Asal
Usul
Persekolahan Tun Dr Mahathir bin Mohamad bermula di Sekolah Melayu Laki-laki
Seberang Perak, Kedah. Kemudian disambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar
(kini Maktab Sultan Abdul Hamid) di mana ayahandanya, Encik Mohamad
bin Iskandar adalah gurubesar sekolah itu yang pertama. Ibunya Wan Tempawan
binti Wan Hanafi adalah keturunan Wan Mat Saman, Menteri Besar Kedah
yang membina terusan Wan Mat Saman.
Encik Mohamad Iskandar adalah anak Melayu pertama yang menjadi guru
besar sebuah sekolah Inggeris pada tahun 1908. Beliau adalah seorang
yang tegas dan menitikberatkan prestasi pendidikan yang tinggi di kalangan
anak-anaknya. Sejak kecil Tun Dr Mahathir bin Mohamad dikatakan sebagai
seorang yang pasti akan jalan tujunya dan cara mencapai matlamatnya.
Secara semulajadi beliau merupakan seorang yang rajin dan mempunyai
determinasi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad bersekolah di Sekolah Melayu Seberang Perak
sebelum memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan di Alor Setar yang kini dikenali
sebagai Kolej Sultan Abdul Halim. Semasa Jepun memerintah Malaya persekolahannya
tergendala dan Tun Dr Mahathir bin Mohamad berkecimpung dalam perniagaan
gerai kopi serta menjual buah-buahan dan barangan kraftangan di Pekan
Rabu, Alor Setar, Kedah. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Tun Dr Mahathir
bin Mohamad menyambung pelajarannya di sekolah yang sama pada tahun
1945 sehingga Senior Cambridge. Tun Dr Mahathir bin Mohamad kemudiannya
pada tahun 1947, melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of
Medicine, Universiti Malaya, Singapura. Pengalaman berniaga yang dilalui
menyedarkan beliau betapa perlunya kemahiran berniaga untuk meninggikan
taraf hidup kaum Melayu. Inilah yang mendorong Tun Dr Mahathir bin Mohamad
menceburi bidang politik apabila beliau masih di bangku sekolah.
Ketika zaman persekolahan lagi Tun Dr Mahathir bin Mohamad menentang
Malayan Union dengan lantang dan menubuhkan Kesatuan Melayu Kedah serta
Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Pada tahun 1946, Tun Dr Mahathir bin Mohamad
merupakan salah seorang ahli UMNO yang awal dengan kemasukan Kesatuan
Melayu Kedah ke dalam UMNO. Dr. Mahathir sejak mudanya adalah seorang
yang rajin menulis. Dengan nama penanya 'Che Det' beliau banyak menulis
tentang kisah-kisah yang melanda masyarakat Melayu yang tersiar dalam
akhbar-akhbar tempatan. Kebanyakan rencana Tun Dr Mahathir bin Mohamad
dihantar ke Strait Times dan Sunday Times bertemakan kepahitan hidup
masyarakat Melayu. Bakat kepimpinannya terselah semasa menuntut lagi
apabila beliau dilantik sebagai Presiden, Penrtubuhan Islam, Kolej Kedoktoran.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad sering mengikuti perdebatan dan forum dan
tidak segan silu menyatakan pendapatnya yang sebenar. Pada tahun 1952,
Tun Dr Mahathir bin Mohamad lulus dengan ijazah perubatan MBBS.
Penglibatan politiknya bermula pada tahun 1945 apabila Tun Dr Mahathir
bin Mohamad menganggotai SABERKAS. Pada tahun 1946 Tun Dr Mahathir bin
Mohamad menyertai pula Kesatuan Melayu Kedah. Apabila Kongres Melayu
SeMalaya diadakan pada tahun itu, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad
turut sama dalam peristiwa bersejarah itu dan merupakan salah seorang
pengasas UMNO apabila Kongres membuat resolusi untuk menubuhkan UMNO
dan membuka keahliannya.
Berkat hasil usaha beliau, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mendapat biasiswa
untuk melanjutkan pengajian di bidang perubatan di Universiti Malaya,
Singapura. Semasa di Kolej Perubatan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik
sebagai Presiden Pertubuhan Islam dan Ketua Ridaksi majalah pelajar
di Kolej Kedoktoran tersebut. Di sinilah juga Tun Dr Mahathir bin Mohamad
bertemu dan kemudiannya berkahwin dengan Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd
Ali pada 5 Ogos 1956, dan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu
Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan
Pembedahan pada 1953. Tun Dr Mahathir bin Mohamad seterusnya berkhidmat
sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan kemudiannya
di Pulau Langkawi. Pada tahun 1957, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad
membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan membuka klinik MAHA di
Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Ini semata-mata untuk membolehkan beliau
bergiat dalam politik. Pada masa inilah beliau dikenali sebagai Dr Mahathir.
|