Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

(1 April 1998) - Masyarakat Berilmu

Di satu pihak Internet dibincangkan dan diperkatakan dengan rancak dari segi kebaikan, teknologi, dan bagaimana memanfaatkan Internet dalam kehidupan serta pelaksanaan kerja-kerja seharian. Di satu pihak lagi, Internet bagaikan suatu perkara asing yang tidak diketahui dari mana asal usulnya. Asing sehingga menimbulkan ketakutan dan kehairanan.

Situasi sebegini menampakkan bahawa jurang di antara komuniti yang telah mengenali Internet dengan yang masih belum mengenali Internet begitu luas dan terasing. Fenomena ini juga menimbulkan kebimbangan kita dalam usaha membentuk sebuah masyarakat bermaklumat dan seterusnya Masyarakat Madani. Ditakuti jika tiada langkah-langkah unggul diambil akan meluaskan lagi jurang di kalangan komuniti bermaklumat dan komuniti tidak bermaklumat. Perantaraan utama ialah Internet. Jika Internet tidak diterima oleh semua masyarakat kita, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, tanpa mengira tahap kelulusan akademik, dan tanpa mengira tempat tinggal sama ada di bandar atau di kampung, maka matlamat kita untuk merealisasikan konsep pendemokrasian maklumat tidak akan tercapai.

Matlamat kami ialah memberi penerangan dengan pelbagai cara bagi menyebarkan maklumat dan pengetahuan mengenai teknologi maklumat (IT) kepada masyarakat. Dan Internet adalah satu bahagian terbesar IT untuk kita semua. Kami akan cuba menceritakan pengalaman dan keperitan, serta berkongsi kepakaran yang ada pada kami dalam bahasa paling mudah kepada pembaca supaya kita dapat memanfaatkan sepenuhnya IT dan Internet. Itulah sebabnya Jalinan Jaring diilhamkan. Dalam masa yang sama, Jalinan Jaring bermatlamatkan untuk memberi pengetahuan serta maklumat terkini mengenai Internet dan penggunaannya kepada masyarakat umum.

Dengan maklumat dari pelbagai pelusuk muka bumi berada dalam genggaman, maka mudahlah langkah diatur bagi memenuhi hasrat membentuk masyarakat bermaklumat. Dalam pada itu, harus diingat bahawa agenda utama di sebalik teknologi Internet ialah pembangunan kandungan dan aplikasi berasaskan teknologi maklumat. Ia juga boleh digambarkan sebagai sebuah masyarakat berorientasikan maklumat, di mana berjuta-juta orang di seluruh dunia berkomunikasi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan.

Perkara pokok ialah bagaimana masyarakat kita menggunakan IT dan Internet untuk kebaikan serta menjadikan diri kita menguasainya, bukannya teknologi menguasai diri kita. Dalam masa yang sama kita mesti turut mengenali sempadan agar kita tidak terjerumus dalam kegiatan yang tidak sesuai dengan budaya, agama, serta tata susila masyarakat.

Apabila kita berjaya menghasilkan kandungan maklumat dan aplikasi tempatan dalam Internet dan memperkenalkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia cukup bersedia menempuh segala cabaran dengan cara berhemah, maka kita akan menjadi tumpuan masyarakat global. Kita boleh mencipta riak kecil di sini, dan kelak gelombang akan menjelajah dunia. Dengan IT dan Internet, kita menjadi sebuah komuniti berilmu tanpa menerima acuan dari barat sepenuhnya. Dengan berbekalkan kesedaran, komitmen, kepakaran, dan kandungan yang diselaputi nilai murni masyarakat, siapa dapat menyangkal Masyarakat Madani akan kita capai.

Marilah kita sama-sama berpadu erat melangkah ke era maklumat dengan berani serta yakin. Lengkapkan diri anda dengan pengetahuan IT dan Internet, moga-moga negara dan rakyat Malaysia akan setanding dengan rakyat negara maju dalam bidang IT dan Internet menjelang tahun 2020. Serangkap pantun salam perkenalan:

Kalau padi katakan padi,
Tidaklah hamba tertampi-tampi;
Maklumat terkini komuniti bestari,
Gagah berdiri dalam Madani.

