Hikmah Ibadah Haji
Di antara hikmah-hikmah
Haji yang kalau dicungkil akan terbuka seribu satu rahsia yang maha
agung disebalik perintah Haji adalah:
- Ihram, dengan
niat menunaikan haji dan meninggalkan larangan-larangan yang
berkaitan dengannya (berihram) setelah memakai pakaian ihram.
Hikmah memakai Ihram itu adalah seseorang yang menunaikan Haji dan
umrah adalah orang yang datang menyahut panggilan Allah. Ianya harus
dilakukan dengan khusyuk dan tawaduk serta menyerah diri kepada
Allah seperti mayat (yang dikapankan dengan kain putih). Menyedari
hakikat tersebut, manusia ini yang sebenarnya adalah sama di sisi
Allah. Dan nilai yang dipandang oleh Allah bukan hartanya atau
perhiasan zahirnya tetapi kebersihan hati dan taqwa.
- Wuquf,
yakni diam di padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah hingga terbit
fajar 10 Zulhijjah
Wukuf di Arafah adalah perhimpunan manusia dari seluruh dunia ke
padang yang satu. Dibawah terik matahari, tiada daya dan upaya
melainkan mengharapkan keredhoaan Allah. Perhimpunan jutaan manusia
itu adalah gambaran tentang perhimpunan yang bakal di hadapi oleh
setiap manusia bagi menghisab amalan diri di Padang Makhsyar kelak.
Oleh itu hisablah diri kita dan bertaubat di atas dosa-dosa kita,
sebelum Allah pamirkan dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di
Padang Makhsyar.
Ada pendapat yang mengatakan perkataan Arafa itu adalah berasal dari
pertemuan Nabi Allah Adam a.s dan isterinya Siti Hawa yang telah
dipindahkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya bertemu di lembah
yang dikenali sekarang ini dengan Padang Arafah. Ada ulama yang
mengatakan ianya berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim
dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s yang telah
lama berpisah. Sebahagian ulama berpendapat, perkataan Arafa itu
adalah hasil dari kefahaman Nabi Allah Ibrahim yang telah memahami
perintah Allah yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih
puteranya, Ismail. Kerana itu Hari wukuf di Arafah itu di kenali
sebagai Hari Tarwiyah iaitu hari renungan. Ini adalah kerana Ibrahim
a.s merenung kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya
baginda faham (Arafa).
- Bermalam di
Mudzalifah, sepulangnya dari Arafah ke
Mina Mudzalifah adalah tempat persinggahan Rasulallah dalam
perjalanannya dari Arafah ke Mina. Menurut riwayat Rasulallah
mendirikan sembahyang sunat dua rakaat sesudah tengah malam di
Mudzalifah. Untuk menghayati Sunnah rasul itulah, setiap jamaah haji
diwajibkan untuk bermalam di Mudzalifah. Setengah riwayat mengatakan
bahawa para jamaah sebaik-baiknya berada di sana selepas tengah
malam hingga terbit fajar. Dan selepas sembahyang Subuh barulah
bertolak ke Mina. Tetapi disebabkan terlalu ramai manusia yang
hendak bermalam di Mudzalifah, jangka waktu sejenak sudah dianggap
memenuhi kewajipan tersebut.
Di dalam Al Quran Allah menyebutkan di dalam surah Al Baqarah, ayat
198 : " Tidak mengapa kamu mencari anugerah tuhanmu. Maka
apabila kamu meninggalkan Arafah, sebutkanlah nama Allah di Mas'aril
Haram, Ingatlah akan nikmat-nikmatNya kerana Dialah yang telah
memberikan petunjuk kepada kamu, pada hal sebelumnya sebelumnya kamu
adalah orang-orang yang sesat."
Mudzalifah juga di sebut sebagai Masy'ar. Waktu di Mudzalifah adalah
waktu yang diuntukkan agar kita menginsafi diri, bersyukur dan
berzikir kepada Allah s.w.t. Arafah adalah tempat dimana manusia
menimba pengalaman dan ilmu yang melibatkan hubungan sesama manusia
sementara Mudzalifah adalah tempat untuk menyematkan segala
pengetahuan dan pengalaman di Arafah ke dalam lubuk jiwa dan hati.
Di waktu inilah seorang hamba akan bermunajat kepada Allah s.w.t dan
waktu yang paling sesuai adalah sesudah tengah malam.
- Bermalam di
Mina 3 atau 2 malam pada hari-hari
Tasyrik. Bermalam di Mina pada hari Nahar dan hari-hari Tasyrik
adalah untuk melahirkan rasa syukur ke atas nikmat-nikmat yang telah
Allah anugerahkan pada pengetahuan dan pengalaman semenjak dari
lahir sehingga di jemput oleh Allah menjadi tetamunya (Haji). Dan
pada hari-hari tersebut, di sunatkan menyembelih korban sebagai
tanda kesyukuran dan mengikuti sunnah yang telah dianjurkan.
