Peranan
Dan Sumbangan
Penglibatannya secara aktif dalam politik bermula pada tahun 1964 apabila
Tun Dr Mahathir bin Mohamad dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar
setelah memenangi kerusi kawasan Kota Setar Selatan di atas tiket Perikatan
dan mula menempa nama di kalangan masyarakat. Namun dalam pilihan raya
umum berikutnya pada tahun 1969 Tun Dr Mahathir bin Mohamad tewas di
kawasan yang sama kepada calon PAS. Tun Dr Mahathir bin Mohamad merupakan
antara golongan muda yang paling lantang mengkritik pucuk kepimpinan
UMNO di bawah Allahyaraham YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terutamanya
selepas trajedi 13 Mei 1969 . Ini akhirnya membawa kepada pemecatan
Tun Dr Mahathir bin Mohamad dari UMNO pada tahun 1969.
Semenjak terbuang, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menjadi `pemberontak'
dalam buangan dan menghasilkan buku ` The Malay Dilemma' yang telah
diharamkan pada masa itu. Dalam buku itu, Tun Dr Mahathir bin Mohamad
banyak membidas sikap fatalisme masyarakat Melayu yang menyalahkan takdir
dan menerima kekalahan dengan pasif. Apabila Allahyaraham Tun Abdul
Razak menjadi Presiden UMNO pada tahun 1972, Tun Dr Mahathir bin Mohamad
kembali aktif dalam UMNO dan mendapat sambutan yang popular. Kekalahan
dan kekecewaan dalam bidang politik tidak pernah mematahkan semangat
beliau. Malah mempengaruhi beliau untuk lebih agresif dalam memperjuangkan
isu-isu orang Melayu. Populariti Tun Dr Mahathir bin Mohamad jelas apabila
beliau memenangi kerusi ahli Majlis Tertinggi UMNO dengan undi tertinggi
pada 1972 dan seterusnya sebagai senator pada tahun 1973.
Oleh kerana minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan, Tun Dr Mahathir
bin Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang
pertama pada tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada
1972, Member of the University Court and University of Malaya Council,
dan Chairman of the National University Council pada 1974.
Sebagai calon Barisan Nasional di Kubang Pasu, Kedah Tun Dr Mahathir
bin Mohamad menang tanpa bertanding dalam tahun 1974. Pada 6 Oktober
1974, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik sebagai Menteri Pelajaran
di dalam kabinet Allahyaraham Tun Abdul Razak. Tindakan pertama beliau
adalah melaksanakan Akta Universiti dan Kolej 1974 dengan meletakkan
pentadbiran universiti di bawah Kementerian Pelajaran. Pada bulan Jun
1975, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menjadi Naib Presiden UMNO dan Timbalan
Perdana Menteri kepada Allahyaraham Tun Abdul Razak. Pada masa itu,
beliau juga masih memegang portfolio Kementerian Pelajaran. Dalam satu
rombakan kabinet, beliau ditukarkan menjadi Menteri Perdagangan dan
Perindustrian. Apabila Allahyaraham Tun Hussein Onn meletakkan jawatan
atas sebab kesihatan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mengangkat sumpah
sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 18 Julai 1981. Dalam tahun
yang sama Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding sebagai
Presiden UMNO.
Tugas pertama Tun Dr Mahathir bin Mohamad adalah membersihkan dan meninggikan
taraf perkhidmatan kerajaan dengan melancarkan kempen Bersih, Cekap
dan Amanah. Pengenalan sistem `punch-card' di kalangan pegawai-pegawai
kerajaan benar-benar membuka mata masyarakat. Rakyat diberi keutamaan.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad mendorong rakyat untuk `Pandang ke Timur'
untuk mencapai kemajuan dari segi pendidikan, teknologi serta cara berfikir.
Malaysia mula menjadi perhatian dunia dengan seorang pemimpin yang berani
menyuarakan pendapat walaupun bertentangan dengan pemimpin-pemimpin
negara Barat.
Dalam pilihanraya parti 1987, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mengalahkan
lawannya untuk mengekalkan jawatan Presiden dan pada tahun 1990 dan
1993, sekali lagi Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding
sebagai Presiden parti. Di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir
bin Mohamad, parti memerintah Barisan Nasional memenangi Pilihanraya
Umum berturut-turut pada tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.
|