Jumpa lagi.
Web Sutera
 


(8 April 1998) - Sejarah Ringkas Internet di Malaysia

Pada tahun 1987, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.

Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING telah dirumuskan, dan ianya dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING.

MIMOS mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-Enam. JARING yang dihubungkan dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan kepada rangkaian Internet antarabangsa.

Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi kos efektif setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.

Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari Singapura, Brunei, dan Thailand

Dari segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 27 organisasi dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992. Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet melalui talian dail sahaja, sementara organisasi boleh mengakses melalui talian dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat.

Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail.

Dalam tahun 1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps. Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996 sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.

Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah. Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang.

Untuk membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.

Seterusnya, pada tanggal 7 November 1996 JARING telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Asia Internet Holding (AIH) dari Jepun bagi mempertingkatkan perkhidmatan Internet untuk pengguna tempatan dan Asia Pasifik. Rangkaian yang dinamakan JARING-A-Bone ini memudahkan pengguna Internet menghubungi halaman web di rantau Asia. Hubungan tersebut menyediakan akses lebih cepat dan secara terus bagi pengguna kepada negara-negara Asia yang dihubungkan dengan A-Bone. Pada bulan Mei 1997, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang meliputi lebih 150 negara.

Pada 11 Jun 1997, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET 97. Selanjutnya pada akhir tahun 1997, jumlah keahlian JARING meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.
 

Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin memerlukan perkhidmatan terbaik, maka pada 1 November 1996, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada pihak kerajaan.

Penggunaan Internet dijangka akan terus berkembang dengan cepatnya sebagai media komunikasi multimedia utama dunia yang akan membawa kita semua ke alaf ke 21. Cabaran utama kita semua ialah untuk menyediakan masyarakat Malaysia agar sentiasa bersedia menggunakan teknologi Internet sepenuhnya di samping mengenali batasannya. Kita amat bertuah kerana telah dapat mengenalpasti potensi Internet lebih 10 tahun dahulu dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi membina prasarana Internet ke tahap yang jauh lebih maju berbanding dengan negara lain di rantau ini.

Cantik puteri tidak terperi,
Belayar menuju ke pekan Betawi;
Web Sutera gelaran diberi,
Menjunjung hasrat IT pertiwi.

Web Sutera
 


(15 April 1998) - Zaman Berubah, Maklumat Berlimpah

 Teknologi adalah suatu aspek penghasilan sains yang sifatnya memudahkan sesuatu. Teknologi yang dihasilkan dengan niat yang betul dan digunakan dengan sewajarnya boleh mensejahterakan hidup manusia. Jika diambil contoh kemunculan televisyen dan pamain video, buat permulaan masyarakat kita tidak dapat menerima kehadiran mereka. Bermacam-macam ketakutan timbul. Akhirnya set televisyen telah menjadi suatu keperluan penting di setiap rumah, hatta di ceruk kampung terpencil sekalipun. Memang ada buruknya televisyen dan video jika diterima tanpa ilmu.

Setiap kali munculnya teknologi terbaharu, tidak dinafikan berlakunya situasi yang drastik dan tidak menyenangkan di kalangan orang awam. Pelbagai maklum balas diterima. Tidak kurang juga polemik yang dinatijahkan oleh perkembangan teknologi tersebut oleh masyarakat.

Dalam aspek teknologi maklumat (IT), teknologi di sini dilihat sebagai alat untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyebar, dan mengguna maklumat. Aspek aplikasi IT bersifat dinamik dan merentas budaya. Salah satu perkembangan IT yang paling pesat berkembang ialah Internet yang merangkumi hampir kesemua teknologi dalam IT, seperti komputer, telekomunikasi, lebar jalur, satelit, multimedia, audio dan video digital, grafik komputer, rangkaian, pensuisan sistem telefon, dan storan penyimpanan maklumat.

