Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Bab 1 : Rangkaian Komputer & Telekomunikasi

 

Objektif Pembelajaran
  1. Menjelaskan makna rangkaian komputer & telekomunikasi
  2. Menjelaskan tiga jenis topologi rangkaian (bus, star, ring)
  3. Mengenalpasti medium untuk merangkaikan komputer seperti UTP, kabel coaxial & wireless
  4. Memperihalkan rangkaian komputer berasaskan server dan peer-to-peer
  5. Memperihalkan LAN, WAN, keperluan perkakasan dan protokol komunikasi
  6. Menjelaskan kesan penggunaan rangkaian komputer & telekomunikasi terhadap kehidupan manusia

Contoh Seni Bina Rangkaian

Seni Bina Rangkaian

Rangkaian komputer ialah sistem komunikasi yang menyambung dua atau lebih komputer yang bekerja sama untuk bertukar maklumat dan berkongsi sumber. Seni bina rangkaian rangkaian ialah cara rangkaian disusun dan cara sumber diselaraskan dan dikongsi.

Istilah

Terdapat beberapa istilah dalam rangkaian komputer

  • Nod : Nod ialah sebarang peranti yang disambung ke rangkaian. Ia boleh terdiri daripada komputer, pencetak, peranti storan data.
  • Pelanggan : Pelanggan ialah nod yang meminta dan menggunakan sumber yang tersedia dari nod lain. Biasanya, pelanggan ialah mikrokomputer pengguna.
  • Pelayan : Pelayan ialah nod yang berkongsi sumber dengan nod lain. bergantung kepada sumber yang dikongsi, ia mungkin dinamakan pelayan fail, pelayan pencetak, pelayan komunikasi, pelayan Web atau pelayan pangkalan data.
  • Sistem Pengendalian Rangkaian (NOS) : Sistem pengendalian mikrokomputer berinteraksi dengan aplikasi dan komputer. Sebaliknya, sistem pengendalian rangkaian (NOS) mengawal dan menyelaras akriviti antara komputer dalam rangkaian.
  • Pemprosesan teragih : Dalam sistem pemprosesan teragih, kuasa pemprosesan berada dan dikongsi di beberapa lokasi.
  • Komputer hos : Komputer hos ialah komputer pusat yang besar, biasanya satu minikomputer atau kerangka utama.

Konfigurasi

Rangkaian boleh dikonfigurasikan dalam beberapa cara.

Contoh Rangkaian Bintang

  • Rangkaian Bintang - setiap peranti dipautkan kepada unit pusat; kawalan diselenggara oleh peninjau.

Contoh Rangkain Bas

  • Rangkaian Bas - setiap peranti menangani komunikasinya sendiri melalui kabel penyambung yang sama dipanggil bas.

Contoh Rangkaian Gelang

  • Rangkaian Gelang - setiap peranti disambung kepada dua peranti yang lain membentuk satu gelang.

Strategi

Setiap rangkaian mempunyai strategi atau cara berkongsi maklumat dan sumber. Tiga strategi yang diguna secara meluas ialah :

  • Sistem rangkaian terminal - kuasa berpusat pada satu komputer besar dan diagihkan kepada beberapa terminal.
  • Sistem rangkaian rakan setara - setiap komputer boleh bertindak sebagai pelayan yang memberi perkhidmatan atau pelanggan yang meminta perkhidmatan.
  • Sistem rangkaian pelanggan/pelayan : satu komputer menjadi pelanggan yang meminta capaian kepada sumber atau pelayan yang memberi capaian kepada sumber terpusat.

Saluran Komunikasi

Saluran komunikasi menyambung komputer sama ada melalui kabel atau udara. Cara atau saluran untuk penghantaran data termasuk talian telefon, kabel sepaksi, kabel gentian optik, mikrogelombang dan satelit.

  • Talian telefon : Talian telefon yang dipasang mengandungi dawai kuprum pasangan terpiuh. Walaupun ia masih digunakan tetapi talian ini sedang digantikan.
  • Kabel sepaksi : Menggantikan talian telefon berbilang dawai dengan teras pepejal kuprum untuk membolehkan muatan penghantaran yang tinggi.
  • Kabel gentian optik : Data dihantar sebagai denyutan cahaya melalui kaca dalam kabel gentian optik. Ia lebih ringan serta cepat jika dibandingkan dengan kabel sepaksi dan sedang pantas menggantikan teknologi pasangan terpiuh.
  • Mikrogelombang : Data dihantar pada jarak yang dekat melalui udara secara mikrogelombang atau gelombang radio berfrekuensi tinggi.
  • Satelit : Satelit yang berputar mengedari bumi menghantar data pada jarak yang jauh melalui udara.

Jenis Rangkaian

Rangkaian boleh sebesar bandar raya atau antara negara yang menggunakan kedua-dua sambungan kabel dan udara. Tiga jenis rangkaian ialah rangkaian kawasan setempat, rangkaian kawasan metropolitan dan rangkaian kawasan luas.

  • Rangkaian Kawasan Setempat : Rangkaian kawasan setempat atau LAN menyambung peranti yang berada berdekatan antara satu sama lain. Biasanya peranti sebegini terletak dalam satu bangunan atau tingkat yang sama. Laluan get rangkaian dan titi memautkan satu LAN kepada LAN yang lain atau kepada rangkaian yang lebih besar.
  • Rangkaian Kawasan Metropolitan : Rangkaian kawasan metropolitan atau MAN digunakan untuk memautkan bangunan pejabat dalam satu bandar raya. Sistem telefon selular menambah kelenturan MAN dengan membenarkan pemautan ke telefon kereta dengan telefon mudah alih.
  • Rangkaian Kawasan Luas : Rangkaian kawasan luas atau WAN ialah jenis rangkaian yang terbesar. Ia meliputi negeri dan negara atau membentuk rangkaian seluas dunia. Internet ialah rangkaian kawasan yang terbesar di dunia.