Keistimewaan
Tun Dr Mahathir bin Mohamad adalah seorang pemikir dan revolusiner.
Di bawah pentadbirannya negara telah melalui suatu proses transformasi
yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Tun Dr Mahathir bin Mohamad
mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan rakyatnya mampu bersaing
di peringkat global.
Hasratnya dijelaskan dalam apa yang dinamakan Wawasan 2020 yang beliau
utarakan pada 28 Februari 1991 dengan bermatlamatkan "ke arah pembentukan
sebuah negara yang benar-benar maju dalam segala bidang secara seimbang
meliputi ekonomi, politik sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan".
Tun Dr Mahathir bin Mohamad memperkenalkan konsep Persyarikatan Malaysia
di mana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyat adalah
pekerja dan pemegang saham. Ini meningkatkan lagi prestasi pekerjaan,
pendapatan serta imej negara. Di antara langkah-langkah ke arah mencapai
sistem ekonomi perindustrian ini adalah pembangunan sektor industri
berat. Salah satu kejayaan industri ini ialah pengeluaran kereta nasional
yang kini merupakan kereta yang paling laris di Malaysia (Kereta import
dikenakan cukai 100%). Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga meningkatkan
penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan
dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad(PNB) dan Amanah Saham Nasional
serta Amanah Saham Bumiputera. Harapan Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad
adalah menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun
2020.
Wawasan 2020 adalah satu penyataan cita-cita. Bagaikan seorang artis,
Tun Dr Mahathir bin Mohamad menampilkan satu falsafah yang murni yang
kemudiannya disusuli dengan keindahan perlaksanaan. Matlamatnya ialah
pembangunan yang berwajahkan kemanusiaan dengan persekitaran yang seimbang.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad
tidak pernah letih memperkenalkan perubahan. Langkah awalnya setelah
menjadi Perdana Menteri ialah memperkemaskan jentera kerajaan dengan
menggerakkan kempen 'Bersih - Cekap - Amanah' dan 'Kepimpinan melalui
teladan' ke arah menerap nilai kebertanggungjawaban dan etika murni
dikalangan kakitangan awam khususnya dan masyarakat amnya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga menampilkan 'Dasar Kependudukan 70
juta' ke arah menjadikan Malaysia mempunyai pasaran dalam negara yang
mampu menyokong pengeluarannya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga tidak lupa menerapkan unsur-unsur Islam
dalam pentadbiran. Kempen peningkatan 'Daya Pengeluaran Negara' juga
dianjurkan begitu juga dasar 'Penerapan Nilai-nilai Islam' sebagai satu
wadah menerapkan budaya kerja yang selari dengan ajaran Islam. Selain
itu dibawah kepimpinannya, tertubuhlah Universiti Islam Antarabangsa
yang dicetuskan oleh timbalan Perdana Menteri, Anuwar Ibrahim, dan Bank
Islam. Sejak itu, Malaysia diberi penghormatan dan kepercayaan untuk
mengendalikan persidangan-persidangan bertaraf antarabangsa seperti
PATA, CHOGM, Kumpulan Selatan dan kini Sukan Commonwealth 1996.
Dr. Mahathir adalah seorang yang menjaga waktunya, sehubungan itu beliau
telah menukar waktu negara dengan mempercepatkan setengah jam di Semenanjung
agar selaras dengan Sabah dan Sarawak sebagai satu usaha integrasi nasional.
Dalam proses itu Singapura telah diyakinkan untuk turut serta.
Beliau tidak gentar dengan kontroversi dan pernah menggemparkan hubungan
baik diplomatik Malaysia-British dengan mengamalkan dasar 'Buy British
Lasts" sebagai satu tindak balas di atas sikap London yang mendiskriminasikan
kepentingan Malaysia.
Beliau kemudiannya memperkenalkan 'Dasar Pandang Ke Timur' dengan menjadikan
budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea sebagai suatu yang harus diteladani
oleh rakyat demi meningkatkan produktiviti serta menyemai etika kerja
professional.