Gelombang populariti Internet merupakan perkembangan paling penting dalam industri komputer semenjak komputer peribadi (PC) IBM dilancarkan pada tahun 1981. Seperti mana PC, Internet seolah-olah suatu gelombang besar. Jika demikian keadaannya, maka teknologi Internet hampir pasti ‘menyapu’ industri komputer dan industri lainnya seandainya kita tidak mengendahkan kewujudannya.

Aspek yang banyak mengundang polemik ialah aspek kandungan maklumat dalam Internet. IT dan Internet yang menggabungkan teknologi yang dinyatakan di atas memberi kesan yang besar dan amat menakjubkan kepada hidup manusia. Kesan ini tidak sahaja menyentuh aspek-aspek ilmu dan pendidikan, tetapi turut merentasi aspek ekonomi, politik, sosio budaya, dan juga sistem nilai manusia sejagat.

Dari perspektif yang mudah difahami, kecanggihan teknologi seperti Internet ibarat pengangkutan, ia tidak akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya yang diangkut itu ialah barangan yang mempunyai nilai rendah atau boleh memudaratkan. Alat pengangkutan itu dilihat sebagai penting, tetapi yang lebih utama ialah maklumat. Sekiranya maklumat yang dibawa itu ialah maklumat yang bermutu dan bermanfaat, pengguna terakhir maklumat tersebut pastinya akan mendapat keberuntungan besar. Dalam masa yang sama, maklumat yang mempunyai nilai tinggi dan bermanfaat tanpa saluran pengangkutan terkini, mengakibatkan maklumat tidak akan sampai dengan cepat dan berkesan kepada penggunanya.

Oleh itu teknologi Internet dan maklumat harus dilihat dalam situasi bersepadu. Tidak harus timbul rasa ghairah atau kagum tentang kecanggihan teknologinya, sedangkan kualiti maklumat diabaikan. Dalam konteks pembangunan sahsiah insan, IT dan Internet hanya sebagai alat, bukannya matlamat. Matlamat penggunaan IT dan Internet ialah memanfaatkannya bagi memperoleh serta menjadikan diri kita insan bermaklumat sekaligus berilmu dengan maklumat yang benar. Seterusnya maklumat mampu membentuk minda yang sihat dan membentuk budaya ilmu dalam masyarakat.

Internet menawarkan peluang yang seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin meneroka dan menguasai ruang siber, menyebarkan maklumat dan pendapat tanpa had, mengalami dan mencipta pengalaman baru, memperkukuhkan keintelektualan, dan memperoleh kemahiran terkini. Memetik ucapan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad; “Jangan rosakkan minda dan moral rakyat dengan bahan negatif hasil kerosakan moral pihak barat”, memang tidak dinafikan terdapat unsur-unsur negatif dalam Internet. Tetapi dalam Internet, bahan-bahan yang paling banyak ialah maklumat yang berguna. Di samping itu, teknologi yang berkaitan seperti multimedia, turut mengalami perkembangan pesat. Gabungan Internet dan multimedia menyediakan ruang penciptaan aplikasi yang amat banyak untuk diterokai.

Kemajuan teknologi Internet yang tersebar di seluruh dunia mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan kita. Kepesatan pembangunannya kadang kala menggusarkan terutama bagi yang kurang berkemampuan untuk bergerak maju selaras dengan perkembangan zaman. Walau bagaimanapun, situasi ini bukanlah alasan kita tidak turut mempersiap diri dengan bekalan ilmu pengetahuan baharu yang memainkan peranan yang besar dalam pembangunan negara. Keengganan atau ketidakprihatinan kita terhadap IT dan Internet akan merugikan kita dan negara.

