WARKAH DARI PENJARA

SALAM REFORMASI

5 Nov 98

Seruan meneruskan REFORMASI kian merebak dikota dan didesa. Demonstrasi aman, penyebaran maklumat dan penerangan kepada rakyat diteruskan. Melihatkan meledaknya semangat rakyat mara, maka Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad kian goyah dan gelisah. Laksana nakhoda tenat menghadapi gelombang, beliau dengan cara ganas dan kasar sekali cuba mengemudi bahtera. Dengan dukungan setia tanpa bicara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nur menerima arahan dan terus membelasah siapa sahaja, mengharamkan perhimpunan, melarang ceramah - yakni melakukan apa jua bagi menggagalkan agenda reformasi!

Sayugia diingat wahai Memanda Perdana Menteri, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis adalah senjata menjamin keamanan dan keselamatan negara; bukannya perkakas yang boleh dimenfaatkan sewenang-wenang untuk mempertahankan kedudukan peribadi, kepentingan keluarga atau kekayaan yang dipunggah secara haram dari rakyat. Kini, penagkapan dilakukan terhadap siapa sahaja yang berani menegur dan mengkeritik Perdana Menteri, rasuah dan kerakusan kuasa beliau. Jentera polis kini merupakan satu-satunya kekuatan yang wujud bagi mengawal kedudukan Dato Seri Dr. Mahathir. Rakyat umumnya kian muak dengan celoteh dan leteran beliau.

Gerakan Reformasi cuba disamakan, sinonim dengan komunis atau penjenayah. Saya ulangi bahawa ISA tidak boleh digunakan untuk mematahkan semangat perjuangan Reformasi. Bahkan ISA sendiri merupakan undang-undang warisan penjajah yang usang, senjata ampuh menekan dan menindas perjuangan rakyat. Dato Seri Dr. Mahathir hanya bertahan dengan menggunakan senjata penjajah : ISA, ugutan dan menakut-nakutkan rakyat. Bahkan media cetak dan letronik milik kerajaan digunakan sebagai alat propaganda murahan, memperbodoh rakyat. Sebahagian dari pengarang bukan
sekadar dipaksa atau diugut bahkan bersekongkol dengan penguasa kaya yang rasuah dan mendapat habuan langsung. Rakyat umumnya lebih pintar dan celik dari apa yang dijangkakan olih golongan kecil pimpinan negara. Justeru itu, mereka memilih Internet dan Harakah umpamanya dari media
propaganda tanpa etika.

Soalnya, mengapa gerun dan gusar dangan Reformasi? Pertama, kita menuntut islah - pembaharuan secara aman. Hurmati keluhuran undang-undang; jangan peralatkan jentera perundangan dan badan kehakiman bagi memenuhi agenda peribadi atau politik. Pertahankan hak dan kebebasan rakyat, bersuara, berpersatuan dan tidak mengugut dan menindas sebarangan. Kedua, hapuskan rasuah dan penyelewangan dari kalangan yang menggunakan kuasa dan kedudukan mengaut keuntungan, merompak hak rakyat, memperkayakan golongan kecil dan mempapakan negara! Khazanah negara harus diagih dengan saksama dan bukannya digondol sebanyak mungkin utk keluarga sendiri dan suku-sakat (kroni).

Utamakan kepentingan rakyat, yang berpendapatan rendah dan sederhana dikalangan semua kaum. Ketiga, peliharalah keutuhan agama, muliakan ulamanya, pupuk akhlak dan etikanya. Tidak akan terdapat keberkatan dari sikap gelojoh dan rendah akalbudi yang membelakangkan prinsip akhlak dan tuntutan agama. Dengan mempertahankan nilai murni ialah dapat dipupuk perpaduan antara kaum dan agama berdasarkan prinsip karamah insaniyah.

Nyata sekali, yang merasa tergugat dan cemas dengan Gerakan Reformasi ialah manusia kejam dan rakus; rasuah dan menyeleweng, rendah moral dan tidak menjiwai prinsip keadilan! Mudah-mudahan kita terhindar dari sifat keji dan jelek itu.

Lantaran itu, sementara saya menjadi mangsa kezaliman, merengkok dipenjara Sg. Buloh dengan pagar besi berduri; saya akan terus berdoa kehazrat Allah swt dan menyeru kepada saudar-saudari : Jangan benarkan diri dan keluarga dari terperangkap menjadi mangsa penipuan media propaganda murahan, tekanan dan ugutan. Percayalah, tidak ada kuasa yang mampu menahan kemaraan tuntutan rakyat. Sejarah menunjukkan diktator gagah dengan segala balatentera dan khazanah akhir ditumpaskan juga. Kekayaan yang dikaut secara haram tidak kekal atau dapat ditelan selesa
oleh suku-sakat yang akan berhadapan dengan berang rakyat.

Istiqamahlah, teguhkan tekad dan teruslah berjuang menyalakan obor Reformasi ! Pertahankan maruah diri dan keluarga serta masa depan anak bangsa dari terus dinodai. Sebarkan maklumat seluas mungkin - ditempat kerja, kilang, sekolah, kawasan perumahan, setinggan dan didesa.
Buktikan bahawa anak Malaysia mampu berjuang dengan semangat waja - tanpa diupah atau dipuja - untuk REFORMASI !

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu dan salam sejahtera.

Anwar Ibrahim
Bilik kurungan (Lokap)
Mahkamah, K. Lumpur