sekolah agama di setiap negeri di Malaysia ini disatukan di bawah dasar pelajaran yang satu yang menyeluruh dan seterusnya di bawah pentadbiran yang satu. Tetapi malangnya, terdapat banyak halangan untuk mencapai cita-cita yang murni itu. Di antara sebab-sebab mengapa usaha-usaha yang telah dijalankan ke arah menyelaras dan menyatukan sistem pentadbiran sekolah-sekolah Agama/Arab itu menemui kegagalan adalah seperti berikut :-

  1. Kerana adanya peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan bahawa kuasa mengenai hal-ehwal agama Islam di setiap negeri adalah tertakhluk di bawah kekuasaan Duli Yang Maha Mulia Raja negeri itu. Oleh kerana itu, sekolah agama merupakan sebahagian dari hal ehwal agama Islam maka ianya hak urusan negeri itu, tidak boleh diganggu gugat oleh kuasa lain. Ianya mesti diletak di bawah kuasa agama negeri masing-masing. Setiap negeri ingin mengekalkan kuasa sebagai suatu simbol kekuasaan yang termaktub.

  2. Majlis-majlis Agama Islam di setiap negeri yang mentadbir sekolah-sekolah Agama/Arab negeri juga ingin berkuasa di atas sekolah-sekolah tersebut. Oleh kerana pentadbiran Majlis-majlis Agama itu berbeza atara satu negeri dengan yang lain maka corak pentadbiran sekolah-sekolah itu juga turut berbeza antara satu sama lain.

  3. Sekolah-sekolah Agama/Arab rakyat dikelolakan oleh rakyat tempatan melalui Lembaga Pentadbiran atau Guru Besar. Sekolah-sekolah ini sudah tentu mempunyai corak pentadbiran yang berbeza antara satu dengan lain. Sesetengah dari sekolah itu merupakan pusaka yang diwarisi dari bapa atau datuk kepada anak atau cucu maka kuasa pentadbiran sekolah itu dianggap sebagai harta warisan yang tidak boleh diserahkan kepada orang lain.

  4. Sikap fanatik setengah golongan mereka yang bertanggungjawab mengenai pelajaran Islam di negeri terhadap sistem pelajaran yang dijalankan di sekolah menengah Agama/Arab di negeri itu. Mereka menganggap bahawa sistem mereka sajalah yang terbaik dan memandang rendah terhadap sistem pelajaran yang lain.

  5. Rasa bangga dan megah setiap negeri kerana mempunyai sekolah-sekolah Agama/Arab ternama di negeri masing-masing. Kadang-kadang rasa bangga ini hanya di peringkat rasmi sahaja. Maka mereka berusaha mengekalkan kedudukan sekolah-sekolah itu seperti keadaannya yang ada sebagai lambang kemegahan negeri itu.

  6. Perbezaan pendapat dan pandangan terhadap falsafah dan matlamat pengajaran Islam, melahirkan perbezaan tujuan dan matlamat yang dititikberatkan oleh sesebuah sekolah itu. Ada yang berqiblatkan ke Timur Tengah, ke Nilam Puri, ke Kolej Islam Kelang dan seterusnya ke Universiti Kebangsaan atau Universiti-universiti tempatan yang lain, ke India dan sebagainya.

Demikianlah di antara lain faktor-faktor mengapa sekolah-sekolah Agama/Arab di tanahair kita hingga ke hari ini tidak dapat disatukan. Sebelum sesuatu langkah atau usaha ke arah penyelarasan dan penyatuan sistem pentadbiran sekolah-sekolah Agama/Arab di seluruh Malaysia dijalankan, terlebih dahulu hendaklah diatasi segala masalah dan halangan yang tersebut di atas tadi.