Sebagaimana yang kita ketahui, melalui Internet ini jugalah pengguna terdedah kepada maklumat yang mengandungi unsur-unsur lucah, baik dari segi gambar mahupun penjelasan tentang hal yang berkaitan dengan perlakuan seksual. Harus kita sedari bahawa komputer, IT, dan Internet ada kelemahan tersendiri. Kata orang, kesempurnaan bukan milik manusia, apatah lagi Internet. Sebab itulah pihak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan menyekat bahan-bahan yang negatif dalam Internet, seperti menyekat pengaksesan ke halaman-halaman tertentu. Dalam masa yang sama, kesedaran keburukan bahan-bahan tersebut sentiasa dihebahkan kepada orang ramai. Tetapi setakat mana pihak bertanggungjawab dapat menyekat unsur-unsur sedemikian. Akhirnya pengguna juga yang harus menentukan ke mana yang hendak dituju apabila mengakses Internet.

Ibarat analogi sebuah lebuhraya yang kita lalui sepanjang perjalanan kita menuju ke sesuatu tempat. Di sepanjang perjalanan banyak perhentian yang kita lalui; termasuk surau, tempat rehat, disko, dan pub. Hentian mana yang kita hendak singgahi? Begitu juga dengan Internet. Dalam perjalanan mencari maklumat dalam ruang siber tersebut, terdapat banyak lokasi atau halaman web sepanjang lebuhraya maklumat. Maklumat seperti mana yang hendak diakses, baik atau buruk. Sebenarnya bergantung kepada setiap individu tersebut. Tepuk dada, tanya iman.

Tidak bermakna kita harus menolak Internet oleh kerana ada unsur-unsur keburukan seperti bahan-bahan lucah, ajaran sesat, unsur orientalis, dan propaganda jahat. Faktor daya saring yang bertunjangkan kepada kekuatan ilmu dan sistem nilai sewajarnya menjadi faktor terbaik mendepani pengaruh maklumat tersebut.

Hal ini dibangkitkan bagi menginsafi pentingnya masyarakat kita memanfaatkan IT/Internet secara positif supaya bukan saja kita menjadi masyarakat bermaklumat, malah dalam masa yang sama membangunkan kandungan maklumat berasaskan acuan kita sendiri. Dengan pengetahuan dan ilmu, kita boleh menggunakan Internet bagi kepentingan masyarakat serta menyebar luaskan nilai-nilai budaya murni yang menjadi pegangan kita. Bagi umat Islam, pengetahuan mendalam teknologi Internet akan dapat menjadi saluran bagi menangkis salah tanggapan masyarakat dunia terhadap Islam dan menjadi benteng pertahanan bagi menjawab semua hasutan para orientalis barat. Kalau masyarakat kita tidak menggunakannya, ia akan digunakan oleh pihak lain untuk menyerang serta memusnahkan kita.

Adakah anda tahu bahawa teknologi yang menyeronokkan ini membuka banyak bidang aplikasi penggunaan yang merangkumi semua bidang pekerjaan dan kehidupan. Teknologi sampingan yang turut berkembang bagi  memudahkan lagi kewujudan dan pengaksesan Internet ialah seperti rangkaian, multimedia, pemprosesan maklumat, persidangan video, komunikasi data, perkakasan komputer, mikropemproses, pembangunan perisian, kad pintar, dan sebagainya.

Bidang penggunaannya pula semakin luas dan menjanjikan kemudahan serta keseronokan. Penggunaan Internet termasuk perdagangan elektronik, perkhidmatan dalam talian, pengiklanan, pemasaran dan promosi, penyediaan kandungan, perbankan elektronik, kerajaan elektronik, kerajaan tanpa kertas, pejabat maya, aplikasi multimedia, sekolah bestari, komunikasi mel elektronik, urus niaga dalam talian, teleperubatan, dan pelbagai lagi yang telah dilaksanakan serta yang akan baru muncul. Semua bidang teknologi dan aplikasi di atas boleh dirangkumkan kepada suatu istilah, iaitu ekonomi digital. Maksudnya, bidang penggunaan tersebut merupakan unsur-unsur yang boleh didapati apabila ekonomi digital dilaksanakan sepenuhnya di abad ke-21. Walaupun demikian, sudah banyak pihak telah menceburi penggunaan teknologi Internet ini, termasuk Malaysia yang sudah berada dalam fasa perancangan dan mencari sumber kepakaran bagi mengendalikan semua yang dirancangkan..