- Melontar
jamrah di Aqabah pada tanggal 10 Zulhijjah
dan jamrah ketiga-tiganya pada hari Tasyrik.
Kewajipan utama jamaah Haji di Mina adalah melontar di tiga buah
Jamrah. Jamrah ertinya lontaran atau batu-batu lontaran yang sudah
dibawa oleh setiap jamaah dari Mudzalifah sejak tengah malam yang
baru lalu.
Lontaran pada ketiga-tiga Jamrah itu adalah simbolik terhadap
perjuangan Nabi Allah Ibrahim yang digangu Iblis semasa hendak
menyembelih puteranya Ismail. Lalu dibaling oleh Nabi Ibrahim a.s
dengan batu berulang-ulang kali. Kemudian Iblis mengganggu
puteranya, Ismail a.s agar mengingkari perintah Allah s.w.t tetapi
berjaya ditentang dan akhirnya Iblis pergi kepada Siti Hajar untuk
menghasutnya agar memarahi perbuatan Nabi Ibrahim yang telah
diperintah Allah, tetapi tidak juga berjaya. Maka apabila tiba saat
penyembelihan itu, Allah telah tukarkan Nabi Ismail dengan seekor
kibasy. Dan sujudlah mereka sebagai tanda kesyujuran. Itulah
pengobanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail di
dalam mentaati perintah Allah. Maka pengorbanan itulah yang perlu
diambil iktibar dan pelajaran. Dan sewaktu membaling itu,
buangkanlah segala syahwat dan nafsu yang ada di dalam diri kita itu
agar kita dapat menempuh jalan menuju kepada Allah s.w.t dengan
penuh ketaqwaan.
- Tawaf
, iaitu Tawaf haji yang disebut juga tawaf Ifadhah
Para Malaikat melakukan Tawaf dilangit mengelilingi sebuah binaan
yang dinamakan " Baitul Makmur ". Baitul Makmur itulah
tempat para Malaikat di langit bertawaf memuji dan mengesakan Allah.
Selain para Malaikat di langit, ada juga para Malaikat yang bertugas
di bumi, maka Allah telah memerintahkan para Malaikat di bumi
mendirikan sebuah binaan yang sama fungsinya dan sejajar dengan
Baitul Makmur di langit sebagai tempat tawaf para Malaikat di bumi.
Dan didirikanlah sebuah binaan menurut perhitungan para Malaikat
bersententangan dengan Baitul Makmur di langit dan dikatakan itulah
kawasan Baitullah di Kota Makkah yang ada pada hari ini.
Apabila Adam a.s dan isterinya Siti Hawa diturunkan ke bumi, beliau
telah menjelajah sehingga ke Kota Makkah dan dengan panduan Malaikat
Jibril, Nabi Adam dan isterinya diperintahkan membangunkan Baitullah
ditempat para Malaikat melakukan tawaf dan mendirikan bangunan
(menurut perhitungan malaikat). Maka bertawaflah Nabi Adam di
sekitarnya. Apabila diperintahkan Nabi Allah Ibrahim membangunkan
semula binaan yang pernah dibangunkan oleh Nabi Adam a.s, maka
Ibrahim diperintahkan bertawaf mengelilinginya.
Andaikata Kaabah diumpamakan seperti matahari, maka arus manusia
yang mengelilinginya sama seperti planet yang mengelilingi matahari
pada tiap-tiap orbitnya. Maka persamaan diantara aliran Tawaf
manusia mengelilingi Kaabah dan tawaf (orbit) planet-planet
mengelilingi matahari tentunya mempunyai hikmah yang besar. Mereka
sama-sama bergerak melawan jarum jam (anti clock wise).
- Sa'ie,
iaitu berjalan atau berlari anak antara bukit Safa dan Marwa Sa'ie
di antara Safa dan Marwa adalah imbasan peristiwa Siti Hajar yang
sedang kehausan dan mencari air untuk anaknya Ismail yang masih
kecil. Bayangkan betapa cemasnya perasaan seorang ibu yang
ditinggalkan berseorangan dengan bayinya dalam keadaan yang tidak
mempunyai apa-apa di tengah padang pasir. Inilah ujian dan
pengalaman yang ditempuhi oleh Siti Hajar dan pada hari ini, manusia
berjalan di antara Safa dan Marwa di atas rasa yang sama iaitu
mengharapkan hanya Allah tempat mengadu dan bersabar di atas
penderitaan yang menjadi ujian kepada kita di dalam kehidupan di
dunia.
- Tahallul,
iaitu mengakhiri ihram dengan menggunting rambut atau lainnya
Apabila segala rukun dan wajib haji telah disempurnakan, maka
hendaklah kita bermohon agar Allah menerima amalan-amalan Haji kita.
Bertahalul ertinya membebaskan diri daripada segala pantang larang
ihram. Apabila manusia bertaubat, melakukan ketaatan melalui ibadah
Haji dan mengenali hakikat diri, maka jadilah manusia itu seperti
baru dilahir dan bersih daripada dosa.
|