Program pengswastaan mula diketengahkannya pada tahun 1983 sebagai satu
usaha mengurangkan beban kewngan kerajaan dalam menjana projek-projek
pembangunan. Pengswastaan terhadap entiti kerajan juga digerakkan agar
organisasi yang diswastakan lebih cekap. Pengswastaan melibatkan pemindahan
kuasa kawalan, kepentingan ekuti dan pelaburan kerajaan yang tertentu
kepada sektor swasta. Penswastaan terhadap industri perkhidmatan juga
diperkenalkan demi mempertingkatkan mutu khidmat kemudahan awam supaya
lebih selesa.
Sealiran dengan dasar itu beliau menampilkan 'Dasar PengsyarikatanMalaysia'
yang bertujuan menjana kerjasama antara sektor awam dan swasta agar
kedua-duanya bekerja sebagai rakan kongsi dalam pembangunan.
Dalam memperhebatkan eksport negara, Dr. Mahathir memperkenalkan 'Sogossosha
Malaysia' yang diceduk dari versi Jepun yang bertujuan menjadikan syarikat-syarikat
Malaysia berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan penyatuan sumber
dalam usaha meluaskan pasaran produk Malaysia.
Dalam usaha ke arah membina negara maju proses industrialisasi adalah
sesuatu yang wajib. Sehubungan itu beliau telah melancarkan 'Dasar Perindustrian
Negara' yang bertujuan mengorentasikan kegiatan ekonomi Malaysia kepada
eksport barangan industri demi mengurangkan pergantungan ekonomi terhadap
komoditi dan seterusnya mempertingkatkan teknologi negara melalui pemindahan
teknologi. Melalui dasar ini HICOM, Perwaja dan beberapa kilang berkapasiti
tinggi telah diwujudkan. Hasil dasar ini maka lahirkan kereta nasional
'Proton Saga'. Sejak itu Malaysia menjadi pemain yang aktif dalam industri
otomobil dengan mengeluarkan van 'Rusa' dan motosikal ;Kriss' dan menjadi
pengeksport kereta yang berdaya maju.
Tidak cukup dengan dengan membuat kereta, beliau juga menggerakkan projek
litar Formula 1 yang bakal menjadikan Malaysia salah satu destinasi
grand prix dunia. Negara juga menaja pasukan formula 1 Stewart. Pada
tahun 1993 Malaysia terlibat dalam bidang pengeluaran pesawat terbang
ringan 'Eagles X-TS'.
Belum sempat rakyat mengejar teknologi negara di jalan raya, beliau
telah membawa negara ke angkasa lepas. Beliau mengasaskan Pusat Kajian
Sains Angkasa Lepas dan impiannya terserlah dengan terbinanya Planetarium
Negara yang dilancarkan pada tahun 1994.
Sehubungan itu beliau telah mengilhamkan agar Malaysia mempunyai satelitnya
sendiri. Ini menjadi kenyataan apabila tirai tahun 1995 ditutup dengan
pelancaran MEASAT 1 dan disusuli dengan MEASAT 2 pada Oktober 1996.
Malaysia juga mengalami pembangunan prasarana yang luar biasa pesatnya
di bawah kepimpinan Dr. Mahathir. Projek lebuhraya menghubungkan utara
- selatan dan timur - barat semenanjung telah menjadikan Malaysia negara
yang mempunyai rangkaian lebuh raya antara yang terbaik di dunia. Malaysia
juga melangkah ke era pengangkutan berteknologi tinggi apabila transit
aliran ringan (LRT) diperkenalkan di Kuala Lumpur.
Pada September 1996, kerajaan telah mengumumkan pembinaan bandaraya
pentadbiran persekutuan 'Putrajaya' yang bernilai RM2.6bil. Putrajaya
sebuah bandar pentadbiran terancang mempunyai falsafah murni ke arah
mempertingkatkan produktiviti pentadbiran awam negara dan seterusnya
mewujudkan 'kerajaan elektronik'.