Sesungguhnya amat tidak patut jika masyarakat umum memandang Internet sebagai teknologi yang tidak perlu diambil tahu. Ubahkan tanggapan anda dan bersedia menerima kehadiran teknologi ini dengan penuh kesedaran. Seperti yang telah dinyatakan di atas, setiap perkembangan teknologi sentiasa dibayangi faktor kebaikan dan keburukan. Bukan itu sahaja, pihak dunia perniagaan juga turut menerima kesan dengan mengalami perubahan mengejut dalam pelaksanaan operasi kerja. Namun begitu, mereka seperti mana masyarakat umum, tidak dapat mengelak daripada menerima kehadiran IT dan Internet dalam kehidupan. Lambat dan cepat penerimaan kitalah yang menentukan survival negara dan rakyat. Mulakan langkah belajar dan mencari maklumat berkenaan IT dan Internet dalam palbagai saluran, sama ada buku, surat khabar, majalah, radio, TV, ataupun Internet itu sendiri. Selamat maju jaya.

Kalau tuan pergi ke Patani,
Jangan lupa membeli ragi;
Matlamat kita Masyarakat Madani,
Nilai terpuji disanjung tinggi.

Web Sutera
 


(22 April 1998) - World Wide Web

Internet bukanlah seutas dawai yang mengelilingi bumi, begitu juga World Wide Web bukanlah suatu jaringan yang berasingan atau satu bahagian daripada Internet. Frasa World Wide Web (WWW) memperlihatkan seolah-olah ianya adalah jaringan yang berbeza. Ia sebenarnya menerangkan sekumpulan komputer dalam Internet yang menerbitkan maklumat dalam bentuk grafik. Bentuk sebegini mudah dilihat melalui pelayar atau perisian pelanggan berasaskan tetingkap yang terletak di komputer pengguna. Terminologi teknikal pendekatan ini dipanggil pelanggan-pelayan.

WWW dibangunkan di Makmal Fizik Zarah Eropah sebagai suatu kaedah / peralatan yang digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai fizik berkuasa tinggi di antara ahli-ahli fizik yang bekerja di seluruh Eropah. Para pembangun tersebut diketuai oleh Tim Berners-Lee merasakan bahawa keputusan untuk mengadakan suatu piawai terhadap perkakasan dan perisian adalah satu usaha yang membazir. Sebaliknya, mereka membangunkan suatu piawai untuk mewakilkan data. Piawai ini dipanggil Hypertext Markup Language atau HTML. Dengan HTML, kita hanya perlu meletakkan tanda khusus kepada perkataan atau frasa yang akan menjadi penghubung kepada muka surat atau fail lain. Sambungan ini boleh dibuat kepada dokumen pada mesin yang sama atau pada suatu tempat lain merentasi benua. Dengan sistem alamat yang universal merentasi semua sempadan geografi dan budaya, hampir semua dokumen web yang merangkumi bunyi, klip video, imej, dan saluran TV boleh diakses tanpa mendail nombor lain, tanpa mengetahui alamat komputer.

Pelayar Internet yang dipanggil Mosaic merupakan perintis kepada WWW. Tanggal Februari 1993 adalah tarikh Mosaic diperkenalkan oleh seorang pelajar University of Illinois yang bernama Marc Andreessen. Dengan Mosaic, pengguna sistem Macintosh, Windows, OS/2, dan UNIX tanpa mengira tahap akses Internet boleh mencapai maklumat dalam talian. Anda mulakan dari mana sahaja, anda akan terus dapat menjelajah sebarang dokumen yang dipanggil laman tempatan atau laman web. Mosaic adalah pelayar bergrafik pertama untuk web. Untuk mendapatkan perisian Mosaic, apa yang anda perlu lakukan ialah dengan mengambil secara percuma daripada tapak utama University of Illinois atau daripada tapak ‘cermin’ serata dunia.