  1. Kesan-kesan dari sistem pentadbiran dan pelajaran yang tidak selaras

  1. Dalam negara Malaysia yang merdeka dan mengakui Agama Islam sebagai agama rasmi adalah satu perkara yang tidak wajar membiarkan pencinta-pencinta agama mempelajari Agama Islam dalam keadaan yang tidak tersusun. Mereka adalah juga warganegara yang ingin mendapat pelajaran dan pendidikan yang sempurna sesuai dengan kehendak agama, masyarakat dan negara. Mereka ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa pembelaan tetapi malangnya gejala ini masih berterusan walaupun negara kita sudah sekian lama merdeka. Keadaan terbiar ini berlaku disebabkan sikap suka bersendirian yang wujud di kalangan pendokong-pendokong sekolah-sekolah Agama/Arab di tanahair. Mereka lebih senang mengendalikan sekolah-sekolah masing-masing mengikut kemahuan dan corak tersendiri. Dengan itu, setiap sekolah terpaksa berjuang bersendirian untuk "survival"nya. Oleh kerana suara teriakan (Kalau ada) dilaung secara tidak majmuk maka suara-suara itu berlalu begitu tanpa mendapat perhatian yang sewajarnya dari masyarakat dan pemerintah. Laungan seperti ini tidak mempunyai daya pendesak yang kuat tetapi jika semua sekolah Agama/Arab itu di bawah suatu organisasi yang satu dan kuat maka perjuangannya akan lebih kuat dan akan lebih mendapat perhatian dari orang ramai.

  2. Dewasa ini Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan telah wujud di merata tempat di tanahair hatta di tempat-tempat di mana kecenderungan masyarakat terhadap sekolah Agama/Arab masih tebal. Oleh kerana sistem pentadbiran dan jaminan hidup di Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan itu tersusun baik, ini menarik minat orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka ke situ. Tambahan pula kemasukan murid dari sekolah rendah ke sekolah tersebut adalah secara automatik Ini dengan sendirinya menggugat kedudukan sekolah-sekolah Agama/Arab dari segi minat orang ramai dan pelajar terhadapnya. Mereka memandang rendah dan lekeh terhadap sekolah Agama/Arab. Dengan ini, sekolah-sekolah Agama/Arab hanya akan menjadi tempat tumpuan (sebahagian besarnya) kepada pelajar-pelajar yang tercicir, yang miskin atau yang tidak mempunyai harapan untuk berjaya. Hanya sebahagian kecil sahaja yang memasuki sekolah Agama/Arab itu dengan kemahuan dan kecenderungan serta persediaan yang cukup. Tidak dapat dinafikan memang ada golongan ibu bapa yang berdaya yang mempunyai kecenderungan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Agama/Arab tetapi kecenderungan itu terpaksa diketepikan kerana keadaan sekolah-sekolah Agama/Arab yang tidak meyakinkan mereka. Justeru itu, tidak hairanlah jika kita dapati hari ini banyak sekolah Agama/Arab yang terpaksa gulung tikar kerana tidak ada sambutan dari orang ramai. Apakah kita rela hidup dengan kebisuan, sanggup berputih mata melihat segala-galanya itu berlaku di hadapan mata kepala kita sendiri?

  3. Ketidak selarasan dalam sistem pentadbiran dan pelajaran sekolah-sekolah menengah Agama/Arab menyebabkan tidak dapat dibuat penilaian yang sewajar terhadap mutu pengajian dan pencapaian pelajar serta status persekolahannya. Keadaan ini menyulitkan pihak-pihak yang tertentu untuk memberi penilaian akademik dan ekonomi yang wajar kepada keluaran sekolah-sekolah tersebut. Oleh itu, jaminan hidup masa depan mereka dalam keadaan yang meragukan. Sungguhpun pada masa ini setengah dari syahadah yang dikeluarkan oleh sekolah-sekolah itu seperti Syahadah Rabi' Thanawi diberi penilaian ekonomi yang agak memuaskan tetapi kita ragu apakah penilaian ini akan berlanjutan selama-lamanya atau itu hanya sebagai langkah sementara sahaja atas desakan-desakan politik dan keperluan semasa. Lagipun Syahadah Rabi' Thanawi itu sendiri sekarang ini diragui mutunya kerana tidak ada suatu pengukuran yang tertentu mengenainya. Setiap sekolah mendakwa ianya mengeluarkan Syahadah Rabi' Thanawi atau yang setanding dengannya. Sedangkan isi pengajarannya tidak sama antara satu dengan yang lain.

  4. Oleh kerana tidak ada penyelarasan pentadbiran maka setiap sekolah atau Lembaga Pelajaran Agama Negeri menyusun sukatan dan kurikulum sendiri mengikut kecenderungan dan kemampuan tenaga pengajarnya dengan tidak menghiraukan keperluan masyarakat dan perkembangan semasa. Kemudian, perjalanan pelajaran itu pula berjalan tanpa mendapat apa-apa kritik dan penilaian.