Dalam tahun 1996 Dr. Mahathir melihat satu lagi impiannya menjadi kenyataan
apabila struktur tertinggi di Malaysia menjadi kenyataan. Menara Kuala
Lumpur yang menempatkan pusat transmisi TV dan telefon selular merupakan
manara konkrit yang tertinggi di dunia dan semestinya mercu tanda ibukota
yang paling bergaya dengan ketinggian 451.9 m. Menara ini juga menara
telekomunikasi yang ketiga tertinggi di dunia.
Rekod Malaysia tidak bernoktah di situ sahaja. Dr Mahathir juga mengilhamkan
'Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yakni projek hartanah yang terbesar
di dunia dengan nilai RM 2bil. Bangunan ini merupakan bangunan tertinggi
di dunia dengan 88 tingkat menara berkembar di atas lokasi seluas 40
hektar. Meskipun beberapa sudut dunia bakal menampilkan bangunan yang
lebih tinggi, namun rekod ini akan kekal sebagai menara 'berkembar'
yang tertinggi di dunia bagi abad ke dua puluh dan juga untuk buat beberapa
tahun yang akan datang.
Malaysia pada tahun 2002 dijangkakan mempunyai sebuah empayar hidroelektrik
baru iaitu Empangan Bakun, sebuah projek mega yang bernilai RM20bil.
di Sarawak. Tidak syak lagi, projek ini yang telah diistiharkan sebagai
'projek negara' merupakan projek prasarana yang terbesar di Malaysia
dan bakal dipeta sebagai empangan yang terbesar di Asia.
Menyedari bahawa industri penerbangan awam bukan hanya memerlukan pesawat
terbang canggih tetapi juga lapangan terbang yang serba boleh, Dr. Mahathir
telah menukar kawasan ladang di Sepang kepada tapak Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Lapangan terbang ini akan tampil sebagai
yang tercanggih di rantau ini dengan nilai RM9 bil. Apabila siap sepenuhnya,
ia akan dapat menampung perjalanan 100 juta penumpang setahun dan pastinya
menjadikan Penerbangan Malaysia (MAS) antara yang paling kompetitif
di dunia.
Semua orang tahu Dr. Mahathir mempunyai komputer di pejabatnya, tetapi
tiada siapa yang sangka bahawa beliau akan meletakan paksi dunia komputer
di Malaysia.
Pada tahun 1997, Dr. Mahathir memperkenalkan 'Koridor Raya Multimedia
(MSC)' yang akan menjadikan Malaysia pusat eksperimen pembangunan prasarana
multimedia yang terunggul di dunia. MSC akan menggabungkan semua ruanglinkup
industri teknologi maklumat dalam sebuah persekitaran yang khusus buatnya.
Sehubungan itu sebuah bandar ultra-tekno 'Cyberjaya' akan dibina dan
bakal menjadi satu-satunya bandar siber dunia.
Gagasan MSC akan menempatkan kerajaan e-elektronik dan universiti multimedia
serta menjadi pemangkin kepada perlaksanaan sekolah bestari, tele-perubatan,
kad pintar, pusat pemasaran tanpa bersempadanan serta pusat pengeluar
web sedunia.
Dr. Mahathir juga memberikan penekanan kepada pembangunan akademik.
Malaysia kini menjadi tumpuan bukan sahaja kepada pelajar luar yang
datang menimba ilmu tetapi juga kepada universiti-universiti luar yang
datang untuk menyebarkan ilmu samada dengan membuka cawangan atau mengadakan
program berkembar di sini. Dasar liberalisasi pendidikan yang dilaksanakan
ini bakal mencorakkan Malaysia sebagai pusat pendidikan tinggi di rantau
Asia Tenggara. Tidak setakat pendidikan tinggi, konsep kecermelangan
pendidikan juga akan diterapkan ke peringkat sekolah dengan memperkenalkan
'sekolah bestari' (smart school) yang bakal beroperasi penuh menjelang
tahun 2000.