Dalam tahun 1994, sebanyak 4,000 orang mengambil Mosaic sehari. Dalam tempoh dua tahun semenjak diperkenalkan, lebih satu juta salinan telah diambil daripada Illinois, beribu-ribu lagi daripada tapak cermin, beribu-ribu daripada perkongsian cakera, dan jumlah keseluruhan dianggarkan lebih 3 juta pengguna menjelang akhir 1994. Pada bulan Januari 1993, apabila Mosaic diperkenalkan, terdapat hanya 50 pelayan web yang diketahui. Menjelang bulan Oktober 1993 terdapat lebih dari 500 pelayan web. Pada Jun 1994 terdapat 1,500 dan berkembang kepada 5,000 pada akhir tahun. Terdapat lebih dari 100,000 pelayan web pada akhir tahun 1995.

Sekarang pasaran seluruh dunia telah bertukar kepada produk komersial yang diasaskan berdasarkan pelayar Mosaic, dipanggil Netscape. Produk ini disediakan oleh syarikat komersial yang diasaskan oleh salah seorang daripadanya ialah Marc Andreessen. Kombinasi akses sepenuhnya melalui perkhidmatan pembekal Internet, sokongan dari komputer peribadi (PC), dan aspek ramah pengguna web menjadikan Internet popular di kalangan syarikat, organisasi, kerajaan, dan pengguna perseorangan.

Keberkesanan web ialah sifat semula jadi sistem yang bergrafik, berbentuk multimedia dan sangat fleksibel. Maklumat yang disimpan di hos tertentu boleh diakses oleh pelanggan web di seluruh dunia dengan semua jenis komputer. Konsep pelanggan-pelayan adalah konsep utama dalam penyebaran maklumat dalam WWW. Pada suatu ketika dahulu peer-to-peer digunakan oleh semua komputer di Internet dan lain-lain jaringan data untuk berkomunikasi. Dalam kaedah ini pengguna mendail suatu nombor tertentu untuk sesuatu komputer. Apabila akses dibenarkan, pengguna akan menyoal komputer tersebut melalui jaringan dengan menjawab penggesa (prompt) yang dilihat di skrin. Penggesa itu akan bertanya apakah yang hendak dicari dalam pangkalan data dan kemudian jawapan diberikan. Pengguna dapat mengambil dan menghantar fail, tetapi jika ingin mengakses komputer lain, maka pengguna terpaksa memutuskan hubungan dan mendail nombor baru. Teknik ini juga turut boleh digolongkan sebagai komunikasi satu ke satu.

Melalui WWW, anda membuat penyambungan ke Internet dengan menelefon pembekal akses Internet tempatan dan membawa perisian pelanggan, iaitu pelayar, ke paparan skrin. Ini memberikan suatu ‘tetingkap’ di skrin komputer. Melaluinya anda akan dapat melihat berjuta-juta komputer ‘pelayan’ yang menerbitkan maklumat dalam format WWW. Anda taipkan lokasi tapak web yang pertama yang anda ingin lawati, dan kemudian ia akan membuka pintu kepada banyak lagi laman web lain. Di muka surat pertama laman web yang anda lawati akan dipaparkan maklumat dalam bentuk bergrafik. Anda akan lihat logo berwarna, gambar foto dan beberapa teks pembukaan. Suatu butang di atas skrin mungkin membolehkan anda mendengar muzik atau menonton video. Hampir serta-merta beberapa teks dan gambar akan menjadi aktif apabila anda klik dengan tetikus.

