Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Alaf Mendatang, Bersediakah Kita?

Keperluan untuk meneroka bidang teknologi baru selaras dengan ledakan teknologi maklumat (IT) telah menempatkan negara dalam keadaan pertukaran paradigma sosio-ekonomi di abad ke-21. Untuk bersedia menghadapi pertukaran paradigma ini, Malaysia mesti menggerakkan diri menceburi sektor perkhidmatan, terutamanya perkhidmatan IT.

Teknologi multimedia yang berkait secara langsung dengan Internet telah dikenal pasti sebagai bidang utama yang akan dibangunkan dalam Koridor Raya Multimedia (MSC). Matlamat utama negara ialah ingin membangunkan satu industri multimedia yang akan menghasilkan keluaran dan perkhidmatan bagi keperluan pasaran serantau dan global.

Bagi kerajaan, MSC akan membantu menyegerakan pencapaian Wawasan 2020, iaitu mencapai taraf negara perindustrian dan masyarakat bermaklumat. Apakah peranan kita sebagai rakyat? Sebenarnya melahirkan sebuah masyarakat berilmu dan bermaklumat bukanlah tugas yang mudah dan singkat. Penggunaan IT yang berasaskan kepada acuan tempatan amat penting untuk mempastikan konsep ini tidak diselubungi oleh konsep global masyarakat bermaklumat yang didominasikan oleh barat.

Harus diingat bahawa sistem nilai IT datangnya dari barat. Walaupun kita membenarkan dasar langit terbuka, rakyat Malaysia seharusnya tidak terperangkap dengan arus pemikiran kebaratan. Dari sinilah berdasarkan acuan pemikiran dengan nilai-nilai murni masyarakat kita, sebuah masyarakat yang diidamkan dapat dibentuk menjelang tahun 2020.

Agenda IT Negara (NITA) yang membabitkan tiga komponen utama memberi penekanan terhadap masyarakat, infostruktur, dan aplikasi. Sudah tentu ia mampu merealisasikan hasrat negara dalam melahirkan sebuah masyarakat berilmu. Dari masyarakat berilmu yang dibekalkan dengan maklumat terbaik, bakal melahirkan masyarakat Madani. Peranan yang harus dimainkan oleh kita ialah sama-sama menerima IT dan seterusnya membangunkan kepakaran serta kandungan maklumat yang sesuai dengan tata susila budaya kita. Usaha kerajaan tidak akan ke mana seandainya kita sebagai rakyat tidak melihat IT sebagai unsur penting dalam mencapai Wawasan 2020. Sudah pasti bagi pihak kerajaan yang merancang pula harus menggembleng tenaga memberi penerangan serta kesedaran kepada orang ramai, merangkumi seluruh penduduk negara.

Sesungguhnya agenda kita menjelmakan masyarakat sekarang kepada sebuah masyarakat bermaklumat adalah agenda kritikal untuk abad ke-21. Langkah-langkah awal telah diambil. Masih banyak lagi perkara yang mesti dilakukan, dan tindakan mesti diambil mulai dari sekarang supaya negara dan masyarakat benar-benar bersedia menghadapi cabaran kehidupan serta ekonomi alaf mendatang. Malaysia boleh!

Mari menuju ke Cyberjaya,
Menjelajah dunia di Koridor Raya;
IT agenda baru negara,
Celik maklumat masyarakat jaya.

| BACK |