Dr. Mahathir bukan hanya berusaha membangunkan Malaysia tetapi beliau
juga berusaha membangunkan negara-negara dunia ketiga yang lain. Beliau
menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia melabur ke negara-negara yang
memerlukan pelaburan serta menghulurkan bantuan teknikal kepada negara-negara
yang ketandusan kepakaran. Kini Malaysia merupakan pelabur terbesar
Kemboja dengan RM1bil. Yang kedua terbesar di Vietnam dengan nilai pelaburan
berjumlah RM559 disamping membuat kehadirannya sangat dirasai di Myanmar,
Afrika Selatan, Zimbabwe dan Maldives.
Tidak kira apa gagasannya - negara membangun, negara dunia ketiga, negara
kecil atau negara miskin - beliau dengan berani menyuarakan masalah
mereka dalam forum-forum antarabangsa serta menyelar negara-negara maju
yang tidak ikhlas membantu malah menindas dengan prejudis.
Pandangannya yang kritis tetapi nyata, telah menjadikan beliau jurucakap
kepada negara-negara dunia ketiga dan pembela agama Islam yang konsisten.
Malaysia mampu berbuat demikian kerana Malaysia "Merdeka' bukan
sahaja dari segi politik tetapi juga ekonomi dan yang lebih penting
- dari segi spiritualnya.
Dr. Seri Mahathir Mohamad kini dianggap sebagai seorang pemimpin dunia
yang berjaya meskipun memimpin sebuah negara yang kecil. Beliau bukan
hanya berjaya Memerdekakan negaranya dari semua segi, tetapi berusaha
memerdekakan negara-negara lain dari belenggu falsafah pembangunan yang
dijana dari barat yang jelas muflis idealistiknya. Bagi Dr. Mahathir
falsafah pembangunan haruslah dijana dari dalam, manakala sumbernya
bolehlah didatangkan dari luar dan bukan disebaliknya.
Rakyat hari ini dan generasi yang terkemudian tidak akan lupa pada Dr.
Mahathir kerana 'Wawasan 2020nya'. Wawasan 2020 yang mengandungi apa
yang dikatakan 'Sembilan Cabaran Utama' merupakan cita-citanya melihat
rakyat Malaysia mengamalkan nilai-nilai murni dan pragmatik ke arah
pembentukan sebuah masyarakat maju dengan hasil jalinan keindahan spritual
dan kemewahan material.
Wawasan 2020 bukan suatu sasauan, malah ia adalah satu realiti yang
mana prosesnya sedang rancak berirama mengelilingi kita dengan program-program
pembangunan. Bagi Perdana Menteri Dr. Mahathir, perjuangannya belum
selesai kerana perjalanannya tidak pernah berpenghujung. Beliau secara
realistik menjelaskan, "saya tidak akan hidup sehingga tahun 2020
tetapi saya pasti Wawasan 2020 akan dapat dicapai".
Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat
tidak dapat dipertikaikan lagi merupakan 'Pencetus Malaysia Negara Maju'.
Beliau mengakui bahawa beliau tidak percaya lagi dengan penulisannya
dalam 'Malay Dilemma' tetapi hakikatnya Malay Dilemma sudah tidak relevan
sejak Dr. Mahathir memegang pacuan negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi seorang pemimpin yang disegani dan sering
dirujuk untuk memberikan pandangan di kalangan negara-negara sedang
membangun. Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap sebagai jurucakap bagi negara-negara
sedang membangun terhadap polisi-polisi kuasa besar politik dari Barat.
Beliau memikul harapan negara untuk merintis jalan ke arah suatu peranan
kepimpinan di dalam dunia ekonomi dan politik antarabangsa.
|