Di sinilah konsep utama hyperlink digunakan. Intipati protokol WWW ialah tunjuk dan klik. Bagi menjayakan konsep ini, pereka bentuk protokol membenarkan teks dan objek menjadi petunjuk dan penyambung kepada objek lain. Sambungan ini sama ada akan menghubungkan anda kepada fail dalam komputer yang sedang anda lawati, atau sambungan itu mengandungi alamat komputer di benua lain. Teks yang mengandungi hyperlink kepada maklumat selanjutnya biasanya digariskan bagi menyatakan bahawa wujudnya sambungan, dan gambar atau grafik selalunya memberitahu pelawat bahawa ia mengandungi hyperlink.

Satu klikan tetikus ke atas item hyperlink membuatkan pelayar membawa anda terus kepada maklumat yang diperlukan. Semua maklumat dipersembahkan dalam bentuk laman tempatan atau laman web. Laman web mudah untuk diimplimentasikan, senang diakses – tetapi susah untuk diterangkan. Ia boleh mengandungi teks, grafik, gambar, keratan bunyi, video, dan sambungan kepada halaman lain dengan menggunakan tetikus.

Lebih separuh daripada mesin yang mengakses Internet ialah komputer peribadi (PC). Perisian pelayar web yang terkenal sekarang ialah Netscape Navigator atau Netscape Communicator dan Internet Explorer. Kedua-duanya menyediakan antara muka bergrafik dan multimedia. Kemunculan perisian-perisian berasaskan web untuk kegunaan multimedia menambahkan lagi ‘kuasa’ pelayar web. Perisian seperti Real Audio membolehkan kita memainkan lagu dan muzik yang telah dibuat ke bentuk digital.

Laman web yang menjadi produk terulung dalam WWW boleh dibina oleh sesiapa sahaja yang mempunyai peralatan yang diperlukan. Halaman web korporat, sektor kerajaan, atau individu boleh dibina dalam WWW dan semuanya boleh diakses dari mana sahaja anda berada di muka bumi ini. Justru itu, web telah dikategorikan sebagai suatu aplikasi paling berpengaruh dalam Internet. Dalam pada itu, web telah memperlihatkan suatu keadaan pertukaran paradigma terhadap penyebaran dan pelaksanaan aplikasi. Munculnya suatu bahasa pemprograman Java meletakkan web ke suatu tahap yang lebih berjaya. Bahasa ini adalah untuk kegunaan animasi, penayangan video, dan aplikasi multimedia dalam WWW.

Dengan adanya semua kemudahan yang ditawarkan oleh WWW, aktiviti harian yang merangkumi pemasaran, pengiklanan, penyebaran maklumat, penerbitan majalah dalam talian, siaran radio, video dalam permintaan (VOD – video on demand ), dan siaran televisyen berbayar telah memasuki satu era baru yang menjanjikan keseronokan serta cabaran. Dalam pada itu, anasir-anasir yang kurang baik turut muncul mengancam masyarakat kita. Budaya tidak sihat, unsur lucah, propaganda jahat, ajaran sesat, dan seumpamanya banyak kedapatan dalam WWW. Ini disebabkan media WWW murah dan cepat sampai kepada pelawat. Akhirnya bergantung kepada pengguna Internet sama ada hendak mendapatkan perkara baik atau buruk.

Sampai masa dan ketikanya kita tidak dapat lari daripada menggunakan WWW sebagai sebahagian daripada hidup kita. Ia akan terus berkembang dan siapa dapat menyangkal, selain e-mel sudah tentu WWW menjadi aplikasi paling utama untuk Internet. Lagipun WWW telah menambah nilai kepada e-mel, menjadikan penghantaran pesanan bukan setakat teks sahaja, malah apa yang boleh ditampung oleh WWW, boleh juga dibawa oleh e-mel.

Cantik sungguh si burung punai,
Sayang sekali terkena jerat;
Jaring ditebar hasil dituai,
IT dijalin penuh berkat.
 
Salam mesra.
Web Sutera



 
  | BACK |