MAJLIS SYURA ULAMA' KEDAH
 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamu 'alaikum wrh wbt.

Kepada Seluruh Kaum Muslimin dan Muslimat

PENDIRIAN ULAMA' TERHADAP KRISIS UMAT MASA KINI

Segala puji bagi Allah S.W.T Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengetahui hati dan lintasan fikiran hambaNya yang soleh mahupun mereka yang jahat, Yang amat teiliti tentang segala tingkahlaku serta amalan hambaNya, samada amalan yang ma'ruf mahupun yang mungkar, Yang memelihara kemuliaan dan melindungi ugamaNya dari sebarang rancangan dan konspirasi jahat
musuh-musuh yang berkomplot dan Yang melindungi hambaNya yang soleh dari rancangan jahat golongan kafir dan munafiq.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Rasulullah s.a.w yang diberi petunjuk dan kekuatan iman, taqwa dan ruhul-jihad untuk menegakkan yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan menegakkan kalimah Allah.

Kami dengan penuh khusyuk dan rendah diri, setelah mengamati dan mempertimbangkan perkembangan kepimpinan umat yang sedang dilanda krisis yang amat genting dan runcing, menegaskan pendirian kami untuk pengetahuan semua pihak, pemerintah dan rakyat. Media dan anggota birokrasi kerajaan
yang diamanah menjaga amanah rakyat.

Bahawa melihat kegawatan kepimpinan yang semakin runcing adalah berpunca dari segala fitnah yang amat berat serta pendekatan mengaibkan seseorang pemimpin secara yang tidak dibenarkan oleh syara' telah dilakukan oleh golongan yang membolot kuasa.

Bahawa orang yang dituduh, walaupun belum didakwa, telah dihukum bersalah dan diaibkan secara terbuka oleh seorang pemimpin tertinggi negara melalui eksploitasi kuasa, jentera kerajaan dan media.

Bahawa suatu komplot telah berlaku untuk menghalang seorang pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat bawahan, menyekat perbelanjaan perbendaharaan negara secara tidak mengikut prosedur, menyekat segelintir individu untuk membolot kekayaan negara, memastikan undang-undang tidak disalah guna, menentukan amalan diperangi habis-habisan, menentukan keburukan akhlak
pemimpin dibenteras.

Bahawa pihak media telah dieksploitasi secara paling berat sebelah dan tidak beretika dalam membantu menghukum seorang pemimpin yang belum lagi dibicara dimahkamah secara adil.

Bahawasanya pihak berkuasa telah bertindak keterlaluan, kasar, mengugut dan tidak bertanggungjawab dalam menyekat rakyat menyuarakan pandangan mereka sehingga undang-undang diguna secara tidak bijak dan tidak berperikemanusiaan.

Maka kami dengan ini menyatakan pendirian kami dalam hal tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dalil-dalil syara' yang perlu dihormati semua pihak iaitu:-

1.      Menuduh orang yang bersih dengan tuduhan terutama tomahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh adalah diharamkan secara tegas oleh Islam.(Ruj: Al-Quran, Surah Al-Ahzab : 58; Surah An-Nur :23-25; Surah An-Nur :11-13)

2.      Menjadikan saksi dari kalangan pelacur seperti yang digunakan oleh Perdana Menteri sebagai bukti beliau bahawa Datuk Seri Anwar telah melakukan zina adalah tertolak oleh syara berdasarkan nas A-Quran, (Surah An-Nur : 4-5)

3.      Megaibkan orang secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri terhadap Datuk Seri Anwar adalah dilarang oleh Islam seperti yang telah berlaku apabila Rasulullah s.a.w menyatakan kepada Ma'iz yang mengaku berzina "Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untuk mu" serta sabdanya yang lain "seluruh umatku akan memperolehi pengampunan, kecuali
orang yang suka menyebarkan aib orang lain"

4.      Tuduhan Perdana Menteri mengenai terhadap Datuk Seri Anwar, tidak diperkukuhkan dengan bukti mengikut kaedah syara' yang memerlukan empat orang saksi yang adil, tepat dan tidak berkepentingan dengan tomahan dan melihat sendiri tertuduh sedang melakukan perbuatan tersebut. Malah syara' menetapkan jika sipenuduh gagal gagal menampilkan saksi sedemikian maka
ia (sipenuduh) akan dihukum dengan 80 kali sebatan rotan. Al-Quran menetapkan kaedah itu melalui surah An-Nur 4-5.

