Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
     
Teknologi Perkakasan Tanpa Wayar...
Intel telah mengeluarkan satu lagi teknologi baru yang khusus untuk peranti mobil khasnya notebook yang dikenali sebagai Centrino. Teknologi Centrino ini adalah terdiri dari tiga komponen utama iaitu pemproses Pentium M, chipset 855PM dan hubungan rangkaian PRO/Wireless. Jika anda membeli notebook yang mempunyai label Centrino (logonya adalah seperti kepak rama-rama), anda pasti akan mendapat kemudahan ketiga-tiga komponen ini. Apakah kelebihan Centrino ini?
  Pemproses Pentium M
Pemproses ini menawarkan kelajuan pada 4 tahap iaitu 1.3 GHz, 1.4 GHz, 1.5 GHz dan 1.6 GHz. Walaupun kelajuannya kelihatan lebih rendah dari Pentium 4, tetapi dari segi prestasinya ia adalah lebih baik. Ini adalah berdasarkan siri benchmark yang telah dilakukan bagi membandingkan prestasi Pentium 3, Pentium 4 dan Pentium M dimana didapati keupayaan Pentium M adalah jauh lebih baik terutamanya dari segi kelajuan capaian ke Internet samada menerusi LAN dan WLAN serta jangka hayat baterinya yang lebih lama ketika digunakan. Beberapa ciri-ciri pemproses Pentium M ini adalah seperti berikut
Menyokong teknologi tambahan Intel Speed Step Intel Speed Step mempunyai fungsi pilihan mod frekuensi secara masa-nyata yang dinamik (berasaskan permintaan CPU) bermula dari LFM (Lowest Frequency Mode) ke HFM (Highest Frequency Mode) yang membenarkan prestasi berada ditahap optimum dengan menggunakan bekalan kuasa yang paling rendah.
Menawarkan sistem bas pada frekuensi 400 MHz Membolehkan perpindahan data dilakukan pada kadar 3.2Gb data sesaat ketika masuk dan keluar dari pemproses.
Keupayaan atau Prestasi yang tinggi dengan bekalan kuasa yang lebih rendah Membolehkan pemproses beroperasi pada kadar voltan yang paling rendah dengan cara menggunakan teknik termaju meminimakan masa dan pensuisan isyarat.
   

Chipset 855PM
Chipset ini mempunyai MCH (Memory Controller Hub) yang menyokong ingatan DDR PC1600 dan PC2100, sistem bas pada frekuensi 400 MHz serta menyokong paparan grafik AGP4X. Dengan menyokong sistem bas pada frekuensi 400 MHz, ia menyediakan lebarjalur yang besar bagi perpindahan data diantara pemproses M dan platform. Sokongan keatas ingatan DDR turut menawarkan lebarjalur yang besar iaitu sehingga 2.1 Gb per saat ke pemproses. Sokongan keatas paparan grafik AGP4X pula menyaksikan pengawal grafik boleh mencapai ingatan utama sehingga lebih dari 1Gb per saat. Selain daripada itu, chipset ini juga telah direka untuk berfungsi pada kadar kuasa yang rendah.

 
Hubungan Rangkaian Pro/Wireless

Penggunaan hubungan rangkaian ini memberikan keselesaan kepada pengguna kerana tidak perlu mencari aksesori tambahan seperti kad rangkaian, jack telefon atau kabel rangkaian untuk mengakses Internet atau LAN kerana ia telah sedia terbina dalam. Ciri-ciri hubungan ini adalah seperti menyediakan kemudahan untuk menghubungkan kerangkaian 802.11b, menyokong piawaian tanpa wayar yang sedia ada seperti Cisco LEAP, WEP dan 802.1X), mempunyai kemudahan pengurusan profil dimana pengguna boleh setup pelbagai profil untuk menghubungkan ke pelbagai rangkaian WLAN, menyediakan kemudahan pensuisan secara automatik apabila hendak menggunakan LAN biasa selepas menggunakan WLAN dan mempunyai sistem Intel Wireless Coexistence yang mengurangkan gangguan gelombang (interference) antara Pro/Wireless dengan Bluetooth.

 

Kesimpulannya...

Kesimpulannya, teknologi Centrino ini adalah amat berguna bagi pengguna yang sentiasa membuat kerja-kerja diluar (outstation) kerana ia amat mudah untuk diselenggarakan iaitu tanpa perlu memasang kabel, amat mudah untuk mengakses ke rangkaian LAN dan WLAN kerana ia mempunyai pengurusan profil dan pensuisan yang boleh diautomasikan, keupayaan prestasi yang sangat baik serta memerlukan sumber kuasa yang paling minima. Dengan ini, pengguna boleh melakukan sesuatu kerja pada tahap prestasi yang optimum pada tempoh yang lebih lama dengan hanya menggunakan bekalan tenaga daripada bateri tanpa perlu menyambungkan wayar elektrik.

 

 

| BACK |