  5. Tidak adanya penyatuan pentadbian sekolah-sekolah menengah Agama/Arab secara tidak langsung memberi tanggapan kepada setengah pihak akan kelemahan kita ummat Islam terutama di negara ini dalam mengendalikan soal-soal pelajaan dan pendidikan Islam yang menajdi teras keapda kemajuan bangsa dan negara. Juga mencerminkan perpecahan ummat Islam dalam aspek yang amat penting itu. Keadaan ini jika dibiarkan boleh dieksploitasikan oleh pihak musuh Islam dengan mendakwa bahawa Agama Islam itu sendiri lemah tidak boleh dijadikan kuasa penggerak ke arah kemajuan dan persatuan.

Setelah meneliti perkara-perkara yang tersebut di atas maka pada hemat kami tidak sewajarnyalah keadaan sekolah menengah Agama/Arab itu dibiar berjalan bersendirian dalam keadaannya hari ini baik di peringkat negeri atau tempatan. Masanya sudah tiba bahawa sekolah-sekolah ini wajib disatukan di bawah satu sistem pentadbiran kebangsaan yang menyeluruh dan meliputi semua sekolah Agama/Arab di tanahair. Dengan adanya penyatuan ini, pandangan dan penilaian masyarakat umum terhadap sekolah-sekolah Agama/Arab akan bertambah tinggi sebagai sebuah institusi pelajaran yang setanding dengan yang lain yang dapat menyediakan warganegara yang dapat memenuhi kehendak bangsa dan keperluan negara. Kepercayaan dan penghargaan mereka kepada sekolah-sekolah agama akan bertambah yakin dan dengan itu ramailah di antara mereka yang bersedia untuk menghantar anak-anak mereka sekolah-sekolah itu.

Apabila pentadbiran sekolah-sekolah menengah Agama/Arab di seluruh Malaysia diletak di bawah sistem pentadbiran yang satu maka dengan sendirinya segala hal yang lain bersangkutan dengan perjalanan dan kemajuan sekolah-sekolah itu dapat diselaraskan seperti syahadah, buku teks dan sebagainya.

  1. Cadangan

Oleh kerana sekolah-sekolah menengah Agama/Arab di setiap negeri termasuk di bawah kuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan maka untuk mencapai cita-cita ke arah penyatuan pentadbiran sekolah-sekolah tersebut adalah dicadangkan :

1.1 Ditubukan sebuah "Lembaga" di peringkat kebangsaan yang bertanggungjawab tentang pengajaran dan pendidikan Islam di seluruh Malaysia.

1.2 "Lembaga" ini hendaklah ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan bertanggungjawab secara langsung kepad Majlis itu.

1.3 Anggota "Lembaga" ini terdiri dari :

1.3.1 : Wakil kerajaan-kerajaan negeri

1.3.2 : Wakil Majlis-Majlis Agama Islam

1.3.3 : Wakil Yayasan-Yayasan Pelajaran Tinggi

1.3.4 : Wakil Kementerian Pelajaran

1.3.5 : Pakar-pakar pelajaran dan pendidikan yang difikir munasabah

1.3.6 : Nama Lembaga ini dicadangkan seperti berikut :

"Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Pelajaran dan Pendidikan Islam di Malaysia".

  1. Sebagai langkah pertama ke arah penubuhan "Lembaga" yang dicadangkan itu maka hendaklah ditubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bertugas menjelajah ke seluruh negeri di Malaysia bagi memenuhi pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenai sekolah-sekola menengah Agama/Arab untuk mendekatkan dan menyatukan fikiran dari setiap negeri terhadap konsep penyelarasan dan penyatuan pentadbiran sekolah-sekolah tersebut.

2.1 Bagi menjalankan perkara 2 di atas, Fakulti Pengajian Islam adalah difikir paling layak untuk memikul tanggungjawab itu, memandangkan kepada kemudahan-kemudahan dan keahlian yang ada di dalamnya.

 


Disediakan oleh :

Dr. Abdul Hamid Othman

Zainal Abidin Hj Ab. Kadir

Haji Abdul Aziz Andek Achok

Oktober 1976