5.      Datuk Seri Anwar berhak membela diri dari tuduhan yang telah ditohmah keatasnya secara meninggikan suara dalam menyuarakan kebenaran. Ini dinyatakan sebagai satu keistimewaan untuk melindungi kehormatan dan maruah diri seperti yang difirmankan Allah S.W.T, dalam Al-Quran, surah An-Nisa : 148. Tiada boleh barangsiapapun mencegah atau melarang orang yang dituduh
daripada membela dirinya.

Kami juga dalam isu tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar, meneliti bahawa ia kini amat berkait isu kesinambungan masadepan kepimpinan umat Islam. Lantaran masadepan kepimpinan umat kini telah dilanda krisis yang amat parah, kami menetapkan:-

I.      Seluruh masyarakat Islam perlu kembali teguh berpaut kepada perintah Allah S.W.T yang menegaskan: Terjemahan : "dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai"(Surah Ali-Imran :103)

II.     Seluruh masyarakat Muslim  wajib menolong orang yang dizalimi dari terus dianiaya oleh orang yang mengzalim tanpa mengira darjat atau pangkat penzalim.

III.    Setiap organisasi Islam hendaklah berusaha agar kepimpinan gerakan Islam dinegara ini dilindungi dari komplot jahat kelompok berkepentingan dan memusuhi gerakan Islam daripada skima mereka untuk menghancurkan peribadi pemimpin Islam melalui penyebaran fitnah.

IV.     Seluruh umat Islam perlu bangun dan menyatakan pendirian menentang kezaliman dan ketidakadilan secara berani serta tegas.

V.      Pihak kerajaan hendaklah memberhentikan tindakan penahanan dibawah ISA dan membebaskan tahanan yang dikaitkan dengan isu Datuk Seri Anwar.

VI.     Pihak berkuasa perlu membawa perbicaraan Datuk Seri Anwar dalam hal tuduhan zina dan liwat melalui perbicaraan mahkamah syariah kerana sememangnya terdapat peruntukan yang memberi bidang kuasa kes tersebut dibicara dalam mahkamah syariah dan bukan mahkamah sivil.

VII.    Pemerintah yang berlaku tidak adil dalam menuduh seseorang, melengah-lengahkan perbicaraan, menghukum sebelum perbicaraan bermula, serta menghalang hak rakyat untuk mendapat maklumat yang benar perlu dipersoalkan kembali mandat kepimpinan yang diberi oleh rakyat. Jika
keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan sudah luntur, umat perlu menyatakan pendirian bahawa suatu pemilihan kepimpinan yang baru perlu dilaksanakan.

VIII.   Mengingatkan umat Islam bahawa kepimpinan negara tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan mereka yang mencemburui dan memusuhi gerakan Islam. Oleh itu usaha mengembalikan kekuatan dan kewibawaan kepimpinan Islam hendaklah dilancarkan.

IX.     Seluruh rakyat Islam perlu bertindak secara teliti menyemak semua propaganda palsu serta menyaring maklumat-maklumat media yang nyata amat cenderung untuk terus menghina dan meragui kepimpinan peribadi Islam yang difitnah dan dihukum secara paling tidak adil.

X.      Menuntut kerajaan agar suatu Badan Penyiasat Berkecuali (Suruhanjaya Siasatan Khas) ditubuhkan yang tidak boleh dipengaruhi oleh pujukan atau ugutan oleh penguasa atau ganjaran atau ancaman daripada pemerintah dalam hal pendedahan Datuk Seri Anwar bahawa ujud konspirasi politik untuk menjatuhkannya.

Sekian.
 

* Pendirian ini telah ditaip semula daripada salinan faks yang diterima.
Sila perbanyakkan dan edarkan kepada masyarakat umum.